Monday, September 26, 2011

Bersediakah menghadapi mati?




Tengahari semalam, sewaktu saya sedang kusyuk menikmati lunch, seorang sahabat menelefon berkongsi kisah kematian seorang teman di kampungnya yang berusia 20an..

Saya pun membuka bahan-bahan bacaan yang menceritakan tentang kematian.. Kerana saya sendiri sering terlupa - bila-bila saja kematian boleh mendatangi.. Saya ingin mengingatkan hati ini.

Dalam dunia, semua perkara tak pasti.. Kecuali mati. Mati itu pasti.

Tapi.. Adakah saya bersungguh-sungguh mengejar perkara yang pasti..?

Sedangkan..kita bersungguh berusaha untuk perkara yang tak pasti..

Tak pasti dapat jadi kaya, dapat kahwin, dapat habiskan pengajian, dapat naik pangkat, dapat lihat anak membesar.. etc

Setiap hari bangun tidur, makan minum, pergi dan balik kerja, beramah mesra, senyum gembira, sedih tertekan, marah dan geram, duka dan hiba..

Merancang untuk sambung belajar.

Merancang untuk membina keluarga.

Merancang kenduri kahwin.

Merancang pindah rumah.

Merancang masa depan anak.

Macam-macam perancangan dan persediaan.

Suatu ketika, tangisan rasul menghibakan hati para sahabat sewaktu baginda di sisi kubur..

“Bersiap sedialah kalian untuk hal yang sebegini” ujar baginda… iaitu hal kematian.

Adakah kita orang yang bijak dan cerdas??

“Orang yang paling bijak sebenarnya mempersiapkan dirinya untuk kematian” (Shahih Ibnu Majah)

Dalam kehidupan yang sementara.. Jangan kita keliru antara alat dan tujuan..

Alat = wang, ijazah, jawatan, harta, suami/isteri dan lain-lain yang sewaktu dengannya...

Tujuan = Allah dan Rasul, redha dan keampunan tuhan, syurga...

Bila alat menjadi ujian, jangan tujuan hidup kita korbankan..

Imaginasi kita tinggi untuk cita-cita dunia..

Adakah tinggi impian dan imaginasi kita untuk syurga..?

Adakah neraka menjadi ketakutan kita?

Atau ketakutan kita hanya pada kesempitan dan kesusahan di dunia...?
 
Moga saya tidak salah memberi makna pada kehidupan ini..

Hidup hanya sekali, cari lah erti yang hakiki..







Thursday, September 22, 2011

Bila Cinta Berubah Rasa & Warna




Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (11:112)

Kata seorang teman, kenapa setelah beberapa ketika, cinta pada ALLAH dan Rasul, jua cinta kepada islam menjadi seakan semakin pudar..

Sedangkan dulu saat mula-mula ‘mengenali’ islam, punya hamasah [semangat] yang tinggi. Hati sangat mudah tersentuh dan bergelora dengan pengisian yang bernuasa ketuhanan dan perjuangan ummah. Waktu itu, terasa teguhnya cinta untuk terus melangkah di jalan dakwah dan tarbiyyah yang sulit, panjang dan meletihkan.

Luah seorang rakanku yang lain, Siew Lee [bukan nama sebenar] juga berkongsi rasa yang sama.

Dirasakan semakin hari kian luntur izzah dan cintanya pada agama yang dimaklumi syumul dan indah ini. Dalam ia masih mengakui keberadaan ALLAH dan keinginan meraih redhaNYA, hatinya terasa makin melemah dan malap, tidak hangat dengan iman seperti awal- awal ia kembali menjadi muslim.

Kadangkala Siew Lee terasa ingin kembali ke pangkuan keluarga yang telah agak tersisih dan menyisihkan lantaran keputusannya meninggalkan agama nenek moyang. Sedangkan, ketika ia memilih menjadikan ALLAH sebagai tujuan dan arah ketaatan, hatinya merasa teguh di atas jalan mentauhidkan ALLAH.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku hingga kita ingin berpaling dan menjauh dari kebenaran dan keindahan iman ini..?

Kenapa seakan tidak mahu lagi mencintai iman ini dan ingin membiarkan ia pergi hanyut dalam lautan kehidupan yang bergelora dengan ujian yang menipudaya..

Duhai saudara, hati ini juga berjuang mencari nilai keimanan dan bermujahadah menghidupkan rasa cinta pada NYA, RasulNYA dan agamanya yang tinggi. Ada detik-detik kemalasan, kebosanan, kelelahan menyerang dashyat hingga kadangkala terasa memilih untuk melepaskan semua yang telah ku dakap erat sebelum ini..

Cinta berubah warna dan rasa hingga hati terasa ingin melalui kerehatan dan kesenangan selamanya  tanpa perlu mujahadah untuk istiqamah memperbaiki diri dan berada di jalan menyebarkan risalah yang terasa amat sukar dan jauh ini..

Ya benar, cinta itu akan selalu berubah-rubah, pudar hingga rosak jika tidak ada penjagaan yang konsisten dan bersesuaian.

Cinta itu mana mungkin segar mekar jika tidak dipupuk dan dibajai dengan cinta Yang Maha Agung. Di dunia ini, cinta itu akan membawa jemu dan hilang jika tidak diusahakan keindahannya…

Ayuh kita renung-renungkan apa yang boleh diperbuat agar terus kita meniti perjalanan kehidupan ini dengan semangat menjadi mukmin dan muttaqin yang terus memimpin diri dan insan keliling ke jalan yang benar..

Mungkin banyak yang boleh dilakukan, di sini saya kongsikan sebahagian kecilnya buat peringatan diri sendiri juga kalian pembaca yang kukasihi di jalan Ilahi.

Pertama, teruslah dekat dengan Al Quran.

Cinta akan memudar jika amat jarang bertilawah, mentadabbur, memahami dan lebih penting, bagaimana mungkin cinta hadir pada ALLAH jika tidak berusaha untuk merealisasikan segala yang dibaca dan dipelajari dari ayat-ayatNYA..?

Jika cinta rasa hambar, bertanya lah pada diri, di mana letaknya AL Quran dalam hati dan pekerti diri..? Betapa pentingnya Al Quran, ayuh kita melazimi seluruh ayat dan surah Al Quran - bukan sekadar surah Yasin atau surah-surah pilihan yang lain.

‘Hurm, rasa macam tak ada masa nak bertilawah dan tadabbur..’

‘Masa itu adakalau kita menyediakannya.. bangun awal dan bahagikan minit-minit yang ada dalam 24 jam sehari untuk bertilawah dan tadabbur..’

Kedua, seringlah berada dalam lingkungan yang solehah.

Carilah dan dekatlah dengan majlis ilmu, dekatlah dengan orang-orang yang menjadikan syurga sebagai motivasi amal. Jika bi’ah itu kurang solehah, maka kitalah yang perlu kuat.. perlu sangat kuat untuk menghidupkan aura keimanan pada situasi yang sedemikian, bukan sekadar bergantung pada orang lain dan mengharap kekuatan keimanan mereka.

Carilah orang-orang yang berilmu, yang mana ilmunya tidak lain menjadikan dia dan kita semakin beriman, semakin dalam kecintaan.

‘Kat tempat saya ni susah, takde majlis ilmu, takde taa’lim dan daurah..'

Tak mengapa, maka - kitalah orang yang pertama-tama memberi ilmu, untuk memberi kena memiliki..  sediakan masa untuk mendalami ilmu dengan membaca, mengkaji, atau gunalah apa jua sarana untuk belajar.. hingga akhirnya kita mampu membina bi’ah solehah sesama ahli keluarga, adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sesiapa jua..insyaALLAH.

Cukup sekadar ini, insyaALLAH saudara-saudara pembaca sekelian, bersama kita berusaha memberi warna dan rasa manis pada cinta yang dikurnia ALLAh ini..

Ayuh terus mujahadah mencintai iman, hingga amat besar kecintaan hati-hati kita pada Tuhan Yang Maha Menjadikan…




*Artikel lama yang diubahsuai.




 

Monday, September 19, 2011

Wahai suami kaya, berpoligamilah...



Dari pengalaman, pembacaan dan pengkajian seterusnya tentang poligami, saya bersetuju dengan pandangan yang menganjurkan agar suami-suami yang kaya dan berkemampuan terlibat dengan projek pernikahan bernama poligami.

