Wednesday, October 31, 2012

Menuju Yang Pasti


Innalillahi wainna ilaihi roji'un... Nana telah kembali ke pangkuan Allah pada pukul 1310 hari Sabtu yang lepas.

Pertama kali dalam hidup, saya menyaksikan seorang hamba Allah menghembuskan nafas terakhir...


Ini lah tujuan hidup kita yang pasti. Ya Allah lembutkanlah hati hati kami dengan mengingati kematian... Bantulah kami mempersiapkan diri untuk perkara yang pasti. 


Dalam bersedih dan bergembira, bergaduh dan berbaik, kita semua sedang dalam perjalanan. Jangan hanyut dengan ujian kesenangan dan kesusahan. Maka, beriman kepada Allah dan hari akhirat adalah penawar jiwa yang paling berkesan.

Pada
pagi jumaat itu, doktor off ventilator. Nana hanya menggunakan topeng oksigen. Kak Yati (isteri pertama ) menemani dari petang itu hingga keesokan paginya. Di pagi hari Sabtu esoknya, suami saya pula yang menemani nana hingga tengahari. Setelah meninggalkan Abdullah anak saya pada Aishah (isteri ketiga), saya pula mengambil turn suami menjaga Nana... Nafas nana semakin lemah ketika itu.. dan di situ lah detik detik terakhir seorang insan bertemu Allah pada usia 84 tahun.

Allah juga memberi peluang pada saya untuk sama sama memandikan dan mengkafankan jenazah... Melihat keranda dan ruang mandi mayat, bilakah agaknya saya dan kamu akan berada di situ terbujur kaku menemui tuhan...

Bila memulakan hari dengan mengingat kematian, bila berinteraksi dengan orang lain dalam tetap mengingat kematian, kita akan menjauhi kesombongan, kekasaran dan dendam. Kita akan mendekati kerendahan hati, kelembutan dan kemaafan.

"Aku memohon kepadaMu kesejukan hidup sesudah kematian. Dan aku memohon kepadaMu kenikmatan memandang wajahMu, dan aku memohon kerinduan kepada pertemuan denganMu...Ya Allah hiasilah kami dengan hiasan iman..."

 (Sunan An Nasaie, disahihkan oleh Al Bani )




^_^






Tuesday, October 30, 2012

Rumahku, Tanggungjawabku.



Kebelakangan ini bila berusaha mencari ilmu rumahtangga dan keibubapaan, terasa berat sekali peranan dan tanggungjawab yang dituntut dari seorang insan.

Hingga saya setuju dengan kesimpulan bahawa seorang isteri yang baik itu dibina sebelum dia dilahirkan ke bumi.

Dan seorang anak yang baik itu dibina 40 tahun sebelum dirinya dilahirkan.


Apa maknanya?

Maknanya, barisan isteri dan anak yang baik itu terbina oleh ibu bapa atau generasi yang jauh sebelumnya- yang berusaha menjadi manusia yang berjaya sebagai hamba Allah dan khalifah Allah.

Akan tetapi, sekalipun ibu bapa kita mungkin telah tidak berapa berjaya dalam rumahtangga mereka, sekalipun kita dan adik beradik telah membesar dalam kurang didikan yang baik, percayalah bahawa semua insan ada peluang untuk memperbaiki diri dan generasinya.

Niatkan untuk kita menjadi agen perubah, KITA. tidak berharap orang lain berubah, atau menunggu suasana berubah.

Mulakan dengan bergantung pada tuhan, melangkah mencari ilmu, muhasabah mengenali dan memperbaiki kesilapan diri serta berusaha menjadi orang yang bermanfaat pada orang lain.

Bersihkan hati kerana di situ sumber kasih sayang dan ketenangan. Perbaiki komunikasi kita dengan manusia, teguhkan interaksi kita dengan Al Quran.

Nasihat untuk diri ini, juga untuk teman muslimah yang lain - hidupkan kasih sayang, kesyukuran dan keimanan bermula dalam diri kita, dan di rumah kita - kita sebenarnya menyumbang kepada kebahagiaan seluruh dunia.

Dengan suami dan anak, atau tanpa suami dan anak, kebahagiaan adalah milik mereka yang jelas tujuan kehidupan dan memilih cara hidup yang diredhai tuhan :)

 :)


Wednesday, October 24, 2012

Seluas Cinta dan Kasih Sayang


Saya kongsikan hari ini sedikit tentang nama Allah Yang Maha Luas.

Allah itu Maha Luas, carilah ketenangan hati pada keluasan kasih sayang dan rahmat Allah ♥ Jika menyandarkan kekuatan dan ketenangan dari manusia semata, manusia itu lemah dan terbatas upayanya.



Di sebalik beban yang terasa menghimpit, sempit dan sakit - sesungguhnya kita punya Allah yang Maha Luas kurnia dan pemberianNya. Allah Maha lua
s kebaikan dan kesabaran pada kita seorang hamba.


