Bismillahirrahmanirrahim. Kali ini saya ingin berkongsi artikel yang ditulis oleh suami tersayang yang bertajuk Ikhlas. Perjalanan hidup kita semakin sukar, masa terasa semakin singkat... Moga ikhlas menjadi bekal yang menenangkan hati dalam menelusuri jalan pulang kepada Tuhan.
Ikhlas
Ini merupakan artikel saya yang ke dua puluh empat untuk ruangan Cahaya Rohani¸bererti genaplah dua tahun saya menulis untuk majalah Dara.com.
Dalam rangka saya berkongsi ilmu, menghulur nasihat dan memberi peringatan, saya amat berharap semuanya menjadi amalan yang diterima oleh Allah s.w.t.. Namun saya tahu bahawa harapan saja tidak cukup, saya juga mesti ikhlas dalam berusaha kerana keikhlasan merupakan syarat pertama yang diukur oleh Allah s.w.t.
Namun apakah maksud ikhlas dan apakah syarat serta adabnya?
Jika dikaji definisi-definisi yang diberikan oleh para ilmuan, dapat disimpulkan bahawa ikhlas ialah sikap seorang hamba dalam menjalin hubungan dengan Allah. Apabila seorang hamba itu melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan takut kepada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas.
Jika dikaji definisi-definisi yang diberikan oleh para ilmuan, dapat disimpulkan bahawa ikhlas ialah sikap seorang hamba dalam menjalin hubungan dengan Allah. Apabila seorang hamba itu melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah dan takut kepada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas.
Musuh atau lawan kepada ikhlas ialah riya’ dan sum’ah. Sesiapa yang melaksanakan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama dengan harapan diperhatikan oleh orang lain maka ia disebut riya’ manakala jika dengan harapan didengar oleh orang lain maka ia disebut sum’ah. Seterusnya marilah kita melihat beberapa syarat serta adab ikhlas.
Ikhlas Letaknya Di Dalam Hati.
Keikhlasan letaknya di dalam hati dan hanya mampu diukur oleh tuan punya hati. Maka nilai keikhlasan tidak boleh diukur oleh individu lain, demikianlah juga sifat riya’ atau sum’ah. Jika diragui keikhlasan seseorang, maka sikap yang benar ialah berbicara dan memperingatkan tentang keikhlasan secara umum, tanpa mengkhususkannya kepada individu terbabit.
Pada waktu yang sama, oleh kerana keikhlasan ialah amal hati, maka ia tidak perlu disyaratkan dengan lafaz tertentu pada lisan. Ini kerana kita tidak perlu memberitahu kepada Allah apa yang sedia diketahui-Nya di dalam hati kita.
Selain itu jika lisan melafazkan keikhlasan sementara hati membisikkan pujian orang, maka yang diambil kira oleh Allah ialah bisikan hati. Atas dasar inilah kita mendapati Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar umatnya melafazkan niat manakala para ulama’ yang teliti berulangkali membetulkan amalan sebahagian masyarakat yang mensyaratkan lafaz niat secara lisan.
Ikhlas Diikat Dengan Ilmu.
Syarat kedua yang penting tentang keikhlasan ialah ia diikat dengan amal yang sahih. Maksud amal yang sahih ialah apa yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika seseorang itu ikhlas dalam mendirikan sembahyang tetapi cara sembahyangnya salah, maka ia tidak diterima oleh Allah. Demikian juga sebaliknya, jika seseorang itu mendirikan sembahyang dengan cara yang betul tetapi dia tidak ikhlas, maka ia tidak diterima oleh Allah.
Justeru keikhlasan dan amal yang sahih sentiasa bergandingan, tanpa boleh dipisahkan. Maka sebelum kita hendak melaksanakan sesuatu tuntutan agama dan menjauhi sesuatu tegahan agama, hendaklah disemak bahawa ia benar-benar dituntut atau ditegah oleh agama.
Tiga Fasa Ikhlas.
Agar kita sentiasa ikhlas, maka ketahuilah bahawa keikhlasan memiliki tiga fasa. Fasa Pertama ialah sebelum beramal, maka hendaklah dipastikan ia dimulai dengan hati yang ikhlas dan amal yang sahih. Fasa Kedua ialah ketika sedang beramal, maka hendaklah berwaspada seandainya timbul bisikan hati yang merosakkan keikhlasan yang tersemat sejak awal. Pujian atau kritikan orang lain ketika sedang beramal merupakan antara faktor yang bahaya dalam fasa kedua ini.
Fasa Ketiga ialah selepas beramal dan ketahuilah bahawa ia merupakan fasa yang paling sukar namun paling minimum diperhatikan oleh orang ramai. Ini kerana fasa ini memiliki tempoh waktu yang amat panjang dan seseorang itu mesti menjaga keikhlasan dirinya sepanjang tempoh itu.
Seorang pelajar umpamanya, mungkin ikhlas dalam menuntut ilmu sehingga dia memperoleh sijil kelulusan yang cemerlang. Akan tetapi dia perlu berwaspada seandainya sebulan, setahun atau sedekad kemudian, dia berbangga-bangga dengan sijil pengajiannya itu hingga apa yang asalnya ikhlas (fasa pertama dan kedua) berubah menjadi riya’ dan sum’ah (fasa ketiga).
Ikhlas Dan Empat Jenis Orang.
Jika ditinjau dari aspek jenis-jenis orang dan kaitannya dengan keikhlasan, maka ia boleh dibahagikan kepada empat jenis. Jenis Pertama ialah orang yang beramal dengan ikhlas lalu dia memperoleh pelbagai manfaat di sebalik amal itu sehingga akhirnya menjadikan dirinya bertambah-tambah ikhlas.
Orang jenis pertama ini adalah yang terbaik. Jenis Kedua ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dalam beramal. Namun semasa atau setelah beramal dia menemui pelbagai manfaat hingga akhirnya dia meneruskan amal itu dengan hati yang ikhlas. Jenis kedua ini ialah orang yang beruntung.
Jenis Ketiga ialah orang yang pada awalnya ikhlas namun semasa atau selepas beramal hatinya berubah kepada meraih pujian orang atau mengharapkan keuntungan duniawi. Orang seperti ini ialah mereka yang menzalimi diri sendiri. Jenis Keempat ialah orang yang pada awalnya tidak ikhlas dan semasa atau selepas beramal, dia semakin tidak ikhlas dan melakukan amalan itu semata-mata kerana pujian orang atau keuntungan duniawi.
Ikhlas Tidak Tetap.
Jika dicermati beberapa perenggan di atas, dapat ditangkap bahawa keikhlasan bukanlah sesuatu yang tetap atau statik di dalam hati seseorang. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang bergerak lagi dinamik. Oleh itu hendaklah kita sentiasa prihatin akan nilai keikhlasan diri masing-masing.
Sedarilah bahawa apa yang ada di sisi Allah adalah jauh lebih besar, lebih baik dan lebih mulia daripada apa yang ada di dunia ini. Semoga para pembaca dan saya tergolong dalam orang yang sentiasa ikhlas lagi bertambah-tambah keikhlasannya.
Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah
No comments:
Post a Comment