Friday, March 30, 2012

Menjadi madu yang baik...





Antara persoalan yang tiba di blog sisi kehidupan ini adalah bagaimana untuk menjadi isteri yang baik di alam poligami. Moga Allah membantu kalian yang berniat dan berusaha menjadi isteri pertama dan kedua yang baik. (Juga yang ketiga dan keempat). Sesungguhnya ALLAH menghitung sekecil-kecil kebaikan yang diniatkan dan diusahakan.

Ketika saya mula-mula bernikah, melangkah masuk ke rumah yang disediakan suami, telah tersedia beberapa barang-barang asas e.g gelas, bekas air/jug, container, beberapa jenis minuman yang suami biasa minum, beberapa set cadar dan sarung bantal, beberapa helai selimut etc - yang masih kami gunakan sehingga kini. Siapakah yang membantu dalam menyediakan semua itu?

Madu yang baik.

Alam poligami menuntut suami bergilir-gilir ke rumah para isteri. Alhamdulillah antara kami suami  dan isteri-isteri ada mutual respect dan understanding. Kadangkala ada situasi yang menuntut suami menukar giliran hari, ada ketika saya dan anak dalam situasi memerlukan suami, maka siapakah yang berlapang dada dan sangat bertimbang rasa untuk memberi hari giliran pada saya?

Madu yang baik.

Saya menjalani alam poligami yang mungkin pada sesetengah orang nampak mencabar, namun dengan doa suami dan para isteri, ALLAH membantu kami mengatasi cabaran-cabaran itu. Saya tidak kata kami para isteri adalah malaikat yang suci, kami manusia biasa yang kadang terjatuh ke dalam perasaan negatif dan tidak enak. Namun siapakah insan yang turut mendoakan Allah menjaga perasaan, iman dan kebaikan dalam keluarga kami?

Madu yang baik.

Bila suami akan dan telah bernikah lagi, saya menghadapi fasa baru yang mencabar perasaan dan menuntut kesyukuran jua kesabaran. Siapakah antara yang mendengar dengan keprihatinan dan memberi semangat dan kekuatan? Yang berpesan-pesan ke arah keimanan dengan kasih sayang?

Madu yang baik.

Bila saya tak sihat dan anak pun tak sihat, siapakah yang mengorbankan masanya untuk membenarkan suami menziarahi, sekalipun masa suami untuk dirinya sendiri terbatas?

Madu yang baik.

Ini hanyalah sebahagian kebaikan yang saya terima daripada madu-madu saya. Saya percaya, di luar sana ada di antara kalian yang telah menjadi isteri-isteri yang baik di alam poligami. Bolehlah kongsikan juga agar kami dapat mencontohi dan menteladani. Moga Allah membalas madu-madu saya dan kita semua dengan kebaikan dunia akhirat.

Saya memerhati dan belajar dari madu-madu saya sekadar yang saya nampak dan tahu. Di belakang saya,  sesungguhnya ALLAH lah sebaik baik penilai ke atas kebaikan mereka semua memberi komitmen pada kebahagiaan keluarga poligami ini. Saya berusaha mencontohi sekadar yang mampu.

Maka, saya pun berusaha membantu membeli apa-apa barang keperluan suami di rumah bakal isteri ketiga. Saya menemani suami melihat-lihat rumah yang bakal mereka duduki. Saya membantu suami memikirkan perancangan masa dan hari giliran. Saya menemani suami ketika ada keperluan berjumpa bakal isteri dan keluarganya. Saya berusaha membantu isteri ketiga mengenali dan memahami suami saya, agar mereka lebih mudah membina keserasian.

Itulah yang mampu saya lakukan buat masa ini untuk membantu madu saya juga suami. Perkongsian ini bukan untuk menunjuk-nunjuk kebaikan, sekadar mengharap ia memberi manfaat pada kalian yang memerlukan. Adakah semua itu berlaku tanpa ada warna warni perasaan? Cemburu saya pada madu-madu usah ditanya, kerana itu adalah pasti selagi hidup bukan di syurga :D

Namun moga itu tidak menghalang para isteri untuk terus saling percaya, saling doa dan saling cinta.  ♥ ♥ ♥♥

Kami para isteri dan bakal isteri bermujahadah agar tidak larut dalam perasaan perempuan yang turun naik. Terima kasih suami yang juga berusaha semampunya berbuat keadilan, moga ALLAH meneguhkan hati dan langkahnya menjaga salah satu amanah tuhan yang bernama perkahwinan.




Tuesday, March 27, 2012

Cabaran memiliki suami baik...




Ujian rumahtangga bukan saja mendatangi kita melalui pasangan yang TAK baik, tetapi juga melalui suami yang BAIK.

Coretan ini khusus untuk yang bujang, agar mencari jodoh berdasarkan realiti - bukan mimpi. Juga untuk saya dan kita yang telah bernikah, jika perasan diri ini baik - jom bantulah suami untuk terus baik dan lebih baik :D

Kalian mencari suami yang baik.. supaya rumahtangga berisi kebahagiaan dan ketenangan.

Namun realitinya, kehidupan di sisi seorang suami yang baik juga datang dengan pakej konflik dan cabaran. Jika tidak berhati hati melalui ujian ini, kita seorang isteri inilah yang akan menampakkan suami baik seolah olah macam tak baik. 

Jika suami TAK baik, kesabaran sangat dituntut. Sama saja, perlu bersabar dengan suami yang baik. Jika tak bersabar dengan kebaikan suami, fitnah dan perceraian adalah risiko yang akan menonjol ke hadapan.

Apakah contoh cabaran melalui kehidupan dengan suami baik?

"Saya pilih dia sebab dia seorang yang berwawasan, serious dengan kerjaya, dan seorang yang bercita-cita tinggi". Ujar si gadis.

Bagusnya lelaki itu, punya wawasan dalam kerjaya. Bisa menjamin masa depan isteri kan...?

Wahai isteri, jangan nangis ya - bila nanti suami yang serious dengan kerja ini rupanya punya perhatian yang sedikit pada anda. Dia workaholic, hingga anda tertanya tanya adakah anda masih penting untuknya?

Ya, anda penting. Sebab itu dia kerja keras, kerana anda isterinya lah yang membuatkan dia ingin menyediakan kekayaan serba serbi.