Hati yang mengenali dan merasai kasih sayang Allah yang tak bertepi, tak mungkin merasa sunyi. Tak mungkin terasa sendiri dan sepi.


Ayuh teman-temanku yang baik, bangunkan harapanmu. Hilangkan kesedihan. Hidupkan hati hati ini dengan keimanan dan kedekatan pada Allah. Bahagia bermula di ruang hati yang mengingati dan mencintai tuhan lebih dari segalanya.


"Hanya..hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang"
 
 Allah Maha Luas pengetahuanNya.. apa yang telah , sedang dan belum berlaku - segala galanya dalam pengetahuan Allah... Jika ALLAH tahu kegembiraanmu, ALLAH juga tahu airmata dan kepedihan yang mendatangimu. Keyakinan pada ilmu Allah yang luas, menjadikan hati kita tenang berusaha dan berdoa dalam apa jua urusan, kerana tahu Allah menjaga kita dengan ilmu dan kebijaksanaanNya... 
 
 
 Apapun kesalahan dan kejahatan yang telah kita lakukan, yakinlah dengan keampunan Allah yang amat luas... ada peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri heart BERSUNGGUH memohon ampun dan menyesali serta berjanji tidak mengulangi
 
Untuk yang ingin menikah, yakinlah dengan Allah yang Maha Luas kurnianya heart jika miskin, Allah akan meluaskan rezeki, rujuk Surah An Nur ayat 32.
 
 
 Pada yang akan bercerai juga, jangan putus asa dengan segala kos dan harga yang perlu dibayar untuk perceraian ...rujuk surah annisa ayat 130. 


:)



 

smile

Tuesday, October 23, 2012

Perbaiki Cara Merespon :)



Antara keluhan-keluhan yang diluah sebahagian isteri ialah sikap suami yang asyik nak menang dengan pendapatnya, sikap suami yang tak boleh ditegur, sikap suami yang kasar dalam perbuatan dan kata-kata, sikap suami yang tak suka membantu kerja rumah...

Bagaimana untuk memperbaiki keadaan ini - tanpa membaiki suami - bolehkah kita isteri yang mengambil tanggungjawab 100% mengubah cara kita berkomu
nikasi dan berinteraksi?

Ia sangat tidak membantu kalau kita mengeluh dan merungut bahawa suami asyik nak sakitkan hati kita, suami tak sensitif kita perlu bantuannya, suami ego, suami berat tulang. Sebaliknya yang perlu kita buat ialah, pertama fahami cara suami berfikir dan merasa. Kedua, kenali kesilapan kita dalam bercakap, meluahkan dan mendengar. Ketiga, perlu bercakap, meluahkan, mendengar dan merspon kepada suami dengan perkataan dan cara bercakap yang sampai kepada fikiran dan hati seorang lelaki.

Dan kita pula mungkin mempersoal - suami cakap teruk dengan kita, kenapa kita nak cakap elok-elok? Suami tak faham emosi dan psikologi kita, kenapa kita nak faham dia? Suami tak dengar pandangan kita, kenapa kita nak respect pandangan dia? Ini cara fikir yang salah. Kita buat dan cakap baik kerana kita bertanggungjawab dengan kebahagiaan diri kita. Dan apa yang kita beri pada dunia dan manusia, itulah yang dunia dan manusia beri kepada kita :) jadi apabila kita bagi yang baik dan terbaik pada suami, masyaALLAh suami akan bagi/bersikap pada kita jauh lebih baik dari yang kita sangka insyaALLAH.

Kepada yang baru berkahwin, belajarlah cara bercakap, mendengar, memujuk, memuji, memberi galakan dengan bersungguh - jika tidak anda sedang membawa rumahtangga kepada hasil seperti beberapa isteri lain yang berkongsi dengan saya, selepas dua tiga tahun bahawa suami semakin diam, Suami menjauh, tak lagi bergurau senda, suami makin kasar, rasa jauh dan tiada kemesraan dari suami.

Bab kerja rumah, kalau macam suami saya yang dah hampir dua puluh tahun bernikah, alhamdulillah dia begitu sensitif dengan keperluan isteri dan anak... dia sangat hebat dalam kerja kerja dalam rumah dan luar rumah. itu kerana dah ada pengalaman belasan tahun sebagai suami... (dan dengan rahmat dan kekuatan dari ALLAH ).

Pada yang kahwin sama muda, suami tiada pengalaman apatah lagi kalau dia 'anak mak' yang tak reti membantu kerja rumah, anda sebagai isteri ada peranan besar untuk MEMPENGARUHI dia untuk berubah. bukan MENGUBAH tapi MEMPENGARUHI untuk berubah dengan cara berkomunikasi, meluah, mendengar dan merespon anda.

