Tuesday, November 15, 2011

Ali ditegah memadukan Fatimah?




Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh pernah merancang untuk memadukan Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha, akan tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang beliau. Ini merujuk kepada hadis berikut:

al-Miswar bin Makhramah berkata: Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah baligh. Baginda bersabda:

Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 2879]

Diriwayatkan juga bahawa baginda bersabda: Fathimah adalah bahagian daripada diriku. Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku. [Shahih al-Bukhari, no: 3483]

Peristiwa ini menjadi hujah masyhur di kalangan pihak yang menolak poligami.

Marilah kita mengkaji peristiwa ini secara lebih mendalam.

Langkah pertama ialah dengan merujuk kepada hadis tersebut secara keseluruhan. Pengajaran penting terdapat di penghujung hadis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.

[Shahih al-Bukhari, no: 2879]

Sayang sekali penghujung hadis ini kerap kali disembunyikan oleh pihak yang menolak poligami.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram.

Ini menunjukkan bahawa apabila baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah, ia bukan kerana mengharamkan sesuatu yang halal. Dalam erti kata lain, ia bukan untuk mengubah hukum poligami, bahkan tiada kaitan dengan poligami.

Akan tetapi sebab baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah ialah kerana: Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.

Ringkasnya, faktor larangan ialah kerana berkumpulnya puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah dalam satu tempat.

Faktor larangan bukan kerana poligami.
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya, fitnah yang ditakuti ialah pengaruh buruk yang mungkin dibawa oleh anak musuh Allah kepada agama Fathimah. Sekalipun puteri Abu Jahal telah memeluk Islam, kemungkinan besar baginda mengetahui apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ketika itu.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku, kemarahan yang dimaksudkan ialah kemarahan Fathimah yang mengenangkan betapa zalim Abu Jahal kepada Rasulullah sejak saat awal dakwah Islam.

Sesiapa yang menyayangi ayahnya pasti akan memarahi orang yang pernah menzalimi ayahnya satu ketika yang lalu.

Oleh itu larangan ini adalah khusus untuk puteri-puteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Adapun yang nampak bagiku bahawa tidak terlalu jauh bila dikatakan ini termasuk kekhususan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk tidak memadukan anak-anak wanitanya. Mungkin juga yang demikian khusus bagi Fathimah ‘alaihissalam. [Fath al-Bari, jld. 25, ms. 773, syarah hadis no: 5230]

Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah menjelaskan:

Pada larangan baginda kepada Ali untuk tidak memadukan antara Fathimah radhiallahu ‘anha dengan puteri Abu Jahal, terdapat hikmah yang sangat mendalam iaitu seorang wanita mengikut darjat suaminya. Jika wanita itu sudah mempunyai darjat yang tinggi dan demikian pula suaminya, maka dia berada pada kedudukan yang tinggi kerana dirinya dan sekaligus kerana suaminya.

Beginilah keadaan Fathimah dan Ali radhiallahu ‘anhuma dan Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan menjadikan puteri Abu Jahal dan Fathimah berada pada darjat yang sama, tidak kerana faktor dirinya sendiri dan tidak pula kerana faktor orang lain, kerana ada perbezaan yang sangat jauh antara kedua-duanya.

Maka poligami Ali terhadap pimpinan kaum wanita di alam semesta tidak terpuji secara syari’at dan tidak pula secara taqdir. Baginda telah memberikan isyarat akan hal ini dengan sabdanya: “Demi Allah, puteri utusan Allah tidak boleh berkumpul dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.” [Zaad al-Ma’ad, jld. 6, ms. 139]

Ada yang mendakwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang Ali berpoligami kerana prihatin kepada perasaan cemburu Fathimah. Dikatakan juga Fathimah keseorangan sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menghiburkan dirinya dari perasaan cemburu tersebut.

Dakwaan ini tertolak dari beberapa sudut:

1. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berat sehingga Rasulullah perlu campur tangan.

2. Dalam hadis-hadis sahih sedia tercatat peristiwa kecemburuan di antara isteri-isteri Rasulullah. Namun baginda tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berpoligami. Andai benar Rasulullah campur tangan dalam kecemburuan puterinya tetapi membiarkan kecemburuan para isterinya, bererti baginda mengamalkan double standard yang tercela. Sudah tentu ini tidak benar ke atas baginda.