Dia familiy man. Dia rapat dengan ibu dan familinya. Perhatiannya besar untuk keluarga.

"Saya suka awak sebab awak bertanggungjawab pada mak ayah awak dan adik adik awak..." luah si gadis.

Maka, nanti jangan bergaduh pula bila raya, setiap tahun ibu mertua minta suami balik ke rumahnya. Maklumlah anak lelaki sulung kesayangan. Adik adik ipar pula asyik ajak abangnya bercuti bersama... Bila kita nak bercuti berdua dengan suami... ? :D

Dia aktif terlibat dengan program amal kebajikan. Hingga hati wanita anda tersentuh dengan sifat kemanusiaan dan penglibatannya dengan masalah ummah.

Maka jangan nanti, selepas berkahwin - kita kata suami yang bermasalah - kerana perhatian dan masa suami yang sedikit dengan kita. Suami asyik dengan pemuda pemudi, anak anak dan orang tua di luar sana.

Dia suka ilmu. Kita terkagum kagum dengan kefasihan ilmu dan bahasa arabnya. Hati sejuk mendengar hadis dan quran yang dilafaz. Namun nantinya selepas bernikah, kita berjauh hati pula suami sibuk belajar dan mengajar.

Dia ustaz yang aktif. Selalu keluar di kaca TV. Fikir sebahgaian wanita, Bagusnya kalau dia jadi suami kita... tapi jangan nanti tak sabar pula. Dia sibuk kerja. Dia sibuk dengan rakaman TV. Dia sibuk melayan peminat bila berjumpa di program atau di atas talian/online.

Dia aktif politik, baiknya dia, dekat dengan rakyat. Mendengar aduan dan keluhan rakyat. Jangan pula isteri tak sabar nanti - bila rumah jadi macam hotel pada suami, suami pulang untuk tukar baju saja.

Dia memilih poligami. Baiknya dia, dia memilih pernikahan yang halal - dari terlibat dengan perhubungan lawan jenis yang membawa bibit bibit perzinaan. Sanggupkah anda dengan kebaikan suami menikahi perempuan lain?

Dia matang. Baiknya dia, dia membawa kehidupan dengan serius dan penuh tanggungjawab. Maka keputusan dan tindakan yang suami buat kadangkala sukar difahami jiwa keanak-anakan anda. Hingga setelah tahun-tahun berlalu, baru anda menerima tindakan suami dua tahun dulu.

Ini hanyalah sebahagian episode rumahtangga yang kita dengar. Sesungguhnya jodoh itu datang dengan dengan pakej cabaran dan kebaikan. Kalau isteri mengharap sempurna, dan meletak harapan tinggi pada suami namun tidak meninggikan wawasan diri sendiri - habislah rumahtangga... Komunikasi yang juga tak berjalan baik, menyebabkan suami isteri yang pernah sangat cinta dan sangat suka - memilih untuk mencari kebahagiaan lain....

Suami pun mula tertanya tanya, hati terasa sedih dan pedih - kenapa wanita ini yang dulu memuji dan memujanya - kini menjadi isteri yang menjatuhkan semangat dan kekuatannya...?

Nah, bukan salah sesiapa. Ayuh muhasabah bersama. Tanya pada diri sendiri, apakah sumbangan ku pada suami agar dia terus ikhlas dan bermotivasi dengan kebaikan yang dulu ku kagumi?

Dunia bukanlah tempat untuk kita meraih hubungan sempurna, rumahtangga sempurna namun untuk kita bersama yang tercinta mencari redhaNya.

Jika dia baik, moga kita menjadi isteri yang makin bersyukur dan berusaha untuk lebih mentaati Tuhan.

Jika dia tak baik, bukankah Allah ingin kita  berusaha keras menjadi isteri dan hamba Allah yang lebih baik - hingga kita mampu menyentuh hati suami untuk kembali mendekati tuhan?


Sekian, moga bermanfaat buat para pembaca yang disayangi :)



Saturday, March 24, 2012

Ancaman Kepada Penyeru Kebaikan !




Satu ketika nanti, mereka berkumpul dan melihat kehairanan... bertanya kepada saya. (nauzubillah) 

"Bukankah awak dulu mengajak kami menjadi hamba ALLAH yang baik?"

"Bukankah awak dulu mengajak kami menjadi anak yang solehah?"

"Bukankah awak dulu mengingatkan kami untuk menjadi wanita bertaqwa?"

"Bukankah awak dulu menyeru kami untuk menjadi isteri cerdik yang solehah?"

"Bukankah awak dulu menasihatkan kami untuk berbuat baik dan meninggalkan kemaksiatan."

"Jadi....kenapa awak menerima semua ini.....!!!!???"

eeeeeeiiiiiiiiiii.... takutnya Ya ALLLAH !

Wahai diri saya dan kalian yang berusaha mengajak orang lain ke arah kebaikan, taatlah pada ALLAH. Lakukanlah terlebih dahulu kebaikan yang diseru. Berusaha mengubah diri dan ajak orang lain ke arah kebaikan.

Jangan sekadar menyeru orang kepada kebaikan, seandainya diri ini jauh dari ketaatan :(

Apatah lagi, jangan sekadar menegah orang dari kemungkaran dan kemaksiatan, sedangkan fizikal dan pancaindera kita  amat dekat dengan dosa. Jauhkan dosa, bertaubatlah, benci mendekati kemaksiatan dan ajaklah orang lain juga menjauhi kemaksiatan dan kemungkaran....

Kerana ancaman ALLAH juga ada untuk mereka yang menyeru kepada kebaikan!

Dalam sebuah hadis yang sahih, Riwayat Bukhari & Muslim:


Didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat, lalu ia dilemparkan kedalam neraka, maka keluarlah usus perutnya, lalu melilitnya sebagaimana keledai mengitari tempat penggilingan tepung. 

Maka berkumpullah ahli neraka dan bertanya : “Wahai fulan mengapa kamu demikian? Bukankah kamu dahulu menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran ? Lalu ia berkata : “ Benar, aku dulu menyuruh berbuat baik tetapi tidak mengerjakannya, dan melarang dari kemungkaran sedangkan aku mengerjakannya.” 