Suami ini sebenarnya sama sahaja seperti isteri - suami mahukan rumahtangga yang bahagia, suami mahu membahagiakan isteri, suami mahu jadi hero untuk isteri seperti mana isteri suka jadi heroin di mata suami, maka kita bantu suami dengan CARA YANG BETUL. Kalau kita ikut cara yang salah, suami makin menjauh dan hilang perasaan pada kita (begitu juga kalau suami salah dalam mendampingi isteri, isteri akan menjauh dan hilang perasaan.)

CARA macam mana? Saya tak mampu nak cerita detail secara spesifik. Carilah buku komunikasi yang sangat banyak di pasaran dan mujahadahlah (berjuang dan bersungguh) untuk mempraktikkan - insyaALLAH hasilnya pasti ada untuk isteri yang berusaha. Dan ALLAH akan kembalikan/datangkan kepada anda suami yang bertanggungjawab, penuh cinta lagi menghargai isteri ♥

Saya pun tak pandai, saya belajar dari hari pertama bernikah, dari kali pertama berkonflik dan bergaduh, dari turun naik ujian pernikahan. Kita sama-sama belajar ya :)

"Good communication attracts and inspires good communication in return."

Komunikasi yang baik bukan saja mengindahkan hubungan suami isteri tetapi juga hubungan kita dengan ibu bapa dan anak-anak serta teman-teman kita...

Semoga berjaya saya dan kita semua :)
Saya suka komen kak Umm Hajar:

 "When we look at things from the victim point of view, as if we're the victims, we actually choose to be the victims and we will forever be the victims. But when we look at things from the responsible point of view, we will do our best to improve the situation and that's when happiness and contentment will show up"


 http://www.facebook.com/photo.php?fbid=472495549449664&set=a.125195854179637.12901.100000676695667&type=3&theater



Monday, October 22, 2012

Hati, Iman Dan Kebahagiaan


 
 
Saya teringat lebih tiga tahun dulu ketika saya meminta nasihat perkahwinan dari salah seorang naqibah yang sangat saya sayangi dan hormati...pesannya, " Jaga ruhiyyah, jagalah ALLAH. Kak sendiri, bila berusaha menjaga hubungan hati dan ibadah dengan ALLAH, hati rasa tenang saja bila pandang suami, rasa cinta dan sayang... Bila ibadah dan hati kita kucar kacir tak ingat ALLAH, solat lambat, tak baca Quran, tak zikrullah - ada saja yang tak kena dengan suami..."

Saya berusaha mengingati pesan ini bila saya rasa bermasalah dalam perhubungan dengan suami, famili atau teman-teman. Ya, saya pun sama saja seperti kamu ada masa-masanya perasaan rasa down, sunyi, rasa sedih, rasa geram, rasa marah, rasa tak puas hati, rasa sunyi...cemburu lagi :D

dan macam-macam perasaaan negatif bertandang - bila hati kita kosong dari mengingati Tuhan.

Jagalah ALLAH nescaya ALLAH menjagamu. Hanya dengan mengingati ALLAH hati kan menjadi tenang.

Bertanggungjawablah atas perasaaan kita sendiri. Berhenti menyalahkan orang lain atas ketidakbahagiaan yang kita rasa. Check iman dan hati sendiri....adakah hati kita bersarang dengan syaitan kerana tak membiasakan zikir dan menghayati ayat Quran?

Adakah hati kita keras kerana lafaz istigfar tidak diresapkan ke hati hingga yang nampak hanyalah kesalahan orang lain - suami, kawan-kawan, anak-anak, orang sekeliling - sedangkan kita sendiri punya terlalu banyak kelemahan dan kesilapan?

Rasa kecewa, sunyi dan marah yang berterusan adalah kerana hati kita tidak bersambung dengan kasih sayang dan cinta tuhan. Hanya orang yang dekat dengan tuhan akan tenang. Hanya orang yang mengisi hati dengan cinta ALLAH akan bahagia dan membahagiakan.

Tahukah kita syaitan amat suka berlegar-legar di dalam rumahtangga untuk merosakkan kasih sayang dan menimbulkan pergaduhan. Kalau hati kita leka dan jauh dari ALLAH, maka syaitan mengambil peluang itu untuk mencucuk perasaan negatif ke dalam jiwa seperti prasangka buruk dan cemburu..

Saya kini menyedari bila saya berusaha menggarap hati dengan Tuhan, saya akan memandang suami dan madu-madu serta anak anak dengan rasa bahagia dan ketenangan, dengan hati yang lapang dan kasih sayang...

Bila hati terleka dari zikrullah apatah lagi berbuat yang sia sia dan membuang masa, itulah masanya saya rasa serabut lagi menyerabutkan suami :P

Fikiran juga melalut lalut dengan perkara negatif atau bersangka buruk - kerana hati kita dirajai syaitan.

