Tuesday, October 4, 2011

Bantu suami berpoligami ( siri II )



Pada pertemuan pagi hujung minggu itu, dua orang isteri berkongsi pandangan dan perasaan tentang poligami. Sementelahan saya menyokong pandangan yang menganjurkan poligami, saya merasa senang dengan kesediaan mereka melibatkan diri dengan alam poligami.

Isteri A berkata, dia dan suami berusaha mengukuhkan ekonomi dan telah melihat-lihat calon isteri kedua dari kalangan teman-teman kami yang masih bujang. Dia berpandangan, moga poligami yang dirancang memberi maslahat jangka panjang bukan sahaja untuk peribadi, tetapi juga untuk ummah.

Isteri B juga menyatakan kesediaan menerima poligami dan moga benar-benar semua pihak yang terlibat ( suami dan isteri-isteri) memperdalamkan niat semata mata kerana Allah.

Tentang ekonomi, benar sekali, sama-samalah kita meneguhkannya dengan usaha dan doa.. Perkahwinan di alaf ini samaada poligami atau monogami, tidak sedikit yang terancam kerana cabaran kewangan yang tak kunjung sudah.

Kedua-dua teman saya A dan B adalah antara isteri isteri yang dalam proses menjemput kehadiran wanita kedua dalam hidup suami masing masing.

 Mengenali secara jauh suami mereka, saya mendoakan agar satu hari nanti mereka diberi pimpinan dan bantuan oleh Allah untuk memikul amanah perkahwinan bernama poligami.

Ada juga isteri-isteri lain yang berkongsi dengan saya tentang kesudian mereka berkongsi suami... Buat para isteri yang punya kesediaan dan perancangan menyokong suami bernikah lagi, apakah antara bentuk bantuan yang boleh diberi pada suami yang kita cintai...?

Saya kongsikan sedikit berdasarkan pembacaan, pengalaman, dan perkongsian dengan teman-teman yang berpoligami.

Pertama sekali, tentunya sokongan isteri dalam bentuk kesediaan dan keterbukaan untuk bercerita tentang poligami. Suami perlu memberi pendedahan bertahap-tahap jika isteri tidak begitu cenderung. Bagi isteri yang cenderung pada poligami, boleh bertukar pandangan dan perasaan tentang hal-hal yang berkaitan.

Pastinya dalam proses mendorong dan menyokong suami berpoligami, ada rasa cemburu bertandang.. Jadikan komunikasikan dengan Allah, jua pada suami dalam suasana yang tak memberatkan...

Seterusnya, mungkin boleh bertanya pada suami, siapakah calon yang suami dah ada atau berminat - yang suami kenali di tempat kerja atau program luar... Jika tiada, mungkin isteri boleh cadangkan calon-calon yang dirasakan sesuai.

Seterusnya, isteri boleh membantu suami bertaaruf dengan calon isteri. Saya pernah menemani tiga orang teman yang dilamar menjadi isteri kedua dalam proses taarufnya. Kehadiran isteri sangat membantu sesi perkenalan yang telus.

Mungkin seterusnya isteri boleh mendekati calon isteri kedua untuk memberi gambaran yang lebih baik tentang suami dan suasana rumahtangga..

Jika calon isteri menerima lamaran, suami isteri perlu berbincang tentang bagaimana menyusun hari giliran dan keperluan -keperluan lain. Isteri sebagai teman terbaik suami boleh memberi pandangan yang membantu suami membuat keputusan paling adil untuk keluarga sedia ada dan keluarga yang bakal dibina. InsyaAllah.

Jika ada perancangan menyewa atau membeli rumah, membeli kereta mahupun barangan asas lain untuk isteri baru kelak, suami sangat menghargai bilamana isteri boleh membantu mana yang perlu.

Semakin menghampiri tarikh pernikahan, boleh juga isteri membantu suami mengemas pakaian dan keperluan lain di rumah baru kelak.

Dalam pada itu, sama-sama mengatur perbelanjaan dan kewangan keluarga agar cukup seadanya untuk berkongsi rezeki dengan bakal famili baru.

Tidak dilupa, sama-sama beriadah dengan suami agar kita semua menjadi suami isteri yang cergas samaada berpoligami atau tidak.. Menjaga pemakanan dan memperbanyak aktiviti fizikal adalah ramuan penting untuk rumahtangga yang harmonis.

Yang terakhir buat kali ini, jangan lupa berdoa. Sesungguhnya pada doa, ada harapan yang menenangkan dan melahirkan keyakinan. Doalah, minta dipermudahkan andai poligami ini baik untuk kehidupan dunia dan akhirat kita dan suami. Mohonlah keberkatan, petunjuk dan bimbingan tuhan buat menelusuri ujian kehidupan di alam perkahwinan.

