Monday, February 28, 2011

“Pilihan Saya Bukan Pilihan Ibu Ayah”


Saya menulis topik ini sebagai merespon kepada satu musykilah tentang jodoh yang telah dikongsikan dengan saya. Musykilah itu secara ringkasnya, tentang calon suami yang menjadi pilihan hati seorang muslimah, akan tetapi tidak dipersetujui oleh ayah dan ibunya.

“Pilihan Saya Bukan Pilihan Ibu Ayah”…begitulah lebih kurang bunyi permasalahannya.

Saya percaya ada juga di antara kalian para pembaca yang juga menghadapi ujian dan musykilah sebegini. Jalan cerita setiap masalah kita adalah berbeza, tapi ‘temanya’ mungkin sama.

Maka di kesempatan ini, saya cuba menjawab juga berkongsi berdasarkan sedikit ilmu dan pengalaman yang telah dimiliki.

Menoleh ke waktu itu sewaktu usia 19 tahun, saya telah memilih untuk menerima lamaran seorang lelaki yang bertaaruf dengan saya bukan untuk suka-suka, namun jelas tujuannya untuk bernikah. Maka saya (kami) usahakan untuk membawanya ke gerbang perkahwinan. Cabaran ketika itu terasa hebat pada hujah-hujah , “Kalian masih muda, masih belajar, masih terlalu awal untuk berkahwin.”

Saya berusaha menyediakan jawapan-jawapan kepada persoalan yang timbul. Saya berbincang dengan calon suami ketika itu, mencari-cari jalan bagaimana untuk kami menyampaikan hasrat kami dengan baik pada ayah dan ibu yang dihormati.

Akan tetapi, hubungan yang diusahakan itu akhirnya terputus kerana beberapa faktor. Harus saya akui ia adalah kesalahan kedua-dua belah pihak. Kami tidak jadi bernikah. Saya sedih yang teramat, kerana itu pengalaman pertama saya melalui perkara-perkara seumpamanya.

Ibu dan ayah saya rupanya sukar menerima perpisahan kami kerana si lelaki dan keluarganya adalah orang baik-baik pada pandangan kami. Ibu dan ayah saya telah menyukai si lelaki. Ibu bapa kami saling berkawan. Pilihan saya juga merupakan pilihan ayah dan ibu saya.

Tapi saya tak mampu jelaskan sebab-sebab kami berpisah, kerana ia amat peribadi. Saya hanya mengharapkan ibu dan ayah memahami tanpa saya membuat siri-siri penjelasan.

Setahun dua berlalu, takdir ALLAH kemudiannya mendatangkan seorang lelaki yang menjadi pilihan saya ketika itu. Pastinya saya gembira bila mana ibu dan ayah juga suka pilihan saya yang seterusnya.

Tapi sekali lagi, ada kesilapan-kesilapan yang berlaku yang menyebabkan lamaran itu tidak sampai kepada pernikahan.

Ayah saya agak kesal, kenapa dua kali saya putuskan tanpa ayah saya tahu sebab musababnya. Tapi saya tak mampu menjelaskan, saya hanya menyatakan “…ia kesilapan kami, kami berpisah dengan baik”.

Alhamdulillah sedikit sebanyak diri saya (dan saya percaya, lelaki-lelaki yang berada dalam bab lamaran ini juga) telah mempelajari banyak perkara dari peristiwa yang tak disukai ini.

Dan bila saya menerima lamaran yang ketiga, ibu dan ayah agak berat.

Ibu ayah saya boleh menerima bakal suami kerana kematangannya, kerana kejujurannya datang bersemuka ibu ayah secara baik untuk menikahi saya.

Hanya merasa berat kerana suami orang. Kerana “lain mazhab”. Kerana beberapa faktor lain yang benar-benar menjadi ujian berat untuk saya, ibu ayah dan insan-insan yang terlibat.

Tapi kerana saya telah memilih, saya berusaha agar pilihan saya ini menjadi pilihan ibu dan ayah.

Bukannya mudah. Sangat Payah.



Sangat payah, tapi saya menebalkan muka juga untuk menjelaskan BERSUNGGUH-SUNGGUH kenapa saya memilih suami saya (calon suami waktu itu).

Hati saya terasa kerdil dengan faktor-faktor saya ingin bernikah dengannya, kerana saya tidak berapa kenal lelaki itu (suami saya sekarang). Namun saya berusaha optimis, lelaki yang hadir kali mungkin adalah jodoh yang ALLAH telah tentukan buat saya, maka saya berusaha semampunya.

Duduk berhadap-hadapan dengan ayah tercinta, saya menyusun ayat satu-persatu penuh berat kenapa lelaki itu sanggup saya pertimbangkan lamarannya. Jauh dari lubuk hati, saya lontarkan perasaan dan pandangan tentang calon yang melamar. Secara dewasa saya luahkan harapan dan persepsi saya tentang pernikahan.

Rasa tidak sanggup menatap wajah ayah saya ketika itu, saya sedar di pandangan ayah, saya mungkin anak-anak yang masih tak matang. Menjadi isteri pun sukar, apatah lagi menjadi isteri dalam alam poligami. Ayah bimbang dugaan-dugaan yang bakal saya tempuh.

Calon suami pula menyatakan, kita tak akan teruskan (bernikah) jika ibu ayah saya berat mengizinkan. Kenyataannya itu sebenarnya agak membantu untuk saya mengetepikan terus lamaran sebagai isteri kedua tanpa perlu memeningkan kepala dan menyusahkan perasaan (sendiri dan orang lain).

Tapi saya tak mampu menolak lamaran dari seorang lelaki yang baik, berilmu, beriman sepertinya.

Kawan-kawan rapat, berat untuk menyokong. Saudara-mara sebahagiannya juga berat mempersetujui. Dan pilihan saya telah meletakkan ibu bapa saya dalam situasi yang berat.

Saya hanya ada ALLAH. Rasa malu, takut, rasa tak pasti, rasa bersalah, serba salah, bingung..semuanya saya adukan pada ALLAH.

Alhamdulillah ALLAH membuka jalan dari pihak calon suami. Beliau menunjukkan keseriusan untuk bernikah dengan beberapa kali datang berjumpa dan berbincang dengan ibu ayah. Kerana poligami begitu ‘special’ di Malaysia, beliau juga serius memulakan urusan poligami di mahkamah.

Ini proses lamaran yang ketiga buat saya, saya harus tempuh seperti yang pertama dan kedua dulu. Ia berat dan sakit bagi mereka yang memahami, tapi saya memilih untuk melaluinya, dengan izin ALLAH pastinya.

Saya berusaha sejauh yang mampu, saya mempersiapkan diri menerima ketentuan tuhan. Doa-doa yang dipanjatkan kepadaNYA menjadi kekuatan menginjak kaki ke tangga kehidupan seterusnya. Dalam berdoa, saya juga tidak jemu bertemu insan-insan yang berpengalaman memohon nasihat dan pandangan.

Dan kini saya telah bernikah. Suami saya…jauh lebih baik dari yang saya sangkakan. Segala puji bagi Allah. Dan perlahan-lahan kami berusaha menambah redha dan restu ayahbonda.


 
Saya teramat bersyukur dengan usaha-usaha saya dulu walaupun pernikahan ini rupanya menjemput kita ke medan ujian yang lebih sukar dan lebih mencabar.