Berhenti memburukkan pasangan, atau madu, atau mertua ipar duai, atau rakan sekerja, atau teman-teman sekeliling... mulakan muhasabah kelemahan sendiri, perbaiki hati insyaALLAH ALLAH hadirkan teman-teman dan pasangan yang membahagiakan ♥

Lihat lah hati dan iman kita, jika tak berusaha mengenal dan tak berusaha mencari redha ALLAH - itulah sebab rumahtangga selalu tak indah, kehidupan sulit dan susah, tak henti-henti di timpa musibah.

Auzubillahi minash shaitonirrojeem..Mohon perlindungan ALLAH dari godaan syaitan.

Sahabat-sahabat muslimah yang baik, ayuh merubah hati. Ayuh merawat dan menata hati. Aurakan cinta dan bahagia. Pulangkan hati kepada ALLAH.
 
 
:)
 
 
 
 

Thursday, October 18, 2012

Ujub bukan sifat daie


Dalam menjadi seorang daei, kita ingin kecintaan pada diri berhijrah pada cinta sesama mukmin. Dari Narcissus yang dongeng kita menuju Muhammad yang terabadi kukuh dalam sejarah. Menjadi peribadi pencipta ukhuwah, peribadi perajurit persaudaraan, pembawa kedamaian, dan beserta itu semua, peribadi penyampai kebenaran.

Ujub ini mainan hati yang sangat halus jarumnya. Tatkala ia menyucuk, sedikit pun tak terasa. Apabila tersedar, sudah terlalu dalam dan sakit untuk dicabut – lebih enak dibiar saja. Namun lama-lama luka jadi bernanah dan memakan keping-keping hati yang tersisa. Kasihan iman. Tak punya tempat lagi untuk bertakhta.

Ujub ringkasnya bermaksud kagum dengan diri sendiri. Ia merasa takjub pada diri sendiri apabila mengenang amal soleh dan kebaikan-kebaikan yang ia lakukan. Misalnya ia merasa kagum diri bila berupaya bangun di awal pagi untuk solat, bermurah hati untuk bersedekah, kuat kesabaran untuk berpuasa dsb.

Apakah ia lupa, segala kebaikan dan kekuatan yang ia punya adalah kerana rahmat Allah? Harus ingat, apabila kita mampu berbuat sesuatu amal, pertama-tama yang harus terlintas bukanlah – aku mampu berbuat sedemikian kerana aku mencintai Allah. Tapi – Alhamdulillah, kerana cinta Allah kepada ku lah aku mampu berbuat sedemikian, dan kerana cinta Allah kepadaku lah yang mampu aku merasa kembali cinta kepadaNya.

Ujub boleh perlahan-perlahan datang ketika kita berada dalam lingkungan manusia. Ketika iman sakit, maka hati terasa kosong dan sunyi. Jadi hiburannya hati adalah dengan memasukkan diri ke dalam kelompok ramai. Keramaianlah menjadi medan ujub beraksi. Maka jadilah kita berusaha untuk menonjolkan diri. Lebih parah, zaman ini, tidak perlu tunggu saling bertemu secara nyata, dunia maya saja terhampar luas untuk menunjukkan segala apa yang kita ada dan berbangga-bangga dengannya.

Maka perhatikanlah diri kita. Ketika melihat foto yang jika didalamnya punya ribuan muka sekalipun, muka sendiri juga yang kita cari.

Maka telitilah perbuatan kita. Ketika melayangkan kata-kata pesanan buat sahabat-sahabat, kita mengagumi susunan kata sendiri. Hingga yang kita kenang-kenang bukannya pesan buat diri sendiri supaya menghidupkan apa yang kita katakan, tetapi hanyalah kata-kata kita yang puitis buat renungan orang lain.

Maka periksalah hati kita. Ketika melihat orang lain dan membanding beza, akhirnya kita hadir pada kesimpulan bahawa kitalah yang sempurna – yang solehah, yang ‘alim, yang taat, yang bijak, yang penyayang, yang punya harta, yang punya keluarga.

Sahabat-sahabat sekalian, luar biasa penyakit ujub ini. Ia mengoyak rabak ketundukan hati. Ia melekat cantik sebagai topeng yang sempurna. Kita mengagumi topeng di wajah sendiri dan akhirnya merasa mahu dikagumi. Na’udzubillahuminzalik.

Seorang daei tidak akan merasa senang dengan penyakit ini kerana ia tahu ujub menggigit2 keikhlasan, bimbang kelak habis lubang-lubang helaian amal soleh.

Ayuh kita muhasabah diri. Ayuh kita memperbaiki hati kita agar kita berupaya menghidupkan ruh Islam dalam nyawa-nyawa kita.

Ya Allah, jauhkanlah kami dari penyakit hati ini. Kami ingin menjadi hambaMu yang sentiasa ikhlas dan rendah hati, kerana yang layak merasa sempurna dan benar-benar memiliki kesempurnaan hanyalah Engkau.

Terima kasih atas perkongsian tazkeerah ini ukhti Nurjannah Ithnin ♥ segala yang tertulis di atas adalah perkongsian ukhti nurjannah, bukan tulisan saya :) Moga bermanfaat.