3. Fathimah tidak keseorangan. Beliau masih memiliki Allah, Rasulullah, Ali bin Abi Thalib, Hasan dan Husein.

Cemburu ialah reaksi seseorang apabila sesuatu yang memiliki kepentingan bagi dirinya disaingi atau dicabar. Reaksi tersebut boleh jadi perasaan yang benci dan marah, boleh juga diterjemahkan kepada perbuatan fizikal seperti memecahkan atau membaling barang.

Sementara Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha ialah seseorang yang dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: “Wahai Fathimah, mahukah kamu menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau sebaik-baiknya wanita umat ini?” [Shahih Muslim, no: 4487]

Setiap insan memiliki sifat cemburu. Namun mengatakan pemimpin para isteri dan sebaik-baik wanita umat ini memiliki sikap cemburu berlebih-lebihan yang menghalang suaminya dari berpoligami adalah satu tuduhan yang tidak benar.

Kontroversi poligami Ali bin Abi Thalib akhirnya dapat dirumuskan sebagai berikut:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarangnya kerana ia melibatkan puteri baginda dan puteri Abu Jahal. Puteri Rasulullah tidak boleh berhimpun dengan puteri musuh Allah.

2. Rasulullah juga melarang kerana bimbang puteri Abu Jahal membawa sesuatu pengaruh yang negatif ke atas agama Fathimah.

3. Rasulullah juga mengetahui kemarahan Fathimah kepada Abu Jahal, dan apa yang menyebabkan Fathimah marah akan menyebabkan baginda marah.

4. Larangan Rasulullah tiada kaitan dengan hukum halal-haram poligami.

5. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berlebih-lebihan dalam hal ini sehingga menjadi faktor penghalang untuk Ali bin Abi Thalib berpoligami.

 
 
 
Dipetik dari : 202 Pelajaran Tentang Poligami (oleh Hafiz Firdaus Abdullah)



27 comments:

Anonymous said...

i loike sangat! nak belilah nanti buku poligami yg kapten tulis. insya ALLAH..

- kak i

Anonymous said...

poligami zaman nabi adalah poligami yang mengikut syariat..tapi zaman sekarang, poligami ikut nafsu..pergaulan bebas tanpa batas, syariat Allah tak taat/patuh..harap isteri saja mentaati perintah Allah, tp suami leka dengan urusan dunia..lelaki seperti ini tak layak berpoligami.

Anonymous said...

Assalammualaikum sahabat..

Isu poligami ialah isu yang saya kira sangat sensitif dikalangan wanita-wanita di Malaysia dan juga International. Isu berkongsi suami dan kasih-sayangnya adalah soal yang sangat sakit bagi yang bernama wanita dan isteri. Hanya segelintir wanita yang faham agama seperti anda dan yang mempunyai hubungan dengan suami orang sahaja yang menerima dan berfikiran terbuka dengan isu ini.

Kadang-kala golongan yang saya sebut diatas tertanya-tanya mengapakah isteri-isteri yang sedia ada tidak mahu berkongsi suami dengan wanita lain. Meskipun lelaki tersebut mampu dari segi agama, wang dan keadilan. Mengapa isteri-isteri ini tidak mahu menerima poligami sedangkan poligami itu diamalkan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabatnya. Mengapa? Mengapa?

Pada hemat saya, mereka bukan TIDAK mahu berkongsi tetapi mereka menganggap poligami itu seakan-akan tidak adil kepada mereka. Setelah apa yang mereka korbankan untuk suami dan anak-anak, mereka harus terima pula beban perasaan sedih, marah, kecewa dan cemburu akibat terpaksa menerima wanita yang perlu dikasihi, disayangi dan dicintai oleh suami mereka.

Anonymous said...

sambungan..

Mereka masih tidak mengerti bahawa sebagai manusia kita tidak mempunyai apa-apapun didunia ini hatta sehelai bulu roma, mereka tidak mengerti kasih-sayang-cinta pada manusia adalah anugerah ALLAH dan atas izin ALLAH-lah ia terjadi, mereka tidak mengerti cinta manusia itu TETAP akan PUDAR dan MATI jika ALLAH menetapkannya begitu.

