Wednesday, July 25, 2012

Cemburu Berlebihan Itu Dari Syaitan



Isteri pertama cemburu dan prasangka buruk. Isteri kedua pun cemburu dan prasangka buruk. Saya tidaklah kata saya tidak termasuk golongan itu. hmm akhirnya Suami yang pening kepala. Sedangkan saya rasa bagi suami, suami sayang semua isterinya. Jika isteri baik dan tetap berbuat baik, suami mana yang tak sayang kan ♥

Jadi wahai para isteri yang baik... setelah menganalisa kes sendiri dan kes kalian, saya cadangkan dua langkah yang perlu saya dan kalian ambil :

Mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam

Projek mega syaitan, iblis dan sanak saudarnya adalah untuk memecahbelah dan merosakkan kasih sayang sesama kita. Dicucuknya isteri pertama, isteri kedua, isteri ketiga dan keempat. Suami pun akhirnya akan kalah dengan cucukan syaitan jika jemaah isteri hanyut dan rela berdamping syaitan. Hingga akhirnya syaitan berjaya membuatkan suami menceraikan salah seorang isterinya.. Sesungguhnya segala rasa negatif yang berlebihan adalah dari syaitan.

Rasulullah bersabda: Sesungguhnya bagi setiap anak Adam (yakni manusia) ada sentuhan syaitan dan sentuhan malaikat. Ada pun sentuhan syaitan, ia mengajak kepada keburukan dan mendustakan kebenaran. Manakala sentuhan malaikat, ia mengajak kepada kebaikan dan menegakkan kebenaran.

Maka sesiapa yang merasai sentuhan kebaikan, ketahuilah bahawa ia adalah dari Allah (melalui perantaraan malaikat) dan hendaklah dia memuji Allah (dengan menyebut Alhamdulillah). Sebaliknya sesiapa yang merasai sentuhan sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan Allah daripada syaitan (dengan menyebut A’uzubillahi minash syaitan). [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2988]

Menganalisa kes sendiri maksudnya - Saya juga punya rasa cemburu pada madu=madu, maka bila hati cuba jujur menganalisa perasaan cemburu yang melanda, ternyata ia adalah sia-sia dan sungguh nyalaan syaitan. Ia membebankan suami malah bila kita tak berusaha meredam cemburu yang bersulam prasangka, kita ibarat memikul seguni kentang busuk :O

Bila semakin ramai dari pihak isteri kedua atau pertama yang berkongsi perasaan negatif yang mereka lalui...sedarlah bahawa permainan syaitan sangat hebat dan dashyat.


Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan ucapan-ucapan yang amat baik; sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka; sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. [al-Isra’ 17:53]


Jadi jika kita melihat madu atau suami sebagai musuh, sembilu atau gunting dalam lipatan atau segala label negatif lain, memang itulah yang kita dapat...bisikan syaitan akan mengiyakan semuanya. Maka mohonlah perlindungan ALLAH agar bersangka baik dan dilindungi dari godaan syaitan.

Jangan fokus pada suami atau madu terlebih dari kita fokus kepada hati dan akal sendiri

Maksudnya fokus untuk menata hati kita, menjernihkan hati sendiri dan menambah ilmu untuk akal - bekal menempuh kehidupan dengan positif. Hari hari kita kilatkan sinki di dapur, jangan lupa sental hati kita dari lumut dan daki nafsu buruk... kepada suami atau madu, kita fokus mencari kebaikan mereka. Buka hati dan mata luas luas untuk melihat KeBAikan OrANg dan KeAibAN sendiri.

Ya kita insan biasa akan terjatuh dalam cemburu, sedih marah, keluhan, rungutan... Namun dari kita merungut, mengeluh atau menuding jari menyalahkan madu atau suami - perbaikkanlah diri sendiri. Jika rasa dah baik, jadi terbaik dan ajak orang lain memperbaiki diri ♥

Saya pun emo dan tak kuat kadang-kadang :P dan saya tidak jumpai tempat kembali yang baik selain kepada ALLAH. Kekuatan dan pertolongan segalanya dari ALLAH, hingga saya melihat ALLAH memberi suami dan madu-madu itulah nikmat dan pertolongan ALLAH yang besar untuk saya...Nikmat yang bagaimana? Melalui mereka dan poligami, ALLAH memandu hati saya untuk dekat denganNYA berkali-kali...maka apakah kita mahu memberontak pada manusia sedangkan sebenarnya ALLAH lah yang benarkan poligami terjadi untuk menjemput kita ke jalan tuhan...