Wahai hatiku dan hatimu, rendahkanlah jiwa di hadapan ALLAH. Bertaubatlah. Muliakanlah dirimu dalam terang dan sembunyi. Tetaplah bertaqwa dalam marah dan redha. Tetaplah berkata dan berbuat benar dalam takut atau lapang.

Ayuh mulakan kebaikan dengan diri kita. Kita berusaha melakukan kebaikan yang kita seru. Dan menasihati insan-insan yang di sekeliling.

Ayuh kita menjauhi kejahatan dan kemaksiatan. Perbaiki diri dan mengajak orang lain untuk memperbaiki diri.

Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan. (Ash Shaffat : 2-3) 


:: Moga ALLAH membantu kita menjadi hamba yang baik, soleh, bertaubah dan berpesan-pesan untuk memperbaiki diri ::


Sesungguhnya aku mencintaimu kerana ALLAH ! 






Tuesday, March 20, 2012

Poligami: Belajar Menjernihkan Hati



'Ketika suami menikah lagi' - Entri ini menjemput paling ramai pembaca dalam masa tiga hari, yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi dari teman-teman yang dikasihi. Ada yang simpati, ada yang memuji, ada yang mengkagumi. Ada juga yang tak berpuas hati, namun apapun reaksi kita dan mereka - tulisan kecil itu sebenarnya mewakili ramai lagi isteri-isteri yang kuat bermujahadah di alam poligami. Hanya saja, mereka mungkin tidak ada ruang dan kesempatan untuk menuliskan rasa hati.

Pada yang simpati, mungkin melihat poligami menimpakan saya sisi sedih sahaja. Tidak ada apa-apa, saya tetap melalui kehidupan dengan ceria dan gembira :D di sebalik luahan cabaran perasaan - kebaikan dan kebahagiaan selalu ada terselindung di sebalik garis takdir tuhan. Pada yang memuji, rasa malu hinggap di hati ini. Kerana ujian suami bernikah lagi ini, terasa amat kecil berbanding ujian sebahagian kalian yang ALLAH hadirkan segenap penjuru dan tak pernah henti. 

Pada yang mengkagumi, sesungguhnya semua pujian dan kekaguman itu saya kembalikan kepada ALLAH. ALLAH yang mendatangkan dugaan yang hebat, ALLAH juga yang menjadikan sekeping hati lemah kita menjadi kuat kan? ALLAH Maha Berkuasa Atas Segalanya. Hati ini, ayuh ditempa menjadi hati mukmin - yang segala urusan adalah baik baginya, samaada susah dan senang.

Teman-teman pembaca yang dikasihi kalian, terima kasih tak terhingga atas doa dan kata-kata positif dari kalian. Terima kasih juga atas kritikan. Saya sebenarnya amat berterima kasih atas kehadiran dua insan yang sangat bermakna dalam hidup saya, iaitu madu-madu saya. Saya kagum pada mereka. 

Menjadi isteri pertama adalah ujian yang sangat getir pada hampir setiap yang bernama perempuan, dan menjadi isteri ketiga.... berapa orangkah pengunjung blog ini membayangkan dirinya menjadi isteri ketiga atau keempat pada seorang lelaki? Moga ALLAH merahmati dan memuliakan mereka hambaNYA yang berjuang untuk terus mempertahankan kebaikan dan kasih sayang dalam rumahtangga poligami ini. Ya ALLAH, bantulah suami dan kami para isteri seluruhnya membina kehidupan bekeluarga yang diredhai tuhan.

Beberapa hari lepas, seorang teman pembaca, merangkap kakak yang saya hormati dan kasihi, mengingatkan saya agar tetap menjadi hambaNYA yang bersyukur dan meng'upgrade pengurusan hati - sebagai bekal kekuatan di alam poligami.

Pengurusan hati...Ya, sangat penting. Kerana hampir semua masalah kita dengan ALLAH dan orang lain, adalah dari cara kita mengelolakan hati. Hati yang bersih dan kuat - melahirkan tindakan dan ucapan yang menenangkan. Hati yang kotor tanpa dirawat - menonjolkan perilaku yang sulit lagi tidak menyenangkan.


Apa khabar hati? Kadang-kadang banyak masalah tak selesai kerana hati yang tidak dirawat - hati yang malas, hati yang jahil, hati yang berprasangka, hati yang tidak mahu memaafkan, hati yang dendam, hati yang tak sabar, hati yang didiami syaitan kerana jauh dari tuhan... ayuh muhasabah hati...! Ayuh kita gotong royong membasuh hati sebersih-bersihnya..!

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” [al-Hasyr 59:19]

Sewaktu hati rasa tidak punya kekuatan apa-apa lagi, jangan putus harap dengan kekuatan doa - ia mampu merubah api menjadi salji... bersangka baiklah denganNya.

Isilah hati dengan niat yang baik-baik. Berniat untuk berbuat baik dan berkasih sayang dengan insan sekeliling. Berniat untuk menggembirakan orang lain, kerana ALLAH. Sekalipun kasih sayang dan kebaikan kita kadangkala tidak mendapat perhatian apatah lagi ganjaran dari manusia. Sesungguhnya ALLAH pasti membalas dengan sesuatu yang tidak kita sangka, bila kita benar-benar mencintai kerana ALLAH. 

"If all I cared about was my own happiness, it would be impossible to be happy, because I'd literally have nothing to be happy about. Happiness is impossible if all I want is my own happiness."


Di pagi hari, jangan lupa beraktiviti untuk menguatkan hati dengan zikir pagi yang diajar Rasul SAW dan bacalah Al Quran selembar dua dengan difahami makna, moga hati tersiram segar dengan ayat-ayat ALLAH.

Hati perlu dilatih untuk bersabar. Sabar orang melayu, ada batasnya.. Sabar orang mukmin, bersabar dan dikuatkan kesabaran itu hingga menginjak kaki ke syurga..bersabarlah, kerana Allah. Tiap kali hati seakan tak mampu bersabar - dapatkan talian hayat - ALLAH! Minta kekuatan dari ALLAH, minta ALLAH bersama kita dalam semua keadaan.