Agar kekayaan material yang dimiliki oleh seorang suami dapat dimanfaatkan kepada lebih dari satu isteri & satu keluarga.

Ya, tidak semestinya kekayaan dapat diagihkan hanya melalui poligami, namun sedekah harta suami yang poligami kepada para isteri dan anak-anak turut hadir bersama rasa cinta kasih seorang suami kepada wanita.

Wahai suami yang kaya, kalian diperlukan para wanita yang masih sendiri untuk merasai indahnya sunnah pernikahan.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Maha Melimpah Kurnianya. Bila melihat suami sendiri mampu berbagi-bagi keselesaan hidup dengan keluarga para isteri, maka saya lebih nampak betapa sangat dianjurkan bagi lelaki yang mampu - agar menikah lebih dari satu.

Bukankah semakin banyak harta dikongsi dengan orang lain, pulangan dari Allah juga melimpah ruah?

Seorang isteri juga adalah setiausaha yang seharusnya membantu suami untuk memanfaatkan harta ke jalan yang diredhai. Namun terlebih dahulu saya dan kalian yang bergelar isteri harus merasa cukup (qana'ah ) dengan apa yang telah diberi oleh suami.

Berkongsi kisah peribadi, antara soalan yang sering tiba pada saya sebagai isteri pilot ialah " Dah banyak lah ya melancong ke luar negara?"

Hmm kalian lupa ya, yang banyak terbang di awan biru adalah suami saya :D
Saya pula adalah 'kapten' yang menjaga urusan rumahtangga dan anak-anak. Walaupun mampu, setakat ni alhamdulillah keluarga kami tidak menjadikan melancong ke luar negara sebagai aktiviti tahunan keluarga.

Saya pun lapang hati bila kos untuk melancong ke sana sini diganti kepada bantuan untuk ahli keluarga, saudara mara atau teman teman yang lebih memerlukan. ( takpe kan berkongsi cerita memberi bantuan ? )

Moga lebihan rezeki juga membawa saya mendorong suami untuk bernikah lagi. Dan sesungguhnya kasih sayang dalam perkahwinan juga adalah rezeki yang amat berharga dari Allah.

Pada yang suka melancong, silakan jika mampu. Dalam masa yang sama, jadikanlah aktiviti melancong itu memberi pahala kepada suami yang menaja, bukan sekadar jalan jalan berbelanja untuk kepuasan sendiri ya :-)

Pada suami yang berpendapatan lima angka, anda mudah saja diluluskan pihak mahkamah jika bermohon berpoligami. ( tapi keseluruhannya tak lah semudah yang disangka ) :-P

Ohh jika membaca tentang ini, tentu suami yang kaya berkemampuan berkata,

"Saya memang dari dulu berhajat berpoligami, insyaAllah saya mampu nak menampung lebih dari satu famili. Tapi isteri saya tak boleh terima.."

Jadi mungkinkah sahabat-sahabat, kakak-kakak di luar sana yang punya suami kaya sudi berkongsi kasih sayang dengan wanita-wanita lain...?

Moga kalian para isteri juga memperoleh ganjaran yang bernilai dari Allah atas usaha menghadiahkan pernikahan (baca: suami sendiri) kepada wanita lain.

Pasti suami akan bertambah sayang pada isteri yang membantu memudahkan perjalanan pernikahan keduanya. ( atau ketiga & keempat)

Apapun, bila berbicara tentang 'suami kaya', ia adalah subjektif. Penafsiran kita semua berbeza beza tentang kaya.

Maka saya bukan menggalakkan suami yang kaya harta, tetapi juga kaya budi bahasa.

Sesungguhnya lelaki kaya yang layak berpoligami adalah lelaki yang juga kaya hati dan budi bahasa - itulah kekayaan sebenar yang dipesan oleh Rasul.SAW.

Dalam kehidupan suami isteri, kekayaan hati lah yang perlu suami isteri bangunkan bersama-sama.

Bukankah isteri yang dicintai suami adalah juga isteri yang kaya budi perkerti? Yang tulus mencintai, yang halus cantik perkataan dan perbuatan...

Keharmonian dan kebahagiaan - poligami atau monogami - adalah pada hati yang kaya, berlapis-lapis kesabaran dan perilaku mulia. Jua pada hati yang lapang dan kuat menongkah gelombang rumahtangga. Inilah maksud hakiki insan yang kaya.

Dan semua sifat hati serta akhlak mulia lahir dari kayanya ilmu. Diriku dan dirimu adalah benar insan yang kaya jika semakin bertaqwa dengan bertambah ilmu..

Jadi para peneraju rumahtangga perlu bekal hati yang banyak, kaya jiwa buat mengganti jiwa yang lemah dan tersalah dalam mengharung onak duri kehidupan.

Bernikahlah, berpoligamilah buat insan yang kaya ilmu & akhlak mulia..rancanglah sumber ekonomi, dan yakinlah bahawa isteri isteri dan anak anak akan dicukupkan rezekinya oleh Allah, bukan oleh gaji lima angka.



Published with Blogger-droid v1.7.4







Sunday, September 18, 2011

Seks & Kewangan : Ujian Normal Perkahwinan




:: Kali ini saya ingin berkongsi beberapa cabaran alam pernikahan yang dilalui oleh seorang teman bergelar isteri, yang mana pernikahannya belum pun mencecah setahun.

Namun sebenarnya bukan beliau seorang sahaja menghadapi cabaran tersebut - konflik isu kewangan dan hubungan seksual- melainkan perkara ini turut dikongsi oleh kebanyakan para isteri [ dan suami] yang masih baru hidup bersama dan berumahtangga.

Jadi para isteri di luar sana, jangan gusar sangat ya.. Bukan kalian seorang yang menghadapi isu kewangan dan isu seksual yang sangat sensitif ni..

Isteri tersebut meminta pandangan dan nasihat dari suami saya (yang juga Kolumnis Majalah Pengantin)  untuk membantunya menyelamatkan rumahtangga, dan di sini saya sertakan musykilahnya dan jawapan suami saya kepada permasalahannya. Moga menjadi panduan bersama ::


CABARAN KEWANGAN & KEMESRAAN


Sebenarnya saya ingin meminta nasihat dan pandangan daripada ustaz tentang masalah rumahtangga yang saya hadapi. Saya baru sahaja berkahwin selama 7 bulan dan sekarang mengandung 6 bulan. Dalam tempoh yang singkat ini, saya telah merasai cabaran berumahtangga dan sering berendam air mata.


Masalah saya :-


1- Suami sering merungut apabila hendak membeli barangan keperluan asasi seperti barang dapur dan lain-lain walaupun sebahagian barangan elektrik dalam rumah seperti peti ais dan mesin basuh adalah dibeli oleh saya.

2- Suami berubah karakter selepas berkahwin. Semasa bertunang dia tidak kisah untuk menelefon saya setiap malam tetapi setelah berkahwin dia bagaikan terpaksa menelefon saya (itupun kerana telah membuat perjanjian sebelum kahwin untuk menelefon setiap malam kerana kami tinggal berjauhan dan dia hanya pulang seminggu sekali).

3- Enggan berbual dengan saya kerana dia mengatakan saya hanya berbual topik yang sama setiap hari dan membosankan. Apa topik perbualan yang berlainan saya pun tidak faham. Sedangkan saya berbual tentang isu semasa.

4- Enggan mengadakan hubungan intim. Mungkin dia terasa jijik dengan kulit saya kerana dia pernah menegur kulit saya bersisik. Jika ingin pun dia akan menunaikan hajat tanpa pemanasan terlebih dahulu.

Apa yang perlu saya lakukan untuk menyelamatkan rumahtangga saya? Saya harap ustaz dapat memberi penyelesaian terhadap setiap masalah yang saya senaraikan tersebut.

Segala budi baik ustaz saya hargai dan moga Allah swt sahaja yang dapat membalasnya. WA



:: Jawapan ::

 
Sedikit pandangan dan nasihat saya (Hafiz Firdaus Abdullah) berkenaan ujian yang ukhti hadapi:

Pertama:

Rumahtangga ukhti masih muda, lebih kurang enam-tujuh bulan. Ukhti nyatakan ia lebih banyak dalam suasana tercabar dan kesedihan.