Bila kita sebagai isteri menjadi teman berbincang, menjadi teman yang tulus menghulur bantuan, menjadi teman yang menghiburkan, menjadi teman yang memahami perasaan pasangan - pasti makin subur cinta sayang suami pada isteri yang memudahkan urusannya bernikah lagi..

InsyaAllah moga Allah menitipkan semurni keikhlasan di hati kita dalam membantu suami dan muslimah lain bernikah..

Di kesempatan yang lain, saya akan kongsikan juga bagaimana suami pula boleh membantu isteri menempuh alam poligami..insyaAllah.




Published with Blogger-droid v1.7.4

15 comments:

Anonymous said...

salam saya ucapkan untuk saudari, Janganlah keterlaluan menilai kemampuan diri dalam berpoligami di mata umum, sesungguhnya saudari belum lagi diuji... Rangkaian coretan saudari menampakkan saudari sedang berhadapan dgn krisis dalaman yang akan semakin parah.saudari akan faham maksud saya mungkin 10 thn akan dtg Insyaallah

Anonymous said...

Salaam,

Tidak dinafikan isu poligami adalah salah satu isu sensitive bukan sahaja dalam masyarakat melayu, namun dalam masyarakat lain yang beragama Islam - agama yang membenarkan poligami (based on my own experience with international moslem friends). Memang benar berpoligami bukanlah sesuatu yang 'pleasent' bagi majoriti kita. Namun kita harus renungkan mengapa agaknya Islam membenarkan poligami? Kalau betullah poligami satu perkara yang taboo yang mana menyebutnya saja sudah membawa pelbagai konotasi,kenapa ya agaknya Allah menganugerahkan kelebihan berkahwin lebih dari satu kepada kaum adam? Lihat di sekeliling anda, berapa ramaikah saudari2 seagama yang belum bersuami..apa agaknya reaksi kita? Mencemuh dan menggelar dengan pelbagai gelaran tambahan pula jika saudari tu terpaksa berinteraksi dengan suami kita, lagilah agaknya berbakul2 sindiran. Sikit sangat yang cuba memahami berbanding dari yang mengeji...kadang2 yang memahami tu pun bila dia sendiri dah ada anak/adik perempuan/kakak yang lanjut usia, maka ketika itu barulah jadi insan yang paling memahami.

Yup, it is true, berpoligami bukannya mudah dan menjadi igauan ngeri kepada kebanyakan isteri. Dan bukannya sedkit, kita disajikan dengan kisah2 benar mengenai kehancuran rumah tangga, kezaliman, ketidakadilan dan sebagainya akibat dari poligami. Namun, sekali lagi, takkan Allah begitu zalim kepada kita dengan menurunkan kelonggaran berpoligami? Poligami adalah suci dan adalah jalan penyelesaian, cuma manusia saja yang masih lagi gagal untuk memahami falsafah poligami.

Namun begitu, jika di pihak2 yang terlibat faham tanggungjawab masing2, poligami adalah tidak seburuk yang digembar-gemburkan. Justeru, saya berterima kasih kepada Puan Nurul Adni atas perkongsian cerita2 dari pengalaman beliau. Usaha puan adalah murni, mudahan Allah memelihara rumahtangga puan dan memudahkan usaha puan dan rakan2 yang lain. Teguhlah dengan pendirian puan kerana ramai lagi saudara kita yang perlu dibantu. Janganlah pula kita jadi pak nujum meramalkan masa depan orang dan mendoakan yang tidak baik kepada saudara kita. Berbaik sangkalah, semoga Allah juga merahmati kita dan memelihara rumahtangga kita..


Puan Hani Anders

Anonymous said...

komen saya terakhir di blog ini dulu cuma 1ayat.."sukar utk percaya cerita ni.kelu" dlm salah satu artikel menggalakan poligami.
antara sebab ialah penulisan kamu menakutkan...ianya bukan rasa takut seperti nmpk hantu

saya bersetuju dgn anon di atas.saya rasa itu yg saya rasa kali pertama baca blog ini.hurmm mungkin itulah maksud penulisan yg menakutkan

Nurul Adni Adnan said...

anon & cik sizu: terima kasih atas respon dan peringatan :) kita saling mengingatkan ok~

Aqilah Zaidee said...

salam buat penulis..
saya amat menghargai penulisan anda..krn tulisan ini tlh mmberikan satu sinar baru utk saya yg bakal berdepan dgn poligami..menjadi isteri pertama. ia membuka mata dan hati saya..
manusia melihat dr sisi2 yg pelbagai.jd teruskan penulisan.mungkin ada yg x menyukainya,mungkin ada yd mendapat kekuatan drnya...
jazakillah kak...

Nurul Adni Adnan said...

salam aqeelah, moga ALLAH memberi kekuatan untuk melaluinya, take care :)

Anonymous said...

Assalamualaikum, jazakallah untuk perkongsian penulis. Insyaallah saya juga akan melalui pengalaman yang sama dan sedang membuat persediaan bersama suami dan bakal isteri. semoga dipermudahkan...