Hati perlu digilap dengan keimanan. Bertungkus lumuslah mencari nikmat iman...kerana iman akan mempersembahkan ketenangan dalam hidupmu, sepanjang perjalanan bertemu tuhan... Hati yang beriman tidak putus asa dengan cabaran, kerana percaya di sana kasih sayang dan ampunan ALLAH selalu ada buat kita.

Banyak perkara berlaku yang manis dan yang pahit... ALLAH tidak mungkin mentakdirkan perkara yang sia-sia.. Wahai hati, ambillah masa untuk mengenali dan mencintai Allah, nescaya hati ini kan mampu menerima dengan tenang segala yang datang dari Tuhan..

Buat saya dan kita yang berpoligami - juga monogami - berdoalah memohon Allah menjadikan perhiasan iman di hati ini, juga di hati suami, madu madu, anak anak, ahli keluarga seluruhnya, buat bekal mengharungi kehidupan yang tidak berhenti dari ujian...

Mohon perlindungan Allah agar dipelihara keluarga poligami dan monogami kita dari tipudaya musuh. Berlindung pada ALLAH dari bisikan syaitan yang tidak jemu menimbulkan permusuhan dan memecah belah. 

Memohon allah mengurniakan akhlak yang baik pada diri, dan meluruskan perasaan ini di atas jalan yang diredhai tuhan.... Memohon ALLAH menyatukan hati kita sesama suami isteri, madu-madu, anak-anak, keluarga, ipar duai dan semuanya dengan kasih sayang dan kesefahaman.

Sebagai penutup, saya kongsikan sebuah nasihat - saya sangat suka dengan nasihat ini:

"If you know your husband is a good man, and that perhaps, your co wives also loves him as you love him, and that he also loves them and has to deal fairly with them in order for him to also reach Paradise (Jannah) then you should try and make it easy for him and not difficult. 

Do you love your husbands enough to want Jannah for them? Do you love your sisters enough to want Jannah for them also? Do you want Jannah for yourself?"


Diri rasa amat kerdil dan hina meminta syurga, namun teruslah berusaha dan meminta... kerana itulah kejayaan dan kebahagiaan sebenar yang disediakan ALLAH. Mohonlah perlindungan dari nerakaNYA, kerana menginjak kaki ke neraka adalah kegagalan dan kekecewaan yang sebenar-benarnya.

Semoga bermanfaat, dan dilimpahkan keberkatanNYA ke atas kita semua... <3 <3 

Sunday, March 18, 2012

Wanita: Ayuh Memberi Yang Terbaik!





Antara yang mendatangi inbox emel dan fb saya ialah perkongsian cabaran dari mereka yang bergelar isteri kedua, hinggakan tidak sedikit yang berada di ambang perceraian. Perkongsian seterusnya ialah dari mereka yang telah berkenalan dan menjalin hubungan dengan suami orang, bagaimana untuk menghadapi fasa seterusnya. 

Saya tidak dapat menjawab satu persatu persoalan itu, kerana saya tidak ada ilmu dan pengalaman yang cukup untuk menjawab spesifik. Maka di kesempatan ini saya  kongsikan beberapa poin khusus buat yang bergelar wanita – bagaimana untuk menjadi wanita yang dihargai, diperlukan dan disayangi lelaki. Mudah-mudahan membantu kita dalam perhubungan dengan lelaki - ke arah proses pernikahan, dan membantu kita mempertahankan pernikahan...kerana ALLAH.

1. Berusaha menjadi yang terbaik 

Kita semua ada kekurangan dan kelebihan masing-masing (Bosan tak dengar ayat ni… :D? ) Fokus pada kelebihan kita, dan berusaha gunakan kelebihan itu untuk membahagiakan orang lain. Kekurangan yang ada, jangan sekadar merasa rendah diri – namun perlu cari jalan untuk menambahbaik di mana yang boleh.

Cari ilmu agama untuk kuatkan iman, exercise dan jaga makan untuk tampil menarik dan berkeyakinan, jadi wanita cerdik yang solehah dengan suka membaca bahan-bahan yang membina akal, meningkatkan motivasi - bukan membaca gosip-gosip atau zodiak etc yang tak menyumbang pada potensi diri. Gilap skil yang berkaitan kewanitaan, dan tambah skil kehidupan yang lain. Jangan lupa riadah hati – hati perlu dibersihkan dan dilatih dengan sifat mulia – redha, tenang, sabar, positif, jujur dan segala sifat hati yang dicintai ALLAH.

Nah, wanita yang cergas, cerdas, cantik dengan ilmu dan iman – apakah lelaki tidak suka, sayang dan hargai…???  Wanita yang menghargai potensi akal, iman, fizikal dan emosi yang ALLAH bagi akan menjadi perhiasan yang memberi manfaat - perhiasan terbaik dalam kehidupan manusia seantaro dunia :D

Sehingga lelaki tidak teragak-agak memberi dan berusaha yang terbaik untuk selalu bersama kita insyaAllah.

2. Memberi komitmen sepenuh hati 

Sebelum bernikah, manfaatkan semua potensi dan ruang yang ada untuk menjadikan pernikahan satu kenyataan. Seperti mana kita berusaha untuk mencapai perkara lain, pernikahan juga menuntut kita merancang dan mengejarnya dengan kesungguhan.  Jangan sekadar mengharap usaha lebih dari pihak lelaki. “Kalau dia betul-betul mahukan saya, dia akan berusaha sungguh-sungguh” – ini adalah slogan yang outdated – ketinggalan zaman. 

Kita perlukan slogan yang proaktif,” Saya mahu membina kehidupan yang baik dengan dia, maka saya akan berusaha yang optima”. Namun usaha sebagai seorang wanita ini jangan sesekali melanggar batas agama.

Selepas bernikah, teruskan memberi komitmen. Dengan misi yang jelas, hidupkan perkahwinan dengan kerja keras. Ya, ia kerja keras. Bukan sekadar menunggu alam perkahwinanan membahagiakan kita. Perempuan, tahukah bahawa kita adalah makhluk yang boleh membawa pengaruh yang sangat besar pada makhluk bernama suami dan anak-anak? Maka setiap hari, mulakan hidup dengan bersyukur dan manfaatkan kesempatan yang ada untuk membantu suami dan anak-anak menjadi insan yang lebih baik.