Kesukaran dan cabaran alam pernikahan mudah saja memadamkan ingatan kita kepada kesulitan proses ke arah pernikahan dulu….

Ukhti temanku, luahkan sepenuh hati pada ayah dan ibu, faktor-faktor kenapa ukhti memilih dia - pilihan hati ukhti. Kongsikan dengan ayah dan ibu - harapan dan perancangan masa depan ukhti tentang rumahtangga yang dibina.

Bukan sekali, bukan dua kali, namun perlu beberapa kali pertemuan dan perbincangan dengan ibu ayah hingga kekeruhan dapat dijernihkan, ketidaksukaan menjadi penerimaan.

Ukhti, untuk perkara seserius pernikahan, perlu dimusyawarahkan dengan adil dan telus bersama ibu ayah, ahli keluarga dan insan-insan yang amanah dan berilmu.

Minta juga pada lelaki pilihan hati itu untuk bertemu ibu ayah dan menceritakan perancangan dengan bersungguh-sungguh lagi penuh bertanggungjawab.

Moga usaha-usaha ini menjadi asbab untuk kalian bersama di alam pernikahan. Seandainya telah habis cara untuk meyakini ibu ayah, ibu ayah masih teramat berat merestui… maka mungkin perpisahan itulah yang terbaik untuk diri kita.

Kita merancang dan ALLAH lah sebaik-baik perancang. Kita bukan suka-suka memilih teman hidup hanya kerana rasa cinta dan rasa suka yang meluap-luap, atau hanya kerana kita merasa telah ‘ada keserasian’, atau kerana ‘dah malas nak fikir’, etc..

Tetapi berpeganglah sungguh-sungguh agar mencari teman hidup kerana agamanya. Ya, agamanya. Full stop. Jika kita memilih didorong SEBAB UTAMA yang lain, kita harus bersedia dengan risikonya. Faktor-faktor lain hanyalah sampingan.

(Namun memilih yang beragama bukan hujah untuk bahtera perkahwinan itu tak dilanda badai, bukan hujah untuk pasangan itu kelak terus mantap persis Muhammad SAW dan Khadijah, sesungguhnya kebahagiaan rumahtangga adalah perjalanan panjang bersulam kesulitan)…

Semoga Allah permudahkan semuanya…,sekian perkongsian.



Thursday, February 24, 2011

Tuhan Yang Maha Mengurus..


**Gambar: Abdullah ceria di ribaan Auntie Lili jiran depan rumah..Abdullah keluar beriadah di playground..

Anakku abdullah..

Malam ini abdullah menemani mama berkongsi tazkirah, tentang Allah yang satu-satunya layak disembah..dan Allah yang maha mengurus...terus menerus menjaga setiap keperluan makhluknya tanpa tidur. Tanpa penat.

Abdullah..kadang-kadang mama penat. Atau terleka. Namun ingatlah, Allah selalu ada menjaga abdullah. Menjaga mama. Hatta diri mama ini pun, dengan rahmat Allah lah ia terlindung dari keburukan.

ALLAH terlalu hebat,.. maka kita didiklah hati ini mencintaiNya sepenuh jiwa raga. Dia sembahan, Dia..hanya satu-satunya kecintaan..

Jangan kita lupa ya nak, hidup mati kita adalah untuk Allah.

Hidup ini, silih berganti Allah datangkan ujian - ujian senang dan susah -bukan Allah tak sayang, tapi kerana sayanglah, Allah timpakan ujian. ( Rujuk Surah Yasin: ujian bencana itu dari Ar Rahman Sang Penyayang..)

Abdullah..kalau mama tak ada, Allah selalu ada ya.. Adukan kesedihan dan kesulitan pada Dia. Panjatkan pujian pada Dia atas segala nikmat kurnia..

Bagi mama pula, kalau Abdullah tak ada bersama,..mama jangan sedih bimbang ya..Allah adalah sebaik-baik penjaga dan pengurus..

InsyAllah.
Published with Blogger-droid v1.6.7

Wednesday, February 23, 2011

Ketika hati tak mampu memaafkan...



Ketika hati tak mampu memaafkan…hati ini berusaha memujuknya dengan ayat-ayat cinta Allah...

"...barang siapa yang  bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia." (QS.42:43)

Air mata merembes laju menangisi kelukaan yang dihadapi.

Kata-katanya… benar-benar membuatkan hati ini terhiris.

Hanya lafaz istighfar yang mampu terbit dari relung hati buat meringankan beban yang dirasa.

Ya ALLAH..aku berdosa..banyak berdosa padaMU…hingga aku layak menerima kesakitan perasaan ini..

Bantulah diriku menerima kesalahannya Ya ALLAH.. Jadikanlah kesedihan dan kelukaan ini ubat yang baik untukku.. Bantulah diriku memaafkannya..dan melupakan kesalahan-kesalahan ucapannya itu.

Astagfirullah..Astagfirullah.. Ampunilah dosaku Ya ALLAH.. Janganlah Engkau bebankan diriku dengan beban yang berat yang tak mampu ku memikulnya…

Aku merasakan dirinya bersalah..sedangkan salah pada diriku terlalu banyak.. Bantulah diriku mengenali dan mengakui kesalahan diri..

Bantulah diri ini melupakannya..Ya ALLAH..Ya rahman Ya rahim…


**Alhamdulillah..syukur Ya Allah atas kemaafan yang dititipkan di hati ini...hati telah mampu memaafkan...



Friday, February 18, 2011

Ibumu, syurgamu..

Adik teman saya yang baik diminta untuk menangguhkan studi atas tuntutan menjaga ibu yang tidak sihat.. Adik diminta tinggal bersama mak, menguruskan keperluannya.

Abang dan kakak-kakak yang lain punya komitmen rumahtangga dan kerjaya..ya,.itu semua tidak membatalkan tanggungjawab mereka sebagai anak. Hanya saja mereka perlukan adik untuk fokus kepada ibu.

Duhai adik..Allah kini memberimu peluang untuk merebut syurga di depan mata. Adakah kejayaan yang lebih besar dari meraih syurga?

Berbuat baik pada ibu adalah peluang syurga. Bukan mudah adik, adik terpaksa meninggalkan pengajian ijazah yang baru bermula untuk bersama menemani mak.

Namun percayalah, kehidupan masa depan yang dijanjikan Allah adalah lebih baik di dunia dan akhirat, bila mana adik ikhlas dan berusaha yang terbaik menjaga segala urusan mak.

Adik, mak yang telah melahirkan dan membesarkan kita ini, segunung emas pun tak mungkin kita mampu membalas jasanya.

Apatah lagi kini mak sakit, kebaikan dan keprihatinan yang tidak berbelah bagi sangat mak perlukan dari kita anaknya.

Adik percaya tak hidup mati kita kerana Allah? Percaya tak Allah akan membalas kebaikan adik?

Adik menjaga ibu kerana Allah, sesungguhnya adik berbuat antara kebaikan yang paling baik di atas muka bumi.

Allah tak akan sia-siakan pengorbanan adik tidak menyambung studi kerana mak.

ALLAH akan memberi adik sesuatu yang lebih baik dari ijazah, kerjaya, harta benda etc bilamana adik ikhlas dan berbakti yang terbaik pada mak.

Dalam banyaknya perkara baik yang kita buat, mak adalah orang yang paling utama layak mendapat kebaikan kita.