Persoalan saya, sejauh manakah telah ukhti dan suami usahakan agar rumahtangga kurang tercabar dan lebih harmonis?

Umumnya kebanyakan pasangan berusaha bersungguh-sungguh untuk berkahwin sehari. Semua tenaga, mental dan fizikal, dicurahkan kepada satu hari, iaitu hari majlis pernikahan. Sementara fasa selepas pernikahan jarang-jarang diberi tumpuan.

Sebenarnya yang patut diberi tumpuan ialah fasa selepas perkahwinan.

Perbanyakkan ilmu berkenaan hubungan rumahtangga. Carilah buku-buku berkenaan “relationship” walaupun ia ditulis oleh pihak bukan Islam. Kajilah ia sungguh-sungguh. Juga banyak berkongsi dengan rakan-rakan yang telah lama berumahtangga, agar pengalaman mereka menjadi iktibar bagi kita.

Ketahuilah bahawa kebahagiaan rumahtangga adalah sesuatu yang diusahakan berdasarkan ilmu, ia bukan tunggu dan lihat kemudian merungut memikirkan nasib yang yang sengsara. Ketahuilah juga bahawa usaha ini sentiasa berterusan hingga akhir hayat, bukan untuk setahun-dua pertama perkahwinan.

Kedua:

Seorang suami, sekalipun disangka oleh isteri sebagai pemimpin yang matang dan lelaki yang hebat, tetap adalah manusia yang memiliki kelemahan. Antara kelemahan paling ketara ialah tidak tahu atau enggan meluahkan apa yang ada di dalam perasaannya, apa yang ada dalam emosinya. Ini berbeza dengan isteri yang mudah meluahkan.

Maka jika suami ukhti merungut tentang membeli barang keperluan asasi, ia sebenarnya isyarat kuat bahawa dia memiliki cabaran kewangan.

Banyak faktor yang boleh mempengaruhi, seperti faktor ahli keluarga yang akan bertambah (kos bayi seperti lampin, pakaian dan sebagainya), kerjaya (kena potong gaji dalam suasana ekonomi merudum), keluarga (yuran pendidikan adik-beradik), bayaran hutang (biasiswa, PTPTN), jarank yang jauh (kos pengangkutan, petrol, tiket) dan lain-lain. Semua ini boleh mengganggu ketenangan kewangan suami.

Sisi positif pula, ia mengisyaratkan suami prihatin kepada hal-ehwal rumahtangga dan merasa berat tanggungjawab pada pihaknya untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi. Suami seperti ini memiliki rasa tanggungjawab dan ia lebih baik berbanding suami yang tak pernah merungut dan tidak menyediakan sumber kewangan. Bererti dia tidak kisah langsung tentang hal-ehwal rumahtangga.

Maka jangan pula ukhti merungut atas rungutan suami. Ia tidak membantu suasana.

Sebaliknya jadi isteri yang menenangkan, memberi keyakinan kepada suami bahawa apa yang ada sudah mencukupi, memberi jaminan bahawa ukhti akan membantu mengukuhkan kewangan keluarga dan menghubungkan suami kepada Allah bahawa semua rezeki berada di tangan-Nya, maka jangan berputus asa dari rezeki-Nya.

Ketiga:

Karakter bagaimana yang ukhti harapkan dari suami? Juga karakter bagaimana yang ukhti tampilkan kepada suami?

Tentu sahaja ada perbezaan selepas pernikahan kerana sebelum pernikahan hanya kelihatan bunga ros sementara selepas perkahwinan nampak duri-duri di bawah bunga ros. Akan tetapi ini tidak bererti bunga ros sudah hilang. Bunga rosa tetap ada sementara duri-duri berperanan menjaga bunga ros.

Sebagai permulaan, karakter suami ialah dia tidak suka isteri menyuruh dia melakukan sekian-sekian perjanjian, kerana memberi isyarat isteri mengekang suami (seolah-olah mengongkong suami).

Justeru jangan gunakan cara perjanjian, sebaliknya gunakan cara berhikmah:

 “Sayang amat suka jika abang call bila kelapangan. You are my one and only hero that I would love to talk to. Tetapi kalau abang tak call tak mengapa, sayang tahu abang sibuk bekerja demi kita dan anak anak kita ini”.

Selain itu, suami bukan spesis yang berkomunikasi kerap, berbeza dengan isteri yang suka berkomunikasi.

Tak percaya, cuba perhatikan kebanyakan surau di pejabat, pusat membeli belah atau lapangan terbang. Surau lelaki dan perempuan sering bersebelahan. Surau perempuan kerap ada persembangan sehingga mengganggu kekhusyukan manakala surau lelaki senyap saja sehingga dianggap tiada orang.

Maka ambillah jalan pertengahan, daripada perbualan setiap hari kepada perbualan dua tiga kali seminggu.

Sebelum menalifon, pastikan anda kreatif mencari topik menarik untuk disembang-sembang, umpama “Abang, bayi dalam kandungan ini tiba-tiba bercakaplah, dia kata dia riinndduu sangat kepada ayahnya dan suka nak dengar suara ayahnya yang menalifon”.

Keempat:

Enggan melakukan hubungan intim?

Saya ajak ukhti berbaik sangka bahawa mungkin suami letih bekerja, mungkin suami prihatin kepada kesihatan bayi dalam kandungan, mungkin suami tidak tahu kepentingan memanaskan suasana sebelum melakukan hubungan dan mungkin cuaca sangat panas sehingga suami tak selesa atau terus panas.

Di sini yang penting ialah komunikasi.

Lelaki suka seks tetapi tidak bererti mereka pandai seks. Berkomunikasilah dengan menerangkan apa yang disukai dan apa yang tidak disukai ketika sedang melakukan hubungan intim. Jangan ajar suami cara buat seks tetapi cerita apa yang disukai dan apa yang tidak.

Kelima:

Kulit bersisik? Amat penting bagi isteri menjaga penampilannya di hadapan suami, dari kelembutan kulit hinggalah kelembutan rambut, dari bau badan hinggalah bau nafas. Jika ada sesuatu yang tidak disukai suami, carilah jalan mengubahnya seperti krim kulit dan sebagai.

Jika tidak dapat diubah maka berterus teranglah dengan suami.

Demikian sedikit sebanyak pandangan dan nasihat saya. Saya menujukannya kepada kedua-dua suami dan isteri kerana usaha keharmonian rumahtangga memerlukan usaha dari kedua-dua suami dan isteri.

Jangan hanya merungut suami itu dan ini, sebaliknya renungilah diri sendiri sebagai isteri, apa yang boleh anda lakukan untuk mengubah dari air mata kesedihan kepada air mata keriangan.

:: Moga bermanfaat buat pengantin baru dan lama ::




Friday, September 16, 2011

Kelembutan & Kemaafan Akan Menang




:: Sesungguhnya syaitan telah merosakkan hubungan antara aku dan saudara-saudaraku
(surah Yusuf) ::


Seorang teman berkongsi masalah tentang konflik dan permusuhan berpanjangan yang dibina oleh saudara terdekatnya. Saya mendengar dan memberi nasihat semampunya agar dia tidak berputus asa mencari ruang perbaikan.

Sesungguhnya hidup adalah medan ujian, dan andai kita menginsafi ALLAH Yang Maha Berkuasa mentakdirkan segala keaadan, insyaALLAH akan hadir secebis ketenangan.

Temanku, kembalikan lah keikhlasan benar-benar untuk meraih keredhaanNYA. Berbuatlah kerana ALLAH. Jika berbuat kerana manusia, kecewa dan putus asa pasti ada...

Dalam menghadapi kekerasan sikap mereka, teruslah berlembut. Kerana sesungguhnya ALLAH SWT mencintai kelembutan dan kasih sayang, seperti mana yang Rasulullah SAW ungkapkan dalam hadith yang sahih Riwayat Muslim, baginda berpesan kepada Aisyah,

"Wahai Aisyah, sesungguhnya ALLAH itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut, akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras..."

Maafkanlah walaupun berat.. Maafkanlah kerana ALLAH...

Betapa sakit sekalipun yang dirimu rasai kerana perbuatan mereka, berusahalah memaafkan hingga hatimu benar-benar tersentuh pada kedamaian..