Lihatlah suami dan madu dengan positif. Suami adalah wasilah yang ALLAH bagi untuk kita masuk syurga. Jika suami/isteri dilihat kurang baik, ALLAH bagi peluang untuk kita mendapat pahala memberi ilmu dan didikan... Madu, juga wasilah untuk kita mendapat kemanisan iman jika kita memanfaatnya..
Mencintai suami dan madu semata-mata kerana ALLAH <3

"Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan Iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam Api Neraka." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ya..saya percaya, suami saya yang baik dan lelaki lain juga yang ingin membina rumahtangga poligami dengan baik - mereka sayang para isteri, ingin hidup bahagia dan damai dan tenang dengan para isteri... isteri yang bermadu juga, tidak sedikit yang dari awal berniat baik, ingin berbaik dengan madu dan terus setia berbaik kepada suami selepas suami menikah lagi... hanya bila isteri-isteri dan para suami tak berhati-hati - syaitan berstrategi merobohkan niat suci kita semua dari awal yang ingin baik dan kebaikan dalam rumahtangga...


Saya sayang semua... kita saling doa dan saling cinta ok :) Selamat berjaya untuk saya dan semua :) dan para suami, moga Allah menjadikan kalian pemimpin yang benar...





Tuesday, July 24, 2012

Sahabat hadiah ALLAH



ALLAH menganugerahkan saya seorang sahabat beberapa tahun dulu. Kami tinggal serumah dan sebilik mulanya. Tapi selepas beberapa ketika, kami tidak lagi mahu tinggal sebilik kerana ingin menjaga cinta dan persahabatan kami :O Kalau sebilik, ...lebih berpotensi untuk bergaduh :D

Kami study bersama. Buat assignment bersama. Makan bersama. Berpersatuan sama. Kelas sama. Duduk sama sebelah menyebelah dalam class sampai hampir setiap semester, lecturer pun perasan kami berkawan baik. Dan asyik menyembang :P tapi aktif juga participate kadang-kadang ♥

Dia sangat baik. Sebab dia selalu dorong saya jadi baik. Kalau saya tak baik pun, dia akan selalu highlight ciri yang baik pada saya, hingga saya terdorong meninggalkan yang tak baik itu. Dia pendengar yang baik. Sangat selalu bantu saya... nasihatkan saya. Dia selalu ingatkan saya untuk cari syurga ALLAH :'(

Semalam satu Ramadhan saya sangat teringat dia. Sebab dulu kami akan berjalan kaki sama ke masjid untuk buka puasa free. Solat tarawih. Sebab kami selalu kekurangan duit :D Kami dah lama tak jumpa... Rindu serindunya.

ALLAH menguji.Kami berpisah. Tapi perpisahan ini untuk kebaikan bersama. Saya tahu, dia ingat saya dalam doa dan cintanya. Kerana saya juga tak pernah lupakan dia...

ALLAH... jaga dia, seperti mana dia jaga saya dulu agar tetap mencari cintaMU lebih dari segalanya. Jumpakan kami di tempat yang istimewa ♥ Yang saya pinta, redhai saya dan dia.

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara" (Surah al-Hujuraat:10)

"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri"

Sunday, July 22, 2012

Apa tajuk entri ini? :D

 


Dulu masa SPM kita berjuang habis-habisan untuk dapat banyak 'A' supaya boleh masuk U. Tapi bila masuk U kita merungut dan mengeluh dengan assignment yang banyak, kita pun tak selalu tak cukup duit.
 
 
Jadi kita rasa tak sabar nak masuk alam bekerja, seronoknya nanti dapat duit, tak payah nak stress macam zaman belajar. Rupanya bila masuk kerja lagi dasyhat, lagi stress - keluar 7 pagi hingga 7 mala...m, bukan macam di U yang kadang cancel class. Boleh tidur sampai tengahari. Yang kadang boleh extend assignment. Dah kerja, stress dengan boss dan client. Sibuk dan stress. Takde life :O

Bosan.Penat.