Dan, ALLAH pasti membalas usaha keras dan sangka baik kita dengan kebahagiaan berumahtangga – hingga keluarga kecil yang kita bina menyumbang kepada masyarakat dunia yang aman dan harmoni.

3. Komunikasi berkesan (Communicate effectively)

Belajar berkongsi perasaan dengan efektif – bukan dengan beremosi,  marah-marah, tangisan dan raungan yang tak tentu arah. Sekali sekala boleh lah nak beremosi kan :P Lelaki tidak akan pernah tahu apa yang kita fikir dan rasa. Tidak juga mereka ada kuasa membaca minda manusia sekalipun minda dan jiwa isteri yang dicintai. Belajarlah meluah dan berkongsi apa yang merisaukan, apa yang menyedihkan, apa yang mengganggu fikiran – dengan tenang dan hikmah. Juga sangat penting untuk berkongsi apa yang menggembirakan, yang telah kalian lalui sebagai pasangannya supaya lelaki dapat  mengekalkan dan menambah baik dalam memberi perhatian dan menjaga kebajikan perempuan.

Jangan lupa menjadi pendengar yang baik. Listen, really listen to your partner. Mendengar dari hati ke hati. Bila kita berusaha memahami lelaki, kita lebih mudah membina kedekatan kerana kita saling memahami. Kita dan suami akan makin rapat.  Lelaki akan tenang bila rasa difahami. Berita buruknya ialah sesetengah perkara mengambil masa bertahun tahun untuk kita saling faham. Berita baiknya ialah, kita selalu ada Allah untuk membantu kita terus hidup dengan pasangan walaupun kita payah nak faham :D

Demikianlah coretan saya untuk hari ini. Moga bermanfaat untuk diri saya dan kalian semua. Saya sendiri sedang belajar menjadi wanita yang dicintai suami dan Tuhan, ayuh kawan-kawan – kita merubah diri ke arah kebaikan! InsyaAllah suasana keluarga dan rumahtangga juga akan menerima kesan yang membahagiakan….!





Saturday, March 17, 2012

Ketika suami menikah lagi...

<><> <><> <><>
:: Wahai Tuhan yang Membolak balikkan Hati, tetapkanlah hati kami dalam ketaatan kepadaMU  ::


"Segala puji bagi ALLAH, yang dengan nikmatNYA maka sempurnalah amalan soleh". Atas doa dan harapan sebahagian pembaca, akhirnya suami saya selamat bernikah lagi :P

Tiga tahun saya mempersiapkan diri untuk 'menerima' poligami (suami menikah lagi), namun rupanya persiapan teori dan alam praktikal jauh berbeza bagai langit dan bumi. Ya, teori sangat penting, kerana ia menjadi motivasi kepada seorang isteri untuk matang dan positif dalam bersikap. Dalam masa yang sama, bila tiba realiti, perlu berjuang (mujahadah yang tinggi) untuk melaksanakan segala teori :) 

Saya menghantar SMS kepada beberapa teman terdekat - berkongsi khabar gembira - bahawa suami saya telah selamat bernikah lagi. Beberapa sahabat kemudian menelefon bertanya perasaan saya tentang suami bernikah lagi - ya, ia memberatkan perasaan seperti yang saya kongsi dalam entri Ombak Perasaan Menghadapi Poligami. Sekalipun saya dari dulu mengajak kalian Menjadikan Poligami Pilihan Bersama, tetapi bila ALLAH menjadikan ia pasti, ia sulit untuk hati saya.... :D 


Akan tetapi di sebalik perasaan berat yang kadangkala menjelma, hati juga merasa ringan dan lapang kerana dari awal proses menikahi isteri ketiga berlangsung secara terbuka di dalam famili. Suami memaklumkan siapakah calonnya, saya berjumpa dan berkenalan serba sedikit dengan calon dan perkembangan proses taaruf dikongsi bersama hingga keputusan dicapai untuk bernikah. Kami para isteri sedia ada membantu mana yang perlu. Suami melamar calon di hadapan walinya dengan keberadaan saya. Kakak isteri pertama pula membantu membeli cincin pertunangan dan pernikahan serta keperluan yang lain.

Beberapa hari mendekati suami akan bernikah, dada ini terasa sesak dengan perasaan yang bercampur baur. Tercari-cari bantuan 'oksigen'  yang merupakan keindahan kalam ALLAH dan pesanan mulia hadis rasulullah SAW.

Dan nampaknya, terbukti saya perlu lebih intim dalam berinteraksi dengan Al Quran dan As Sunnah :(  perlu menghayati bukan sekadar mengetahui!

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.
(Ali-Imran:142) 

Saya benar-benar rasa kehilangan, pukulan perasaan yang hebat itu menimpa hati ini... (Apa yang saya baca dalam buku psikologi poligami ke atas isteri menjadi kenyataan ke atas diri saya!)

Justeru...kenapa saya harus rasa kehilangan?

Sedangkan sebenarnya saya dan suami bukanlah berpisah dan bukannya saling meninggalkan. Suami hanya akan punya satu isteri lagi, dan kami tetap akan meneruskan kehidupan bekeluarga seperti biasa - bersama siri cabaran dan kebahagiaan - insyaALLAH. Apatah lagi dari dulu kami telah berbincang dan memahami niat dan visi kami membina keluarga poligami. Dan alhamdulillah, keterbukaan dan kesediaan saya meraikan poligami adalah kerana hadirnya suami yang bertanggungjawab, dengan izin ALLAH pastinya.

Ternyata, suami saya tidak berubah komitmennya. Sebelum bernikah dirinya  komited dengan kelancaran rumahtangga, selepas bernikah beliau tetap sahaja memperhatikan kebajikan keluarga dalam amanah yang semakin bertambah.

Saya juga merasa sedih yang amat. Saya pun tak faham kesedihan yang melanda tiba-tiba.. Pun begitu hati rasa terpujuk, bilamana saya mengingatkan diri bahawa perkahwinan itu adalah kurniaan yang berharga dari ALLAH - apakah saya tidak gembira dan berlapang hati saudara perempuan saya juga dianugerahkan pasangan yang mencintai? 