Mereka tidak mengerti bahawa ALLAH dan ISLAM mencintai dan kasihi para wanita lebih dari segala-galanya. ALLAH mengasihi wanita lebih dari suami mengasihi dan mencintai isterinya, lebih daripada kasih ibu kepada anaknya dan lebih daripada kasih makhluk kepada makhluk lain. Mereka masih belum tahu hakikat itu. Mereka masih terikat dengan kehidupan dunia dan isinya.

Maka anda sahabat, yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, mempunyai cinta kepada ALLAH dan Rasul yang tinggi, mempunyai suami yang tinggi Imu agamanya.. Maka tulislah tentang cinta ALLAH pada wanita, tulislah tentang janji ALLAH pada wanita, tulislah tentang pahala-pahala yang telah ALLAH telah sediakan untuk wanita agar hati-hati wanita yang risau dan takut itu tenang untuk terus yakin pada ALLAH.

Tulis tentang kebaikan yang ALLAH bakal limpahkan bagi wanita-wanita yang ber-Iman dan ber-amal soleh. Maka sahabatku yang solehah, bantulah wanita-wanita untuk mencari ALLAH dan IMAN. Tulislah tentang indahnya perasaan ber-Iman pada ALLAH. Tulis tentang perasaan sayu dan syahdu apabila sentiasa mengingati ALLAH melalui amalan-amalan soleh. Tulis tentang ALLAH itu Maha Pengasih dan Penyayang. Tulislah kebaikan ALLAH. Tulislah cara mencari ALLAH. Tulis itu wahai sahabatku.

Anonymous said...

sambungan..

Punca hati yang tenang adalah hati yang sentiasa yang mengingati ALLAH. Tulislah tentang itu sahabat solehah. Tulis tentang itu. Saya pohon sahabat solehah tulislah tentang itu. Jangan biarkan penulisan anda menjadi fitnah untuk wanita-wanita diluar. Jangan biarkan pembaca sahabat solehah sakit hati dengan penulisan anda. Jangan biarkan diri anda dan mereka berdosa akibat perkongsian pengalaman anda. Bukan sedikit hati yang tercalar dengan penulisan anda. Melalui comment-comment yang ada saya dapat merasai mereka sakit dan risau dengan isi kandungan penulisan sahabat solehah.

Maka sahabat ku yang solehah, tinggalkanlah dahulu topic poligami. Tulis tentang kebaikan dan kasih-sayang ALLAH pada wanita walaupun wanita itu telah membuat banyak dosa tetapi ALLAH tetap sayang padanya. Tulislah tentang itu. Anda dianugerahkan ILMU agama yang banyak dan SUAMI yang banyak ILMU tentang agama suci ini. Maka tulislah tentang kedudukan wanita yang dimuliakan oleh ALLAH dan ISLAM, tulislah tentang itu dan tinggalkan seketika tentang poligami.

Didiklah jiwa wanita-wanita dengan kasih-sayang ALLAH dan amalan yang dapat mencari kasih-sayang ALLAH. Didiklah mereka, dengan ILMU yang sahabat solehah punyai. Didiklah hati mereka wahai sahabat solehah. Wanita akhir zaman adalah wanita yang terdedah dengan fitnah jika hati tidak teguh dengan kasih-sayang dan tali-tali ALLAH. Didiklah hati mereka agar sentiasa ingat tentang pengorbanan Rasulullah SAW. Bagaimana peritnya Rasul berjuang agar ISLAM disebarkan untuk kita mendapat nikmatnya. Tulislah tentang itu wahai sahabat solehah. Tulislah tentang itu agar dalam hati-hati wanita-wanita penuh dengan kasih-sayang ALLAH dan RASULULLAH sehingga mereka mampu REDHA dan IKHLAS dengan ketentuan ALLAH.

Anonymous said...

sambungan..

Tulislah tentang besarnya NIKMAT yang telah ALLAH kurniakan pada mereka. Didiklah mereka bersyukur kerana syukur lebih tinggi darjatnya daripada sabar. Syukur pada nikmat ALLAH sehingga mereka mampu mengatakan “jika ALLAH ambil suami dan anakku, aku akan redha kerana selama aku hidup nikmat yang aku terima daripada ALLAH besar dan tidak terbalas oleh ku”. Tulislah tentang itu, wahai sahabat solehah agar mereka dapat memacu hidup atas landasan yang di-REDHAI oleh ALLAH.