Anonymous said...

Assalamualaikum, tak rasa takut pun dlm artikel di blog2 nie malah banyak membantu memahami proses2 tersebut...

Anonymous said...

salam sis,

ilmu yg sangat bermanfaat bagi saya yg bakal berdepan dengan poligami.

It's not easy bila suami menyatakan hasrat untuk berpoligami, tapi saya masih lagi mencari kekuatan untuk menerima keadaan ini dengan lebih redha & ikhlas...

Anonymous said...

Penulisan yang membuka hati sya...Benar-benar menyentuh perasaan...

Anonymous said...

tak de apa2 yg hebat pd penulisan ini....
sebab anda hanya cuba merawat hati "berkongsi" suami yg mampu & mewah...

anda tak perlu bekerja menyara membantu suami dlm membesarkan anak2 anda atau madu2 anda....

jgn terlalu berbbangga dgn apa yag Allah kurnia pd anda....

Anonymous said...

apa yg Allah beri, apa salah berbangga andai bangga itu lahir dari hati yg sangat2 mensyukuri nikmat itu?
mengapa harus mencemuh bila ada yg hadir utk berkongsi cerita, memberi kekuatan kpd mereka yg menjadikan cerita itu sbg inspirasi?
adakah kerana anda marah dek diri sendiri yg x dpt menerima takdir hdp sdr?
jadilah manusia yg menghargai org lain dan anda akan dihargai...
mgkn kerana kurang menghargai dan menyedari kesalahan diri, maka Allah memberi peringatan dgn cara memberi ujian... syukur la bila anda sedar, jika x sedar juga, anda masih menunding jari, marahkan org lain atas kekhilafan diri sndr... pd siapakah anda marah? pada Tuhan?_mawar berduri

yuzaini amir & asma husna said...

syabas saudari, semoga Allah memberkati perjalanan saudari dan keluarga saudari.

Anonymous said...

subahanallah..artikel saudari memang bagus..xpaham kenape org ramai tentang poligamy..kenapa risau saham jatuh..bayangkan usia anda akan meningkat..cemburu itu hanya mainan perasaan..islam menggalak poligami sb untuk meningkatkan iman dn membesarkan keluarga islam..cuba tgk,ramai anak2 gadis, mak2 janda perlukan suami..dan ade juga gadis2 yg usia meningkat kerana kecewa ramai lelaki sekarang yg tidak serupa lelaki..kebanyakkan yg berguna sudah berkahwin..kekdang suami xdpt layanan sempurna, bila kahwin lain,xbagi..terpaksa menahan nafsu dekat wanita bukan mahram..yg ahkirny berlaku curang.

Anonymous said...

Salam Sis... Terima kasih untuk perkongsian yang sangat ikhlas dan berguna. Saya hanyalah gadis yang berusia 25 tahun yg skng tinggal bersama ibu saudara di ibu kota. Mungkin ramai yg masih menganggap saya mentah untuk menyebut hal2 perkahwinan khususnya hal poligami. Namun bagi saya, poligami bukanlah punca hidup tidak bahagia. Ibu saudara saya sendiri merupakan isteri kedua yg tidak mampu melahirkan zuriat kerana mghidap cyst. Walaubagaimanapun dia bahagia kerana dilayan baik oleh isteri pertama dan anak2 tirinya yg sudah besar2 semuanya. Malah dia juga sudah punya cucu2 tiri. Hubungan mereka erat dengan adanya kunjung mengunjung dihujung minggu dan berbagai lagi aktiviti lain bagi mengeratkan ikatan kekeluargaan yg dijalin.

Dahulu saya juga cenderung untuk berkata tidak kepada poligami walaupun saya tahu ia halal disisi Allah. Namun sejak2 saya tinggal bersama ibu saudara, perspektif saya berubah. Poligami bukanlah suatu masalah. Yg menjadi masalah adalah corak pemikiran masyarakat oleh kerana kita semua dari zaman dijajah lagi sehingga kini disuntik dengan ideologi barat yg hanya mengamalkan monogami. Saya pernah bertnyakan kepada rakan2 sebaya ttg pandangan mereka ttg poligami namun jawapan yg positif amat sedikit. Andaian saya mungkin cara pemikiran mereka ttg perkahwinan dlm Islam masih tidak terbuka luas atau mungkin tiada dalam ahli keluarga mereka yg terlibat dlm menjalankan kehidupan poligami. Saya harap akan bertambah lagi rakan2 sebaya yg terbuka pandangan mereka ttg isu poligami dan akan ramai lelaki diluar sana yg mampu menjadi lelaki sejati, yakni berlaku jujur dgn isteri, berkomunikasi dgn berkesan, berlaku adil thadap anak & isteri dan sntiasa mencari keredhaan Ilahi.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...