Saturday, January 22, 2011

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?



Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.

Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.

Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.

Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?

Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?


 
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?

:: Rezeki dan ekonomi ::

Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).

Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan bekeluarga.



Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?

Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.

Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.

Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.

Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.

Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang ‘high maintenance’.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..

Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar “anak itu rezeki..”.

Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.

Mak ayah kita orang susah…?

Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?

Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.



Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.

Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.

Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.

Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?

Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.

Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri… hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.

Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.

.:: If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy ::.

 
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki…apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?

Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..

Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah… semua ini dibolehkan namun bersederhanalah…

:: Duduk jauh vs duduk sekali ::

Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka… awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa ‘sweet’ dan indah.

Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.

Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan ‘geng’ mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..



“Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh…”

Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.

Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.

Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.

Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas… mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.

Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.



Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar…

Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa ‘sesak dada’ menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..

Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping… salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.

Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..

Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.

Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..

Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.






 
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa ‘kecederaan hati’ melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih ‘tercedera’ lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.

:: Isteri sebagai pencorak rumahtangga – jatuh bangun rumahtangga banyak ditentukan oleh isteri ::

Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.

Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]

Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.

Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.

Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..

“Bosannya duduk rumah…”

Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..

Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..

Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.

Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.

Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..


 
Kuatkan hati, bangun semula..

Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.

Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?

Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.

Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.

Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.

Sekian perkongsian, moga bermanfaat~


p/s- Entri ini ditujukan khas buat adinda yang sedang PJJ dengan suaminya.. Adinda di selatan semenanjung, suaminya di Pahang.. Moga membuat pertimbangan sebaiknya dengan doa yang dipanjatkan kepada ALLAH :)


32 comments:

Anonymous said...

wahh..kna comment nih sbb dh link gmbr..mcm tekena kat diri sendiri pula..hehe..bg saya, duduk skali atau duduk berjauhan ada cabarannya masing2..yg penting skrg sy tgh blajar ikhlas mentaati dan menyayangi suami..sy bersyukur juga skrg sy berjauhan dgn suami walaupun akn lg best kalau dpt duduk skali..semoga Allah memudahkn semua urusan =)

Anonymous said...

memang bnyk konflik PJJ ni..saya pun baru post pasal hal ni.

oh ya, saya pun memikirkan perkara yg sama berkenaan "mak ayah org susah"...dgn keadaan ekonomi yg tidak baik wang menjadi punca utama sukar utk mletakkan jawatan kerja. lainlah suami mampu tetapi kebanyakan lelaki tidak. zaman blajr mereka main2, dah kerja tak sehabis baik mcamana nak gaji naik supaya nnti bila bkeluarga anak isteri senang.
soal sanggup kurangkan blanja luxury stuff saya rasa saya sanggup, tapi bukan soal mak, ayah, adik bderet masih blajar yg perlukan bantuan...

memandangkan belum berkawin bermakna saya belum melaluinya alam berumahtangga. sukar utk saya sekadar hanya berfikir, cakap & perbuatan yg tidak konsisten.

KISAH PJJ ini akan saya jadikan peringatan utk masa depan. saya juga bersetuju isteri spatutnya dirumah wpun degree holder. thanks.

Anonymous said...

Sya bkrja sbgai pensyarah d perlis dan pjj brsama ank sya yg brumur 11bln.tggal brasingan sejak bln januari. Suami d selangor. Sya bcdang hndak brhnti dr kerajaan. Entryg ini amat menenangkan sya dgn kptusan yg bkal sya ambil.thanx

salfarina said...

Saya telah berada dalam situasi PJJ selama 7 tahun, sejak dari mula berkahwin sampai sekarang, dah ada 2 anak dan bakal melahirkan seorg lagi cahaya mata. Pada saya ada kemanisan dan cabaran (bukan buruk baik) dalam PJJ ni. Kemanisannya ialah..bila jarang bertemu, jarang bergaduh, lebih menghargai masa bersama. Cabarannya pula ialah bila anak sakit atau diri sendiri yang sakit. Sedih bila berjauhan. Di sinilah support system sangat penting. Keluarga dan kawan-kawan rapat yang memahami situasi kita :)

Anonymous said...

