Monday, March 4, 2013

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik

Surah at-Taubah ayat 105 bermaksud;
“Katakanlah wahai Muhammad: Beramallah kamu (akan segala yang di perintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. 
  

Assalammualaikum wa rahmatullah, teman -teman yang dikasihi semua, kali ini ingin berkongsi tentang pengalaman saya bekerja sementara beberapa tahun dulu. Tulisan yang saya cungkil dari blog pertama dalam hidup saya yang telah berhabuk ditinggalkan ;)
 
Pada Oktober 2008, telah berakhir tempohku bekerja di Poliklinik AlHikmah& Al Hikmah Screening Centre. Selepas ini, akan berpindah ke medan dan tanggungjawab yang berbeza insyaALLAH. Perpindahan yang diharap dapat memberi perubahan yang lebih baik untuk nilai hidup yang ku pilih.

Lebih kurang empat bulan ku berada di Poliklinik Al Hikmah, banyak sekali pengalaman dan hikmah yang dikutip. Indah sekali rasa persaudaraan yang terbina sesama rakan sekerja walau awalnya selalu ‘bergaduh.’ Menarik sekali pengalaman berhadapan dengan para pesakit dengan seribu satu kerenahnya.

Serba sedikit ilmu tentang perubatan dan kesihatan yang diperolehi dari Dr Syed Haleem majikanku, Pakcik Yusman dan doktor-doktor lain yang bertugas di sini memberi persepsi baru tentang tugas seorang doktor dan pembantunya (bukan nurse, tapi pembantu klinik). Seperti mana kerjaya lain, 'kerjaya' ku yang nampak ringkas bagi orang yang berada di luar kaunter kami, sebenarnya memerlukan kesabaran dan ketabahan yang bukan calang-calang.

Perlukan bekalan keikhlasan yang perlu sentiasa ditopup. Supaya mampu menerima dan meraikan pesakit dengan hati yang lebih terbuka dan wajah yang lebih manis. Harap kami dimaafkan para pelanggan yang berkunjung ke Alhikmah. Kerana ada yang report pada doktor kerana gaya sombong dan tak mesra kami. Ada juga yang bising kerana kelambatan kami menguruskan ubat-ubatan atau lain-lain dokumen kesihatan.

Terpisah oleh dinding nipis, mungkin ada pesakit/pelanggan di klinik yang sangka kerja kami mudah dan banyak masa lapang untuk duduk-duduk saja. Tapi di sebalik dinding, kadang-kadang doktor memerlukan kami untuk membantunya memeriksa pesakit terutamanya pesakit perempuan dan bayi. Perlu ketenangan dan fokus supaya setiap arahan doktor diikut dengan baik, apatah lagi kami bukan terlatih seperti jururawat atau pembantu perubatan yang lain.

Dalam masa yang sama, di bilik satu lagi mungkin ada pesakit yang kecemasan, yang luka teruk atau sesak nafas yang perlu dilayan. Juga perlu ketenagan dan fokus supaya bertindak mengikut arahan doktor, keperluan dan kepentingan.

Atau kami perlu kendalikan proses x-ray ditingkat atas yang sering diserbu warga asing yang buat medical check-up. Perlu lebih berhati-hati supaya tidak berlaku kesilapan yang akan menyebabkan pesakit terdedah lebih banyak dan lebih lama pada sinar x-ray.

Dengan bau sebahagian besar perkerja asing yang sangat tak menyenangkan , dengan halangan bahasa yang melambatkan proses x-ray, mudah saja untuk muka kami menjadi tak ceria lagi di hadapan kaunter. Dan kedatangan stok ubat-ubatan yang perlu diurus dan disusun, juga kedatangan wakil-wakil dari syarikat ubat untuk mempromosi ubat-ubat baru atau untuk memehon cek bayaran ubat dan sebagainya.

Perlu juga menguruskan sample darah dan air kencing dengan berhati-hati supaya tidak saling tertukar. Kehidupan di klinik terdedah kepada virus dan bacteria yang lebih banyak, jadi kami berisiko untuk dapat jangkitan yang pelbagai. Perlu teliti dengan kebersihan diri dan kebersihan peralatan di klinik

Itulah antara pengalaman kehidupan yang sangat berharga bagiku sebagai seorang pembantu klinik yang sempat diperolehi. Kesabaran, ketabahan, kecekapan dan keikhlasan adalah nilai wajib untuk pekerjaan ini. Dan untuk pekerjaan lain juga sebenarnya. Teamwork dan mutual understanding sesama rakan sekerja juga sangat penting untuk mengurangkan tekanan kerja yang kadang-kadang menyerang.