Ohhh...teringin nak kahwin. Nanti adalah isteri untuk masakkan yang enak. Bosan makan nasi bungkus kat cafe ofis. Rumah berselerak ini pun adalah orang tolong kemaskan nanti. Ada lah khidmat urut halal dan manjakan. Adalah sang bidadari untuk berkongsi hati, mendengar keluhan dan segala macam stress. Opps ini versi lelaki.

Versi isteri... Ohh teringin nak kahwin. Balik kerja senja-senja rasa sunyi... Rumah senyap suram. Housemate busy dengan hal masing-masing. Kalau ada suami, boleh ajak suami dinner kat luar, jalan-jalan, shopping, semua suami yang belanja :D Nanti penat boleh suami mendengar keluhan dan tekanan.. Suami boleh tolong urutkan badan... Nanti suami jadi imamku dan bagi tazkirah lemah lembut macam Ustaz XXXX kat TV tu...

Maka lelaki dan perempuan pun berjuang untuk bernikah. Cari pasangan. Kumpul duit. Buat loan. Minta diskaun hantaran. Tangguh nikah. Pujuk mak ayah nak cepat nikah.

Bila dah kahwin..... aaaaaaaaaaaaaa!!!

Selepas habis tunjuk beratus-ratus gambar akad nikah dan resepsi kepada teman-teman - datanglah rutin. Muka stress suami jumpa muka stress isteri. Banyak kerja. Sibuk penat. Tak ada masa nak layan kerenah awak, Saya pun letih. Saya pun lama jam tanpa roti. Gaji saya pun setiap bulan asyik tak cukup. Hutang kita kahwin pun tak habis lagi. Saya bosan dengan rungutan awak. Saya penat dengan leteran dan rajuk awak. Saya sorang jaga anak dan buat kerja rumah. Silih berganti keluhan dan rungutan suami isteri. Dilepaskan atau dipendam di hati.

Dua tahun berikutnya:

Yang isteri, "Prof Muhaya, suami saya kan macam gini. macam gitu...bla...bla... suami saya buat saya stress! Dah dua tahun saya sabar dengan dia!"

Yang suami, " Ohh... gadis kat department sebelah nampak teduh, ayu, sejuk mata memandang, sopan santun, ceria..(dan segala bagai ciri bidadari dunia).isteri aku kat rumah muka masam, muncung panjang, sibuk dengan anak je" ...

Maka apa kesudahan cerita ini....?? :D

Salam Ramadhan semua ♥ walaupun fizikal berlapar, kuatkanlah hati dengan tilawah dan tadabbur, zikrullah dengan lisan dan badan...

Sesungguhnya kekuatan hati dan iman, jauh lebih hebat dari kekuatan fizikal... Puasa untuk membina taqwa. Yang dengan taqwa ini, di dunia akan selalu mendapat pertolongan dan jalan keluar dariNYA. Diberi rezeki yang tak disangka berupa harta, makan minum, ilmu, hidayah, akhlak... Di akhirat, taqwa akan dianugerahkan syurga...

Cinta dan kebahagiaan berumahtangga dijamin ALLAH pada pasangan yang saling menunaikan kewajipan dengan taqwa ♥

^_^

Saturday, July 21, 2012

Cinta Yang Teristimewa

Menginginkan kebahagiaan dalam cinta, harus bermula dengan mencintai Sang Pemberi Cinta, ALLAH yang Maha Esa. Ini tazkirah untuk saya dan kita :)

Jika kita melupakan ALLAH, kita tetap mampu mencintai si dia. Tapi sebentar cuma. Kita tak akan cinta bila si dia menunjukkan kelemahan dan terpamer keburukan. Kita juga selepas beberapa ketika hadir jemu di sisinya. Kita manusia, kuasa mencintai kita terbatas.

Namun bila kita mencintai ALLAH, kuasa mencintai kita menjadi hebat. Kita mampu memaafkan, hati kita luas dan lapang, kita menutup keaiban, memberi kasih sayang tanpa syarat, tidak marah, tidak menghukum, walau kadang kita mungkin melukakan hati si dia juga.

ALLAH, amat besar cinta yang dianugerahkan kepada orang-orang beriman.