Tidak beriman seseorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan satu perasaan baru yang saya syukuri ialah, saya makin mengasihi kakak isteri pertama atas segala pengorbanan dan kebaikannya, dan juga mula mengasihi ukhti isteri ketiga yang sudi berkongsi kehidupan poligami yang bersusun cabaran menanti. Moga ALLAH meneguhkan iman kami semuanya...

Saya juga merasa seolah-olah amat singkat tempoh perkahwinan, tetapi ALLAH akan mengambil suami yang dipinjamkan. Rasa seolah-olah ALLAH akan mengambil kasih sayang yang terjalin antara saya dan suami... walaupun bukan begitu, tapi kelemahan saya membiarkan syaitan menguasai fikiran :(


Ini kerana sesungguhnya ALLAH bukan mengambil, malah Allah lah pemilik sebenar. ALLAH lah pemilik kasih sayang dan cinta. Saya bersangka baik,  bila ALLAH mengizinkan suami  bernikah lagi, ALLAH tidak mahu kita terleka dengan cinta manusia hingga tidak meletakkan ALLAH di tempat teratas. Sekarang, ombak yang membadai jiwa seakan menjalin kembali cinta saya kepada ALLAH yang Maha Sempurna, lagi Maha Melimpah Kebaikannya.

Hakikat yang perlu saya akur ialah, saya tidak akan pernah kehilangan suami kerana saya sebenarnya tidak pernah memiliki. 


"Suami hanya pinjaman ALLAH, suami menjadi wasilah mendekatkan diri kepada ALLAH. Perkahwinan adalah salah satu medan pengabdian yang tulus kepada ALLAH" - ini bukan lagi sekadar kata-kata keramat yang saya ungkap, namun saya perlu telan dan hadam untuk meneguhkan peribadi diri.

Bila suami menikah lagi, terasa juga suami akan meninggalkan diri ini sebab ada kehidupan baru bersama isteri baru...

Yang sebenarnya bukan begitu, suami memang ada akan kehidupan baru namun suami dan semua isteri sebenarnya mempunyai kehidupan yang sama dan seiring selagi mana misi kita adalah untuk terus mencari keredhaan dan ampunan ALLAH. Apatah lagi, bila suami bernikah lagi, ia juga sebenarnya memberi 'life baru' kepada para isteri - kehidupan yang menarik dengan cabaran dan kebaikan-kebaikan baru..  Tak percaya? Cubalah ! Mencuba dengan persediaan dan perancangan ok! :)


Persoalan lain yang timbul di jiwa ialah adakah suami akan memerlukan lagi diri ini seandainya telah bernikah nanti...? 

Wahai diriku dan para isteri yang dikasihi, yang berada alam monogami atau poligami, suami sangat-sangat perlukan keberadaan isteri untuk memberi kekuatan dan ketenangan padanya. Apatah lagi pada isteri pertama atau isteri sedia ada, suami amat-amat memerlukan  kerana biasanya mereka amat kenal sikap suami, telah 'masak' dengan keperluan dan kehendak suami.  Maka dapat memberi dorongan dan bantuan sewajarnya untuk membangun rumahtangga poligami. Jadi ayuh para isteri, kita memohon kekuatan dari ALLAH agar kita semua mampu menjadi isteri yang membantu suami dalam keimanan dan urusan keduniaan.

Selain itu, saya merasa sepatutnya banyak lagi suami perlu menghabiskan duit dan masa untuk  saya sebelum bernikah lagi.... ya, bila persoalan ini timbul di hati, saya teringat luahan yang sama dari kakak-kakak yang menjadi isteri pertama.

Inilah perasaan yang paling saya tak suka, namun bertandang ke kamar hati. Tiba-tiba saya rasa tak cukup dengan masa suami. Tiba-tiba rasa tak cukup dengan duit dan segala bagai yang suami telah memperuntukkan untuk diri ini... Astagfirullah, saya cepat-cepat mematikan bisikan ini - perasaan down menyebabkan mata hati saya tertutup dari menghitung kesyukuran dan melihat kebaikan suami sepanjang tempoh pernikahan ini. 


Tika hati tenang berhubung dengan ALLAH, saya amat mensyukuri banyaknya kebaikan yang ALLAH bagi kepada saya melalui suami. Malah isu masa bukan soalnya, kerana amat banyak masa-masa berkualiti yang kami lalui bersama sebagai suami isteri dan satu keluarga. Rezeki yang ALLAH lapangkan pada suami, dan pengurusan masa suami yang baik adalah ciri penting yang membuatkan saya ingin suami terus membahagikan kasih sayang dengan isteri-isteri yang lain..

Ya ALLAH, bantulah hati ini merasa cukup..kerana bukankah manusia tidak akan pernah merasa cukup sekalipun diberi segunung emas...

Sungguh sangat beruntung orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup dan Allah menjadikannya merasa puas dengan apa yang diberikan kepadanya.” (Hadis Muslim)

Itulah antara dialog dan perasaan-perasaan yang bergelodak di jiwa. Hati saya sangat penat memberi jawapan pada persoalan yang bertalu-talu menjelma di minda. Satu ketika, dalam minda saya terpampang segala tajuk tazkirah dan taujih yang saya dapat sepanjang beberapa tahun saya mengikuti halaqah dan program ilmu lainnya... Adakah ujian ini akan menyebabkan saya membakulsampahkan segala ilmu atau inilah masanya ilmu berperanan untuk menenangkan dan menguatkan  saya...?





Bersambung....insyaALLAH. :)






Thursday, March 15, 2012

Kerana Senyummu Mendamaikan Hati...

When a new day begins, dare to smile gratefully :)


Lihatlah dan hitunglah betapa banyaknya perkara baik yang kita miliki dan hadapi saban hari, insyaAllah akan mampu tersenyum merasa kesyukuran...

Bahkan tersenyum lah untuk perkara yang tak dimiliki, kerana kita terpelihara dari beban dan cabaran yang datang seiring dengan kurniaan dan kenikmatan.

Dan jangan lupa, hadiahkan lah senyuman kepada insan yang berpapasan, moga ada nilai di sisi Tuhan..

'Jangan lah memandang remeh kepada perkara yang baik, sekalipun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis' (hadis sahih)

Siapa yang tak suka dengan wajah yang tersenyum menyenangkan..?