Pesanan baginda SAW juga dalam hadith sahih Riwayat Muslim insyaALLAH memotivasikan kita..

"...Tidak ada orang yang memberi maaf pada orang lain melainkan ALLAH akan menambah kemuliaannya..."

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Payahnya situasi berburuk sangka, bilamana kebaikan yang dirimu hulurkan hanya dipandang sebagai keburukan yang tak kunjung sudah. Apapun, di samping berdoa, di mana kesempatan yang ada - taburkanlah benih-benih bakti kebaikan dan kasih sayang agar mencantum hati yang lemah terpisah.

Biarlah temanku, masa yang menentukan. Dirimu telah berusaha menyambung silaturahim.  Mereka akan terus duka jika menyempitkan ruang kemaafan dan perbaikan, mereka akan terus derita jika melihat kesusahan yang mereka alami hanya kerana tindakan dirimu.

Sedangkan, apapun ujian yang datang adalah dari Ar-Rahman... Lihatlah semua ini dari pandangan Al Quran dan Sunnah.. Agar lapang hatimu untuk redha lagi memaafkan.

Apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup ini?

Kita mahu menjadi hamba yang benar-benar diredhai tuhan. Selalu lah ingat tujuan akhir ini, buat meringankan jiwa yang diuji kesulitan.

Kita hanya mahu mencari nilai diri di sisi ALLAH... Kita mencari kecintaan ALLAH yang akan mengalirkan rasa cinta manusia pada kita.. kita takutkan kebenciaan ALLAH, yang tatkala ALLAH membenci, manusia selalu juga akan turut membenci..

:: Moga diri saya dan kalian termasuk dalam orang-orang yang selalu mensucikan hati ::




Sunday, September 11, 2011

Poligami & Balik Raya


:: Abdullah sebagai co-pilot mama di kerusi belakang, sila bagi kerjasama ya.. insyaALLAH mama boleh drive dengan bertenang ::


 InsyaALLAH di pagi isnin ini saya akan pulang ke kampung Kuala Pilah. Menziarah mak abah di musim raya ‘orang Malaysia’ yang masih berbaki dua minggu. Alhamdulillah Hari Raya Pertama hari itu saya sempat pulang ke kampung tapi ramai sekali tetamu mak dan abah, kami tak sempat bersembang sangat. Jadi pulang kali ini lebih banyak masa bertukar cerita insyaALLAH.

Hmm mesti ada orang yang rindu kat mak abah kan..Pada kakja dan bancik, adinda-adinda tersayang saya yang tak dapat balik raya tahun ni, mak dan abah pastinya tak lupa kalian berdua :D …kami pun ingat kalian.

Alhamdulillah, Syawal ini adalah tahun ketiga saya menyambut Eidulfitri sebagai seorang isteri. Bertambah serinya dengan kehadiran seorang lagi cahaya mata.

Ada yang bertanya, kalau poligami, macam mana dengan giliran Hari Raya?

Setakat ni, kami isteri-isteri bergilir-gilir raya dengan suami. Minggu pertama Syawal tahun lepas, suami dengan keluarga pertama. Jadi tahun ni, suami dengan keluarga saya pula.

Apapun, berbincanglah dengan suami sebaiknya, dan dari perbincangan suami dengan isteri-isteri – buatlah keputusan dengan kesepakatan dan rasa kasih sayang. InsyaALLAH ahli keluarga merasa lapang dan tenang, jua boleh elakkan rasa tak puas hati.

Antara tips penting, bila suami berusaha adil dan menggembirakan semua isteri, maka isteri pun berusahalah permudahkan suami merancang dan membuat keputusan. Sebelum isteri ada apa-apa permintaan dan keinginan, fikirkan situasi suami dan keluarga isteri yang lain juga.

Jika isteri ada perancangan tersendiri, awal-awal lagi komunikasikan dengan jelas. Jangan sesekali kita harap suami boleh ‘print’ dari hati dan fikiran kita – apa yang kita mahu dan harapkan.

Jangan berkomunikasi tentang plan balik kampung atau plan beraya dengan sekadar mimik muka, atau renungan atau jelingan heee …perlu ada suara – susun perkataan elok-elok dan kawal nada ya, supaya tak berlaku salah faham antara suami isteri. InsyaALLAH.

Mak dan abah saya sendiri pula, sudah sedia maklum yang menantunya ini (suami saya) akan jarang balik kampung - kerana kerja dan urusan keluarga lagi satu. Sebelum bernikah lagi, perkara ini telah saya dan suami komunikasikan dengan jelas pada mak abah. Jadi samaada saya balik seorang, atau berdua dengan Abdullah atau bertiga dengan suami, mak dan abah gembira saja. Tidak menjadi isu yang merenggangkan hubungan.

[Tapi suami dah ingatkan isteri-isterinya ini agar aktiviti ziarah parents di masukkan dalam to-do-list setiap bulan].

Pada ibu ayah, asalkan kita gembira, mereka gembira. InsyaALLAH. Janganlah pula depan suami kita macam ok beraya sorang, tapi depan mak abah kita teresak esak atau berwajah muram kerana pulang beraya ke kampung tanpa suami.

Lain orang, lain cerita rumahtangganya. Cerita raya suami isteri pun berbeza-beza. Ada yang aman gembira di hari raya. Ada yang bergaduh bila Syawal menjelma. Ada yang makan hati berulam jantung. Ada yang aman, ada pula yang tertekan kerana tak cukup wang.

Tak perlu kita membanding cerita rumahtangga, kerana setiap kita berbeza karakter dan kemampuan, berlainan jiwa dan citarasa. Mana yang baik jadikan pedoman. Kita usaha dan doakan saja, moga ALLAH merahmati rumahtangga kita semua :)

Apappun, pada hari Raya - pada yang bujang atau berkahwin, yang berpoligami atau tidak, jangan hilangkan roh Ramadhan ya.. Seperti tazkirah sahabat saya Rohayu Abdullah beberapa hari lepas - antara hikmah Ramadhan ialah ia menjadi wasilah mengatur masa kerja, masa ibadah, masa makan, dan aktiviti lainnya dengan sangat indah. Semangat dengan Quran dan solat yang tinggi, hati lunak, lidah terjaga.

Tiba Syawal yang gembira, jangan kita rosakkan dengan banyak makan, banyak tidur, dan perkara lainnya yang sia-sia lagi berdosa. Jangan rasa down untuk terus belajar dan melakukan ibadah sunnah, teruskan rajin bekerja, banyakkan berbuat baik pada orang lain dengan sarana apa sekalipun mengikut kemampuan.

Doakan saya selamat sampai ke kampung esok ya…Awalnya saya merancang balik ke Kuala Pilah hari isnin lepas, tapi kedua-dua kereta kami ALLAH uji dengan kerosakan, maka kami pun keresahan :D

Pada suami saya yang berusaha menguruskan kenderaan kami para isteri, ALLAH saja yang mampu membalas kebaikan dan sumbangannya.

Sekarang kereta-kereta dah baik, jadi saya atau kalian sebagai Kapten (baca:driver) kena pastikan diri sendiri dalam keadaan yang baik– emosi, mental dan fizikal. Untuk emosi, tenangkan hati dengan doa dan zikrullah.

Untuk mental, bersedialah menghadapi perkara yang diduga dan tak diduga. Berdua dengan anak - harus saya menjangkakan anak tidur sepanjang perjalanan atau ‘berpidato’ atau menjerit kebosanan..

Persediaan fizikal – jangan lupa mandi atau bersihkan diri supaya segar. Dapatkan rehat dan tidur yang cukup. Kalau mengantuk berhenti tidur sebentar di R &R, bukan makan gula-gula atau chewing gum atau kuci, tak baik tau untuk kesihatan :D

Sekian perkongsian kali ini, moga ALLAH izinkan kita bertemu lagi~ insyaALLAH~

 
 
 
 
 

Friday, September 9, 2011

Lembutkan Hati Dengan Berdoa




Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah.
[al-Taghabun 64:11]

Keliru dengan lamaran dan pilihan membuat jodoh. Insan yang disukai, rupanya memilih orang lain sebagai teman hidup. Yang melamar, tidak pula berkenan di hati.