Tuesday, October 16, 2012

Pernikahan: Meluruskan kewangan



Sambungan isu kewangan dalam rumahtangga :)

Seorang isteri dulunya bekerja, kini menjadi surirumah sepenuh masa. Dulu waktu ada gaji, tak adalah meminta/mengharap duit daripada suami. Lagipun suami memang bayarkan sewa rumah, kereta etc..

Saya tanya, 'Bila ukhti dah tak kerja, macam mana ya suami ukhti bagi duit?'

Jawabnya, dia pun serba salah juga terpaksa berhenti kerja. Sebab tujuan dia bek
erja adalah untuk membantu kewangan suami, suami juga mahukan dia bekerja..

Bila dah berhenti kerja, isteri itu mencari masa yang sesuai - waktu suami tenang dan berehat rehat santai dengan isteri - bertanya dan berbincang dengan suami.. Isteri itu pun faham situasi suami apatah lagi mereka sekeluarga diuji Allah sesuatu yang melibatkan kos duit yang banyak..

"Abang... macam mana ya plan abang untuk beri nafkah kepada sayang..? Takpelah... abang fikirlah dulu... sayang tanya je. Kalau abang ada cadangan, bila bila lapang sikit nanti kita bincang ya.."

Dan Alhamdulillah lepas tu ada kesepakatan dan kesefahaman.

'Bila duit tak cukup dari suami macamana?' Tanya saya..

'Itulah memang kadang suami tak bagi..mungkin terlupa, mungkin tak ada duit Tapi malu nak cakap kat isteri.. waktu waktu macam tu akan guna simpanan sendiri atau anak.. atau jika tak ada duit langsung, kreatiflah masak apa saja barang yang ada di dapur '♥

Tapi katanya, hati rasa lapang saja .. sebab percaya rezeki Allah selalu luas buat hambaNya :)

 Seseparuh isteri mungkin mengharap agar suami faham faham sendirilah untuk bab nafkah isteri dan anak. Suami pula, isteri tak minta duit maknanya banyaklah duit isteri.. suami mestilah terkejut kalau lepas 4 5 tahun isteri kata dia terseksa asyik keluar duit sendiri... sedangkan lelaki dah selesa merasakan isteri banyak membantunya bab ekonomi...

 Ada juga isteri yang suami tak bagi duit Tapi dia kata itu takpe lagi.. lagi menyakitkan bila suami dingin, berbulan tak balik rumah, kalau jumpa pun kasar dan masam...
 

Semua ini berbalik pada komunikasi... suami tak reti nak luahkan apa yang menyebabkan dia menjauh dari isteri, isteri pun tak terluah perkara yang dia tak puas hati... akhirnya dua dua menjarakkan diri, sebab kalau bercakap je bergaduh. Nak duduk sebilik dan serumah terasa panas...


Pada pandangan saya, bab kewangan ini sama juga, kata kuncinya komunikasi. Saling berbincang keperluan suami isteri dan guna duit suami isteri bersama. Sebahagian couple tak boleh melonggokkan duit sekali walau dianjurkan sebegitu oleh perunding kewangan, tak mengapa, maka cadangan lain dari mereka ialah boleh memilih samaada akaun duit KITA bersama, ada akaun duit suami, ada akaun duit isteri - yang penting tercapai SAMARA (sakinah, rahmah, mawaddah)..


 Moga bermanfaat :) 



Saturday, October 13, 2012

AMANI Childbirth Educator & Doula Training

Assalammu'alaikum wa rahmatullah

Apa khabar semua? Kali ini saya ingin kongsikan tentang satu kursus yang sangat bermnafaat untuk wanita, insyaALLAH bermanfaat untuk peribadi dan juga akhirnya kita mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Satu topik yang sangat dekat dengan wanita, isteri dan ibu..! Jom sertai dan ajak yang lain menyertai...!

 ’Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni)


Untuk maklumat lanjut boleh layari:

 http://www.amanimalaysia.blogspot.com/











Tuesday, October 9, 2012

Berusaha untuk episod terakhir...



Sahabat-sahabatku yang baik... bermacam kisah bermacam orang yang ALLAH pertemukan dalam hidup kita. Saya dan kamu adalah pasti merasa sedih dan gembira, tenang dan serabut, marah dan sabar, kecewa dan bahagia - ALLAH pergilirkan di sepanjang perjalanan kehidupan kita ini. Hakikat ini kita tidak dapat lari kerana kisah yang baik dan sempurna, manusia yang baik dan sempurna hanya di syurga.

