Thursday, August 25, 2011

Ibuku, ibuku, ibuku...

Digital Scrapbooking at WiddlyTinks.com
:: Ibu saya, Normah Binti Sabar pada usia 50 tahun, alhamdulillah ALLAH masih memberinya kesihatan ::


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: “Adakah kamu masih mempunyai ibu?"

Jahimah menjawab: “Ya.”

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”

[Hadis Hasan Sahih]

******************

Minggu lepas sewaktu saya berkesempatan berbuka puasa bersama mak dan abah di kampung, kami bersembang-sembang tentang hal keluarga. Tiba pada satu topik, abah mengeluarkan ucapan penghargaan buat mak,

" Abah sangat berterima kasih pada mak sebab jaga anak-anak abah elok-elok.. abah tak banyak bantu mak jaga anak-anak"..

Mak yang duduk di sebelah abah tunduk diam. Saya rasa terharu dalam hati, kerana penghargaan yang amat besar juga sebenarnya buat abah yang bekerja keras mencari nafkah untuk kami sekeluarga. Dan lain-lain peranan mulia abah dalam membesarkan kami.

Saya akui, seorang ibu sepertinya adalah insan yang sangat hebat. Titik.

Sebahagian kita sangat mengerti tentang berbuat baik kepada seorang ibu. Rasa sayang dan hormat yang begitu mendalam lahir buat wanita yang telah mengandung dan melahirkannya.

 Namun ada sebahagian kita yang jauh dari perasaan ini, kerana ada banyak konflik yang tak kunjung sudah dengan seorang insan bernama ibu.

Wahai ibu, kadang-kadang saya merasa saya lebih pandai dan lebih berfikiran terbuka dari ibu.. namun sebenarnya itu hanyalah rasa hati seorang anak yang tidak berusaha menyelami perasaan ibu sebenarnya.

Ibulah sebenarnya adalah orang yang paling pandai..pandai melayani saya dan adik beradik yang lain selama sembilan orang. Hingga saya menjadi diri saya yang hari ini, hingga kami semua menjadi 'pandai dan terbuka minda' seperti hari ini.

Ibu saya hanya bersekolah sampai Tingkatan 3... namun cinta, usaha dan doanya mampu membawa sebahagian anak-anaknya menuntut ilmu hingga ke luar negara. Sesungguhnya ibu jauh lebih berjaya dari kita!

Kini saya telah menjadi ibu... hati saya mampu menangis setulusnya kerana sedikit sebanyak ALLAH mengizinkan saya menyelami hati ibu yang suci murni buat seorang anak.

Menangis juga mengenangkan kehadiran ibu adalah kurniaan terbaik ALLAH pada kita, namun apa usaha terbaik yang kita dah lakukan untuk seorang ibu?

Air mata dan keringat menguruskan anak-anak  yang seribu satu kerenah - kesabaran, ketabahan, pengorbanan, senyuman dan belaian untuk anak - wahai ibu, dengan apakah mampu ku bayar semua ini?

Adik-adikku yang dikasihi, ayuh kita membalas kebaikan ibu dengan akhlak kita yang terbaik. Berbicara dengan sopan lemah lembut, membantu saat ia memerlukan, menziarah yang termampu dan yang paling penting, doa yang berterusan moga ibu dimasukkan ke taman syurga.

Saya sangat sayang ibu saya, Normah binti Sabar. Dia ibu yang sangat bertenang dan sabar. Tapi saya pernah beberapa kali membuat ibu menitiskan air matanya.. Ya ALLAH, ampunkan dosaku pada ibu..

Saat ini, bila melihat ibu melayan baik anak saya dan cucu-cucunya, itu juga adalah kerana sayangnya pada kami. Semua darah dagingnya dilayani dengan baik...

Menjadi ibu itu sangat payah. Ketika ibu membuat keputusan dan arahan yang anak tak suka, itu kerana ibu melihat kebaikan untuk anaknya.

Kini setelah dewasa, kita mungkin rasa tak sependapat dan tak sepakat dengan ibu dalam banyak perkara, namun usahakanlah agar penjelasan dan tindakan kita itu dalam cara terbaik yang menjauhkan hati ibu dari tersinggung dan terluka.

Pesanan untuk hati ini, bukankah Ramadhan bulan membina taqwa...? Ayuh kita jadi anak yang bertaqwa.

Beberapa hari lagi insyaAllah kebanyakan kita bertemu ibu bapa sempena Raya, moga kepulangan dan keberadaan kita bersama mereka, menggembirakan mereka terutama si ibu.

Niatkan dan rancang bakti terbaik untuk ibu, jika kita adalah anak yang duduk berjauhan. Pada adik-adik tersayangku yang memang duduk jauh dari ibu - teruskan doamu untuk ibu, agar ibu diberi bahagia di dunia dan di syurga...

Pada suami, walau telah punya isteri dan famili, moga ibu termasuk menjadi prioriti. Moga isteri dan anak-anak turut meneladani.

Pada isteri, di sebalik tanggungjawab pada suami, usahakan jua bakti semampunya pada si ibu.. alangkah indahnya berbakti pada ibu bapa dengan redha suami. Doronglah suami untuk berbuat baik dan memberi perhatian pada ibu..

Di akhir coretan ini, saya kongsikan sebuah lagi hadis yang menjadi motivasi untuk kita benar-benar berbuat baik pada ibu.
Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, “Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?”

Ibn ‘Abbas bertanya: “Apakah ibu kamu masih hidup?”

Dia menjawab: “Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: “Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.”

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?”

Ibn ‘Abbas menjawab: “Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.” [Sahih Bukhari]


Ayuh meraih syurga yang di bawah telapak kaki ibu!




Hadis-hadis diambil dari: http://hafizfirdaus.com/ebook/Ayah_Ibu/ibubapa%20sunnah%203.htm




No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...