Saturday, October 15, 2011

Jodoh: Di mana kan ku temui?




“Saya nak minta pendapat.. saya sekarang ni mencari suami bermanhaj salaf, tapi belum berjumpa lagi...yang datang menghampiri bukan bermanhaj salaf... patut ke saya mencari lagi sampai ketemu yang dikehendaki walau umur semakin meningkat?” begitu bunyinya mesej seorang ukhti yang sampai kepada saya.

Hmm macam mana nak jawab tu..? Mencari yang bermanhaj salaf..? Yang saya fahami maksudnya ialah mencari suami yang hidupnya berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.

Dan nak cari sampai bila sedangkan umur meningkat..?

Ukhti, persoalan ini payah untuk dirungkai dengan selembar tulisan, apapun semampunya saya kongsikan pandangan. Moga perkongsian ini membantu kalian yang menghadapi fasa pencarian.

Inginkan jodoh, memang perlu mencari. Sampai bila nak cari, tiada jawapannya pada kita.

Bagi perempuan, ikhtiar mendapatkan jodoh yang baik antaranya meminta bantuan orang tengah untuk mencarikan atau menjodohkan. Atau mengisi ‘borang baitul muslim’ yang rancak dikendalikan persatuan atau ‘jemaah’ yang mendukung program islami. Atau bagi segelintir, menawarkan diri pada lelaki yang baik untuk dinikahi. Di atas semua ini, jangan lupa berdoa setulusnya pada ALLAH memohon pendamping hidup bernama suami.

Namun jangan dilupa, tidak kurang pentingnya ialah kita berusaha mempersiapkan diri menjadi jodoh yang baik. Di akui pada zaman ini sukar untuk mencari jodoh yang baik, terlebih lagi suami yang baik berdasarkan statistik gejala sosial yang makin meruncing melibatkan lelaki ( dan perempuan juga).

Di IPT, majoriti adalah perempuan. Di IPT juga berkembang subur perempuan-perempuan yan baik dalam suasana tarbiyyah hingga bilangan perempuan baik yang siap untuk bernikah ini tidak seimbang dengan lelaki-lelaki yang baik yang juga siap untuk menikah.

Di manakah lelaki? Ribuan di pusat serenti, sejumlah besar merempit dan aktiviti lain yang tidak bermoral, sebahagiannya mengambil kesempatan merosak maruah wanita yang lemah hingga wanita-wanita ini melahirkan anak luar nikah, hingga sebahagiaanya menjadi penghuni rumah kebajikan wanita terlanjur. [Namun saya percaya, di sana sini tersembunyi lelaki yang baik bermaruah, kalian lah permata keluarga dan agama]

Pada ukhti yang disayangi, mungkin boleh kita luaskan lagi ciri-ciri calon suami yang diharapkan. Luaskan juga definisi lelaki yang bermanhaj salaf. Kita berusaha mempraktikkan Al Quran dan As Sunnah, namun kita tidak kata bahawa kita telah sempurna melaksanakannya. Kita mencari yang bermanhaj salaf, namun kita bukan mencari lelaki sempurna pada ilmu dan penghayatan salafnya.

Kita berkahwin untuk bersama-sama dengan teman hidup menjadi hamba ALLAH yang lebih baik. Kita berkahwin bukan untuk sekadar mengkagumi dan menikmati kebaikan suami, namun untuk kita mencontohi kebaikannya. Jua menjadi teman yang saling menutup kelemahan dan mengingatkan ke arah kebenaran. Kita berkahwin bukan sekadar menumpang kekuatan suami, namun untuk kita juga meminjamkan kekuatan pada suami dalam melaksanakan amanah masing-masing.

Dalam sesi taaruf ukhti dengan lelaki tersebut, mungkin yang lebih penting untuk dilihat adakah lelaki itu orang yang sentiasa mencari kebaikan dan jelas dengan tujuan hidupnya. Manusia itu tidak statik. People change over time. Mungkin sekarang dia tidak bermanhaj salaf, namun siapa tahu suami itu akan berubah kerana keikhlasan dan kesungguhan kita memilih jalan yang diredhaiNYA. Moga ini bukan optimis dan yakin yang membuta tuli..

Pengalaman menceritakan ada kes-kes yang sekufu sewaktu menikah - bagus akhlak, baik agamanya, mantap dalam dakwah dan tarbiyyah – nampak serasi bersama -  tapi masa yang berputar turut menukar si suami atau isteri menjadi orang yang ‘makin kurang akhlak dan agamanya’… [itu ujian masing-masing kan, moga mereka dan kita kembali pada kebenaran].

Jadi pilihan jodoh itu kesannya bukan sehari dua, tapi perjalanan yang panjang dan berliku. Manusia boleh jadi bertambah baik di satu sisi, dari sudut lain bertambah buruk. Yang penting, diri sendiri membina kekuatan - bila jodoh berubah watak, masih adakah cinta dan harapan..? Masih adakah doa dan kesabaran mengaurakan kebaikan..?