Adik, moga darjatmu makin bernilai di sisi Allah, dengan kebaikan dan penjagaanmu pada mak yang sangat kita sayangi.

Pandanglah wajah mak, tataplah mata redup seorang ibu itu, pohon doanya buat kita, agar kita bahagia selamanya - bersama ilmu, iman dan taqwa..

"Mak..Doakan saya..terima kasih sangat-sangat.. Mak menjaga saya sejak kecil.."

Berbuatlah semampunya adik, berusaha fahami psikologi orang tua yang kerap menduga kesabaran kita..doakan mereka sejahtera di dunia dan syurga.

" Ya Allah..rahmatilah adikku yang memilih menjaga mak, yang berkorban keinginannya untuk mendapat redhaMu melalui bakti kepada seorang ibu..

Limpahkan kesabaran dan kebaikan pada adikku- hatinya, kurniakan dirinya dengan kebaikan yang banyak.."

" Ya Allah..ampunilah dosa kami dan kedua ibubapa kami. Rahmatilah dan kasihilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sejak kecil lagi.."
Published with Blogger-droid v1.6.7

Thursday, February 17, 2011

ALLAH yang cukupkan..




Dulu masa mula-mula belajar di kampus, saya mengikut ‘arus perdana’. Saya ingin dapat ijazah dan dapat perkerjaan tetap. Saya ingin membantu mak abah di kampung. Saya ingin ada kerjaya ‘professional’.

Tapi bila saya dah belajar (dan masih belajar) kenal ALLAH, Rasul dan Islam.. cita-cita saya berubah. Saya bercita-cita menjadi isteri dan ibu. Saya memahami bahawa inilah kerjaya professional terbaik untuk seorang wanita.

Kerjaya isteri dan ibu yang berkhidmat untuk suami dan rumahtangga ini rupanya sangat susah. “Tempoh Pengajiaannya” tak pernah habis. Dan saya baru saja bermula...

Saya sangat bersyukur dengan 5 tahun tempoh pengajian saya di kampus UiTM yang membentuk saya sedikit sebanyak menjadi isteri yang ‘berpendidikan.’ [ namun nyatanya saya masih perlu lebih banyak dididik menjadi isteri dan ibu].

“Awak tak kerja..? Nanti kalau jadi apa-apa, siapa nak tanggung awak dan anak-anak awak?” antara soalan yang kerap dilontarkan awal-awal dulu.

Setelah saya memahami dan yakin  bahawa ALLAH yang Maha Pemberi Rezeki - bukan ijazah, kelulusan atau jawatan - saya tenang menjadi surirumah tanpa risau “kalau jadi apa-apa”. Dan sesungguhnya rasa tenang ini ALLAH yang bagi, maka bantulah diriku Ya ALLAH, membalas kebaikanMU sebaiknya.

[Namun sekali-kali saya tidak memperlekehkan kelulusan akademik yang kita usahakan tahap demi tahap, namun harus pastikan dan usahakan kelulusan itu makin membawa diri kita lebih baik sebagai hamba dan khalifah Tuhan].

Kini ALLAH telah memberi (sebenarnya meminjamkan) saya rumah, kereta, wang bulanan dan lain-lain keperluan seadanya. Masya ALLAH , tidak ada daya dan kekuatan melainkan dari ALLAH. ALLAH memberi semua rezeki yang baik ini melalui suami tercinta.

Suami juga sangat banyak membantu keluarga saya. Tapi apakah tanpa suami, keluarga saya tak akan terbantu?

Tidak, selama ini ALLAH lah yang mencurahkan rezekiNya untuk ayah saya membesarkan 9 orang anak dengan gaji guru sekolah rendah (di tahun-tahun akhir sehingga sekarang sudah bersara, sebagai Guru Penolong Kanan).

Dan kini dari 9 orang, hanya seorang abang yang bekerja, seorang abang yang sakit tidak bekerja, saya anak ketiga menjadi surirumah.

Ada 6 orang lagi adik-adik saya yang masih belajar (IPT, Sek. Men, Sek. Ren). Kenapa ayah saya mampu lagi menyara isteri dan anak-anak ini dengan duit pencen, kerana ayah saya juga selalu yakin pada ALLAH...ameen insyaALLAH.

Sekarang saya berusaha menterjemahkan kesyukuran itu, agar ALLAH menambah-nambah lagi nikmat yang ada.

“Kalau jadi apa-apa..”, saya tahu ALLAH ada.. Maha Pemurah, Maha Penolong, Maha Penyayang, Maha Pengasih.

Namun semua ini tak semudah dibicara. Ilmu, perancangan, usaha dan doa..

Ujian kewangan sememangnya antara ujian besar dalam cita-cita membina keluarga harmoni.





Namun dalam kita membina kekuatan ekonomi dalam keluarga, bina juga kekuatan iman pada sesama suami isteri dan anak-anak. Jiwa yang mengenal ALLAH, meyakini ALLAH, akan ALLAH cukupkan dan merasa cukup…

Jangan terlupa mencari dan bersungguh memberi rezeki pada hati dan jiwa. Ya, hati kita perlu rezeki berupa cahaya hidayah, sinar iman, ilmu… bila rezeki untuk hati kita berusaha cukupkan, kita akan merasa cukup dalam setiap keadaan, dengan izin ALLAH.

Kesibukan mencukupkan rezeki fizikal jangan sampai iman kita seorang insan terlantarkan. Jangan biar jiwa anak-anak kita ‘kelaparan’ hingga mereka menjalani hidup dengan bosan, dan tertekan.

“Kalau jadi apa-apa” pada saya seorang isteri..sahabat-sahabat ingatkan saya ya..

InsyaALLAH, dengan main office di rumah, saya juga sedang berusaha mengembangkan potensi penulisan untuk menyebarkan kebaikan dan peringatan. Namun saya tidak mampu menulis jika amal dan iman saya di tahap rendah..

Mohon doa dari sahabat-sahabat, agar saya dipimpin menjadi mukminah... Saya juga mendoakan agar kalian muslimah yang bujang, bergelar isteri atau ibu - selalu berusaha menjadi hamba Mukmin yang diredhai...


Sekian Perkongsian~

Tuesday, February 15, 2011

Bingkisan Buat Muslimah



Wahai diriku seorang muslimah… ALLAH menciptakan dirimu untuk menjadi seorang isteri kepada suami,menjadi ibu kepada anak, menjadi perhiasan dunia yang indah dengan ilmu, keimanan dan amal solehmu.

Maka belajarlah mengenal ALLAH dan Rasul. Bukalah manual hidup – Al Quran - yang ALLAH datangkan bersama penciptaan kita sebagai manusia. Rujuklah lembaran-lembarannya..untuk apa kita dijadikan di muka bumi ini..?

Wahai diriku seorang muslimah..hidup matimu kerana ALLAH. Di jalan Islam penuh kebaikan dan kedamaian yang bersesuaian dengan fitrah. Apakah fitrahmu..? Kajilah dan hayatilah agar hatimu tenang tak resah gelisah.

Wahai diriku seorang muslimah…jadilah seperti Khadijah. Isteri berbudi, rendah hati lagi sangat bermotivasi dan memotivasi. Memanfaatkan harta untuk dakwah, membantu suami dengan urusan-urusan agamanya.