Umur bertambah panjang, namun masih sendirian.

Pertunangan terputus sewaktu pernikahan kelihatan dekat di hadapan.

Suami tekad dengan niat berpoligami sedang ia terlalu berat diterima perasaan.

Hidup kucar kacir kerana ‘buatan orang’ menguasai keadaan.

Rumahtangga jauh dari sinar bahagia, hanya duka dan derita jiwa yang dirasa.

Permusuhan keluarga dan adik beradik seolah tak berkesudahan.

Ke sana sini terasa sempit kerana ujian kewangan, bertimbun hutang.

Banyak perkara yang berlaku, ternyata di luar kawalan kita. Kita mengharap, namun tak dapat. Kita mengelak, namun tetap kesakitan dan kesulitan itu mendatangi – hingga hati merasa semakin di bawah tidak berdaya menampung ujian kehidupan yang ALLAH rencanakan saat ini.

Teman-teman yang sangat saya kasihi, terima kasih atas semua perkongsian dan respon kalian pada tulisan-tulisan saya di sini. Saya sangat menghargai, kerana cerita suka duka kalian memberi pengajaran dan kisah untuk dijadikan pedoman.

Ada juga cerita-cerita kalian yang mengundang titis air mata ini kerana dapat saya rasai kegetirannya, dan betapa kalian berusaha untuk tetap berada dalam kebaikan sewaktu pihak-pihak lain memberi cabaran yang menguji perasaan.

Duhai teman, kita ini tidak lain hamba yang selalu berada dalam pengawasan dan aturan ALLAH. ALLAH memberi ujian kesulitan itu salah satunya dengan sifat Ar Rahman –Yang Maha Pengasih. Kerana kasih, hambaNya diuji.

“Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya.” (Hadis)

Tidak sesekali ALLAH menzalimi kita. Maha Suci ALLAH dari kezaliman. Bukan ALLAH tidak tahu fikiran dan perasaan kita yang tak tenang, malah ALLAH Maha Mengetahui setiap titis air mata yang terbit di kelopak mata.

Ujian ini tidak murah, kerana ia adalah wasilah menuju cinta mahal lagi terindah – cinta ALLAH. Malah kerana ALLAH mengasihi kalian, ujian-ujian itu didatangkan.

“…Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian. Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah)”.

(Riwayat Tarmizi)

Ketika kita tidak mampu lagi untuk berbuat apa, atau tidak nampak cara apa lagi untuk keluar dari masalah dan persolaan yang menduga, jangan lupa untuk terus berDOA.

“Sesungguhnya ALLAH Maha Pemalu lagi Maha Pemurah, DIA malu terhadap hamba-hambaNYA apabila mengangkat kedua tangannya lalu mengembalikan keduanya dalam keadaan kosong". (Riwayat At-Tarmizi)

Berdoalah menyatakan harapan dan kedukaan.

Berdoalah meluahkan kesakitan perasaan, kesepian dan memohon ketenangan.

Doa bukan untuk dihembus –hembus pada orang, bukan dihafal kosong tanpa difahmi. Bukan tulis pada kertas dan direndam lalu diminum, bukan untuk ditiup dalam air – namun doa perlu diucap dan dilafaz dengan penuh kesedaran dan adab.

Terlebih penting, doa bukanlah bermaksud kita duduk diam menunggu keajaiban, namun terus berusaha mengusahakan jalan keluar sekadar yang mampu.

Allah sentiasa mendengar dan ALLAH Maha Mengabulkan Doa… Bila kita berdoa, ada tiga keadaan yang berlaku seperti yang disampaikan Rasul SAW.

Pertama, ALLAH memberi apa yang kita minta.

Kedua, ALLAH menyimpan untuk kita di akhirat.

Ketiga, Allah memelihara dari keburukan yang berkaitan dengan apa yang diminta.

Belajarlah mengungkap doa. Doa adalah rasa hati kita pada Sang Pencipta. Pada DIA yang Maha Memelihara Lagi Maha Sempurna.

Bukan ujian kesakitan ini memelihara jiwa dari hanyut dengan dosa dan kelalaian? Bukankah kesedihan ini membawa jiwa kita dekat dan semakin dekat berbisik padaNYA?

Percayalah, kesulitan akan berakhir dan ketenangan akan menjelma.

Namun selagi hidup, kesulitan dan kegembiraan akan silih berganti. Jadi, apapun ujian yang menimpa, bawalah hati ini merindui syurga. Hanya di sana bahagia sebenarnya.

Segala tindakan dan respon kita pada ujian ALLAH, pastikan tidak melanggar syariat ALLAH, jangan sampai kita terseret ke neraka – kerana tidak redha atau melakukan lain-lain perbuatan buruk yang dimurkaNYA.

Sungguh ujian ini, adalah kerana cintaNYA. Dan buktikan bahawa kita hamba yang turut mencintaiNYA.

Moga setiap jiwa-jiwa kita tidak putus menyambungkan doa, berharap dan yakin pada ALLAH Yang Maha Mendengar, Maha Memberi..





Thursday, September 8, 2011

Sabar dan syukur ok ! :)



:: Jadi perempuan ni kena banyak bersabar, bersabar dengan seribu satu perhiasan dunia yang dibentangkan pada kita ::


"Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. " (21:35)

Tiga tahun dulu sewaktu bujang dan bergelar pelajar, saya selalu tak cukup duit. Rasa susah kerana selalu ada dua tiga ringgit saja dalam purse. (Duit tak cukup atau money managemet tak cukup bagus...?? hee...)

Memang rasa susah, tapi seronok pun ada. Sebab ada teman-teman yang berbesar hati berkongsi nasi bungkus. Kalau bukan saya yang beli nasi, mereka yang beli.

Bahagia kan bila berkongsi makanan, makan bersama? Lagipun Rasul SAW pesan, makan berjemaah ada keberkatan :)

Waktu tu juga tak punya kereta, selalu naik bas atau komuter ke mana-mana.. Ingat lagi, kadang-kadang kalau lama sangat menunggu bas di stesen komuter Shah Alam tu, kami berjalan kaki sahaja pulang ke Kolej Akasia Seksyen 18.

Alhamdulillah kini rezeki telah dilapangkan, ada kereta dan rumah. ALLAH memberi (baca: menguji) saya dengan rezeki yang dikurnia melalui suami.

Sakit juga rupanya ya ujian kesenangan..

Saya sama seperti perempuan kebanyakan, saya suka kasut. Suka sandal. Suka baju. Suka makan. Suka jalan-jalan. Suka perhiasan rumah yang pelbagai. Rasa nak langsir macam ni. Rasa nak sofa begitu. Nak kusyen macam ni. Ni cadar macam tu..

Berpeluh saya menahan keinginan pada semua itu dari awal kahwin. Mujurlah suami saya bukan orang yang mudah mengikut keinginan isteri (well, alhamdulillah  suami saya dah bagi semua..tapi bukankah manusia tak pernah rasa cukup dengan selembah emas huuuu...)

Kenapa nak menahan diri kalau mampu? Terpulanglah pada perasaan dan pemikiran masing-masing.

Pada saya, cukuplah yang basic - bila membayangkan orang tak mampu beli kasut dan baju, saya pun memujuk hati dari membuat koleksi kasut.. Kita perempuan kan suka macam ni - ni kasut jalan, ni kasut pergi pasar, ni untuk baju kurung, ni kasut untuk pakai seluar dan seterusnya..

Macam tu juga dengan handbag..saya cuba setia dengan yang satu :D Satu handbag untuk semua keadaan dan pakaian. Tapi sekarang dah ada baby, handbag macam tak praktikal, jadi hanya bawa beg baby..

Lagi satu, kalau nak beli apa-apa (yang mahal) biasanya saya cerita pada suami, tapi biasanya benda yang saya rasa nak beli tu, tak penting. Saya jadi malu nak cerita keinginan nak beli pada suami.. Memanglah suami ada bagi duit, tapi tak boleh lah ikut perasaan.

Alhamdulillah bila ada suami ni, saya bersyukur saya berfikir panjang sikit bab shopping... (hurm tapi ada juga waktu-waktu yang saya beli suka hati..)