Jangan berputus asa berbuat baik dan berniat baik. Kerana Allah. ALLAH pasti membalas cinta dan kebaikanmu ♥

Ayuh bantu diri kita dan saudara kita, pasangan kita, famili kita dan semua yang ada bersama kita untuk berjumpa tuhan dalam redhaNYA... Kita berusaha keras untuk episod terakhir, samaada celaka atau bahagia di akhirat sana.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya..." (Ali Imran:185)

:)


Monday, October 8, 2012

Kisah negatif: Lupakan dan ambil pengajaran



Seorang teman berkongsi kisah sedih kerana dipulaukan adik beradik dan saudara mara, hingga menyesali sesuatu yang telah dilakukan walaupun ia adalah kebaikan kerana kebaikan itu disalahertikan. Saya percaya ramai lagi di antara kita mempunyai ujian sebegini - konflik dengan ahli keluarga serta siapa saja - kerana sesuatu yang telah berlaku di masa lalu.

Kehidupan perlu diteruskan, apa yang penting kita mengambil pengajaran.

Kita semua melakukan kesilapan. Kita semua menyimpan kisah silam sendiri yang menyakitkan. Namun jangan biarkan ia membelenggu. Mohonlah ALLAH mengampunkan apa yang terlah berlaku dan berlalu. Mohonlah ALLAH memberi hati yang baru, dan akhlak yang indah dan baru. Mohonlah ALLAH memberi peluang untuk kita membina hubungan dan kehidupan yang lebih baik serta bersabarlah.


Sesungguhnya kita tidak berkuasa mengubah hati manusia, namun kita berdaya memohon kepada ALLAH agar mencantumkan hati kita dan mereka agar terus berusaha dalam ketaatan kepada ALLAH. Biarlah mereka melupakan, membuang atau menyakiti kita, namun kita jangan berputus ada mendoakan kebaikan dan rahmat ALLAH buat mereka.


Pesanan ALLAH di dalam surah Al Hadid:


57-22: Tidak menimpa suatu bencana di bumi dan tidak kepada diri kamu melainkan telah ada dalam kitab sebelum Kami (Allah) melaksanakannya. Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.


57-23: Supaya kamu jangan berputus asa terhadap apa yang luput daripada kamu, dan kamu jangan bersuka ria terhadap apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. 


From Sister Yasmin Mogahed - "To all those broken or hopeless, I have learned this: Be grateful for every single person who was part of your story. The ones that hurt you. The ones that helped you. The ones that came, and the ones that left. They all taught you. Don’t think for a moment that any of it was random. There are no oversights with God. Only perfectly crafted chapters in each unique journey."
Lapangkan hatimu saudaraku :)



Saturday, October 6, 2012

Kenangan di Bumi Kesayangan Rasulullah SAW

Di dalam perjalanan dari kota Madinah ke Makkah - ketika ini berhenti untuk makan dan solat .. Alhamdulillah masa berhenti ini juga waktu yang mama dapat berkenal-kenalan dengan jemaah haji yang lain..


Abdullah menikmati pemandangan di waktu malam di dalam Masjidil Haram... mereka yang menjejaki kaki ke sini semuanya merasa kedamaian dan keindahan yang tak terungkap dengan kata-kata...


Jika datang awal ke Masjidil Haram sebelum waktu solat, dapatlah ruang yang selesa untuk bersolat.. Abdullah yang baru belajar meniru solat ketika itu sangat suka untuk bersujud dan bersujud.. Abdullah tengah sujud lah tu :)


Alhamdulillah ALLAH bantu mama tawaf bersama Abdullah... di pagi dan tengahari tidak berapa ramai orang seperti waktu malam, jadi kami dapat menikmati duduk-duduk di sekitar Kaabah selepas tawaf walaupun siang cuaca agak panas tapi tuhan yang tahu hati terasa sejuk dan bahagia :))))


Abdullah sangat beri kerjasama, dan bersikap baik serta selesa sepanjang mengikut mama ke umrah - ke masjid mahupun jalan-jalan di Mekah dan Madinah. Segala puji bagi ALLAH yang memudahkan semuanya untuk kami... sampaikan kami semula untuk haji Ya ALLAH ^_^