ALLAH tak bosan dengan kita, makin kita mendekati ALLAH, makin ALLAH lebih cepat mendekati kita. Sedangkan si dia, dia rimas kita terkejar-kejar dia atau asyik menghubunginya :O

Seperti firman ALLAH dalam hadis Qudsi: "...Dan jika dia mendekati kepadaKu sejengkal, Daku akan mendekati kepadanya sehasta; Dan jika dia mendekati kepadaKu sehasta, Daku akan mendekati kepadanya sedepa; Dan jika dia mendatangiKu sambil berjalan, Daku akan mendatanginya dengan berlari.” (Riwayat Bukhari)


ALLAH boleh jaga kita sepanjang masa, bukan seperti si dia, diri dia pun selalu tak terjaga - malah dia pula menuntut kita menjaga dan memberi perhatian padanya :D (tak mengapa, kerana pasangan yang baik memang saling menjaga!)

ALLAH selalu ada bila kita perlukanNYA, bukan seperti si dia yang sibuk dengan urusan dunia yang tak selesai. (malah urusan berkaitan kita juga !)

ALLAH mendengar suara hati, sangat memahami setiap turun naik perasaan, mengetahui setiap hela nafas yang kegembiraan dan kesedihan. Bukan seperti si dia yang kadang sukar memahami.

ALLAH bagi kita hadiah dan nikmat macam-macam, yang sangat berharga untuk kita - yang kita tak boleh beli di pasaran... ada di pasar malamkah sekilo biji mata? Atau sekampit usus? Atau sepasang buah pinggang? :D


Maka, jalinkan cinta dengan DIA yang amat sempurna, sebelum menjalin cinta dengan manusia.
Malah, kita ajak si dia mencintai ALLAH lebih dari kita mencintai satu sama lain. InsyaALLAH kita akan jadi pasangan yang paling bahagia. ALLAH lah yang akan jadikan si dia pasangan yang tak jemu dengan kita, yang menjaga kita, yang di sisi bila kita perlukannya. Alhamdulillah. Kalau dia tak ada di sisi, kita tenteram kerana kita dan si dia mengiktiraf penjagaan ALLAH lebih dari segalanya :)

Jika mencintai suami, anak-anak, keluarga, teman-teman - cintailah kerana kita mencintai Allah.

Maka berkongsi kasih sayang terasa indah. Jika si dia tak ingin mendekat dengan ALLAH, jangan putus asa, kita terus berbuat baik kepadanya, insyaALLAH mudah-mudahan usaha kita menjadi sebab untuk dia mendapat hidayah ALLAH.

Jika ingin cinta kekal, cintailah Allah Yang Maha Kekal. Tak pernah hilang.


Jika mencintai benda dan orang, tetapi tidak belajar mencintai Tuhan Pemberi Kehidupan... selamanya tidak bertemu kebahagiaan ♥

Cinta tidak diikat dengan harta, tetapi dengan kekayaan ALLAH Yang Maha Memberi.

...DIAlah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mu'min, dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.
(Anfaal:62-63)

Kadang tertanya, kenapa kita tidak miliki cinta? Bersedihlah namun bangkitlah usahakan sebuah keimanan. Kerana ALLAH pasti berikan cinta pada hamba yang beriman. Luaskan erti cinta pada insan sekeliling- ibu ayah, keluarga, teman-teman dan orang-orang soleh - bukan sekadar lelaki atau wanita yang di damba.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang."  (Maryam: 96)
Ayuh berkongsi cinta, sebarkan bahagia dengan setia mencintai Tuhan!

Tuesday, July 17, 2012

Pernikahan: Koordinasi Duit Dan Seks


 


Seperti yang dikongsi dari Konvensyen SuperParent lepas, isu kewangan dan hubungan seksual antara dua faktor utama kes perceraian.
 
Kepada pengantin lama dan baru, sama-sama komunikasikan dengan hikmah antara suami isteri. Kewangan dan hubungan seksual adalah isu yang sangat sensitif, belajarlah untuk transperan/telus dan belajar mengkoordinasi.