"A gentle word, a kind look, a good-natured smile can work wonders and accomplish miracles " 

Suami terasa tenang bila bertemu isteri yang berwajah manis dengan senyuman...

Isteri bahagia suami melempar senyuman saat dirinya kerunsingan...

Anak-anak juga sangat bahagia bila ibu ayah menyambut mereka dengan wajah gembira mempamer seyuman...

Ibu ayah di kampung merasa indah bila anak-anak pulang dengan senyuman yang menyejukkan hati......

Biasakan senyuman, moga itu mengembalikan keindahan hidup bekeluarga dan berpasangan..

Pekerja bawahan rasa disayangi oleh majikan yang menyapa dengan senyuman...

Majikan berasa gembira dan dihormati apabila disambut pekerja dengan senyum terpancar keikhlasan....

Biasakanlah senyuman, moga itu membina suasana kerja yang bersemangat lagi memotivasikan.

Mulakanlah senyuman, mudah-mudahan disambut dengan senyuman juga dan itu menyambung suasana yang damai lagi menggembirakan....

















Sunday, March 11, 2012

Sabar Adalah Kurnia Terbaik






Alhamdulillah dalam hidup kita, ALLAH sediakan satu perkataan yang bernama SABAR :)


Benar, sabar ini adalah anugerah ALLAH yang istimewa - khusus untuk manusia. Haiwan tidak perlu kepada sabar, malaikat juga tidak perlu kepada SABAR kerana kesempurnaannya.


Teman-teman yang dikasihi, ayuh bersabar dengan ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Sabar yang sebenar-benarnya. Moga ALLAH bagi jalan keluar atas semua urusan, setelah kita bersabar mengubah diri dan berusaha yang terbaik.


Dari hadis sahih, "Sesungguhnya tidak ada pemberian ALLAH yang lebih baik dan lebih melapangkan melainkan kesabaran." ♥ ♥

Bila gembira, hati tidak terlupa bahawa kegembiraan itu adalah pemberianNYA yang harus disyukuri. Moga gembira sebenar dinikmati di akhirat kelak..



Bila duka dan kecewa, hati merasa tenang dan memilih kesabaran kerana percaya ALLLAH yang Maha Pengasih sangat sempurna aturannya. Moga kesulitan tidak berpanjangan ke akhirat yang berkekalan...Kita mahu, kita fikirkan dan rancangkan. Tapi kadangkala perancangan ALLAH jauh berbeza dari harapan kita.


Yang kita harapkan terjadi, tak terjadi. Yang kita ingin jauhkan, itulah yang nampak mendekat. Teruskan usaha dan perancangan, percayalah pada tuhan setulusnya :) 

:: Semoga ALLAH membantu kita semua ::












Saturday, March 10, 2012

Belajar Menjadi Anak





Sekarang bermula cuti sekolah. Anak-anak remaja pulang ke rumah mak ayah dari asrama sekolah. Adik-adik saya yang baik tapi nakal itu juga akan pulang ke rumah... :D Adik-adikku sayang, boleh tak balik bercuti kali ni betul-betul manfaatkan masa untuk menghiburkan hati mak dan abah…? Memanfaatkan masa untuk  berbakti pada mak abah…? (Alamak, malulah pulak nak nasihatkan adik-adik - sebab kakaknya ini pun lebih kurang hihi)

Tolong ibu kat dapur ya. Tolong abah apa-apa yang patut. Jangan asyik menatap skrin kaku facebooking hingga lupa pada mak abah di rumah… hihi kaklang pun sama lah juga kan…

Saya melalui zaman remaja yang tidak berapa manis sebagai anak. Saya agak kasar dan berkasar dengan mak abah dalam tutur kata dan perbuatan. Bukan membuka keaiban sewenangnya, namun ambillah pengajaran. Hormon remaja membuatkan jiwa mudah memberontak dan tidak sebulu dengan mak abah. (Eh salahkan hormon lagi…)

Adik-adikku sayang… masih ingat lagi, apabila diri ini menjejak kaki di UiTM, itu menjadi titik tolak untuk diri ini mencari hala tuju hidup yang sebenarnya. Sewaktu di sekolah menengah, mungkin secara luaran nampak happy dan riang ria dengan kehidupan sebagai pelajar, tapi hati terasa kosong.

Setelah mengetahui bahawa hakikat hidup ini adalah untuk kembali kepada Tuhan, menjadi hamba dan Khalifah – segera terimbau akhlak diri dan rutin kehidupan yang sia-sia dan terleka. Antara akhlak yang saya berjanji untuk perbaiki adalah akhlak kepada ibu bapa.

Saya tidak pernah lupa tindak tanduk saya di kala remaja atau sebelum ini yang menyebabkan mak dan abah timbul kemarahan, mak menitiskan air mata dengan gelagat dan kerenah saya seorang anak yang tidak cukup sopan dan kurang berbudi bahasa. Yang berlagak pandai dan tak berapa rajin… :(

Dulu semasa belajar - bila tiba  hujung minggu, di petang Jumaat menaiki bas dari Seksyen 17 Shah Alam untuk pulang ke kampung Kuala Pilah, saya berazam di dalam hati bahawa saya ingin pulang di hujung minggu sebagai anak yang menyejukkan hati. Saya ingin menghabiskan masa dengan gembira di kampung, ingin solat penuh lima waktu, ingin membantu mak dan abah dengan terbaik, ingin bercakap sopan santun dan lemah lembut kepada mak abah… Saya pasak di hati nasihat dan tazkirah naqibah dan rakan-rakan ‘bulatan gembira’ tentang birrul walidain – berbuat baik pada ibu bapa.

Namun ia tidak semudah itu. Akhlak bukan dibentuk sehari dua atau seminggu dua. Ia memakan bulan. Memakan tahun. Balik ke kampung, saya tetap gagal menjadi anak solehah seperti azam baru saya. Saya  rasa sangat teruk – tak mampu nak cerita detail buruknya peribadi seorang anak seperti saya ketika itu. Dan dalam perjalanan pulang semula ke Shah Alam dari Kuala Pilah, saya menangis tersedu-sedu memeluk beg, kerana buat kesekian kalinya tingkah saya ada sahaja yang mengundang marah, geram, kecewa, sedih dan duka mak dan abah…

Alhamdulillah setelah beberapa kali pulang balik ke kampung semasa zaman belajar itu, saya akhirnya bersyukur dan berbangga dengan pencapaian sendiri dalam usaha menjadi anak penyejuk hati. Bukan ujub, saya hanya sangat bersyukur ALLAH bagi saya kekuatan untuk merasa diri ini punya nilai sebagai anak.  Saya perlahan-lahan menerapkan akhlak yang baik dalam interaksi dengan mak abah. Saya membina hubungan yang lain dari dulu, yang lebih baik dengan mereka.

