Monday, February 14, 2011

Bila suami berpoligami...




Saya masih ingat lagi, antara isi ucapan Tun Dr Mahathir yang menyebut tentang poligami dalam satu program NIEW (NAM Institute For The Empowerment Of Women Malaysia) yang saya hadiri di penghujung tahun 2009.

Pada sebahagian audiens, mungkin merasakan itu adalah gurauan dari seorang pemimpin yang berwibawa, namun saya berusaha menangkap mesej yang Tun Mahathir ingin sampaikan - beliau menyebut bahawa kita memiliki begitu ramai wanita intelek tinggi yang baik, maka perlu ada generasi yang lahir dan dibesarkan oleh mereka.

Namun wanita-wanita bijak dan matang ini kelihatannya sukar bertemu jodoh, malah Tun Mahathir sendiri dalam ucapan lainnya ada menyebut tentang kerisauan pada generasi lelaki 'yang hilang' dalam kancah sosial di negara ini.

Maka saya bersetuju dengan cadangan Tun bahawa wanita-wanita ini tidak lain sekufu dengan lelaki yang matang lagi intelek, namun kebanyakan mereka menyandang status suami orang.

Bila harapan dan keterbukaan kepada poligami telah ada, pastinya perlu difikir-fikirkan bagaimana insan yang bernama isteri ini boleh membantu suami memantapkan keperibadiannya dalam rangka membina sebuah lagi keluarga.

Maka di sini saya kongsikan sedikit sebanyak idea dan pandangan yang tercetus, moga kita yang bernama isteri, yang terfikir untuk 'menikahkan' suami, mendapat serba sedikit gambaran peranan yang boleh dilaksanakan.

Dari segi kepimpinan, isterilah insan terpenting yang mampu meneguhkan kepimpinan suami. Si isteri harus telus mengiktiraf karakter-karakter positif suami, dalam masa yang sama berhikmah menegur dan membantu suami memperbaiki kelemahan yang ada.

Seakan menjadi lumrah hidup sebumbung, mudah sahaja untuk mengeluarkan senarai panjang kesilapan dan keburukan pasangan, namun di sana ada ruang untuk kita turut mencungkil kelebihan dan kekuatan yang ada pada suami hingga kebaikan-kebaikan itu makin menyerlah dalam menelusuri kehidupan berumahtangga.

Dengan izin ALLAH, kebaikan pada suami yang kita kasihi itu akan mampu diaurakan pada isteri-isteri dan keluarga seterusnya.

Dari segi ekonomi, ini adalah salah satu aspek yang banyak memberi tekanan dan kerunsingan pada individu di zaman mencabar ini, apatah lagi pada mereka yang sudah bekeluarga dan memiliki anak-anak.

Hingga ada sebilangan ibu bapa yang merasakan kehadiran cahayamata akan menambah beban kewangan sedangkan telah ALLAH SWT nyatakan di dalam Al Quran bahawa setiap anak adam itu ada bahagian rezeki masing-masing asalkan kita tidak jemu berusaha mencarinya. Mungkin yang paling penting ialah bagaimana cara kita menguruskan duit, bukan pada besar atau kecilnya gaji yang menentukan kecukupan belanjawan bulanan.

Dari segi kasih sayang, subhanallah, kasih sayang adalah satu nikmat ALLAH yang tidak pernah habis, yang mana semakin banyak kasih sayang diberikan pada orang lain, semakin banyak kasih sayang yang akan hadir dalam hidup kita.

Sayang suami akan berkurang andai dia memiliki isteri baru yang dicintai?

Tidak, percayalah bahawa semakin banyak sayang yang suami berikan pada orang lain, semakin bertambah juga sayangnya kepada ister-isteri dan keluarga sedia ada.

"...Seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya”. (Hadis Riwayat Bukhari)


Suami akan tetap sayang andai kita tetap menghormati, menyayangi dan mentaati dirinya sebagai pemimpin keluarga. Kita berusaha menjadi teman yang memudahkan urusan suami, setia mendengar dan menenangkannya di waktu sukar dan suram, menguruskan rumahtangga serta mendidik anak-anak dengan baik, masakan suami tidak menyayangi.

Dengan kelembutan dan kesopanan perilaku, jua akhlak mulia yang lainnya, suami pasti akan menyayangi isteri sebegini tak kira samaada dia isteri pertama, kedua, ketiga atau seterusnya.

Setelah semua kebaikan dan keindahan kita tonjolkan pada suami, namun masih rasa kurang disayangi, kurang dipeduli.. ayuh kita muhasabah diri. Dalam kita bersungguh menjaga kemesraan dan keharmonian hubungan suami isteri, adakah kita juga tekun dan ikhlas menjaga hubungan dengan ALLAH yang menitipkan kasih sayang itu..?