Isteri akan tertanya-tanya kenapa suami asyik tak ...cukup duit setiap bulan, sedangkan isteri rasa isteri yang lagi banyak spend untuk anak-anak dan belanja rumahtangga. Jadi secara kasar suami boleh berkongsi kalaupun tak boleh cerita detail - supaya isteri tak berprasangka dan ketidakpuasan hati dapat dikurangkan.

Isteri juga, walaupun duit isteri adalah duit isteri, suami juga suka isteri berkongsi ke arah mana duitnya dibelanjakan. Perkongsian tentang kewangan ini antara etika yang sangat membantu rumahtangga harmoni.

Belajar mengkoordinasi kewangan agar seimbang dan menggembirakan hati kedua-dua pihak, ambil tahu suami isteri pefer spend bab apa, banyak mana. Walaupun mungkin tak 100% seperti yang kita harap, bersyukur dan berlapang dadalah dengan kemampuan dan kesukaan masing-masing.

Seterusnya tentang seks, umumnya bagi seorang isteri, proses mengandung dan kelahiran melibatkan perubahan hormon yang hebat dalam badan (betul doktor?) yang mana ia sangat mempengaruh untuk hubungan seks. Samaada menjadi sangat suka atau sangat dingin untuk hubungan intim dengan suami. Bersediakah suami memahami?

Begitu juga suami, ada cabaran fizikal dan psikologi tersendiri hingga hubungan seksual menjadi samaada sesuatu yang dipendam dan terpendam, dijauhkan atau terlebih mahukannya hingga isteri makan hati. Bersediakah isteri memahami?

Maka perlu transperan, perlu koordinasi. Luruskan perasaan dan harapan dengan pasangan berkaitan isu ini. Bagaimana kehendak, keperluan dan kemampuan seks suami isteri. Bagaimana hubungan seks yang diinginkan, beberapa kekerapan, waktu bila, di mana etc..

Isteri akan terbuka untuk hubungan seks bilamana dirinya rasa disayangi, diberi perhatian, dihargai, dilayan dengan lembut dan penuh cinta. Suami begitu juga, ya awal-awal bernikah mungkin suka seks kerana ghairah melihat isteri tapi untuk jangka masa panjang - suami juga perlukan rasa dihargai, rasa dihormati, rasa diperlukan, rasa dilayan dengan penuh cinta untuk dirinya terbuka memesrai isteri.

Awal-awal bernikah sebenarnya adalah sangat normal kalau isu hubungan intim ini menjadi konflik, kerana ia sangat peribadi dan zero pengalaman bagaimana menjadi suami dan isteri yang baik di kamar. Jika ada usaha komunikasi, ia akan menjadi lebih baik dan makin indah. Keserasian dan keseronokan perlu dibina. Namun jika ia dibiar begitu saja, ia menjadi makin hambar malah racun yang lambat laun merenggangkan pasangan suami isteri.

Sebelum berfikir, 'Kalau aku bernikah dengan orang lain mungkin lebih baik bab duit dan seks', belajarlah dulu untuk telus berkongsi rasa dan bijak mengkoordinasi isu-isu sensitif dalam rumahtangga. Jika tidak, dengan siapa pun kita bernikah, kita akan bermasalah...

Moga ALLAH membantu semua pengantin ♥

Ohh isu kewangan dan hubungan seksual hanya dua, dari baaaaaaaaanyak lagi isu rumahtangga yang akan menekan dan menyerabutkan anda.. maka tak payahlah terlalu susah hati untuk majlis nikah dan walimah sehari dua. Tapi risaulah bagaimana untuk bersikap bila pasangan menghilang diri atau mengunci mulut sehari dua bila dah nikah nanti... : O
 
 
 

Sunday, July 15, 2012

Syahadah Kunci Bahagia



Assalammu'alaikum wa rahmatullah

Sahabat-sahabat yang dikasihi...kali ini saya ingin berkongsi satu tajuk yang besar dan sangat penting untuk kita. Tentang syahadah. Dari kita sekolah darjah satu hingga tingkatan lima, kita sangat tahu bahawa rukun islam yang pertama adalah mengucap dua kalimah syahadah. Namun, adakah rukun islam itu berhenti sekadar dengan 'ucapan kosong dua kalimah'? Kita biasa mendengar tentang syarah sah solat. Syarat sah wuduk. Syarat sah nikah. Apa pula syarat sah untuk syahadah?