Jangan lupakan Fatimah, hidupnya diuji susah sebagai isteri. Namun keimanannya menjadikan ia tetap qanaah, merasa kecukupan dari ALLAH.

Lihatlah Asiah, isteri yang hidup dikelilingi kemewahan, namun itu tak memudarkan iman. Cintanya sangat tulus untuk mentauhidkan tuhan. Memilih iman dari kekufuran. Matinya menjadi teladan.

Maryam…wanita suci terpelihara. Mengabdikan hidup di jalan ALLAH. Hidupnya benar-benar terisi sebagai ibadah.

Khadijah, Fatimah, Asiah, Maryam…inilah teladan sebenar seorang Muslimah. Mereka penghuni syurga yang mengenal ALLAH sedalamnya. Mengikuti petunjuk Rasul sebaiknya.




Wahai diriku seorang muslimah..sungguh kita perlu kembali kepada ilmu. Ilmu yang hakiki yang menunjuk jalan kebenaran. Yang akan memimpin kepada ketenangan.

Carilah ilmu, bagaimana seharusnya mentaati ALLAH.

Carilah ilmu, bagaimana seharusnya mentaati suami kerana ALLAH.

Carilah ilmu, bagaimana menanamkan keimanan ke dalam hati-hati zuriatmu.

Kerana dengan kejahilan, muslimahlah yang akan meruntuh sebuah peradaban. Menjatuhkan suami. Merosakkan anak penerus generasi.

Isteri yang jahil… bertindak sering mengikut hawa nafsu, jalan keluar seakan buntu, tidak mengenal kasih sayang ALLAH, tidak mampu merasa pertolongan ALLAH.

Isteri yang jahil… jauh dari hidayah dan ketaqwaan. Mentaati suami merasa tertekan, berkhidmat kepada suami suatu bebanan, gembira dan sedih berlebih-lebihan, ALLAH dan Rasul bukan rujukan..

Isteri yang jahil…tertanya-tanya kenapa anaknya sukar dididik dan dilenturkan? Sedangkan mengharap anak yang baik, perlu pada tuhan. Mengenal ALLAH, mengenal Rasul, mengetahui tujuan kehidupan. Sudahkah kita mengenal kehidupan akhirat yang berkekalan?

Wahai diriku seorang muslimah… patahkan dahan kejahilan itu. Hiasinya dengan bunga-bunga keimanan. Teguhkan akarnya dengan ilmu. Jadikan akhlak baikmu seperti dedaun merimbun yang meneduhkan jiwa-jiwa insan yang berdekatan…

Monday, February 14, 2011

Bila suami berpoligami...




Saya masih ingat lagi, antara isi ucapan Tun Dr Mahathir yang menyebut tentang poligami dalam satu program NIEW (NAM Institute For The Empowerment Of Women Malaysia) yang saya hadiri di penghujung tahun 2009.

Pada sebahagian audiens, mungkin merasakan itu adalah gurauan dari seorang pemimpin yang berwibawa, namun saya berusaha menangkap mesej yang Tun Mahathir ingin sampaikan - beliau menyebut bahawa kita memiliki begitu ramai wanita intelek tinggi yang baik, maka perlu ada generasi yang lahir dan dibesarkan oleh mereka.

Namun wanita-wanita bijak dan matang ini kelihatannya sukar bertemu jodoh, malah Tun Mahathir sendiri dalam ucapan lainnya ada menyebut tentang kerisauan pada generasi lelaki 'yang hilang' dalam kancah sosial di negara ini.

Maka saya bersetuju dengan cadangan Tun bahawa wanita-wanita ini tidak lain sekufu dengan lelaki yang matang lagi intelek, namun kebanyakan mereka menyandang status suami orang.

Bila harapan dan keterbukaan kepada poligami telah ada, pastinya perlu difikir-fikirkan bagaimana insan yang bernama isteri ini boleh membantu suami memantapkan keperibadiannya dalam rangka membina sebuah lagi keluarga.

Maka di sini saya kongsikan sedikit sebanyak idea dan pandangan yang tercetus, moga kita yang bernama isteri, yang terfikir untuk 'menikahkan' suami, mendapat serba sedikit gambaran peranan yang boleh dilaksanakan.

Dari segi kepimpinan, isterilah insan terpenting yang mampu meneguhkan kepimpinan suami. Si isteri harus telus mengiktiraf karakter-karakter positif suami, dalam masa yang sama berhikmah menegur dan membantu suami memperbaiki kelemahan yang ada.

Seakan menjadi lumrah hidup sebumbung, mudah sahaja untuk mengeluarkan senarai panjang kesilapan dan keburukan pasangan, namun di sana ada ruang untuk kita turut mencungkil kelebihan dan kekuatan yang ada pada suami hingga kebaikan-kebaikan itu makin menyerlah dalam menelusuri kehidupan berumahtangga.

Dengan izin ALLAH, kebaikan pada suami yang kita kasihi itu akan mampu diaurakan pada isteri-isteri dan keluarga seterusnya.

Dari segi ekonomi, ini adalah salah satu aspek yang banyak memberi tekanan dan kerunsingan pada individu di zaman mencabar ini, apatah lagi pada mereka yang sudah bekeluarga dan memiliki anak-anak.

Hingga ada sebilangan ibu bapa yang merasakan kehadiran cahayamata akan menambah beban kewangan sedangkan telah ALLAH SWT nyatakan di dalam Al Quran bahawa setiap anak adam itu ada bahagian rezeki masing-masing asalkan kita tidak jemu berusaha mencarinya. Mungkin yang paling penting ialah bagaimana cara kita menguruskan duit, bukan pada besar atau kecilnya gaji yang menentukan kecukupan belanjawan bulanan.

Dari segi kasih sayang, subhanallah, kasih sayang adalah satu nikmat ALLAH yang tidak pernah habis, yang mana semakin banyak kasih sayang diberikan pada orang lain, semakin banyak kasih sayang yang akan hadir dalam hidup kita.

Sayang suami akan berkurang andai dia memiliki isteri baru yang dicintai?

Tidak, percayalah bahawa semakin banyak sayang yang suami berikan pada orang lain, semakin bertambah juga sayangnya kepada ister-isteri dan keluarga sedia ada.

"...Seorang lelaki adalah pemimpin dalam urusan keluarganya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepemimpinannya”. (Hadis Riwayat Bukhari)


Suami akan tetap sayang andai kita tetap menghormati, menyayangi dan mentaati dirinya sebagai pemimpin keluarga. Kita berusaha menjadi teman yang memudahkan urusan suami, setia mendengar dan menenangkannya di waktu sukar dan suram, menguruskan rumahtangga serta mendidik anak-anak dengan baik, masakan suami tidak menyayangi.

Dengan kelembutan dan kesopanan perilaku, jua akhlak mulia yang lainnya, suami pasti akan menyayangi isteri sebegini tak kira samaada dia isteri pertama, kedua, ketiga atau seterusnya.

Setelah semua kebaikan dan keindahan kita tonjolkan pada suami, namun masih rasa kurang disayangi, kurang dipeduli.. ayuh kita muhasabah diri. Dalam kita bersungguh menjaga kemesraan dan keharmonian hubungan suami isteri, adakah kita juga tekun dan ikhlas menjaga hubungan dengan ALLAH yang menitipkan kasih sayang itu..?

