Untuk slot Akhbar Islami dalam halaqah saya malam tadi, antara berita-berita yang dikongsi adalah situasi masyarakat yang semakin tenat - bunuh, rogol, rompak, ragut, pukul, culik dsb - melambangkan para pelaku itu seolah-olah tidak punya hati dan perasaan...
Sesungguhnya jiwa dan perasaan mereka bukan hilang semalam atau sehari dua lepas, tetapi kerana perasaan mereka juga telah dibunuh samaada dengan perbuatan atau perkataan oleh ibu bapa dan orang orang sekeliling mereka sejak dulu lagi.
Wahai teman-teman yang baik, kita adalah sebahagian dari dunia mereka . Bakal menjadi mangsa mereka. Orang yang jahat tidak terbina satu hari atau satu bulan. Mereka adalah insan-insan yang dilahirkan suci bersih satu tika dulu...
Namun pengalaman dari kecil menginjak remaja hingga dewasa menjadikan hati-hati insan dibentuk oleh keadaaan, jika baik pergaulan dan pengalamannya - baiklah tumbuh keperibadiannya. Jika rosak pembesarannya, rosak peribadinya lagi merosakkan.
Ini bukan sekadar masalah mereka. Kita perlu berbuat sesuatu, kembali kepada sesuatu.
Kita perlukan tarbiyyah - proses membina manusia menjadi insan yang soleh dan musleh. Baiki diri kita dan ajak orang lain memperbaiki diri.
Ibu-ibu, anak-anak kita bukan sekadar perlu makan minum pakai, namun hati mereka perlu diisi iman, Akhlak mereka perlu ditempa dengan akhlak mulia diri.. bermula dengan diri kita menjadi ibu yang bersih perkataan, penampilan , cara hidup dengan cara yang ALLAH dan Rasul redha. Kita mulakan menjadi ibu yang berilmu dan beriman.
Supaya anak ini membesar menjadi insan yang kuat dan teguh hatinya kerana dia tahu kenapa dan kemana dia akan pergi. Jangan biarkan jiwa mereka sakit terluka, akibat ibu bapa yang merosakkannya perlahan-lahan dari kecil - yang tidak menanam sayang, penghargaan, keimanan sebaliknya menyemai kebencian, dendam, kesakitan, kekejian..
Saya seorang ibu kini, saya mengerti tidak mudah untuk saya menjadi ibu. Saya perlukan bantu kalian semua para ibu dan ayah, kerana satu hari nanti anak-anak kita akan saling bertemu dan bergaul. Siapapun kamu, pekerjaan kamu, jadilah peribadi yang mendidik dan mengenalkan insan bernama anak kepada tuhan.
Doktor kah, kerani kah, guru kah, penjual burger kah, penjual wiper kah, suri rumah, bisnes online, pekerja kilang, kerja ofis, usahawan, bekerja di darat, lautan dan udara - jadilah peribadi yang mengajak anak-anak, remaja, orang dewasa dan orang tua kepada ALLAH.
Mulakan dengan diri kita yang megenali dan mencintai ALLAH. Kita tak boleh ubah situasi masyarakat sehari atau sebulan, tapi kita boleh ubah cara kita bersikap, bercakap, berbuat - hari ini.
Ummah ini memerlukan manusia sejati yang mengajak kepada Tuhan. Berikan masamu, hartamu, potensimu, kecantikanmu, ketampananmu, kebijakanmu untuk membawa anak-anakmu dan manusia lain berjaya dunia dan akhirat...! Selamat bertemu tuhan dan bahagia di kehidupan yang berkekalan!
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang shalih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Fushshilat: 33)
__________________________
Saya sayang semua :)
1 comment:
Mencuba untuk menjadi ibu yang terbaik utk anak2..
Post a Comment