Assalamualaikum.. Alhamdulillah, tenang hati baca post ni, bole ana mohon pandangan penulis.. ana sudah bernekad berhenti kerja untuk mengikut suami tapi dihalang oleh keluarga atas alasan ekonomi ana dan suami belum stabil. ana sayangkan suami dan keluarga.. jadi apa yang perlu ana lakukan untuk menunaikan hak dan tanggungjawab kepada suami dan keluarga. Harap dapat beri respon.. semoga Allah membalasnya.. InsyaAllah.

Anonymous said...

puan salfarina,
saya juga seperti anda cuma bezanya saya bru 4thn pjj dan bru mempunyai seorang cahayamata. sesungguhnya saya kagum dengan anda kerana mampu mengharungi cabaran menjaga 2 anak dan bkl menjaga 1 lg anak sendirian. Mohon kekuatan dari Allah agar saya juga mampu jadi sehebat anda. Walaupun sebenarnya saya sendiri rasa bagai hampir tewas dan terasa seperti gagal berfungsi sebagai ibu yang baik dan isteri yang disenangi suami. harap dapat berkongsi tips2 berguna dari anda. TQ.

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih atas komen dan perkongsian semua, moga ALLAH membantu kalian menguruskan kehidupan dengan terbaik! :)

saya kagum dengan anda yang pjj.. moga kesabaran anda tetap ada untuk mengatasi cabaran!

Anonymous said...

salam...tertarik dgn isu yg dibicarakan....
sy antara insan2 yg tpilih untuk melalui perkahwinan PJJ. dugaan & rintangan hanya ALlah yg lbh mengetahui. kekadangan terasa emosi mengatasi diri. dr awal perkahwinan sehingga kini sy x pernah merasa erti perkahwinan yg sebenar. hubby hanya dtg hujung mgu. weekdays bersendiri lagi. 6 tahun dah berlalu dan kini dah kurniakan 3 org cahaya mata, peneman dikala suka dan duka. begitu teringin nak hidup mcm pasangan lain, hidup susah senang bersama. tp x tau bila keadaan ini akan berakhir. minta izin dgn hubby utk berhenti keja, x diizinkan dgn alasan, ekonomi beliau x mampu utk 'survive'. tp demi anak2 sy kuatkan semangat, dgn bantuan mak dan ahli kelurga tdekat, sy masih mampu btatan, tp x tau sampai bila. emosi sering terganggu coz dgn tekanan kerja, menguruskan anak2 sendirian & mcm2 problem yg dtg tanpa diduga.

azyatun said...

ASSALAM

sy bukanlah pasangan PJJ tp seorg isteri yg tidak bekerja..bila baca artikel ni tenang je rasa..mmg suami sy nak sy duduk rumah didik anak2 kami sambil work from home..
mmg ada rasa bosan, teringin nak join group usrah tp xtau ;)
kdg2 rasa rendh diri x bekerjaya wpun da degree dan malu bila org tanya kerja kat mana? ada idea x nk balas soalan org yg begitu bagaimana tanpa menegcilkan hati mana2 pihak?tq

Anonymous said...

salam,
sy jg merupakan slh satu pasangn PJJ.dari start becinta,bertunag,berkahwin kami sentiasa berjauhan.sekarang sy mempunyai sorg chy mata.suami sy bertugas d negeri sembilan dan sy d sabah.sekarang sy duduk d rumah mertua.memang perhubungn PJJ ada kebaikan dan keburukannya.sy tidak dapat berhenti kerja coz ekonomi suami sy belum stabil lagi. sy beruntung kerana family terdekat bnyak membantu sy. sy sentiasa berdoa moga suami sy akn cepat ditukarkan bertugas ke sabah..