Saya lebih sabar dan matang dalam pertuturan, saya rasa sangat ingin masuk syurga ALLAH melalui redha ibu bapa ke atas saya ketika itu. Saya juga mula tidak bergaduh dengan adik beradik –  saya juga mula merapati dan berbaik baik dengan adik beradik. Sebab bergaduh sesama adik beradik adalah perkara yang sangat menyerabutkan mak dan abah.

Saya selalu ingat nasihat seorang teman- jika ingin berbuat baik, mak dan abah adalah orang yang paling berhak mendapat kebaikan kita.  Pesanan ini begitu terkesan buat saya, apatah lagi ketika itu saya sibuk berprogram khidmat masyarakat – adakah saya mampu membantu, berhikmah, lembut, bersabar dengan seribu satu ragam masyarakat – namun saya tidak dapat memberi yang terbaik pada mak dan abah atas puluhan tahun usaha mereka memanusiakan kita?

Terima kasih atas hidayah tuhan membantu saya belajar menjadi anak yang baik. Beberapa ayat al quran dan hadis menceritakan keutamaan menjadi anak soleh – saya berusaha pegang hingga kini. Berbuat baik kepada mak abah sesungguhnya membuka pintu keberkahan dan kebaikan yang banyak di dunia hingga ke akhirat. Mudah-mudahan ALLAH menerima usaha kecil kita semua. Ya, ia bukan mudah. Maka adik-adikku sayang, ingatkan diri ini.

Kejayaan saya setakat ini hanya mampu berlembut dan bersopan dengan mak abah, tapi kerenah mengada-ngada yang lain tetap ada untuk mak abah yang dicintai. Mereka kata (mereka = anak-anak yang baik), kalau balik kampung - berbuat lah sesuatu yang istimewa untuk mak abah. Namun saya pula yang masih meminta mereka membuat yang istimewa untuk diri saya... "Abah, nanti abang beli lah durian best kat kampung XXX tu..".." Mak, mak buat lah nasi lemak untuk sarapan esok...rindu lah nak makan nasi mak... :D "

Ohh tidak cukup dengan hanya perasan diri sudah jadi baik sebagai anak, adakah saya fikir ia mudah untuk istiqamah? Makin menginjak dewasa dan kini bergelar ibu, bagaimana pula bentuk kebaikan yang boleh kita berikan pada mak abah?

Tika ini, saya memahami bahawa anak yang baik bukan sekadar baik kepada ibu bapa, namun juga baik sebagai hamba ALLAH yang punya hubungan baik dengan tuhan dan dengan masyarakat sekeliling. Anak yang baik, sesungguhnya memberi manfaat pada ibu ayah dan insan sekeliling. Dan kebaikan itu tidak akan hadir mudah, melainkan apabila kita sebagai anak menjadikan Al Quran sebagai panduan dan rujukan dalam menjalani kehidupan yang menjadi ujian.

Sedutan buku “Wahai Ibu, Wahai Ayah” karya Hafiz Firdaus Abdullah:

Antara contoh kebaikan yang memberi manfaat kepada ibubapa ialah apabila kita “mengambil al-Qur’an” sebagaimana hadis berikut daripada Buraidah radhiallahu 'anh:

Aku duduk di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, lalu aku mendengar baginda bersabda:
“Pelajarilah surah al-Baqarah kerana mengambilnya merupakan keberkatan, meninggalkannya merupakan kerugian dan orang yang suka membuat kebatilan tidak akan mampu mengilmuinya.”
Kemudian baginda diam sesaat, lalu bersabda:

“Pelajarilah surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya adalah al-Zahrawan yang menaungi orang yang memilikinya pada Hari Kiamat, seakan-akan dua gumpalan awan atau dua barisan burung.

Sesungguhnya al-Qur’an akan menemui pemiliknya pada Hari Kiamat ketika dia dibangkitkan daripada kuburnya seperti seseorang yang berkulit kuning, lalu dikatakan kepadanya:
“Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Dikatakan (lagi) kepadanya: ““Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Lalu dikatakan: “Aku adalah sahabat kamu: al-Qur’an,
yang telah membuat kamu kehausan pada siang hari
dan menyebabkan kamu tidak tidur pada malam hari.
Sesungguhnya setiap pedagang berada di belakang barang dagangannya
sedangkan kamu pada hari ini berada di belakang semua barang dagangan.”[6]

Lalu dia diberi kerajaan dari arah kanannya, diberi keabdian dari sebelah kirinya,
diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran dan ibubapanya dikenakan pakaian yang membuatkan seluruh penduduk dunia berdiri menghormati mereka berdua. Maka mereka berdua bertanya:

“Dengan apakah menyebabkan kami menerima semua ini?”
Dijawab: “Dengan sebab anak kalian berdua yang mengambil al-Qur’an.”

Kemudian dikatakan (kepada anak tersebut):
“Bacalah (al-Qur'an) dan naiklah darjat-darjat syurga dan ruangan-ruangannya.”
Dia terus naik selama membaca al-Qur’an sama ada secara cepat atau perlahan.[7]


Dimaksudkan yang mengambil al-Qur’an adalah melaksanakan apa yang dituntut ke atas setiap orang Islam terhadap al-Qur’an, iaitu:

1.       Beriman kepadanya.
2.       Membacanya dengan disiplin tajwid.
3.       Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
4.       Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.
5.       Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
6.       Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.

Apabila kita melaksanakan keenam-enam tuntutan di atas sekuat mampu, maka kita dikira telahmengambil al-Qur’an dan diberi kedudukan yang mulia di Hari Akhirat kelak. Kemuliaan ini juga kemudiannya dikurniakan kepada ibubapa kita sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas.”



Sekian, moga bermanfaat.




Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...