Skip to main content

Kerana dakapanmu tetap berharga



Dalam entri sebelum ini, saya telah berkongsi tentang nilai dakapan di antara suami dan isteri. (Baca di sini).

Saya sedang berada dalam satu program tarbiyyah bila saya terlintas untuk berkongsi lagi tentang dakapan..

ya, dakapan.. atau pelukan.. ada apa dengan pelukan..?

Setiap kali di awal pertemuan dalam program-program tarbiyyah yang hanya dihadiri peserta muslimah, kelihatan para peserta akan bersalaman dan berpelukan. Dengan berwajah manis, pelukan itu adalah pelukan hangat yang mampu menyebarkan semangat dan kegembiraan pada saudara muslimah yang lain.

Ini juga membawa saya berfikir, bahawa dari satu segi, muslimah-muslimah yang sering menerima dakapan tulus dalam lingkungan teman muslimah lainnnya mempunyai ketahanan yang tinggi untuk tidak jatuh dalam rayuan dan dakapan lelaki yang suka menggoda wanita dengan fitrahnya yang sukakan perhatian, belaian…

Pelukan dan dakapan itu boleh kalian beri percuma pada insan-insan terdekat.. ia 'perkara kecil' yang mampu memberi makna besar pada insan-insan yang menharap kasih sayang dan kedekatan dengan insan sekitarnya.

Carilah masa dan kesempatan untuk menyentuh dan memeluk insan-insan yang sepatutnya mendapat sentuhan dan dakapan itu.

Bila kali terakhir kita menyentuh dan memeluk ayah dan ibu dengan kasih sayang…? Atau adakah ayah dan ibu kita sepi jasad dan jiwa kerana kita telah lama sekali tidak menziarahnya apatah lagi mendakapnya…?

Bila kali terakhir kita saling memeluk adik beradik dengan penuh kasih?

Bila kali terakhir kita memeluk anak-anak..adakah pelukan itu hanya sewaktu anak-anak masih bayi dan tiada langsung bila anak-anak menginjak remaja.. hingga anak-anak itu terdorong untuk jatuh dalam pelukan teman lelaki dan teman wanita hanya kerana merasa kekosongan jiwa..?

Bila kali terakhir kita memberikan pelukan untuk suami dan isteri.. ?

Pelukan dan sentuhan sayang suami isteri yang bukan kerana hubungan seksual semata, namun pelukan dan sentuhan yang diberikan secara berkala mampu menghidupkan rasa cinta suami dan isteri.. para isteri sering mengharap sentuhan dan pelukan yang kerap dari suami, dalam masa yang sama, para isteri juga hendaklah memberikan pelukan dan sentuhan sayang tanpa diminta…




Namun mengertilah bahawa pelukan hangat itu sebenarnya didorong oleh hati yang bersih dan subur dengan kasih sayang. Takkan mampu untuk kita saling memeluk ibu ayah, adik beradik, anak-anak atau suami isteri andai ada konflik menjengkelkan yang tidak berkesudahan.

Bila diuji dengan unfinished business and communication breakdown…, menatap wajah sahaja kita merasa sukar, apatah lagi untuk berdakapan mesra.



Maka usah dibiarkan konflik berpanjangan, carilah ruang menyatukan hati dan perasaan. Ya, hati yang telah terluka dan tercalar tidak mudah untuk kita menyembuhkannya…maka pohonlah kasih sayang ALLAh untuk merawatnya.

Hanya ALLAH yang Maha Menyembuhkan.

Jika berharap pada ibu ayah, suami atau isteri dan anak-anak atau teman-teman – kemampuan mereka sangat terbatas untuk menyembuhkan, untuk selalu menggembirakan dan menenangkan hati kita.. mereka sama seperti kita, banyak kesalahan yang sering kita lakukan.

Hanya padaMU ya ALLAH..ku pohon agar ENGKAU mengampuni dan menyayangi diriku.. ku pohon agar diri ini mampu memaafkan dan melupakan, ku mohon agar ku mampu menyayanginya di sebalik kesilapan-kesilapannya padaku.. Bantulah kami untuk beramal dengan amalan yang ENGKAU cintai Ya ALLAH..

Moga kalian mampu berdakapan penuh cinta dan kasih dengan kemaafan yang tulus, dan kasih sayang yang kudus.

Sekian perkongsian, moga bermanfaat.

Comments

Popular posts from this blog

Menjadi isteri kedua

Ketika suami menikah lagi...

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?

Poligami: Bersedia Hadapi Ombak Perasaan