Tulislah tentang perkara-perkara yang wajib yang perlu dilakukan oleh wanita iaitu solat, puasa dan tutup aurat. Tulislah tentang hikmah mengapa diwajibkan solat, puasa dan tutup aurat. Ramai lagi wanita diluar yang tidak bersolat dan menutup aurat. Lantas bagaimana mereka hendak mencari ALLAH jika perkara “basic” mereka tidak dapat lakukan. Bagaimana mereka ingin mengamalkan perkara yang harus=poligami jika perkara wajib=solat,tutup aurat tidak mereka taati. Tulislah tentang itu wahai sahabat solehah.

Masyarakat kita belum mampu berlapang dada dengan poligami kerana belum sepenuhnya hati diserahkan pada ALLAH. Maka saya pohon sekali lagi sahabat solehah, tidak perlu menulis tentang poligami kerana sesungguhnya di SISI KEHIDUPAN kita ada lagi perkara yang lebih penting dan mustahak berbanding dengan poligami. Sebarkanlah ilmu-mu yang banyal itu kepada saya, mereka dan masyarakat kita.

Nasihatilah para-para remaja yang bermasalah. Dekatilah mereka agar mereka bisa mengenal dan mengasihi ALLAH dan RASULULLAH sebagaimana sahabat solehah mencintai dan mengasihi ALLAH dan RASULULLAH. Binalah roh ISLAM dalam penulisan anda bersandarkan kepada ILMU bukan perasaan atau pengalaman. Tulislah bagaimana hendak menjumpai kasih-sayang ALLAH sebagaimana yang anda temui. Bantu para gadis remaja dan wanita diluar mencari ALLAH sebagai mana yang telah sahabat solehah temui. Bantulah mereka membina hati-hati yang penuh dengan kasih-sayang ALLAH.

Anonymous said...

sambungan..

Setelah yakin dengan hati-hati masyarakat yang telah penuh dengan cinta ALLAH maka tulislah tentang poligami. Kerana mereka telah paham apakah matlamat dan tujuan poligami. Dakwah dan Tarbiyah juga memerlukan ilmu PEDAGOGI. Bukan sahaja guru yang memerlukan PEDAGOGI tetapi para-para pendakwah juga. Salah cara “approach” maka akan membawa kesan buruk pada imej pendakwah dan ISLAM itu sendiri. Maka saya pohon jangan biarkan perkara itu terjadi. Approach lah dengan cara berhikmah dan kasih-sayang. Approach lah gadis-gadis remaja yang berkeliaran juga. Jangan biarkan mereka begitu sahaja. Buatlah kem-kem ataupun khusus-khusus khas untuk remaja seperti mereka. Bantulah mereka mencari jalan yang benar. Bantu mereka mencari ALLAH. Jangan cela remaja-remaja seperti mereka tunjukkanlah bahawa berbesar mana dosa yang mereka lakukan ALLAH itu MAHA PENGASIH, MAHA PENYAYANG DAN MAHA PENGAMPUN.

Anda berada dalam jemaah yang baik. Maka pujuklah jemaah anda untuk menghampiri mereka remaja bermasalah. Jangan biarkan mereka hanyut terus-terusan. Berkongsilah ilmu dengan mereka, tentang kesih-sayang ALLAH, tentang kebaikkan ALLAH agar mereka kembali pada mereka. Bawa mereka ke pangkal jalan. Tidak perlu menulis menyeru masyarakat untuk menerima perkara harus jikalau perkara yang wajib dan sunnah mereka tidak laksanakan.

Akhir kata, maafkan saya wahai sahabat solehah agar penulisan ini menguris hati anda, suami anda, keluarga anda dan sahabat anda. Saya hanya bercakap berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Reality yang kita perlu ambil tahu dicelah-celah nikmat dan kebahagiaan yang diberikan oleh ALLAH pada kita. Moga manfaat.

Hamba ALLAH yang lemah,
Nur Zulieqha Mad Amin

Anonymous said...

maaf banyak typing error pada komen yang terdahulu.. Perenggan terakhir agar=jika, mereka=ALLAH..