Mungkin kurang pedulinya suami pada kita, kasih suami yang terasa semakin hilang, kerana kita juga sebenarnya telah lama tidak menghidupkan 'rindu sayang' pada tuhan. Jika kita terlupa kepada Tuhan yang memberi cinta dan kebahagiaan, kita meletakkan hubungan suami isteri dan kekeluargaan di dalam 'ancaman'.

Dari segi masa, benar, kedua-dua kualiti dan kuantiti masa itu penting. Namun apa jua kejayaan yang ingin dicapai, pasti menuntut pengorbanan. Mungkin sirah nabi dan para sahabat yang keluar lama berjihad menjadi inspirasi pada isteri dan ibu yang lama berjauhan dari suami.

Sepeninggalan suami, kita isi masa yang ada untuk memberi tumpuan mendidik anak-anak di samping melakukan pelbagai aktiviti lain yang mampu menambah ilmu dan kemahiran isteri sebagai pemimpin rumahtangga (suami sebagai pemimpin keluarga).

Apatah lagi di zaman ini, sering saja suami isteri berjauhan kerana tuntutan kerja mahupun dalam rangka menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Jadi pasti mampu lebih redha andai suami meninggalkan rumah kita kerana ada tanggungjawab sebagai suami dan ayah yang perlu dilaksanakan di rumah lain.

Mungkin boleh juga disebutkan di sini bahawa ada isteri merasakan suaminya tidak memenuhi keperluan batinnya, maka dia tidak layak beristeri lagi. Jika dimuhasabah tentang hubungan intim suami isteri, adakah masalah timbul kerana ketidakmampuan suami, atau isteri yang tidak lagi mampu menarik perhatian suami?

Tidak dinafikan banyak faktor lain yang menghambarkan hubungan seksual suami isteri, antaranya adalah faktor masa dan tekanan. Suami dan isteri juga memiliki status ayah dan ibu yang teramat sibuk dengan pelbagai urusan kewangan dan anak-anak. Seks adalah perkara terakhir yang mampu mencelah di fikiran. Maka suami isteri harus menyediakan masa untuk seks yang berkualiti, perlu saling membantu dalam menghidupkan keinginan dimesrai dan memesrai.

Kepimpinan suami, ekonomi, pembahagian kasih sayang dan masa jua nafkah batin adalah antara isu-isu yang sering dibincangkan dalam topik poligami. Maka suami dan isteri yang dalam proses berpoligami perlu telus dalam mengkomunikasikan hal-hal ini.

Kegagalan berkomunikasi secara baik bukan sahaja akan memporak-perandakan keluarga poligami malah betapa ramai pernikahan monogami yang menjadi tegang kerana suami dan isteri tidak belajar dan tidak mempraktikkan budaya komunikasi yang efektif dan harmonis.

Inilah sebahagian perkara yang dapat dikongsikan dari pengalaman singkat saya berada di alam poligami.

Ya, amat sukar sebenarnya mencari lelaki yang layak berpoligami, namun membina rumahtangga bukan sekadar tanggungjawab suami. Demikianlah juga, amat sukar mencari isteri yang sanggup mendukung poligami. Sesungguhnya isteri-isteri juga ada peranan penting untuk menjayakan pernikahan poligami ini.

Syariat poligami tidak akan jadi menarik dan indah andai suami dan isteri-isteri tidak berusaha kerasa menerapkan Al Quran dan As Sunnah dalam segenap kehidupan. Ayuh para isteri dan suami, kita menambah ilmu dan keimanan dalam meraih kebahagiaan yang berpanjangan..

Thursday, February 10, 2011

Buku...di situ ada bahagia.

Dunia IT makin menjauhkan kita dari buku. Fesbuk, wai-em, blogging..ini antara yang kerap kita dampingi.

Anakku, 'bacalah'.

'Bacalah'.

Ini firman Allah yang pertama.

Jadi ayuh kita membaca buku panduan yang agung sempurna, kitabullah, Al Quran.

Kita baca hari-hari.

Hingga ke hujung nyawa.

Moga dengan bacaan kita, ayat-ayat Allah itu akan membentuk diri kita sebagai manusia.

Yang benar-benar manusia - tahu asal usul dan peranan di dunia sementara.
Published with Blogger-droid v1.6.7

Buku. Dan Air.

Saya terlintas untuk menulis tentang buku dan air setelah melihat botol-botol air minuman di hampir setiap sudut rumah. Saya tidak boleh jauh dari air..saya pasti akan tercari-cari. Maka saya meletakkan botol berisi air kosong itu di tempat yang mudah dicapai.

Sejak serumah dengan teman hidup yang suka membaca, saya juga tidak boleh jauh dari buku, saya pasti akan tercari-cari. Maka di setiap sudut rumah, saya akan letakkan sekurang-kurangnya sebuah buku. Dan buku itu akan dicapai untuk dibaca, terutamanya ketika sedang menyusukan baby Abdullah.

Buku dan air. Dua elemen penting hidup saya kini (dan harus penting juga pada semua muslimah lain). Sebelum ini, ia penting juga tapi saya mengabaikan kepentingannya.

Bila sibuk dengan anak, suami dan urusan rumahtangga lainnya, membaca buku adalah perkara terakhir yang boleh dibuat. Dan saya cuba mengubah situasi itu, dengan memasukkan agenda membaca ke dalam rutin harian.

Tidak membaca? Sedangkan saya sangat-sangat perlukan banyak ilmu dan maklumat dalam melaksanakan tugas sebagai isteri, ibu, anak, teman, murabi dan mutarabi. .. cuba menunaikan sebaiknya.

Apa bacaan saya tika ini? Buku tentang perkembangan baby, tentang menjaga suami dan rumahtangga, resepi masakan, tentang dakwah dan tarbiyyah, kitab hadis dan hadis qudsi, tafsir quran etc etc.. (ohh ini semua hanya senarai target.. ;) )

Kenapa perlu membaca?

Jangka panjangnya, supaya ilmu bertambah-tambah. Dan kemudiannya dipraktikkan.

Tujuan jangka pendeknya,...?

Supaya dapat kembangkan idea memasak (buku resepi)...

Supaya faham ragam dan telatah baby (buku development of baby)...

Supaya ada topik nak sembang dengan suami...(buku apa-apa pun..)

Supaya terus semangat untuk dakwah dan tarbiyyah - mengajak diri sendiri dan orang lain jadi lebih baik.. (buku D &T).

Sambil baca buku, jangan lupa minum air. Minum air bukan sekadar ketika haus, tapi minumlah untuk kekalkan bendalir badan. Sangat bagus untuk semua sistem badan... betul tak doktor :) dan supaya sesi membaca tak mudah mengantuk.. (kalau nak mengantuk, mengantuk juga...:))

Saya tidak berenggang dengan air sejak diuji dengan sembelit yang teruk, selepas melahirkan. Saya menangis-nangis tak boleh buang air besar, dan dari pembacaan saya, cara yang paling efektif untuk mengatasi masalah sembelit ialah:

1- minum air dengan banyak, banyak sekali

2- makan sayur dan buah, lebihkan

3- regular exercise

Alhamdulillah, ketiga-tiga poin di atas saya lakukan... dengan izin ALLAH, saya tak nangis lagi diuji sembelit....kerana sembelit telah tiada..