Mungkin kurang pedulinya suami pada kita, kasih suami yang terasa semakin hilang, kerana kita juga sebenarnya telah lama tidak menghidupkan 'rindu sayang' pada tuhan. Jika kita terlupa kepada Tuhan yang memberi cinta dan kebahagiaan, kita meletakkan hubungan suami isteri dan kekeluargaan di dalam 'ancaman'.

Dari segi masa, benar, kedua-dua kualiti dan kuantiti masa itu penting. Namun apa jua kejayaan yang ingin dicapai, pasti menuntut pengorbanan. Mungkin sirah nabi dan para sahabat yang keluar lama berjihad menjadi inspirasi pada isteri dan ibu yang lama berjauhan dari suami.

Sepeninggalan suami, kita isi masa yang ada untuk memberi tumpuan mendidik anak-anak di samping melakukan pelbagai aktiviti lain yang mampu menambah ilmu dan kemahiran isteri sebagai pemimpin rumahtangga (suami sebagai pemimpin keluarga).

Apatah lagi di zaman ini, sering saja suami isteri berjauhan kerana tuntutan kerja mahupun dalam rangka menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Jadi pasti mampu lebih redha andai suami meninggalkan rumah kita kerana ada tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang perlu dilaksanakan di rumah lain.

Mungkin boleh juga disebutkan di sini bahawa ada isteri merasakan suaminya tidak memenuhi keperluan batinnya, maka dia tidak layak beristeri lagi. Jika dimuhasabah tentang hubungan intim suami isteri, adakah masalah timbul kerana ketidakmampuan suami, atau isteri yang tidak lagi mampu menarik perhatian suami?

Tidak dinafikan banyak faktor lain yang menghambarkan hubungan seksual suami isteri, antaranya adalah faktor masa dan tekanan. Suami dan isteri juga memiliki status ayah dan ibu yang teramat sibuk dengan pelbagai urusan kewangan dan anak-anak. Seks adalah perkara terakhir yang mampu mencelah di fikiran. Maka suami isteri harus menyediakan masa untuk seks yang berkualiti, perlu saling membantu dalam menghidupkan keinginan dimesrai dan memesrai.

Kepimpinan suami, ekonomi, pembahagian kasih sayang dan masa jua nafkah batin adalah antara isu-isu yang sering dibincangkan dalam topik poligami. Maka suami dan isteri yang dalam proses berpoligami perlu telus dalam mengkomunikasikan hal-hal ini.

Kegagalan berkomunikasi secara baik bukan sahaja akan memporak-perandakan keluarga poligami malah betapa ramai pernikahan monogami yang menjadi tegang kerana suami dan isteri tidak belajar dan tidak mempraktikkan budaya komunikasi yang efektif dan harmonis.

Inilah sebahagian perkara yang dapat dikongsikan dari pengalaman singkat saya berada di alam poligami.

Ya, amat sukar sebenarnya mencari lelaki yang layak berpoligami, namun membina rumahtangga bukan sekadar tanggungjawab suami. Demikianlah juga, amat sukar mencari isteri yang sanggup mendukung poligami. Sesungguhnya isteri-isteri juga ada peranan penting untuk menjayakan pernikahan poligami ini.

Syariat poligami tidak akan jadi menarik dan indah andai suami dan isteri-isteri tidak berusaha kerasa menerapkan Al Quran dan As Sunnah dalam segenap kehidupan. Ayuh para isteri dan suami, kita menambah ilmu dan keimanan dalam meraih kebahagiaan yang berpanjangan..

3 comments:

Anonymous said...

saya share yer article ni..sgt menarik perhatian sememangnye kadangkala kita lupa dgn ujian dan tuntutan Allah....

Anonymous said...

Salam,
apa maksud puan dalam perenggan "pengalaman singkat dalam alam poligami"? apa yang dah berlaku?

Anonymous said...

kak nurul, saya isteri pertama, suami saya ada suarakan hasrat nak kahwin lg satu? ape yg bleh saya lakukan? suami saya gaji baru 1800 saya juga bekerja bantu dia... saya kenal org yg suami saya berkenan tu... cuma permpuan tu belum tahu yg suami saya berkenan kat dia... keluarga saya ni masih merangkak lg... belum ada rumah sendiri, masih menyewa, barang rumah semua ala kadar... nak berbelanja kena bercatu... anak dah masuk 3 org... layakkah dia berkahwin lg satu? duit simpanan pun x de... anak2 belum sekolah, bolehkah suami saya tu berkahwin lg? harap akak tlg bagi cadangan ape yg patut saya lakukan... thanks...

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...