NZMA

Izzati said...

assalamualaikum..

akak, ana sarankan akak baca novel Sebarkan Cinta-Mu karya Fatimah Syarha. tak pun boleh rujuk blog beliau bawah topik fiqh munakahat.

http://sebarkanbahagia.blogspot.com/search/label/FIQH%20KELUARGA

moga Allah redha sentiasa. :)

Nurul Adni Adnan said...

Ukhti NZMA, terima kasih atas perkongsian dan peringatan yang sangat bermanfaat :)

Saya setuju bahawa kerana kita tak cukup mengenal Islam, ALLAh dan Rasul, maka hati kita tak kuat untuk melaksanakan yang wajib dan yang disunnahkan. Saya sendiri masih banyak perlu diperbaiki tentang solat dll nilai islam...

Saya berkongsi tentang poligami kerana ingin berkongsi dengan mereka yang telah dan akan melaluinya.

Jadi, sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi, sila baca tentang ilmu islam yang lain, dalam web yang lain sebelum menikmati cerita poligami saya.

Anonymous said...

Cuba muhasabah balik tulisan saudari saudari lebih banyak menyeru supaya orang lain turut berpoligami seperti saudari juga.dan saya cukup bersetuju dengan anon di atas.janganlah ego dengan saranan dan pendapat yang baik itu.

Anonymous said...

poligami dan monogami kedua-duanya dipraktik rasullulah. Rasullulah berpoligami hanya selepas isteri pertama meninggal dunia. mengapa suami anda tidak ikut seperti itu? itukan sunnah?

Anonymous said...

Seronok benar saudari menceritakan kisah poligami saudari,agaknya bagaimanakah perasaan anak-anak ister pertama membacanya?

Nurul Adni Adnan said...

anon 1 #

terima kasih atas respon :) ya, terlalu luas pengertian sunnah... bila ya muhammad SAW menjadi rasul? sunnah itu perkara yang dilakukan setelah rasul saw menerima wahyu...

selepas menjadi rasul, berapa lama ya tempoh monogami dan poligami?

#anon 2 - Alhamdulillah jika saudari lebih tahu bahawa saya seronok.. saya seronok ya dengan poligami..? mudah-mudahan begitu, sentiasa seronok bila berusaha jadi hamba ALLAH kan..tak kira mono atau poli.

anak-anak? doa dan cinta saya sentiasa ada buat mereka seperti ibu bapa kandung mereka. moga ALLAH merahmati kehidupan mereka..

Nurul Adni Adnan said...

ukhti izzati, terima kasih atas respon :)

ya saya pasti akan baca novel itu, kerana saya peminat ukht Fatimah Syarha. insyaALLAH. Saya sudah membaca novel-novel yang lain.

saya sudah dan selalu baca blog beliau.

poligami ada pelbagai pandangan, haram, , harus, etc saya memilih mustahab, yakni dianjurkan bagi orang-orang beriman.

Anonymous said...

Sy jg setuju dgn pndangan2 disini,agaknya bagaimana perasaan isteri pertama bila bc blog ni,menceritakan bahagia dan bagus berpoligami..hakikatnya,cerita ini lbh layak dibuat oleh isteri pertama,bila mbacanya br kita tau ikhlas n redhanya dia yg merelakan.kl isteri kedua yg tulis org akn kata mmg la bahagia,engkau yg amik suami org,bkn engkau yg merelakan.tulislah perkara yg lbh bermanfaat utk diri n org lain,bkn sekadar nk mengharuskn pbuatan kita.

Nurul Adni Adnan said...

Terima kasih atas luahan :) moga satu hari para isteri pertama sudi menceritakan kebahagiaan ya..

Alhamdulillah moga sama-sama kita bahagia menjadi hamba ALLAH.

Anonymous said...

lama ke sekejap ke hidup monogami rasul tak menjadi persoalan tapi yang pasti selepas isteri pertama meninggal . kenapa nak pertikai pulak? kesimpulannya, baik monogami mahupun poligami,tidak menjadi kesalahan pun untuk memilih, tapi berhati-hati bila keterlaluan memberi pendapat berdasarkan emosi

Anonymous said...

Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
Banyak kisah memaparkan bahawa sewaktu nabi Muhammad s.a.w. bernikah dengan Khadijah, umur Khadijah berusia 40 tahun sedangkan nabi Muhammad s.a.w. hanya berumur 25 tahun. Tetapi menurut Ibnu Kathir, seorang tokoh dalam bidang tafsir, hadis dan sejarah, mereka berkahwin dalam usia yang sebaya. Nabi Muhammad s.a.w. bersama dengannya sebagai suami isteri selama 25 tahun iaitu 15 tahun sebelum bithah dan 10 tahun selepasnya iaitu sehingga wafatnya Khadijah, kira-kira 3 tahun sebelum hijrah. Khadijah wafat semasa beliau berusia 50 tahun.

Nurul Adni Adnan said...

ok, saya memang tak bincang secara ilmiah, jemputlah ke laman lain yang lebih ilmiah dan teknikal :)

insyaALLAH sama-sama kita tak beremosi ya..

Anonymous said...

samb.
Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Saudah setelah wafatnya Khadijah tetapi dalam bulan itu juga.
Saudah adalah seorang janda tua.
Acara perkahwinan dilakukan oleh Salit bin Amr. Riwayat lain menyatakan upacara dilakukan oleh Abu Hatib bin Amr. Mas kahwinnya ialah 400 dirham.

Anonymous said...

Aishah bt Abu Bakar
Akad nikah diadakan di Mekah sebelum Hijrah, tetapi setelah wafatnya Khadijah dan setelah nabi Muhammad s.a.w. berkahwin dengan Saudah. Ketika itu Aisyah berumur 6 tahun. Rasulullah tidak bersama dengannya sebagai suami isteri melainkan setelah berhijrah ke Madinah. Ketika itu, Aisyah berumur 9 tahun sementara nabi Muhammad s.a.w. berumur 53 tahun.

Aisyah adalah isteri nabi Muhammad s.a.w. yang tunggal yang dikahwininya semasa gadis. Upacara dilakukan oleh ayahnya Abu Bakar dengan mas kahwin 400 dirham.

Anonymous said...

dipetik dari laman saiful islam
Fatimah Syarha says:
12/02/2011 at 1:54 am

“Berikut ini beberapa hadits yang terkait dengan kisah pelarangan Rasulullah kepada Ali untuk melakukan poligami. Dari beberapa hadits di bawah dapat disimpulkan bahwa alasan Rasulullah melarang Ali untuk melakukan poligami karena wanita yang akan dinikahi Ali adalah putri dari Abu Jahal.”

Jika merujuk kepada Fathul Bari, Syarah Kitab Sahih Bukhari, penjelasan terhadap hadis-hadis ini tidak disimpulkan dengan satu kesimpulan ini sahaja, tetapi dengan tiga kesimpulan.Iaitu secara ringkasnya:

Rasulullah melarang Ali menduakan Fatimah kerana:

1. Kerana faktor puteri Abu Jahal. (tidak berkumpul putri Rasulullah dan putri musuh Allah selama-lamanya.)
2.Kerana semua menantu Rasulullah telah berjanji tidak akan menduakan puteri baginda termasuklah Ali. (Beliau berkata, “dia berbicara padaku maka dia jujur kepadaku, dan dia berjanji kepadaku maka meyempurnakan janjinya kepadaku.)
3. Meraikan hak Fatimah. (Wanita ada hak merelakan atau menolak poligami berlaku ke atas dirinya. Jelas melalui kata Nabi, membuat aku sedih apa yang menyedihkannya dan menyakitiku apa yang menyakitinya.)

Anonymous said...

Assalamualaikum..

Akak,sy doakan semoga akak sentiasa dirahmati Allah selalu..bersabar la dgn segala ujian n dugaan ini..ini adalah sebahagian shj ujian yg Allah berikan kpd kita sbg hmba Nya..insyaallah,sy yakin satu hari nanti psti saudara2 muslimah kita diluar sana akn mengerti apa yg akak ingin sampaikan melalui penulisan akak ini..wallahualam.

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt..

Sy doakan semoga Allah merahmati kehidupan akak..amin.

Umm Teem said...

MashaAllah.. Sgt membantu..

Jazakumullahu khayran !
Wa barakallahu feekum :)

Anonymous said...

Kenapa Ali ra ingin berkahwin dengan Puteri Musuh Allah? Apakah beliau tidak sensitif hal ini?

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...