Menjadi jahil kurang ilmu, kesannya perit. Teruslah berdamping dengan buku.

Sembelit memang ujian yang sangat sakit, teruslah banyakkan minum air dan padaNYA kita mengadu.


Sekian perkongsian ringkas, moga bermanfaat di dunia dan akhirat.
Published with Blogger-droid v1.6.7

Apa peranan saya di bumi Allah tika ini?

Saya seorang isteri, saya berbakti kepada suami kerana Allah. Keberadaan saya di sisinya harus membantunya menjadi lebih baik sebagai hamba dan khalifah Allah.

Saya seorang surirumahtangga - pengurus rumah dan anak-anak - saya harus memastikan rumah ini dilimpahi sakinah dan barokah dengan ilmu dan ketaqwaan saya.

Dengan ilmu, saya belajar mengenal Allah dan Rasul. Terlebih penting, saya harus kuat dan istiqamah mengamalkan ilmu agama ini.

Kemudian saya perlu menerapkan ilmu ini ke dalam kehidupan seharian suami dan anak-anak.

Wahai isteri, sama-sama kita bersyukur dengan kebaikan-kebaikan suami. Dan sama-sama kita bersabar dengan kelemahan-kelemahannya.

Wahai isteri, ayuh kita perdalamkan cinta kepada Allah. Ayuh kita menambahkan ketaatan mengikuti syariat Allah dan Rasul.

Dengan ilmu dan keimanan, moga Allah meneguhkan rumahtangga kita. Dengan mujahadah mengikut sunnah Rasul, moga rumahtangga kita menjadi tempat yang nyaman untuk berteduh sebelum bertemu tuhan.

Anak-anak yang dianugerahkan tuhan, ayuh kita didik hatinya mengenal tujuan hakiki kehidupan. Erti kejayaan sebenar adalah ketika kaki menginjak ke syurga. Dan kegagalan sebenar ialah terjerumus ke dalam azab neraka.

Saudara-saudara perempuanku di luar sana, ayuh kita membina lingkungan yang baik untuk istiqamah meraih redha tuhan.

Kepada yang telah bekeluarga, sentiasalah mencari cara untuk membina keluarga yang penuh ilmu, iman dan amal soleh. Moga keluarga kita menjadi asas masyarakat dan mengembalikan peradaban islam yang tinggi.

Jika 'sudi', bantulah suami berpoligami, agar saudara-saudara bujang bertambah peluang untuk mendapat pasangan. Agar mereka yang lain mampu mencicipi ketenangan hidup bekeluarga dan berpasangan.

Pada yang bujang, dalam usaha dan penantian seorang pasangan, perbanyakkanlah amal soleh. Moga 'bujang'mu dan kesabaranmu di anugerahkan bidadara suami sempurna di syurga tuhan.

Saya merindui 'generasi terbaik' yang Allah janjikan pada orang-orang mukmin. Generasi terbaik ini akan lahir dari keluarga-keluarga kita, dan lingkungan kita. InsyaAllah. 

Maka di samping menjadi isteri dan ibu, saya berusaha melaksanakan tugas mendidik insan-insan lain di sekitar saya melalui usrah mingguan. Pertemuan mingguan itu salah satu cara memperbaharui keikhlasan, bahawa hidup dan mati adalah untuk Allah. Pertemuan yang misinya untuk membina generasi terbaik.

** Ketika menulis entri ini, saya tidak mampu bangun, hanya terbaring kerana demam yang kuat. Namun ya Allah, jadikanlah coretan ini tazkirah untuk diriku tetap di jalanMu. Moga mampu jua menjadi peringatan pada saudara-saudaraku yang bertatih menuju cinta tuhan.

Saudaraku, gunakanlah apa jua sarana untuk berkongsi ilmu dan saling mengingatkan pada kehidupan akhirat yang berkekalan.

Published with Blogger-droid v1.6.7

Sunday, February 6, 2011

Kerana dakapanmu tetap berharga



Dalam entri sebelum ini, saya telah berkongsi tentang nilai dakapan di antara suami dan isteri. (Baca di sini).

Saya sedang berada dalam satu program tarbiyyah bila saya terlintas untuk berkongsi lagi tentang dakapan..

ya, dakapan.. atau pelukan.. ada apa dengan pelukan..?

Setiap kali di awal pertemuan dalam program-program tarbiyyah yang hanya dihadiri peserta muslimah, kelihatan para peserta akan bersalaman dan berpelukan. Dengan berwajah manis, pelukan itu adalah pelukan hangat yang mampu menyebarkan semangat dan kegembiraan pada saudara muslimah yang lain.

Ini juga membawa saya berfikir, bahawa dari satu segi, muslimah-muslimah yang sering menerima dakapan tulus dalam lingkungan teman muslimah lainnnya mempunyai ketahanan yang tinggi untuk tidak jatuh dalam rayuan dan dakapan lelaki yang suka menggoda wanita dengan fitrahnya yang sukakan perhatian, belaian…

Pelukan dan dakapan itu boleh kalian beri percuma pada insan-insan terdekat.. ia 'perkara kecil' yang mampu memberi makna besar pada insan-insan yang menharap kasih sayang dan kedekatan dengan insan sekitarnya.

Carilah masa dan kesempatan untuk menyentuh dan memeluk insan-insan yang sepatutnya mendapat sentuhan dan dakapan itu.

Bila kali terakhir kita menyentuh dan memeluk ayah dan ibu dengan kasih sayang…? Atau adakah ayah dan ibu kita sepi jasad dan jiwa kerana kita telah lama sekali tidak menziarahnya apatah lagi mendakapnya…?

Bila kali terakhir kita saling memeluk adik beradik dengan penuh kasih?

Bila kali terakhir kita memeluk anak-anak..adakah pelukan itu hanya sewaktu anak-anak masih bayi dan tiada langsung bila anak-anak menginjak remaja.. hingga anak-anak itu terdorong untuk jatuh dalam pelukan teman lelaki dan teman wanita hanya kerana merasa kekosongan jiwa..?

Bila kali terakhir kita memberikan pelukan untuk suami dan isteri.. ?

Pelukan dan sentuhan sayang suami isteri yang bukan kerana hubungan seksual semata, namun pelukan dan sentuhan yang diberikan secara berkala mampu menghidupkan rasa cinta suami dan isteri.. para isteri sering mengharap sentuhan dan pelukan yang kerap dari suami, dalam masa yang sama, para isteri juga hendaklah memberikan pelukan dan sentuhan sayang tanpa diminta…




Namun mengertilah bahawa pelukan hangat itu sebenarnya didorong oleh hati yang bersih dan subur dengan kasih sayang. Takkan mampu untuk kita saling memeluk ibu ayah, adik beradik, anak-anak atau suami isteri andai ada konflik menjengkelkan yang tidak berkesudahan.

Bila diuji dengan unfinished business and communication breakdown…, menatap wajah sahaja kita merasa sukar, apatah lagi untuk berdakapan mesra.



Maka usah dibiarkan konflik berpanjangan, carilah ruang menyatukan hati dan perasaan. Ya, hati yang telah terluka dan tercalar tidak mudah untuk kita menyembuhkannya…maka pohonlah kasih sayang ALLAh untuk merawatnya.

Hanya ALLAH yang Maha Menyembuhkan.