Teman-temanku .. ingat-ingatkan diri ini selalu. Bahawa segala sesuatu yang dimiliki ini adalah milik ALLAH. Kita hanya menguruskan... Kita hanya diberi pinjam... Bukan kesusahan sahaja dipanggil ujian, kesenangan juga adalah ujian. Dan ramai juga yang kalah dengan ujian kesenangan.

Baiknya ALLAH pada kita...Jom kita buat baik pada orang, walaupun mungkin orang itu telah menyakiti perasaan kita - pada suami, pada famili, pada teman sekerja atau sesiapa - jom kita buat baik ikhlas kerana ALLAH..

Temanku..kita semua nak masuk syurga kan.. masakan syurga itu diperolehi dalam berulit kesenangan, tanpa kepayahan..? Ingat-ingatkan diri ini untuk bersabar, bersabar dari lemas dengan kesenangan. Bersabar mujahadah menyediakan infaq, buat mereka yang memerlukan. Bersabar melakukan kebaikan.

Apa sekalipun yang kita hadapi dan miliki di dunia, akhirnya yang kita inginkan adalah jauh dari azab ALLAH.. ingat-ingatkan diri ini supaya ujian kesenangan tak menjerumuskan saya dan kita ke neraka tuhan..

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” ( 3:185)

Dulu bujang, sekarang dah ada suami.. Teman hidup juga adalah kesenangan yang menjadi ujian.

“Wah…seronoknya ada suami macam tu.."

"Carikanlah saya jodoh macam suami XXX jugak.. "

Alhamdulillah suami yang baik adalah kurnia ALLAH yang sangat besar..

Namun temanku, jangan tersalah menilai, suami yang bekerjaya baik, suami yang bagus dan soleh, apalah ertinya jika diri kita sendiri jauh dari kesolehan di sisi ALLAH..

Carilah suami profesyen apapun, yang penting, moga profesyen isteri dan ibu yang kita sandang punya nilai di sisi ALLAH…

"Wah…bestnya kereta dia.! "

Adakah kereta itu membantu diri beramal soleh..? Atau hanya mengundang riyak tak terkawal..?

"Wah besarnya rumah dia... Saya teringin nak ada rumah macam tu.., "

Rumah yang besar itu, adakah besar juga ketenangan yang dimiliki..? Adakah makin besar cintanya kepada ALLAH... Ayuh kita manfaatkan seluruh nikmat untuk lebih taat. Dan terus taat.

Pada saya yang menjadi surirumah, dengan masa yang lebih fleksibel, adakah masa itu bermanfaat..? Adakah diri menjadi manager rumahtangga yang baik..? Adakah memberi khidmat yang terbaik untuk suami demi redha ALLAH..?

Renung-renungkanlah nikmat yang ada ditangan, sudahkah kita bersyukur dan manfaatkan…?


************************************

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati, maka ia adalah dari Allah (4:79)


Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (3:14)







 

Monday, September 5, 2011

(Peringatan penting) Menyesal berkahwin bila...



"Menyesal aku kahwin awal'" luahan insan yang berkahwin awal.

"Lebih seronok rupanya hidup bujang sendiri" luahan insan yang telah puluhan ribu dihabiskan untuk majlis perkahwinan.

"Jadi andartu pun takpe, hati tak sakit" luahan insan yang berkahwin di usia lewat.

"Kalau aku tau, aku takkan pilih suami orang" luahan isteri kedua, ketiga.

"Sepatutnya aku kahwin dengan orang yang lebih matang" luahan mereka yang kahwin dengan pasangan sebaya atau lebih muda.

" Sepatutnya aku kahwin dengan yang sebaya, yang lebih memahami " luahan yang punya pasangan jauh berbeza jarak usia.

"Betul cakap mak aku dulu, inilah akibat tak dapat restu mak ayah" luahan insan yang perkahwinan ditentang ibu bapa.

"Aku terburu-buru buat keputusan nak kahwin" padahal telah bercinta empat tahun.

Pada yang berhasrat atau telah bernikah, ini adalah peringatan penting:

Ujian, konflik, goncangan, dugaan, pergaduhan, berkelahi, merajuk, tersinggung, terguris, marah, sedih, kecewa, sakit hati, bosan, menyampah, serabut, darah menyirap...

Rasa nak hantuk kepala ke dinding, rasa nak kelar tangan sendiri, rasa nak baling pinggan ke dinding, rasa nak bunuh diri...

Salah satu atau semua ini adalah hampir pasti kalian akan lalui dalam pernikahan yang kalian dambakan..!

Tak kisah lah dengan siapa atau macam mana situasi nya - konflik, konflik dan konflik. Gaduh, gaduh dan gaduh - di dalam alam perkahwinan. Bezanya - konflik banyak atau konflik sedikit. Bergaduh sekejap atau bergaduh lama.

Kahwin awal. Kahwin Lewat. Mak ayah restu. Peminat restu. Mak ayah tak restu. Mertua tak restu. Majlis kahwin 'grand'. Majlis kahwin 'simple'. Kahwin suami orang. Kahwin orang bujang. Kahwin orang dekat. Kahwin orang jauh.

Kahwin dengan artis. Kahwin dengan ustaz ustazah. Kahwin dengan kaki bola. Kahwin dengan kaki masjid. Kahwin dengan jutawan. Kahwin dengan drebar teksi. Kahwin tukang cuci. Kahwin dengan usahawan kelapa bali.

Kahwin di Malaysia. Kahwin kat oversea. Kahwin di sempadan. Nikah di masjid. Nikah di rumah. Nikah di bawah pokok. Kahwin sebaya. Kahwin lebih muda. Kahwin lebih berusia. Kenal lama. Kenal sekejap. Bercinta lama. Bercinta sekejap. Mak ayah pilihkan. Sendiri pilih......

Semuanya adalah pasti akan berkonflik!

Dulu waktu bersemangat nikah, hanya fikir nak selesaikan masalah rindu sayang. Masalah tak nak terlibat zina besar dan zina kecil. Masalah kesepian dan kebosanan. Tak tahan pertanyaan dan sindiran orang sekeliling. Peminat dah bising..

Tak bersedia untuk menghadapi siri-siri konflik dengan suami.

Tak bersedia menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama mertua ipar duai.

Tidak belajar proaktif membangun ekonomi rumahtangga.

Tidak belajar mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Tak belajar betapa besarnya hak-hak pasangan.

Tak belajar habit-habit yang sihat dan penting dalam sebuah perkahwinan.

Tak sangka hubungan intim akan bermasalah.

Tak belajar psikologi dan perbezaan cara hidup dan cara fikir pasangan.

Tak menyiapkan bekal taqwa yang menjadi asas kebahagian hakiki hidup berpasangan.

Lalu... apakah kesannya pada cinta dan harapan yang ada tika 'aku terima nikahnya'?

Ya, bernikah adalah tempat menyalurkan keinginan nafsu dan perasaan yang fitrah. Boleh menjadi salah satu solusi mengelakkan perzinaan. Pernikahan boleh menjadi sumber hiburan dan ketenangan. Kehadiran teman hidup mampu meleraikan kesunyian dan kesepian.

Namun harus kita perhatikan juga perkara-perkara penting untuk keberlangsungan sebuah rumahtangga. Fahami dan bersungguh mempraktikkannya bila rumahtangga telah dibina.

Jika tidak matang dan tidak menyedari pentingnya ilmu tentang alam perkahwinan, perkahwinan kita mudah usai setelah beberapa siri hubungan seks.

Jua tanpa iman dan ketaqwaan, mudah saja perkahwinan terbubar kerana merasakan pernikahan sebenarnya tak memberi kegembiraan, namun menyerabutkan dan menyakitkan perasaan...

Pada yang sedang bersemangat untuk bernikah, mungkin apa yang dikongsikan di sini telah kalian faham dan berusaha hadam.. tapi percayalah jika kalian bernikah, setelah musim honeymoon berlalu - baru benar-benar tahu tinggi rendahnya teori dan realiti.

[ Malah jika tak bersedia ilmu, kematangan, kewangan etc, keindahan musim honeymoon yang diharapkan pun tak akan berlaku...]

Pada yang merasa hampir putus asa untuk menikah, baguslah jika kalian terus tabah.