Apa yang kita faham dengan tiada tuhan selain ALLAH?
Apa pula maksud Nabi Muhamad saw pesuruh ALLAH?

Sesungguhnya hati yang tidak bahagia berakar umbi dari kejahilan mengenal makna dan syarat sah syahadah yang unggul dan mulia. Jom kita sama-sama belajar, saya sendiri pun, setelah dewasa ini baru mengenali dan berusaha mendalami. Saya kongsikan sekadar sedikit yang saya tahu, yang salah mohon dibetulkan kerana kita sangat takut mengungkapkan sesuatu yang salah tentang Tuhan, ALLAH yang Maha Agung ...

Salah satu buku yang saya baca untuk topik syahadah ini bertajuk Panduan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka saya kongsikan di sini dari pemahaman saya yang mentah.

Syarat-Syarat Sah Syahadah

“... Aku bersaksi bahwa tidak ada ilah (tuhan) yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah dan bahwasanya aku (Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa sallam) adalah utusan Allah, tidaklah seorang hamba menjumpai Allah (dalam keadaan) tidak ragu-ragu terhadap kedua (syahadah)nya tersebut, melainkan ia masuk syurga.”[Riwayat Muslim]

Kalimah syahadah ini begitu berharga yang mana dengannya boleh membuka jalan untuk kita meraih redha ALLAH dan masuk syurga...namun apa syarat-syaratnya?

1. Ilmu - Memahami makna sebenar tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH. DIA lah tujuan hidup, Dia lah pencipta, pemberi rezeki, pelindung, tumpuan dan sembahan, kepadaNYA lah seluruh kehidupan, ibadah dan cinta...

 Namun bila memuhasabah diri di manakah pula tumpuan dan cinta kita kala ini....? Adakah dalam berbincang dan bersembang dengan rakan-rakan jua ahli keluarga ada menyebut-nyebut ALLAH dan Rasul SAW? Adakah cinta dan tumpuan hanya kepada suami, anak-anak? Kepada perhiasan diri dan perhiasan rumah? Kepada hiburan dan asyik berhibur? Kepada artis? Kepada fashion dan kecantikan? Kepada makan dan restoran kegemaran? Jika ya, itulah jawapan kenapa kita jauh dari bahagia...

Memahami bahawa Nabi Muhammad SAW itulah pesuruh ALLAH yang membawa segala pedoman dan kebaikan yang wajib diikuti seluruhnya dan semampunya. Mengerti bahawa mengucap dua kalimah syahadah itu punya kesan yang hebat pada seluruh kehidupan. Berubah dan taat.

Allah juga membeli diri kita dengan syurga, agar jiwa raga dan harta kita korbankan di jalanNya. Jika kita memahami ini, akan rasa sangat cinta kepada ALLAH, Rasul dan Islam....ohh inilah yang paling mencabar...:(

Apapun teman-teman, teruslah kita berusaha menjadi muslimah seperti yang ALLAH redhai, bimbinglah diri kita berperilaku muslimah, seorang anak, seorang isteri, seorang ibu yang mencintai dan dicintai Rasulullah SAW.

Seperti di dalam sebuah hadis sahih, "...Berbahagialah, berbahagialah, berbagialah mereka yang beriman kepadaku meskipun mereka tidak melihatku..."

2. Yakin - Keyakinan akan membawa istiqamah. Dengan ilmu kita akan yakin jalan yang kita tempuh. Tidak akan ragu-ragu dengan misi dan visi kita untuk berada di jalan yang lurus, sekalipun dugaan dan godaan dunia tidak berhenti mendatangi. Kita yakin ALLAH berkuasa dari segala-galanya, ALLAH Maha Penyayang dan Pengasih, maha Mengabulkan Doa hambaNYA. Yakin dengan ALLAH akan membawa kita bermotivasi dengan kebaikan, malah inilah syaratnya untuk ALLAH menerima syahadah kita.

