Friday, September 2, 2011

Merdeka Seorang Hamba



Beberapa kali kelihatan disiarkan di kaca televisyen perutusan Aidilfitri oleh pemimpin negara yang kita hormati. Perutusan raya itu juga sebenarnya serentak dengan perutusan sempena meraikan ulangtahun kemerdekaan negara Malaysia yang aman permai ini...

“Malaysia telah menjadi sebuah negara merdeka, maka hargailah nikmat keamanan yang telah kita kecapi pada hari ini.”

Inilah antara ucapan yang sering didengar. Alhamdulillah atas segala nikmat Allah.

Namun...jika kita melihat jauh ke dalam liku-liku kehidupan masyarakat, adakah benar kita aman dan damai?

Adakah benar kita ini MERDEKA dari segala penjajahan?

Bangsa yang menjajah negara ini telah lama pergi, namun mereka meninggalkan ‘sesuatu’ yang masih membelenggu kehidupan kita pada hari ini.

Sistem pendidikan, sistem ekonomi, sistem kewangan, sistem budaya, …tidak keterlaluan dikatakan umat islam telah terbelakang dalam menghadapi perkembangan semua sistem ini. Kerana semua sistem ini secara halus telah menekan dan menjauhkan umat islam dari petunjuk yang benar.

Terbelenggu dalam khayalan dunia yang sementara.

Terikat dengan hawa nafsu dan jalan yang dipimpin syaitan serta sekutunya.

Mementingkan pandangan dan penghormatan manusia dari memikirkan pandangan tuhan kepadanya.

Tujuan hidup kabur di hadapan, hanya menurut perubahan zaman yang makin merenggut nilai islam dan keimanan.

Di manakah merdeka, jika sebahagian anak-anak muda islam hidup tak tentu hala… di jalanan merempit, di pusat serenti melalui pemulihan dari najis dadah, sebahagiannya di pusat perlindungan remaja akibat terlanjur, di sekolah pemulihan akhlak kerana salah tingkah…

Mampukah melaungkan merdeka tatkala anak luar nikah makin tinggi statistknya…

Di manakah aman damai jika intistusi pernikahan tidak lagi menjadi tempat teduh yang membangun jiwa, namun runtuh satu persatu tidak tahan dugaan dan godaan zaman…

Moga ini bukan sekadar keluhan, namun pengingat hati ini untuk terus menguatkan diri dengan ilmu dan iman. Hingga mampu mengajak diri sendiri dan orang lain kepada kebaikan, menjauhi kemungkaran.

Perkongsian ini sekadar menjemput muhasabah erti merdeka dari nilaian iman dan islam.

Pada para pelajar - menuntut ilmu bukan sekadar untuk mendapat segulung ijazah atau sesuatu pekerjaan, namun dengan ilmu itu kita ingin mengangkat potensi diri dalam menyumbang kepada ummah. Diri harus bebas merdeka dari ilmu yang makin menjauhkan hamba dari pencipta.

Pada yang bekerja - bekerja bukan hanya untuk mendapat imbuhan gaji setiap bulan, namun sesuatu kerjaya menjadi medan ibadah yang luas dalam menjalani kehidupan sebagai hamba dan khalifah ALLAH. Interaksi di tempat kerja atau apapun urusan pekerjaan, sentiasa diluruskan niat dan caranya agar diredhai tuhan. Diri harus merdeka dari kerjaya yang perlu mengorbankan syariat tuhan.

Pada suami dan isteri, berkahwin bukan sekadar untuk melunaskan kehendak nafsu dan perasaan, namun dipanjangkan niat agar melahirkan umat islam yang komited dan berwawasan. Perkahwinan menjadi wasilah untuk dirinya mencorak keluarga yang baru, yang penuh nilai-nilai islam – yang mungkin berbeza dari situasi keluarga yang dilalui dengan adik beradik dan ibu ayahnya sebelum itu. Keluarga harus merdeka dari mengikuti budaya hidup yang bukan menepati kehendak Islam.

Kita adalah insan berjiwa merdeka jika mengatur dan mengubah pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan kebiasaan hidup kepada jalan yang dipandu Al Quran sebagai petunjuk agung... dari mengikuti sistem dan budaya yang menyesatkan.

Jiwa tidak akan mudah akur pada sesuatu tingkahlaku atau keinginan dalam pergaulan atau penampilan hanya kerana ia telah menjadi trend semasa.

Sesuatu kejadian yang dilalui dalam kehidupan saban hari adalah bermakna pada insan merdeka kerana dirinya sentiasa berhubung dengan tuhan dan merasakan hubungan dengan kehidupan akhirat yang berkekalan.

Diuji kesenangan dan kesusahan, jiwanya tetap memilih untuk mentaati ajaran Rasul dan Al Quran. Sedangkan jiwa yang terhimpit lagi terbelenggu, akan berbuat mengikut telunjuk perasaan.

Sesungguhnya kemerdekaan itu bukan pada zahir luaran, namun pada kehidupan yang luhur mentaati wahyu tuhan..





No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...