Jika berharap pada ibu ayah, suami atau isteri dan anak-anak atau teman-teman – kemampuan mereka sangat terbatas untuk menyembuhkan, untuk selalu menggembirakan dan menenangkan hati kita.. mereka sama seperti kita, banyak kesalahan yang sering kita lakukan.

Hanya padaMU ya ALLAH..ku pohon agar ENGKAU mengampuni dan menyayangi diriku.. ku pohon agar diri ini mampu memaafkan dan melupakan, ku mohon agar ku mampu menyayanginya di sebalik kesilapan-kesilapannya padaku.. Bantulah kami untuk beramal dengan amalan yang ENGKAU cintai Ya ALLAH..

Moga kalian mampu berdakapan penuh cinta dan kasih dengan kemaafan yang tulus, dan kasih sayang yang kudus.

Sekian perkongsian, moga bermanfaat.

Wednesday, February 2, 2011

Dari Mesir ke Meru



Bukan, saya tidak pergi ke Mesir. Tidak juga pulang dari Mesir. Saya hanya di rumah di daerah Meru, Klang ini.

Namun bagi yang merasai hebatnya pergolakan di Mesir tika ini, hati mereka bergelora, risau, sedih, tertanya-tanya hingga seakan hati telah terbang ke sana untuk sama-sama melihat dan merasai kemelut besar itu.

Semua rasa itu bercampur cemas sedikit hadir kerana dua adik kandung saya sedang menuntut di sana.

“Assalammu’alaikum wa rahmatullah… kaklang, bangcik nak bagitau, pelajar-pelajar mesir sekarang dalam proses pemindahan keluar dari mesir.. di hantar ke Jeddah dulu..then tak tau ke mane.. tengok lah nanti tindakan seterusnye..apapun, bagitahu kat orang malaysia kami masih dalam keadaan terkawal.."

Begitu bunyi mesej fb yang diterima dari adik lelaki saya sebentar tadi.

Ya ALLAH.. andai bukan adik-adikku atau teman-temanku yang berada di sana, adakah hati ini mampu merasai keperitan yang mereka lalui saat ini?

Betul atau salah tindakan mereka, siapakah dalang pemulanya, bagaimanakah puncanya – kita ketepikan seketika. Yang pasti, kemelut Mesir ini telah membunuh ratusan nyawa dan beribu cedera.

Ketetapan Allah, Apa Yang Allah kehendaki pasti terjadi. Yang penting, apakah yang boleh dipelajari dari pergolakan ini.

Mudah-mudahan rasa simpati dan empati itu hadir kerana rasa ukhuwwah islamiyyah (persaudaraan Islam) yang wujud pada saudara-saudara muslim di sana. Kita mendoakan keselamatan buat mereka semua warga Malaysia, warga Mesir dan lain-lainnya.

BeritaHarian.com: Yang nyata sepanjang hampir 30 tahun di bawah seorang presiden, majoriti rakyat Mesir menghadapi pelbagai kesukaran hidup – daripada kekejaman polis, undang-undang darurat, pengangguran, gaji rendah, kekurangan tempat tinggal sehingga kepada inflasi tinggi, ketiadaan kebebasan bersuara dan rasuah yang berleluasa.


Apa khabar kita semua di Malaysia?

Masih ‘aman damai’. Masih cukup (terlebih?) makan minum. Masih boleh tidur lena. Masih boleh keluar ke sana ke mari tanpa ketakutan dan debaran. Masih ada sumber pekerjaan yang banyak. Alhamdulillah.

Ya, di Meru (dan Malaysia ) ini tiada kedengaran bunyi tembakan dan kapal terbang tentera silih berganti. Juga tidak langsung ada kereta kebal melintas di jalan-jalan kita. Tidak perlu berkurung dalam rumah.

Namun jangan menutup pandangan dan mata hati pada bencana yang dasyhat telah berlaku di Malaysia…


:: Bencana Ilmu ::

Menuntut ilmu dengan berhutang bertahun-tahun di IPT, hutang yang dialih nama kepada yang lebih baik bunyinya – pinjaman pelajaran PTPTN, MARA etc - tapi adakah ilmu itu makin mendekatkan kita pada ALLAH dan syariat Islam?

Ya, saya berterima kasih kepada PtPtn, alhamdulillah Allah telah membantu saya melunaskan hutangnya. [Syukran jazeelan pada qawwam saya yang membantu, moga Allah merahmatinya].

Saya hanya merenung… Adakan ratusan ribu graduan IPT itu benar-benar menjadi pelapis yang mengembalikan peradaban ummah Islam yang telah lama berada di tempat paling bawah dari segi ekonomi, pendidikan, sosial …?

Saya perlu menjawabnya dan melihat di mana peranan saya untuk persoalan ini.

Bencana ilmu seterusnya yang patut kita merasa sedih dan kesal ialah,… bilamana ilmu agama dan islam disampaikan secara terbuka, akan ada penangkapan-penangkapan yang kononnya menyampaikan agama perlu ada tauliah…?

Bukankan pada setiap muslim mukmin itu telah ditaklifkan untuk menyampaikan ilmu-ilmu ALLAH di mana saja, kepada siapa saja…kenapa dihadkan kepada mereka yang ada kelulusana kertas sahaja?

Kononnya, tanpa tauliah, ilmu-ilmu itu memecahbelahkan masyarakat.

[Saya akui juga, kalian yang membuat syarat tauliah ada yang benar berniat baik – ingin ‘menjaga keharmonian masyarakat’. Namun lihatlah keluasan ilmu yang disempitkan dengan cara syarat tauliah ini telah menangkap bukan orang sebarangan, namun insan-insan yang ternyata amat luas ilmunya..Saya tak boleh menerima tindakan ini.]

Lima tahun saya di IPT, hanya dua tahun pertama yang ada subjek agama islam, hanya dua jam seminggu berjumpa ustazah-ustazah saya yang baik untuk saya mengenal erti hidup hakiki.. waktu-waktu yang lain dengan kawan-kawan yang seolah tiada arah..dan saya lah yang bernama kawan itu, juga tak tentu arah :(

Saya kesal, namun saya bersyukur, betapa ramai ‘guru agama’ yang tidak bertauliah ini – mereka bidang sains komputer, mereka bidang kujuruteraan, mereka bidang sains kemanusiaan, mereka bidang pengurusan perniaagan, mereka bidang perbankan dan perakauan tapi dengan ilmu ALLAH yang ada menyebabkan mereka bekerja lebih untuk menarik anak-anak muda kampus ke jalan ALLAH.

Ya, kalian sangat tahu kan dengan ‘guru-guru’ agama yang menarik anak-anak muda kampus, yang kalian gelarkan sebagai membuat aktiviti secara 'illegal' di kampus dan hostel pelajar, kalian memantau rapi..

Tak usahlah memantau kami, kami tidak membawa mereka mengguling kepimpinan, kami tidak membawa mereka menjatuhkan orang-orang besar, kami hanya berusrah membawa mereka mengenali ALLAH sebagai kuasa yang Maha Besar, cinta yang Maha Agung. Kami hanya membawa mereka untuk sama-sama menjadikan Rasul SAW sebagai model terbaik. Kami berkongsi sedikit ilmu dan amal untuk istiqamah di atas jalan yang lurus…

Pantaulah anak-anak muda kampus yang lain – yang saban minggu terlibat dengan aktiviti tidak sihat kerana jiwa mereka (dan kita) sedang sakit. Mereka yang mencari ‘kumpulan sendiri’ yang menenangkan – kumpulan nyah, metal, clubbing, yang selalu bercanda dengan boyfriends girlfriends tanpa batasan…

Mereka (dan kita) sedang sakit, tidak boleh diubat dengan nafsu, perlu tarbiyyah. Perlu pada ilmu dan iman.