Nurul Adni Adnan said...

Moga ALLAH merahmati kalian atas ujian kalian yang pelbagai..terima kasih atas perkongsian bermakna...kita saling doa ok, moga ALLAH membalas kesabaran kita dengan syurga.. di mana ada ruang ikhtiar, ikhtiar untuk duduk dekat dengan suami, atau duduk sekali... insyaALLAH.. :)

Dr. Amirah said...

bagaimana pula dengan pelajar ye?

Harlina Al Hamra said...

Assalamualaikum...

saya baru sahaja sebulan setengah berkahwin. saya berkahwin di dalam usia yang muda iaitu skg saya berumur 19 tahun. saya dan suami juga masing2 sedang belajar. saya belajar di IPT di malaysia dan suami belajar di Timur Tengah, Arab Saudi. Kami sempat bersama selama 10 hari sahaja ketika awal perkahwinan kemudian suami dah balik semula ke Saudi kerana cuti sem nya sudah habis. Suami akan pulg ke Malaysia setahun sekali. Setiap malam saya bersedih merindui suami. Umur saya yang masih kebudak2kan kurang matang untuk lalui semua ini dengan tenang. Saya mohon kakak2 semua beri semangat pada saya supaya saya lebih tabah dan redha berpisah dengan suami....

Sinar Artistry - Tel 019 3167996 said...

Assalamualaikum.
Sy juga adalah pasangan yg bjauhan, baru setahun lebih. Suami mendapat peluang bekerja di timur tengah. Walau berat unt berpisah, tp peluang yg dtg jgn dilepaskan. Bukan mengejar wang ringgit, tp rezeki jgn ditolak. Memang ada baik & buruknya duduk bjauhan, tp semuanya bgantung pd diri sendiri, jika niat kita baik, insyaallah baiklah jadinya. Usia rumahtangga kami lebih 12 thn dn dikurniakan 6 org anak. Sy sorang yg bekerja, sejak suami jauh, semua sy uruskan sendiri. Betul, seorg isteri itu perlu banyak sabar & sanggup bkorban unt rumahtangga. Setelah bjauhan baru kami tahu, rindu yg teramat. Selama ini bukan x sayang, tp sentiasa disisi, perasaan itu biasa aje. Perhubungan itu btambah mesra mcm baru bcinta pula. Sentiasa menunggu saat unt btemu. Sehingga suami sy kata, x sangka ini yg dia rasa bila bjauhan. Baru sy tahu, suami sy memang betul2 sayangkan sy. Inilah manisnya perpisahan. memang tempat sirg isteri itu disisi suaminya, tp jika tpaksa berjauhan demi mnyara keluarga, masing2 tpaksa redha. Dgn pendapatan yg lebih, kami boleh menarik nafas lega skit, jika dulu cukup bulan memang semput, duit gaji habis byr rumah, pengasuh, kad, belanja skolah anak, brg dapur, susu, pamper, minyak kete, duit mak kat kg dan bbagai2 lg. Kini, x perlu lg mggunakan kad & dlm pros penutupan semuanya. Apa pu sy bersyukur kpd Allah atas kurniaanNya. Jika ini yg kami dpt, jd kami sanggup bpisah unt sementara, krn masing2 tahu perananya. Jadi pjj itu x jadi masalah, jika masing2 pandai bawa diri & isteri tetap mjaga ketaatannya pd suami walau bjauhan. Krn zaman serba canggih ini, oerhubungan tidak menjadi masalah, setiap saat, isteri boleh minta izin apa yg dia hendak lakukan. Setiap perbuatan itu bgantung pd niatnya.

hazdia said...