Hadapilah dengan bijak dan berlapis kesabaran dalam mendapatkan sokongan ibu ayah. Belajar menenangkan diri dan bersungguh mencari strategi dalam cabaran kewangan yang tak cukup untuk buat majlis kahwin, tak cukup duit untuk meyakinkan keluarga si perempuan.

Pada yang mudah menyerah kalah, dengan ranjau berliku proses untuk bernikah dan marah-marah tak dipermudahkan ibu ayah untuk bernikah... ayuh kita muhasabah.

Mungkin ada bagusnya kita tak dapat bernikah lagi, kerana selesai satu masalah hati, ada sembilan lagi cabaran alam pernikahan.. mampukah kita hadapi jika ujian sebelum nikah kita sebegitu lemah dan tak tentu arah?

Pada yang telah bernikah, teruslah mengenali dan mendekatkan diri pada ALLAH. Ini kunci pertama menyejukkan keadaan, membahagiakan perasaan.

Kedua, akhlak baik - lapang dada, memaafkan, memberi maaf, senyum, menahan kemarahan, menggembirakan,  dan seribu satu lagi karakter mulia perlu dijadikan perhiasan diri. Seterusnya, tambahkan ilmu dan iman - moga mampu beramal untuk kebaikan, samaada di dalam atau di luar rumahtangga.

Sesungguh, cinta benci dalam alam pernikahan, jua duka lara, suka gembira... adalah rempah ratus kehidupan. Sama-samalah kita mengingatkan diri - bahawa akhirnya kita akan kembali kepada tuhan...

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


“ (Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS. Al Mulk: 2)







Poligami: Tika cemburu menyapa...




Sekali lagi, saya menulis tentang topik cemburu ini, sementelahan saya wanita seperti kalian juga - dulu, kini dan insyaALLAH selamanya - meniti jalan mujahadah untuk meraikan cemburu yang kadang-kadang bertandang. Apatah lagi cemburu yang pasti dalam alam poligami.

Saya kongsikan sedikit rasa hati dan pandangan tentang menghadapi cemburu.. moga bermanfaat buat saya dan kita, samaada yang berpoligami ataupun tidak.

Pada pandangan peribadi saya, menjejak kaki menjadi isteri kedua - 50% cemburu telah diperangi sewaktu sebelum bernikah. Masuk ke alam pernikahan, hadapilah dengan sebaiknya lagi 50 %..

Sedangkan para isteri pertama pula, mungkin lagi banyak peratusannya sejak awal suami menyatakan hasrat bernikah lagi...hinggalah suami benar bernikah. Peperangan perasaan yang hebat...

Dalam satu forum maya yang saya baca tentang poligami, seorang isteri menyebut,

“Baiklah, saya menerima syariat poligami dan hikmah-hikmah yang ada di sebaliknya. Jadi bagaimana untuk saya mengawal cemburu dan bagaimana saya nak menerima poligami sepenuh hati, kerana saya tak boleh terima langsung bila bayangkan suami bermesra dan tidur dengan perempuan lain walau perempuan itu isterinya yang sah?”

Teman muslimahku yang dikasihi,  memang sakit sebenarnya kalau membayangkan dan berbercerita tentang ini - suami bersama perempuan lain.. kalian pun tak boleh nak bayangkan, jadi bagi yang melalui - ia jauh lebih menggetarkan perasaan.

[Ya ALLAH Yang Maha Pengasih, bantulah kami menguruskan ujian perasaan ini…]

“Jangan bayangkan, redah je”  ini antara nasihat yang mungkin diterima bila kita keluarkan statement  "Saya tak boleh nak bayangkan suami kahwin lagi, saya tak sanggup…”

Realitinya, kita memang akan terbayang-bayang.

Betapa berat, betapa sakit dan betapa terujinya hati seorang isteri tatkala suami yang menjadi kecintaan sepenuh hatinya menikah dengan perempuan lain… Terasa sukar menerima hakikat bahawa suami menyayangi, memberi perhatian dan mencurah cinta kasihnya untuk wanita lain.

Duhai teman, tika ini siapakah yang paling baik dapat menyembuh gelodak perasaan kita bilamana suami menikah lagi?

Tidak ada yang lain, melainkan ALLAH Ar Rahman.

Hanya ALLAH - pendengar terbaik, penyembuh terbaik buat sekeping hati kita hambaNYA yang lemah.

Rasul SAW telah menunjukkan pada kita, agar perasaan ini diserahkan sepenuhnya kepada ALLAH.

"Ummu Salamah berkata: Baginda SAW mengutuskan Hatib Bin Balta'ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Ummu Salamah berkata…:… aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda: …aku mendoakan semoga Allah menghilangkan rasa cemburunya itu."

(diringkaskan dari terjemahan Sahih Muslim).

Bila di fikiran saya terbit cemburu, hati dicuit-cuit perasaan tidak enak akibat cemburu, saya tahu itulah saatnya yang hati saya mula hambar dalam berhubung dengan ALLAH.

Namun alhamdulillah jika saya cuba fokus untuk kusyuk dalam solat, kusyuk dalam doa, melazimi merenung ayat Al Quran dan Hadis, jua ketika saya berusaha membawa hati untuk zikrullah - cemburu tidak ada ruang untuk menyelinap.

Dan saya juga telah belajar, zikrullah itu bukan sahaja pada hati dan lisan, tetapi juga pada perbuatan.

Maka bila saya sibukkan diri dengan amal berfaedah – moga ia juga jadi ibadah – moga ia juga adalah zikrullah – tidak ada ruang untuk cemburu meresap kalbu.

Aktiviti rutin saya antaranya, melayan anak, mengemas rumah, memasak, membaca, menulis etc… jadi untuk semua ini bernilai ibadah, ayuh perdalamkanlah keikhlasan dan lakukan ia dengan cara yang selari dengan syariat.

Namun saya juga seperti kalian yang setiap masa bermujahadah dan memaksa diri untuk membersihkan hati, juga berusaha mengisi setiap masa yang ada dengan amal yang diredhai ALLAH…

Ya betul, pada sebahagian kita, rasa cemburu ini boleh menitiskan air mata tanpa henti.. hmm tak tahu nak cakap, dashyat sebenarnya rasa itu kalau ia menyerang hebat, maka kita panjatkanlah setulus doa dalam sujud yang panjang, mohon ALLAH melapangkan hati ini seluas-luasnya..

Bersyukurlah kalian jika cemburu tidak menjadi ujian yang berat, dan doakanlah agar ujian cemburu dipermudahkan buat saudara perempuan kita yang lain...

Pastinya saya sangat berterima kasih pada suami kami yang menjaga tutur bicara dalam mengungkap tentang perihal dua keluarga. Saya hargai perkongsian suami, saya bertanya khabar seadanya tentang isteri dan anak-anak sebelah sana (keluarga pertama), saya tidak bertanya lebih jika suami mendiamkan.

Jika sikap kita sendiri yang suka ambil tahu berlebihan atau kita memang jujur mengambil berat - suka meminta suami menceritakan detail satu persatu, maka kita sendirilah yang harus lebih bermujahadah agar cemburu hilang sirna.

Sebaiknya tidak demikian, biarlah ada ruang sendiri (privasi) untuk suami dan isteri-isteri lainnya.

Seorang suami tak mungkin dapat menyejukkan bara cemburu yang menyala, melainkan melalui mujahadah kita kepada ALLAH. Mujahadah yang istiqamah.

Tapi seorang suami yang baik, dengan izin ALLAH, mampu membantu isteri mengawal rasa cemburu itu melalui sikapanya yang tidak bercerita –positif atau negatif – tentang isteri-isteri lain. Suami yang bertanggungjawab juga, yang berusaha menunjukkan sayang dan perhatian yang tulus, insyaALLAH akan meredakan rasa cemburu seorang isteri.

Saya juga masih ingat pesanan seorang teman, yang merupakan isteri pertama kepada dua madunya. Saya meminta beliau berkongsi pengalaman dan tips poligami, antara pesannya ialah jangan bebankan suami dengan perasaan cemburu kita.

Malah perasaan-perasaan negatif lainnya, jangan kita menyalahkan suami atas apa yang kita rasa, kita harus belajar bertanggungjawab atas perasaan sendiri.

