Semalam selepas habis meeting program di UiTM Selayang, saya mencuba jalan baru untuk pulang ke rumah. Saya melalui jalan seperti yang di atas iaitu highway LATAR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Kuala Selangor. Pagi Ahad ini, untuk ke seminar di Selayang juga, saya mengikut highway yang sama. Saya terpesona dengan kecantikan pemandangan sekitarnya, saya pun memperlahankan kereta dan mengambil gambar. Itu suasana pada pukul 8 pagi...
Abdullah dan Tok Naninya turut saya angkut ke meeting program. Saya kira, bila tanggungjawab semakin bertambah ada kelonggaran dan pertimbangan untuk meeting bersama para ibu :D Mereka tidaklah mengganggu meeting saya, namun saya meminta izin untuk beredar awal dari meeting setelah beberapa perkembangan dan kata sepakat untuk program yang dirancang telah diambil.
Sepanjang perjalanan di highway LATAR, Abdullah dan Tok Nani duduk di seat belakang. Saya memandu berhati-hati, maklumlah jalan baru - perlu melihat signboard dengan betul dan tidak terlalu laju kerana tak tahu di mana selekoh, di mana curam dan sebagainya. Namun jalan yang lapang tanpa banyak kereta ini membawa fikiran saya merenung banyak perkara.
Keselesaan kita atas pengorbanan orang lain
Alhamdulillah saya bersyukur kehadiran LATAR memudahkan perjalanan saya untuk balik ke Meru dari Selayang. Dalam perjalanan ke UiTM itu, agak sesak di exit Selayang. Di NKVE juga, antara Damansara ke Subang adalah kawasan yang selalu sesak dan kereta bergerak perlahan. Namun kali ini terasa cepat dari Selayang ke Meru, dengan mengambil exit Puncak Alam. Syukur semuanya kemudahan dari ALLAH.
Kiri kanan LATAR adalah hutan, saya teringat makhluk ALLAH bernama haiwan yang tinggal di dalam hutan, pembangunan lebuhraya ini telah sedikit sebanyak (mungkin sangat banyak) mengganggu habitat dan ekosistem mereka. Ke manakah mereka sang haiwan lari membawa anak pinak? Masih banyakkah sumber makanan untuk mereka? Selamatkah mereka dalam penghijrahan ke tempat baru?
Kerana kita selesa di jalanraya, mereka dikorbankan tempat tinggal dan sumber makanan. Mereka perlu mencari sumber rezeki dan tempat tinggal yang lain... :O Saya terlebih prihatinkah??
Situasi ini mengingatkan saya bahawa kita makhluk ALLAH sangat memerlukan kepada satu sama lain termasuk haiwan. Haiwan ternak menjadi makanan kita.
Sewaktu kita makan nasi, ada petani yang membanting tulang di sawah padi, samaada petani tempatan atau petani di negara pengeksport beras. Sewaktu kita menikmati ikan dan makanan laut yang lain, ada nelayan yang menyabung nyawa di laut dan lautan. Sewaktu kita memakai pakaian baju dan kasut, jenis kulit atau kapas, ada perkerja yang bertungkus lumus di ladang kemudian memprosesnya di kilang. Sewaktu kita memakai kereta, ada pekerja yang berkerja kuat memasang segala komponen kenderaan. Sewaktu kita ke sana ke mari dengan nikmat petrol, di tengah lautan mereka bersusah payah dengan kerjaya carigali.
Bersyukurlah. Berterima kasihlah pada semua. Itu hanya sebahagian kecil yang boleh disenaraikan.
Kita sangat perlu petunjuk ke jalan yang lurus
Memandangkan ini kali pertama saya mengikut LATAR, kehadiran signboard yang banyak dan jelas - sangat membantu saya sampai rumah saya di Meru dengan selamat tanpa sesat. Signboard atau petunjuk itu sangat penting. Tidak kurang pentingnya ialah, ilmu dan keyakinan untuk kita 'taat' pada signboard.
ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَIhdinas-sirâta
l-mustaqîm
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
Setiap hari, dalam solat berulangkali kita memohon kepada ALLAH jalan yang lurus, jalan hidayah, jalan yang benar, jalan yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita sangat perlu petunjuk itu. Malah kadangkala kita telah nampak dan tahu kepada petunjuk, namun kita tidak punya kekuatan untuk melakukan sesuatu perkara mengikut petunjuk ALLAH SWT. Maka kita juga memohon rahmat dan inayah ALLAH untuk sentiasa di jalan yang lurus.
Setiap masa, setiap hari kita menghadapi situasi perlawanan hawa nafsu dan godaan syaitan. Separuh hati ingin menjadi baik, berbuat baik. Separuh hati lagi rasa malas untuk berbuat baik, rasa 'Lantaklah semua orang, aku nak buat ikut suka aku...' Maka jika keimanan dan kepercayaan kita bahawa ALLAH itu Maha Melihat, ALLAH Maha Penilai, ALLAH itu tumpuan hati - kita akan memilih jalan yang benar dan lurus. Sekalipun sakit dan perit dengan pertarungan perasaan.
Menjadi wanita, menjadi anak, menjadi isteri, menjadi ibu - siapakah yang tidak ALLAH uji dengan kesakitan dan kepayahan? Kesusahan fizikal dan cabaran emosi? Kesulitan kewangan dan tekanan fikiran? Kita semua diuji dengan bentuk yang pelbagai, maka pilihan yang kita ada ialah bertindak dan merespon dalam semua situasi dengan petunjuk ALLAH SWT. Petunjuk Rasulullah SAW. Yang dengannya kita PASTI akan temukan jalan keluar. Hanya ALLAH yang melorongkan penyelesaian.
Ayuh kita memohon pada ALLAH. Berhenti meletak harapan tinggi kepada manusia samaada anak, suami, ibu bapa atau sesiapa. Jika hati kita bulat kepada ALLAH, mentaati dan redha dengan segala sayariat jua ketentuanNYA - pasti ALLAH mudahkan kehadiran manusia lain untuk membantu dan memberi bahagia pada kita.
Berdoalah memohon dari ALLAH petunjuk jalan yang lurus untuk diri kita dan pasangan. Memohon petunjuk jalan yang lurus untuk madu-madu kita, untuk anak-anak yang kita sayangi, untuk ibu ayah yang telah membesarkan, untuk ahli keluarga dan saudara islam seluruhnya...
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (Al Maidah:16)
Sekian perkongsian, moga bermanfaat ::
No comments:
Post a Comment