salam...
entry di atas br sahaja sy baca wlu ia sudah di post kira2 setahun lebih yg lalu...sy berjauhan dengan suami sejak sy mengandung tahun lepas memandangkan suami mendapat tawaran kerja govmnt di kuantan...kini anak yg berusia 3 bln di jaga oleh suami dan ibu mertua sejak sy kembali bekerja di subang...sy tinggal bersama kwn2 bujang dan pulang ke kuantan setiap mgg...hati mana akan tenang klu berjauhan dgn suami dan baby yg br sahaja 3 bln lahir..sgt tertekan..kini dlm usaha mencari pekerjaan di kuantan...niat dihati mahu berhenti selepas bersalin...namun faktor kewangan seakan-akan menghalang...sentiasa cuba menenangkan diri, namun hati manusia yg lemah membuatkan diri stress... mg sentiasa diberi kekuatan seperti kalian yg kuat hatinya...ameen..

Anonymous said...

Alhamdulillah..setelah membaca entry ni..hati semakin kuat dengan keputusan ingin mengikut suami ke sabah bila dah kahwin nanti..InsyaAllah.walau ada degree dalam bidang engineering,bakal suami cakap,*enti jadi engineer dalam keluarga pun cukup dah,soal kewangan ana mampu*..semoga dipermudahkan..

Anonymous said...

alhamdulillah..hati jd tenang selepas baca entry kalian semua.. saya baru 2 bulan stgh berkahwin dan berPJJ dengan suami saya yang bertugas di kuching, sarawak dan saya di selangor. Niat hati nk ikut suami, ttpi memandangkan ekonomi kami belum stabil, saya batalkan niat tersebut. Hati sentiasa digamit kerinduan bila berjauhan, adat manusia..ingin membelai dan di belai.. semoga dipermudahkan oleh-Nya..dan diberi kekuatan hati seperti kalian semua.. Ameen..

Anonymous said...

Salam...

Saya amat tertarik membaca blog ini. Saya turut mengalami situasi yang sama iaitu PJJ saya di Langkawi dan suami di Selangor. Cabaran kami adalah dari segi jarak, masa dan kewangan, juga cuti yang tak sama sering memberikan tekanan. Untuk berjumpa sekali setiap bulan pun perlu merancang dengan teliti contoh saya atau suami perlu mengambil cuti itu pun jika diluluskan (cuti pun tak banyak). Kadang2 rasa amat tertekan berada dalam situasi ini. Saya nekad ingin berhenti kerja (kerja kerajaan/tetap). Suami juga telah beri green light. Saya berharap & berdoa semoga ada sinar baru dalam kehidupan rumah tangga kami selepas ini. Saya ingin mengutamakan suami & ingin menjadi isteri yang sebaiknya utk suami saya. Doakan untuk saya ye..

Anonymous said...

saya juga nk berenti kerja. Duduk umah jaga anak & suami. tapi masih tak dpt keizinan dari suami. Saya begitu yakin yg suami mampu menyara saya & anak2 tp saya tak tahu kenapa suami sendiri tak ada keyakinan itu. Saya masih tercari2 akan hukum @ hadith yg berkaitan dgn isteri yg rasa terpaksa keluar bekerja kerana nk patuh pada kehendak suami..

Anonymous said...

Salam...
Saya dan suami juga dalam kategori PJJ sejak mula kenal hingga berkahwin & bakal menimang cahaya mata pertama..suami bekerja di sarawak & saya bekerja di penang.
Suami juga x izinkan saya berhenti kerja disebabkan keadaan ekonomi dan kami hanya berjumpa sebulan sekali shja.
Kami cuba kekalkan hubungan seperti pasangan yg sedang asyik bercinta supaya rumah tangga tidak hambar & sentiasa excited setiap kali bertemu seolah2 love at first sight :)..x pernah lari dari kata2 cinta..biarpun berjauhan tetap ada rasa cinta di hati..yg tinggal bersama juga sy cadangkan harus praktikkan ini supaya rumahtangga sentiasa "warm"..just my 2cents for all..
All the best utk semua PJJ & yg tinggal sebumbung..