Thursday, October 4, 2012

Poligami, Tragedi Syria dan Tangisanku



Petang Rabu itu seingatku adalah hari pertama hati terasa down dan sedih, apabila menghitung hari pernikahan suamiku yang semakin dekat. Rasa yang bercampur-baur, ia perlahan bertandang ku ruang hati. Apakah ini…? Namun sebenarnya kesedihan itu timbul atas beberapa faktor lain, antaranya ialah apabila kita tidak serius dalam menjaga hubungan hati dengan ALLAH. Apabila hati terleka apatah lagi tersasar mengikut kehendak jiwa, syaitan akan punya pengaruh yang kuat ke atas hati kerdil seorang insan. Melemahkan dan melemahkan.
Alhamdulillah malam rabu itu ALLAH memberi sedikit masa untuk saya ke masjid mengikuti program berkisar musibah berdarah yang menimpa Negara Syria. Saya terlupa kesedihan yang hinggap apabila menyaksikan satu persatu video yang menunjukkan kesempitan dan kezaliman yang menimpa saudara mara seagama. Penceramah dari Syria yang berkongsi cerita melalui penterjemah itu terasa memukul hatiku dengan kesakitan yang lebih dalam. Melihat saudara-saudara perempuan yang hidup dalam tekanan dan kezaliman di bumi Syria itu, air mata menitis ke pipi. Dan sebenarnya menangis mengenangkan lemahnya peribadi diri sendiri yang seakan tidak bersyukur dalam selautan nikmat ALLAH di bumi Malaysia.
Memandu pulang dari masjid, airmata dan sendu tidak dapat ditahan. Ya ALLAH… rasa sedihnya hati kerana seolah-olah akan kehilangan suami - bila mana suami bernikah lagi - sedangkan suami tak pergi mana-mana pun. Ya ALLAH, sedihnya membandingkan betapa kecilnya ujianku dibandingkan ujian mereka wanita Syria yang melihat melihat anak-anak dan suami terseksa.
Wahai hati…usahlah bersedih. Saya masih punya suami yang amat baik di sisi. Dan bakal menerima saudara perempuan yang baik juga insyaALLAH.
Saya teringat rakan-rakan dan kakak-kakak saya yang lain, yang ALLAH uji rumahtangga dengan sesuatu yang lebih getir. Tika ini, saya terasa amat memahami perasaan kakak isteri pertama yang begitu teruji saat bersama suami dalam proses ke alam poligami. Saya juga teringat Kak Rina, yang ALLAH mengambil suaminya di bumi Somalia. Dia benar-benar kehilangan. Ya ALLAH, sekuat itukah hati mereka…
Saya teringat beberapa teman yang terpaksa bercerai kerana dizalimi suami – dipukul, dikasari, diabaikan nafkah zahir dan batin – sedangkan ALLAH masih mengizinkan suami yang bertanggungjawab di sisi saya. Beberapa minggu kebelakangan ini berulang ke mahkamah atas urusan tertentu, saya mendengar juga beberapa lagi kisah rumahtangga yang amat menyedihkan – yang semuanya dalam proses menuju perceraian. Sedangkan ujian saya tidaklah sebesar itu.
Saya tidak diuji dengan kejauhan seperti Marhamah, Rahilah dan sahabat lain yang berpisah dengan suaminya lantaran amanah kerja dan menuntut ilmu yang perlu dilunaskan. Marhamah atau Rahilah berjumpa suami hanya beberapa kali setahun, sedangkan saban bulan dan saban minggu saya diberi kesempatan oleh ALLAH untuk bertemu suami. Moga ALLAH merahmati Marhamah, Rahilah  dan teman lainnya yang ALLAH uji dengan perhubungan suami isteri jarak jauh.
Saya tidak diuji seperti Norma yang hanya 7 bulan menikmati keindahan alam rumahtangga, selepas itu ALLAH mengujinya dengan kanser yang menyebabkan dirinya terlantar di katil hospital, jauh dari kemampuan memesrai suami dan bayinya, dan suaminya membangun ketabahan menghadapi ujian itu.


Saya tidak seperti Normala yang kematian suami di usia muda... Saya tidak seperti ibu-ibu yang anak mereka diuji sakit kronik...

Ya ALLAH…bantulah diriku menghadapi ujian ini, poligami sesungguhnya hanyalah sebuah perkongsian. Perkongsian yang sangat baik walau menduga kuat hati seorang perempuan. Yang memerlukan jiwa ku yang kuat dan lapang. Moga ALLAH tidak pernah meninggalkan kami isteri-isteri yang berjuang untuk menjadi isteri yang berada dalam keredhaan dan ketaatan Tuhan. Moga kami tetap menjadi peribadi yang bersyukur kepada suami, dan kepadaMU Rabbi.
Kepada teman pembaca sekelian yang diuji dengan poligami, nikmatilah gelodak perasaan ini – ia tidak datang selalu. Dan ALLAH tidak sesekali menimpakan sesuatu yang sia-sia ke atas kehidupan hambaNYA. Mengingat ALLAH, sesungguhnya hati menjadi tenang dan optimis.

Itulah serba sedikit rasa-rasa yang bertandang di ruang hati. Alhamdulillah dengan doa suami, para isterinya,  dan sahabat semua, ALLAH mendatangkan kemudahan dan kegembiraan pada saya melalui alam poligami. Malah sebenarnya, jika dihitung dikumpul jumlah jam dan hari seluruh tempoh kesedihan, ia tidaklah sampai 10 jam. Jika kita para isteri menerima dan melibatkan diri dengan kesedaran dan kesefahaman dari awal, ia tidak akan memberi kelukaan dan kesakitan yang mendalam, apatah lagi berpanjangan.


Ini adalah coretan di satu perempat tahun 2012...Moga perkongsian ini bermanfaat buat semua saudara muslimah yang saya kasihi :)

Tuesday, October 2, 2012

Poligami: Bahagia dengan Doa



Orang lain sebahagiannya sedang bersemangat bercerita tentang belanjawan negara, saya teruskan dengan slot cerekarama poligami saya ya :)
 
“Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )
 Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 3556 dan Abu Daud no. 1448)

Saya nak berkongsi tentang doa.