Mendapat suami atau isteri solehah bukan terus-terus datang terhampar di depan mata, ia adalah proses yang panjang dalam alam perkahwinan. Lelaki atau wanita solehah yang dikagumi dalam diam itu, mungkin personalitinya bagus dan menarik pada orang sekeliling.

Namun nantinya bila bernikah, tidaklah ia terus-terus menjadi suami yang baik dan hebat untuk kita. Ya, ada sebahagian kita terus miliki 'suami sempurna'. Atau 'isteri sempurna'.

Namun sebahagian besar lagi menghadapi proses penyesuaian suami isteri yang menyedihkan dan membingungkan...

"Kenapa suami ku begini??"  atau " Kenapa isteri ku begini??"

Sebenarnya adalah peranan penting KITA untuk membantunya menjadi suami dan isteri seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW.

Mencari orang yang beragama bukan sekadar pada kelulusannya dalam bidang agama, tapi pada sejauh mana kesungguhan mempraktikkan ilmunya. [alhamdulillah kalau ada kelulusan]

Mencari orang yang cantik bukan sekadar pada wajahnya, namun pada akhlaknya yang cantik dan pada kesungguhannya untuk cantik di mata ALLAH. [alhamdulillah jika sedap mata memandang]

Mencari orang yang positif bukan sekadar dengan imej positif yang dibina melalui pakaian atau jawatan tinggi, namun melalui cara hidupnya yang positif dan sihat. [alhamdulillah jika pakaian dan jawatannya pun baik-baik]

Lelaki yang baik semakin sedikit…?

Duhai saudara lelakiku yang baik di luar sana, persiapkanlah dirimu untuk menjadi suami kepada 4 orang wanita istimewa yang ingin menjaga kehormatan diri dan agama. Persiapkanlah dirimu menjadi pemimpin kepada keluarga besar, kami saudara perempuanmu mengharapkan kehadiran pasangan untuk menyempurnakan fitrah diri.

Duhai saudara perempuanku yang bergelar isteri, persiapkanlah dirimu untuk menerima kehadiran isteri-isteri baru suamimu. Persiapkanlah dirimu untuk menjadi tulang belakang pada kepimpinan suami mentadbir empat famili, empat isteri.

Ukhti yang disayangi, teruskan usaha mencari jodoh. Teruskan memperbaiki diri. Kita bersangka baik pada ALLAH bahawa satu hari pasti akan hadir teman hidup yang diimpi, di dunia atau di akhirat sana. Kita bersangka baik pada ALLAH bahawa dalam usaha kita mencari, perancangan dan ketentuan ALLAH yang MAHA HEBAT dan MAHA INDAH sentiasa mengiringi...



Sekian perkongsian kali ini~



*artikel lama yang diubahsuai




 
 
 

5 comments:

drama3s said...

assalamualaikum..w.b.t..

alhamdulillah, senang skali membaca entrie ini.. seperti mendapat oksigen baru di saat benar2 dalam kelemasana..

(-.-)

namun, ada beberapa persoalan yg terbit di dalam hati saya. insyaAllah saya kirimkan email kemudian..di harapkan saudari dpt menjawab persoalan atau sekadar berkongsi pendapat pun memadai..terima kasih..

sea_lavender said...

perkongsian menarik..
saat hati ini juga sering kan kekuatan..benar sme skali apa dikongsikan..marila sme2 membentuk diri kte terlebih dahulu..sntiasa yakin kurniaan-Nya buat kte =)

Anonymous said...

saya pula selalu berjumpa dengan lelaki yang suka mengambil kesempatan ke atas diri saya contohnya ingin menyentuh saya dan ingin berbuat zina dengan saya. walhal saya ingin mencari lelaki yang benar-benar memahami apa itu agama islam.dan paling menyedihkan, saya bertudung dan pakaian boleh dikatakan menutup aurat, tetapi mereka masih melihat benda yang boleh menyeronokkan diri mereka. betapa sedihnya. seperti diri ini tidak dihormati.bukan mencari lelaki yang sempurna,tapi biarlah ada agama.

Anonymous said...

saya smpai sekarang belum berpunya..sedih gak,bukan xnak berkahwin tetapi belum tiba jodoh..sy mengharapkn jodoh yg baik utk diri..ya, sy tahu kita xleh 100% bergantung pd bakal jodoh,,tetapi jika tidak memilh yg elok,kelak masa depan keluarga hancur..jumpa lelaki bagus lak, suami org..dan sekarang sy dah pudar utk mencai,cuma berdoa.. masyakat xleh terima poligamy habis, cmne nasib gadis luar yg xkawin2 sb xjumpa lelaki bagus..ya para isteri mesti kata, byk lagi lelaki bujang2..tapi anda xpikir skrg susah nak dpt lelaki bujang yg baik2, xkena di tempat anda,sb 2 anda xphm, byk lelaki skrg jd pondan,gay, kaki arak-judi-dadah-pukul,penganggur..skrg sy baru phm kebaikan poligamy..sy mohon rakan2 doakan sy dapat jodoh baik2..dan terima kasih.

Anonymous said...

subhanallah

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...