Adawiyah said...

ya allah moga dipermudahkan urusan kalian...jgn lah menganggap pjj satu hukuman yang berat...ia mungkin dugaan dr ALLAH untuk menguji kita sebagai hamba yang lemah, cuba kita lihat kembali zaman nabi ibrahim, meninggalkan siti hajar dan zuriatnya ismail adalah kerana allah supaya tempat dimana nabi ismail menghentakan kakinya semasa baginda menangis kelaparan...dari hentakkan kakinya itu lah wujudnya air zamzam dan terbinanya kota mekah (http://www.ukhwah.com/print.php?sid=864)....okeh simbolik dr cerita ni kte jd kan teladan...walaupun ALLAH tidak memberi kita ujian sebegitu tetapi dia beri kita ujian dr perspktif lain...mungkin ada hikmah disebalik ujian yang ALLAH beri kepada kita...kita hanya mampu merancang tetapi ALLAH yang menentukan segalanya....DOA adalah senjata kita...teruskan berdoa moga kita berasa tenang dan dimudahkan segala urusan...bg yang ingin berhenti kerja, duduk berbincang dengan suami, slow talk dengan dia, fikir kan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah kewangan...insyallah rezeki allah beri banyak kita usaha dan ikhtiar....itu yang lebih baik...jika suami mampu menyara kita sekeluarga alhamdulilah, jika tidak mampu, bagaimana pula? fikirkan lah masa hadapan yang kita tidak tahu....

Anonymous said...

salam...
saya juga mengalami nasib yg sama..berjuahan dari suami yg berada di timur dan sy di selatan...kesempatan untuk bertemu sangat la tipis apatah lagi tugas suami yg sering ke luar negara..ini merumitkan lg perhubungan kami dan hingga kini kami masih belum dikurniakan zuriat...kdg2 jiwa sy memberontak...sy menyesal..sy marah...sy merasa sunyi...air mata menjadi teman akrab saat saya merindukan suami ..sy merasa yg tiada guna mendirikan rumah tangga sedangkan suami sentiasa sibuk dengan urusan kerjanya dan sy berada jauh dengannya...saya sering merajuk dan memberontak dengan suami..mujurlah suami sy seorg yg sabar..dia sering menasihati sy supaya bersabar..tp sampai bila...sy tahu berdosa melayani suami sebegitu... namun sy x mampu untuk mengawal perasaan sy...kdg2 sy rasa bia lah perasaan cinta ini mati supaya saya tidak menderita...

Unknown said...

PJJ mmg mencabar kot mana pun kena hati2 kerna hati adalah punca... hati yang ikhlas yang menjadi perkiraan di hari kemudian

Anonymous said...

Pengalaman pjj sy dgn suami skrg betul2 diuji tuhan... 10thn berkahwin & pjj dlm 3thn... Setelah sy borkorban & redha dia pergi mencari rezeki buat kami tiba2 dia ingin menhadiahkan sy seorang madu... Betapa hancurnya hati.. kesetian & kepercayaan sy berikan tlh dia khianati... Dia seorang suami yg baik dan kami tidak pernah m'galami masalah rumahtangga selama ini... kehidupan kami sangatlah bahagia sehingga dia meminta izin sy utk berpoligami... Ya Allah betapa beratnya ujianMu buat kami... apa yg harus sy lakukan... Masih ada peluangkah utk kami bahagia tanpa insan ketiga dlm hidup kami...?

Cikgu Abah said...

saya juga antara yang terlibat dengan PJJ ni...sebelum baca artikel ni pon saya ada buat persoalan tentang PJJ ni...perkara ini perlukan toleransi dan pengorbanan kedua-dua pihak..suami-isteri..

http://parent-trip.blogspot.com/2014/01/pjj-keperluan-kehendah-atau-gaya-hidup.html

Unknown said...