:: Bencana Iman :: 

“Bagaimana saya ingin solat kalau saya tak feel pada Allah…?”

“Kenapa ALLAH jadikan kita orang islam, biarlah kita cari sendiri agama mana yang benar.. penatlah nak ikut semua aturan-aturan agama ni…macam tak relevan, ketinggalan zaman…?”

“Kenapa ALLAH jadikan saya macam ni, kenapa ALLAH jadikan mereka macam tu… ALLAH ni zalim ke?”

“Kami berzina - ini dosa kami dengan ALLAH, kami tak kacau orang…”

“Kenapa saya kena buat baik dengan mak ayah..mak ayah saya pun lagi teruk…tak layak saya nak buat baik…saya ni pun kira ok…”

“Baju saya ni memanglah ketat, nampak semua tapi saya pakai tudung..tu yang lain pakai tudung masa kelas agama je, lepas tu cabut tudung…”

“Pelacur ni saya bayar RM50 saja.. Kalau nak kahwin, kami kena sediakan RM 30 ribu..dan yang ini boleh tukar-tukar…”

:: Bencana Akhlak ::
Kes buang bayi yang makin berleluasa. Perzinaan. Bukannya tiada pendidikan seks formal di sekolah menjadi isunya, tapi kerana ALLAH itu jauh dari hati kita semua.. siapa yang mampu jauh dari seks bebas sewaktu seks datang di tapak tangan – melalui skrin handphone, video lucah yang mudah di download, saling bertukar gambar bogel, seks melalui telefon..?

Dengan bahan lucah dan ‘separa lucah’ yang banyak, industri porno yang berkembang pesat merentasi lautan hingga sampai ke negara ini, siapa yang bertahan dengan segala filem dan drama ini untuk tidak menontonnya secara peribadi dan beramai-ramai..hingga terjadinya pesta seks..?

Isteri curang. Suami curang. Facebook yang menghidupkan cinta lama dan cinta baru. Anak berzina dalam bilik di rumah sendiri tak diketahui. Ohh bukan salah facebook, sebelum facebook popular pun, bencana akhlak dan sosial telah pun hebat..

Iman dan akhlak yang makin punah. Ilmu agama hanya tentang solat, jenis-jenis air untuk bersuci, tentang nabi lahir tahun gajah, tentang isteri nabi ada ramai..

Di manakah ilmu tentang syahadah…?

“Tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH.” …..

Apakah maksudnya ini…?

Tak apa, mungkin tak penting maksudnya. Teruslah kita perbanyakkan iklan-iklan yang memprovok hati kita untuk mendapatkan barangan atau makanan atau produk yang diiklan.. jangan sekali mengeluarkan iklan yang memasarkan syariat islam.

Tak apa, siarkan secara langsung perlawanan-perlawanan bola dunia dan tempatan, tak perlu disiarkan secara langsung suara hati pejuang-pejuang islam dewasa dan kanak-kanak yang sedang bertarung nyawa demi agama dan negara…yang penting di Malaysia kita ‘aman’.

Teruskanlah dengan program realiti yang melahirkan penyanyi dan penghibur - raja nyanyi, raja lawak, raja berlakon, untuk dewasa dah banyak, untuk si anak-anak kecil juga dah banyak.. teruslah kita menyokongnya dengan menonton saban hari..

Tak apa, teruskan tajaan puluhan juta untuk merentas lautan dalam, mendaki puncak tertinggi, menginjak ke hujung dunia.. tak perlu menaja program dakwah dan tarbiyyah..tak perlu menaja program-program yang membawa insan masuk ke dalam jiwa suci fitrah kami yang telah tersembunyi tertutup amat dalam…



:: Mewarnakan diri, hati, perasaan, fikiran dan perbuatan dengan celupan yang sebenarnya ..bantulah kami Ya ALLAH ::


** Ya..ini luahan bernada kecewa…tapi tidak putus asa.. kerana ALLAH selalu ada, Allah selalu berkehendak kebaikan untuk diri saya dan kalian, namun kita dikelilingin bencana ilmu, iman dan akhlak yang dasyat.. kita sangat payah untuk keluar dari belenggu hukum dan sistem masyarakat…

Kalian pekerja di jalan dakwah dan tarbiyyah, teruslah berkerja dengan ilmu dan bekal ruhiyyah yang tinggi.

Wahai saya di sini seorang ibu dan isteri, tolong jangan merungut dan mengata orang sana sini ok ... Silalah berusaha membina potensi diri dan ahli keluarga agar benar-benar kuat menghadapi dunia yang makin dekat dengan hari yang penuh bencana… Potensi iman, potensi ilmu dan potensi amal..

“Telah dekat datangnya saat itu..." (Al Qamar:54)

Saya mohon maaf, dan saya mengajak kalian menghayati dan benar-benar tulus meminta doa-doa yang seterusnya di bawah. Doa yang diajar ALLAH dan Rasul SAW...

Bukan minta jadi kaya atau miskin, tapi minta keberkatan. Bukan minta jawatan, tapi minta keimanan. Bukan minta dijauhkan dari ahli keluarga yang tak beriman, tapi meminta mmeminta petunjuk keimanan – buat saya, mereka dan kalian.

Moga saya dan kalian tidak sesekali buntu dalam perjalanan bertemu tuhan, dalam pergolakan atau 'keamanan'.

“Ya ALLAH, tambahkanlah ilmu kami”. (Taaha:114)

Ya ALLAH, ilhamkan diriku untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, dan kepada orang tuaku, dan agar aku mngerjakan amal soleh yang Engkau redhai, masukkanlah diriku dengan rahmatMU..ke dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh.” (An-Namlu:19)


“Ya ALLAH, aku berlindung kepadaMU dari fitnah dan azab neraka, fitnah dan azab kubur, keburukan fitnah kekayaan dan fitnah kefakiran…Ya ALLAH aku berlindung kepadaMu dari sifat malas, perbuatan dosa dan hutang.” (Hadis Riwayat Bukhari)

“Ya ALLAH, perbanyakkanlah harta kekayaan dan juga anakku, berikan keberkatan kepadaku atas apa yang telah Engkau kurniakan kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

“…Dan panjangkanlah kehidupanku pada ketaatan terhadapMu, perbaikilah amal perbuatanku, dan berilah ampunan kepadaKu”. (Hadis Riwayat Bukhari)

“…Ya ALLAH, jadikanlah kami cinta kepada keimanan, jadikanlah ia hiasan dalam hati-hati kami, dan tanamkanlah rasa benci kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan, dan jadikanlah kamitermasuk orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus…” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Ya ALLAH, jadikanlah aku merasa cukup(qana’ah) terhadap apa yang telah Engkau rezekikan kepadaku, dan berikanlah keberkatan kepadaku di dalamnya, gantikanlah semua yang hilang dariku dengan lebih baik.” (Hadis Riwayat Al Hakim)

 
Sekian perkongsian, moga bermanfaat.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...