3. Menerima - Menerima segala tanggungjawab dan amanah yang diberi sebagai hamba, khalifah, selalu berusaha meng'upgrade diri dari banyak aspek, seperti aspek ibadah khusus dan aspek interaksi dengan manusia. Malah, apabila kita benar-benar menerima syahadah, ia akan membantu kita menghadapi apa jua masalah dan sitiuasi dengan penuh keimanan kepada ALLAH. Kita tidak mudah menyalahkan, kerana hubungan hati yang kuat dengan ALLAH meyakini adanya kebaikan dalam semua keadaan dan berusaha yang termampu untuk menghadapi ujian.

4. Tunduk patuh dan melaksanakan kewajipan - Tak mungkin kita kata kita bersyahadah dengan benar sedangkan kita tidak menjaga solat, tida puasa, tidak amar makruf nahi mungkar, tidak mengingatkan manusia kepada akhirat, tidak mengisi masa dengan amal soleh dan berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Benarkah syahadah jika tidak berakhlak kepada hamba ALLAH yang lain? Tidak peka dengan kehadiran  makhluk ALLAH bernama haiwan dan tumbuhan?

Adakah orientasi belajar, kerja dan rumahtangga kita melangkai wilayah dunia...untuk cita-cita akhirat yang agung?

“Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan, dan dia mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya.” [An-Nisaa': 125]

5. Ikhlas - Apapun yang kita lakukan hendaklah menolak syirik, tidak riyak, bukan untuk kepentingan peribadi dan dunia - hanya kepada ALLAH seluruh ketundukan dan jiwa raga. Hati insan sering berubah setiap jam, setiap hari. Keikhlasan adalah sesuatu yang sangat sukar, namun ia tidak mustahil. Bukan mengharap penghargaan manusia, namun memfokus, apakah ALLAH telah redha dan menerima amal dan diri kita...?

Untuk apa belajar, bekerja, berumahtangga, berdakwah...adakah kerana itu semua bentuk pengbadian kita yang tulus kepada ALLAH? Atau hanya mengharap penghargaan dan cinta manusia, atau hanya mengharap wang dan kesenangan material? 

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah hanya kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya...” [Al-Bayyinah: 5]

6. Jujur dan membenarkan - Iman tidak mungkin sah hanya di lidah atau dengan kata-kata. ALLAH mahukan amal soleh seiring dengan keimana di hati. Iman sering juga diuji untuk melihat nilainya. Adakah kita mampu berakhlak dengan akhlak yang ditunjukkan Rasulullah SAW sewaktu kita diberi tekanan dan tertekan? Sewaktu kita dihanyut perasaan?  Mampukah tetap mencari redha ALLAH tika hati ingin menjauh dan tak tentu arah?

Apakah kami mengatakan kamu beriman sedangkan kamu tidak diuji? Kehidupan yang berlandas keimanan akan tidak berhenti dari ujian ALLAH, untuk ALLAH memilih siapakah yang lebih baik dan terbaik...

Dulu ALLAH menguji saya dengan dua kali proses tunang yang terputus, tidak sampai kepada alam pernikahan. Sakitnya..ALLAH saja yang tahu. Kemudian, ALLAH menguji pula dengan lamaran poligami, yang juga menguji kesabaran dan sangat getir terasa ketika itu. Kemudian ALLAH menguji lagi hati ini dengan suami yang disayangi memperolehi anugerah seorang isteri lagi. ALLAH selalu menguji kita dengan sesuatu perkara yang kita suka dan cinta kan? Mungkin kah untuk kita merenung - siapa yang lebih kita cinta? Sayangnya ALLAH pada kita kan... ALLAH ingin kita selalu mencari cintaNYA melebihi cinta kepada yang lain...

7. Mahabbah (Cinta) - Orang beriman amat besar cintanya kepada ALLAH. Dan Rasulullah. Bagaimana cinta kita kepada ALLAH dan Baginda SAW...?? Syahadah kita tak mungkin benar tanpa rasa cinta. Apabila diuji, adakah hati merasa kasih sayang, hukuman dan didikan ALLAH. Mahabbah adalah cinta agung yang terlakar hanya dalam hati hamba-hambaNYA yang beriman. Kita merasa sedih ditinggalkan teman, merasa sedih ditinggalkan suami - adakah kita merasa sedih ditinggalkan ALLAH? Atau kita tak merasa pun kehadiran ALLAH...kerana ALLAH melupakan kita bilamana kita melupakan ALLAH :(