Assalamualaikum..Tulisan seorang penulis secara tak langsung adalah pendapat atau pendiriannya. We dont have to agree. I dont. Cuma saya sangat tak setuju dengan pendapat isteri bekerja untuk membantu kewangan suami? It's more than that. Contohnya kita beria2 perjuangkan doktor wanita untuk wanita bersalin,tapi kalau semua berhenti mcm mana.. cuba buka minda.Ye kita berkahwin dengan satu tujuan untuk redha Allah, kita bayangkan yang indah2, tapi adakah kita boleh ramal masa hadapan. Suami hanay pinjaman, bagaimana suatu hari nanti dengan takdir Allah suami kita tinggalkan kita untuk wanita lain, kalau dia terlebih dahulu dicabut nyawa? Mcm mana nasib anak2 kita. So, tolong hentikan sterotype isteri bekerja semata2 bantu suami. Selagi suami kita benarkan kita bekerja dan kita suka dengan kerja kita, teruskanlah samaada PJJ atau hidup bersama.

cheekychubbycutegirl said...

Terima kasih kerana sudi tulis entry ni..sy mmg nekad nk ikut suami sy..

zaidie said...

Salam semua,duduk berjauhan dengan anak dan isteri sememangnya satu ujian yang sangat besar.Kini sudah setengah tahun saya bertugas di Perak, isteri dan anak pula di Sabah. Sebulan sekali jika keadaan mengizinkan terutama sekali dari segi bajet, barulah saya berpeluang balik melawat mereka. Anak-anak pula masih kecil dan saya selalu rindu kepada mereka di sana. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa peritnya menanggung ujian berjauhan dengan keluarga ini. Semoga perpindahan saya cepat diluluskan agar dapat bersama semula dengan keluarga di Sabah.Kepada rakan2 yg lain dan senasib, semoga kita sentiasa diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian ini serta dipermudahkan pula segala urusan kita untuk bersama semula dgn keluarga masing2 yee :)

Anonymous said...

Assalam semua,

Saya pon PJJ gak dengan husband dan anak saya. Saya di Penang, husband & anak di Selangor. Da hampir 3 tahun kami PJJ since 2012. Tak sangka rupanya ramai gak senasib dengan saya. Saya teringin sangat nak hidup sebumbung dengan husband & anak setiap hari seperti pasangan lain. Bangun tido anak & husband kat sebelah tapi apa kan daya. Hanya berharap wiken je. Saya berulang dari Penang ke Selangor sejak di awal perkahwinan, ketika mengandung sehingga la sekarang. Saya balik every week bersama-sama dengan stok ebm untuk anak saya. Tak pernah failed. Alhamdulillah walaupon berjauhan saya masih mampu untuk memberikan anak saya susu badan sehingga umur anak 7 bulan. Terima kasih Allah. Memang sangat-sangat penat sebab kena travel almost 4hrs dari Penang-Selangor pada hari Jumaat and Ahad malam balik Penang semula. Wiken memang betul-betul spent time bersama sebab tu je la masa yang ada. Bila berjauhan memang sangat sedih lebih2 lagi bila anak saya sakit. Sesak nafas fikir keadaan anak. Nak balik on the spot memang tak bole sebab bukannya dekat. Bila berjauhan memang kami jarang bergaduh sebab tak sempat nak jumpa punca pergaduhan. Itu salah satu kebaikan cumanya saya tak dapat nak jaga makan pakai husband & anak saya everyday. Kalau pegi keje terjumpa ofismate bawak anak datang ofis rasa sangat2 jeles sebab saya tak berpeluang buat camtu. Teringin sangat2. Kalau ofismate cerita pasal dia masak itu ini utk anak dia, saya akan sedih. Terasa down sangat2. Setiap hari ada je ceritanya. Saya da banyak kali apply permohonan pertukaran tempat kerja tapi masih tak berjaya. Cari orang suka sama suka nak tukar pon takde. Sedih sangat. Nak berhenti kerja saya kena pikir banyak benda. Saya bonded dengan majikan saya selama 7yrs. Kalau berhenti kerja saya kena bayar 100k. Banyak tu jumlahnya dan saya rasa tak mampu nak bayar balik. Ada lagi lebih kurang 4yrs before saya bebas dari bonded tu. Terasa lama sangat2 dan saya tak tau saya mampu bersabar dan bertahan ke tak. Mungkin Allah lebih tahu kenapa jalan hidup saya sebegini. Hikmah yang saya tak tahu di kemudian hari. Moga suatu hari nanti Allah makbulkan doa dan impian saya untuk tinggal sebumbung dengan anak & husband saya. Ameen.