Doktor yang nampak bertenang pun manusia biasa yang teruji dengan gelagat pesakit. Ada pesakit yang dah masuk bilik doktor payah nak keluar, kerana pesakit terlalu banyak nak bercerita dengan doktor sedangkan sakitnya tak seteruk mana. Lagipun ramai pesakit yang sedang menunggu giliran. Dan sekarang musim berkhatan, doktor dan kami sangat teruji perasaan bila anak-anak berusia antara usia 4 tahun ke 11 tahun menangis dan menjerit sepanjang proses berkhatan.

Perlu sikap berhati-hati dan teliti  kerana boleh melibatkan nyawa terutama yang berkaitan ubat dan laporan perubatan daripada makmal jika ada pesakit yang perlu dimasukkan wad dengan kadar segera kerana denggi terutamanya akhir-akhir ini yang berlaku banyak di Shah Alam.Perlu amanah dengan setiap urusan kewangan klinik. Perlu amanah dengan setiap jam berkerja yang dibayar.

Dan kehidupan ini sememangnya satu amanah, penuh dengan amanah. Semoga pengalaman pekerjaan ini menguatkan lagi rasa amanah dalam hatiku untuk direalisasikan di sudut kehidupan yang lain.

Tapi rupanya, setelah berkahwin ada beberapa ilmu lain yang sangat saya hargai dari pengalaman bekerja di klinik ;D antaranya:

1- Belajar mengemop - Saya tidak pandai dan tidak cekap membuat kerja rumah. Namun sebaik masuk kerja di klinik, perkara pertama saya di ajar ialah mengemop lantai dan membersih tanda - yang perlu dilakukan 2 kali sehari di waktu pagi dan petang. Perlu juga belajar mengemas ruang klinik, fail-fail pesakit dan stor ubat.

 Saya mulanya merasa mengemop itu sangat sukar dan mencabar - perlu mop lantai farmasi, lantai dua bilik doktor, bahagian pesakit menunggu, bahagian belakang dan  depan klinik - alhamdulillah teman sekerja mengajar bagaimana untuk mengemop dengan pantas dan efisyen untuk seluruh ruang bawah klinik. Saya juga menuntut ilmu mengemop dari kakak warga indonesia yang menjadi tukang cuci untuk seluruh bangunan World wide yang menjadi lokasi klinik ..! Moga kakak itu dan teman sekerja saya dapat pahala kerana kini saya dapat mengemop rumah sendiri dengan lebih mudah dan berilmu :D 

2- Saya belajar dan menambah ilmu tentang ubat dan jenis-jenis sakit - Saya buta ubat, namun selepas kerja di klinik saya celik ubat sedikit - membantu saya memahami suami dan anak bila mereka sakit dan perlu mengambil ubat-ubat yang berkaitan.. takdelah saya blurrrr ;P alhamdulillah..!  (Walaupun saya sangat-sangat tertekan bila perlu menghafal jenis ubat yang banyak dan kegunaannya dalam masa yang singkat.).uuwaaaa saya tak amik medic atau nursing...,! Saya bidang bahasa/kaunseling sebelum itu - jenuh juga membangun folder baru bernama folder ubat dalam kepala hihi Alhamdulillah sesungguhnya takdir dan Aturan ALLAH sangat baik, memberi ruang kita belajar dari perkara yang sulit dan sakit ....!


____________

Love, Nurul



 

4 comments:

Irfa said...

my adik ipar sejak lepas tamat skolah dah keje pembantu klinik..dr zaman anak dara smpi dah ada anak 2.skrg dia lah tpt kami rujuk kalau nak tahu pasal ubat/banyak klinik dah dia keje..macam2 karenah doktor dia dah hadap.yg baik,yang berlagak semua ada.hehe

Intan Mazzuin said...

pengalaman yang mahal tu :D

MissComplicated90 said...

Jann pun pembantu klinik, basic tak de la tinggi, dokter pula kadang ikut mood je nak bebai..hehe
Pengalaman dekat 8 tahun kerja. Saje la cari if ada pengalaman as pembantu klinik juga,heee and jumpa disini.. :) kisah yang hampir sama cuma berbeza situasi.

Anonymous said...

Perkongsian yg menarik.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...