Benar sekali, poligami bukan sesi seronok-seronok seorang suami, namun ia adalah proses jangka panjang menggalas amanah dan tanggungjawab. Suami ada peranan berat dalam memelihara keharmonian dan kesejahteraan fizikal serta perasaan seorang isteri - maka sebagai isteri, kita permudahkanlah suami.

Saya memohon pada ALLAH agar tidak menambah beban dan cabaran suami dalam menguruskan dua keluarga ( heee walaupun at times sebenarnya ada perkara yang buat suami terasa hati dengan saya.. ok, jom cepat-cepat kita minta maaf dan berusaha tak buat lagi.. jangan serabutkan suami – si perwira dari “Mars” dengan sikap dan perasaan berkelok-kelok kita – isteri yang dari “Venus”.)

Seterusnya kehadiran teman-teman yang baik juga membantu kita meraikan rasa cemburu yang hinggap di kamar hati dengan sewajarnya.

Usahakan agar kita duduk dalam lingkungan insan berjiwa bersih dan besar, yang membicara soal amal soleh, tentang membangun ummah, tentang membina ketaqwaan, yang suka mentarbiyyah diri dengan Al Quran dan Hadis.. moga kita dapat membina benteng dari gangguan cemburu..

Bila duduk sendiri dan tidak mensibukkan diri, bukan sekadar cemburu – banyak lagi perasaan negatif yang datang.

Pada yang tidak di madu,  mungkin diuji dengan persangkaan  “Suami dah tak sayang aku…?? Suami dah ada orang lain?? Kenapa suami aku dah tak macam dulu.. Kenapa suami macam dah tak ambil berat pasal aku… Suami aku dah berubah hati ke..??”

Pada yang bermadu pula, dibisikannya sangkaan-sangkaan yang menyuburkan rasa cemburu -  'suami sedang berseronok-seronok dengan isteri lain' , dibisikkan rasa negatif bahawa suami tak lagi menyayangi, suami tak happy dengan kita.

'Suami mesti lebih happy dengan isteri-isteri lain', 'suami lebih sayang anak-anak isteri lain', 'suami lebih banyak bagi hadiah pada isteri lain' - dan seterusnya dan seterusnya...

Maka cara lain menjauhkan diri dari cemburu ialah terlibat dengan aktiviti kebajikan atau duduklah dalam lingkungan insan-insan yang bermasalah...

Contohnya - membantu orang miskin daif, menziarah hospital melihat mereka yang diuji dengan sakit dan penyakit, terlibat dengan badan yang mengutip dana untuk mangsa bencana alam, atau bersama menganjurkan program mengenang saudara-saudara seislam yang terzalimi di Afganistan, Palestin...

Sesungguhnya kedekatan dengan mereka yang tidak bernasib baik akan terus-terus mencairkan cemburu...

Sungguh, melihat dan mendengar tentang hidup mereka yang jauh lebih payah, hati ini terasa kerdil untuk melayan ujian cemburu.. 'Ya ALLAH, hati ini membesarkan perasaan cemburu sewaktu insan lain bertarung antara hidup dan mati…antara iman dan kehidupan.'

Namun seringkali bila kita keluar dari lingkungan teman yang baik, atau program yang baik ini, sang durjana syaitan akan suka mengocak ketenangan tasik hati seorang seorang isteri.

Maka teman-teman yang disayangi – mintalah perlindungan ALLAH dari godaan syaitan, agar fikiran berhenti dari membayangkan sesuatu yang membazir perasaan.

Mintalah suami mendoakan akhlak yang baik untuk kita, usahakanlah beraktiviti yang bermanfaat dan bertemulah dengan sahabat-sahabat yang tidak memprovok perasaan cemburu, moga kehadiran kalian sahabat beriman mengusir cemburu jauh-jauh dan membawa hati ini dekat dengan tuhan…

Sesungguhnya cemburu itu hadir dengan izin ALLAH, maka adukanlah ketidaktenteraman hati pada ALLAH.. moga akhirnya kita dianugerahkan ketenangan dari ALLAH..

Sekian perkongsian kali, segala kebaikan dan kekuatan adalah dari ALLAH :: moga bermanfaat dalam perjalanan menuju tuhan ::



 
 

Saturday, September 3, 2011

Somalia: Bukan Noktah Cinta (Dedikasi Buat Kak Rina a.k.a Ummu Irfan yang kehilangan suami di Bumi Somalia)

:: Irfan dan Naufal yang kini telah yatim, dan ALLAH lah sebaik-baik Pemelihara ::

Abdullah yang comel ceria di hari raya, sejak melihat berita jam 8 malam tadi, mama sebenarnya merasa sedih dengan pemergian ayah irfan dan naufal di bumi Somalia malam tadi. Ayah mereka meninggal dunia kerana tembakan sesat sewaktu menjalankan tugas sebagai jurugambar yang berdedikasi..


:: Abdullah anak mama..harus kita syukuri kehidupan yang sementara ini ::

Mama terkejut menatap kaca tv, kerana tak sangka ia adalah suami kepada teman yang mama baru kenali. Hanya dua kali berjumpa, pertama, di Liqo Sanawi AFN. Kedua, di Majlis Iftar dan Tazkirah AFN bulan lepas.. Mama sangat ingat pada Abang Irfan yang bantu mama dan Abdullah berbuka puasa..hulurkan tisu, hulurkan kurma..

Mama merasa sedih kerana membayangkan perasaan teman mama, Kak Rina yang kehilangan suami, dan bagaimana teman-teman kecil Abdullah itu menghadapi hari-hari baru tanpa seorang ayah.. Mungkin mereka telah biasa dengan ayah yang selalu out station, namun kali ini perginya si ayah tanpa kembali..
  
Doa ditimpa musibah buat kak Rina dan seluruh ahli keluarga Allahyarham:
“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya kami akan kembali (pada hari kiamat). Ya Allah! Berilah pahala kepadaku dan gantilah aku dengan lebih baik(dari musibahku).”
 Abdullah..., perpisahan adalah menyedihkan. Malam tadi sewaktu papa Abdullah berangkat keluar ke KLIA pun, hati mama dijentik hiba - sekalipun keluar hanya dua tiga hari (insyaALLAH). Sebelum keluar, papa menjenguk Abdullah yang telah lena tidur di bilik. Mama tak dapat bayangkan kalau perginya papa tiada kembali ………

Tapi, sama ada dapat bayangkan atau tidak, andai ajal mendahului persediaan mama dan kita semua, maka harus redha dengan kematian yang kita tidak tahu hari dan saat nya….. ALLAH Maha Menentukan.

Barang siapa menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah akan menyukai pertemuan dengannya, dan barang siapa yang tidak menyukai pertemuan dengan Allah, maka Allah tidak akan menyukai pertemuan dengannya. (Shahih Muslim)

Musibah ini juga sesungguhnya adalah tanda cinta ALLAH, membawa mereka dan kita untuk merapatkan diri padaNYA Yang Esa..

Air mata kita menitis dengan nasib saudara yang kebuluran dilanda kemarau di bumi Somalia, namun kesedihan berganda buat keluarga yang kehilangan ahlinya di bumi sana.

Atau mungkin kah hati mereka tidak seduka yang kita sangka? Kerana perginya si bapa, jua seorang anak dan suami – dalam keadaan bersedia menempuh risiko yang boleh menghujam tiba-tiba. Moga hati mereka jauh lebuh tabah dan sabar dari yang kita sangkakan.

Moga ALLAH merahmati roh beliau..dan kita semua yang masih bernyawa. Moga masiha da kesempatan untuk bertaubat dan terus bertaubat.

Pemergian yang mengejutkan ini tidak sama sekali menoktahkan cinta kita pada warga Somalia yang menderita. InsyaALLAH.

Juga saya percaya, cinta Kak Rina dan ahli keluarga pada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor tidak berakhir di dunia sementara..

Keyakinan dan harapan kita hidupkan pada ALLAH, dengan usaha amal yang kita laksana, moga cinta itu terus ada…..dengan izinNYA berkumpul bersama, tika kita semua kembali menghadap Yang Esa.

Buat Kak Rina yang bertenang.. walau ketenangan dikocak di saat ini., moga ayat Rasul SAW menjadi motivasi menabahkan diri:

“Alangkah mempesonanya iman seorang mukmin, karena segala urusan adalah baik baginya… jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik bagi dirinya.” (HR. Muslim)






Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...