Doa adalah komunikasi kita yang mendalam dengan ALLAH, sangat penting sepertimana penting suami dan isteri membangun komunikasi yang baik.

Dalam poligami, saya belajar bahawa doa kepada ALLAH adalah ramuan penting untuk melahirkan kebahagiaan keluarga poligami kita ( malah keluarga monogami juga, bahagia tercipta dengan doa dan ikatan yang teguh dengan ALLAH♥).

Kita seringkali boleh dan mudah saja untuk nampak dan menyebut kekurangan suami atau madu, namun untuk mendoakan kebaikan buat mereka MUNGKIN terasa payah...atau mungkin tak pernah terlintas.. " Buat apa nak doakan orang yang menusuk sembilu ke jiwa raga aku...??!!!"

Sahabatku, damaikan hatimu dengan berdoa. Doakan kebaikan buat suamimu, madumu dan dirimu sendiri. Mohon cahaya petunjuk dari ALLAH agar kita menjadi hamba NYA yang lebih beriman dan bertaqwa, pohonlah akhlak yang baik, memohon yang sama juga untuk suami dan madu... insyaALLAH hidup terasa indah dan terarah dalam mencari redha ALLAH. Mohonlah rahmat dan ampunan dari ALLAH atas kesilapan dan kelalaian kita semua.

Mudah-mudahan dengan doa tulusmu, suamimu menjadi suami yang adil lagi penuh cinta dan tanggungjawab pada seluruh isterinya. Mudah-mudahan dengan doa kudusmu, ALLAH meletakkan rasa cinta, sayang dan toleransi yang tinggi di hati madu kepadamu...
 
Doa yang sangat penting juga adalah memohon perlindungan ALLAH agar keluarga poligami dan monogami kita terpelihara dari godaan jahat syaitan laknatullah. Bina dinding hati yang kuat agar rumahtangga kita tidak menjadi playground untuk syaitan...

Syaitan adalah pasti berusaha mendekati diri kita, suami dan madu untuk mencucuk banyak perkara negatif yang akhirnya menimbulkan buruk sangka dan pergaduhan.

Sama-sama kita mulakan berdoa dan zikir yang diajar rasul SAW dalam menjaga hati dari tipudaya syaitan dan fitnah dunia ...


Ayuh saat ini, kita biasakan hati berdoa, lembutkan hati dengan berdoa. Moga ALLAH perkenankan ...

p/s: Dan doakan ALLAH melapangkan hati saya untuk menjawab emel/mesej sahabat-sahabat semua yang banyak tertangguh :D Juga doakan saya mencintai suami, madu-madu dan kalian semua benar-benar kerana ALLAH ^_^
 
 
 
 
 
 

Monday, October 1, 2012

Aktiviti Abdullah dan mama :)

 Assalammu'alaikum wa rahmatullah

Ibu-ibu dan teman pembaca semua, moga kita menghargai nikmat sihat dan nikmat masa yang ALLAH beri pada kita untuk kita menggembirakan hati anak-anak dan menghiburkan orang tua semampunya... Ya, realitinya itu semua adalah amanah yang berat dan sulit, menuntut kesabaran, kadang mengundang airmata dan tekanan, maka kita perlu menjadi intim dengan ALLAH untuk memberi kekuatan dan ketenangan luar biasa sebagai isteri, ibu dan anak :)


 
Memasak baked pasta fevret food Abdullah



Bersiar-siar membawa Abdullah dan Tok Nani ke taman Setia Mall :)

Aktiviti paling penting untuk anak = Tidur yang cukup , agar mereka boleh menyusun segala pembelajaran dan pengalaman yang dilalui sehari-hari dengan baik ke dalam hati dan minda

Kadang jemu membaca untuk anak huhu atau penat, tapi jangan cantas minat dan perkembangan minda anak yang pesat. Reading is power for kids and mom!

Anak-anak suka air, raikan :D kalau tak dapat ajak papa pergi, tak apa mama boleh ajak siblings mama atau kawan-kawan mama dengan anak masing-masing ..

Anak-anak suka animals and nature... raikan :) Abdullah paling suka dogs and cats


Abdullah dan Miesha di playgorund dekat rumah :)

Abdullah dan Fityah jalan-jalan di taman dekat dengan mahkamah, sementara tunggu kawan mama urusan mahkamah :)

Ohh papa... :D ignore dapur mama yang sepah ya :D kalau Abdullah cranky, satu taktik memujuk ialah tunjukkan papa dalam skrin hee

Abdullah suka membaca dan sangat seronok kalau dapat membaca dan juga berjalan :D

Abdullah dan Tok adalah teman gaduh dan penghibur hati mama... Alhamdulillah...! Ya ALLAH jadikan kami hambaMu yang soleh ^_^








Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...