Anonymous said...

Saya bertugas di K.Lumpur, saya telah membuat permohonan pertukaran ke kg halaman di utara sejak 4 tahun lalu tapi masih belum di luluskan, isteri saya baru 4 bulan dapat bertukar ke utara. Setiap bulan saya terpaksa berulang alik KL- Kedah. Bulan pertama saya masih rasa biasa, tapi bila dah menjangkau 4 bulan kerinduan saya kepada isteri dan anak2 semakin menebal.. kalau ikutkan hati terasa seperti ingin berhenti kerja dan membuat apa2 pekerjaan di sana x kira la kerja kilang, atau apa2 asalkan halal. Tapi pendapatannya mungkin x sama seperti sekarang, adakah saya mampu menanggung keluarga nanti.

Eryza said...

Assalamualaikum. Saya juga merupakan salah seorang wanita yg mengalami perkahwinan jarak jauh dar bercinta bertunang hingga sah bernikah. Dah 7 bulan bernikah 2 kali permintaan pertukaran perpindahan saya tidak diluluskan. Cuti tahunan saya pun roughly hanya sebulan. Bayangkan dlm setahun, cuma sebulan sahaja saya dpt mnjalankan tugas sebagainisteri sbb suami pun bekerja dan ssh nk dpt cuti. Kmi tggal lain2 negeri, suami di Perak dan saya di Sarawak. Saya kena spend agak2 seribu utk perjalan pergi dan balik ke rumah suami saya pada hari cuti yg saya mohon. saya mmg nk berhenti kerja tapi risau kewangan suami tapi suami bgtau saya dan suruh aaya berhenti kerja dan cari kerja sana.. rezeki ada dimana2 dia kata... setelah baca blig ni saya semakin yakin utk berhenti dari kerja tetap saya tambahan saya mmg xda fokus nak kerja jika perlu berjauhan lama2 mcm ni. Insyallah.

Anonymous said...

Terima kasih puan yang menulis artikel ini...sesungguhnya mereka yg mengalami sahaja yg tahu rasa pahit manisnya PJJ...w
Walaupun sudah 3 tahun berumahtangga, mungkin jika dihitung tak sampai 6 bulan pun menjalani kehidupan sebenar suami isteri...selebihnya masing2 duduk di tempat bertugas masing2..dalam pada itu, telah melalui dugaan maha hebat antaranya miscarriage, suami kemalangan dan terbaru suami jelas curang...mmg Allah uji sesuai dengan kemampuan kita...moga ujian ini membuat kita sedar bahawa tiada yg lebih utama selain meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam hidup...mungkin Allah mahu tunjukkan sesuatu...ambil positif segala ujian yang mendatang...sy doakan moga semua pasangan pjj kuat hadapi dugaan..bukan kita sengaja utk pjj melainkan semuanya berhikmah...asal kita buka hati utk memahaminya..kalau nak jelaskan pada semua kenapa kita masih teruskan pjj pun mungkin tak semua akan faham...mohon semua yang membaca mendoakan saya dan suami moga dipelihara hubungan ini...doakan perjuangan sy...moga dapat duduk dekat suami dalam masa terdekan ini...aamin

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...