"...Dan orang-orang yang beriman, sangat besar cinta mereka kepada Allah....” [Al-Baqarah: 165]

Demikianlah betapa tingginya nilai syahadah dalam kehidupan insan. Satu ketika dulu,  ketika kita masih di alam belajar atau setelah bekerja, kita mencari sinar hidayah, ALLAH telah memberinya. Kita kemudian berubah. Maka peliharalah, dalami ilmu untuk menambah keikhlasan melalui kehidupan. Setelah mendapat petunjuk ALLAH, jangan terleka dan hanyut. Jangan kita tertewas di pertengahan pengorbanan, istiqamahlah dalam kebaikan.

Moga ungkapan syahadah yang kita ungkap dan berusaha untuk hayati dalam segenap ruang kehidupan, memberi keselamatan yang tidak disangka di hari akhirat, bukan sahaja di dunia. Seperti yang diceritakan dalam sebuah hadis sahih, seseorang yang punya banyak dosa dalam buku amalannya, timbangan kebaikannya menjadi berat dengan adanya kalimah syahadah yang dilafaz setulus hati. Pastinya bukan lagi lafaz kosong seperti sewaktu kita sekolah darjah satu, jadikan ia lafaz bermakna di buktikan amal myata -  yang memandu diri kita bahagia di dunia hingga ke akhirat sana insyaALLAH.








Friday, July 13, 2012

Pernikahan: Kebahagiaan bukan ready-made



Mereka berkongsi, bahawa pernikahan ini rupanya tidaklah seindah yang disangka. Duka. Kecewa bertimpa-timpa. Ada yang merasa sengsara.

Sebenarnya, mungkin dari awal kita telah tersalah memahami erti cinta dalam rumahtangga. Cinta di alam pernikahan bukan lagi sekadar desiran di dada. Bukan sekadar,' ada taman dalam hati'. Tidak hanya, ciuman dan pelukan melepas syahwat yang meronta di jiwa.

Dimulakan dengan keikhlasan menikah untuk mencari redha ALLAH, cinta adalah perjuangan dengan penuh tanggungjawab. Hasil perjuangan dan keazaman, barulah mampu cinta mengairi tasik hati dua insan. 

 Di alam rumahtangga, perlu *mendalami* apakah ertinya mencintai kerana ALLAH. Kemudian berusaha menjadi kekasih dan teman hidup yang terbaik seperti yang dibimbing pedoman ALLAH dan Rasul SAW.

 Mulakan dengan diri sendiri. Membahagiakan pasangan sebanyaknya ♥ Jangan sekadar menunggu dibahagiakan.

Pernahkah mengambil tahu, apakah yang paling menggembirakan pasangan dari diri kita? Pernahkah saling bercakap dari hati yang rendah dan jujur, apakah sikap dan tindakan kita yang menggusarkan lagi menyakitkan hati pasangan?

Kebahagiaan dalam rumahtangga bukan ready-made. Tidak jatuh dari langit.  Usaha kuat mendekatkan diri kepada ALLAH, dicampur usaha keras dan bijak membina karakter diri menjadi isteri/suami yang selayaknya dicintai - subhanallah cinta terindah akan berputik dan mekar di sanubari suami ♥ isteri. InsyaALLAH. Dalam monogami atau poligami.

 Hargailah pasangan di depan mata dan rumahtangga yang ada, bukan melempar pandangan kesedihan melihat 'keindahan' hidup milik pasangan lain. Kita tidak pernah tahu luka dan getir yang mereka tempuh sekalipun di mata kasar nampak ceria dan bahagia.

Seperti perkara lain yang ALLAH titipkan dalam kehidupan, ujian kegembiraan dan kesulitan pernikahan juga adalah jambatan yang perlu kita lalui dengan redha, syukur dan sabar dalam mendekatkan diri kepada ALLAH.

 Seperti yang dikongsi Sister Yasmin Mogahed:

Love Story....The lesson you’re taught is that the story ends at the wedding, and then that’s when Jannah (paradise) begins. That’s when you’ll be saved and completed and everything that was once broken will be fixed. The only problem is, that’s not where the story ends. That’s where it begins. That’s where the building starts: the building of a life, the building of your character, the building of sabr, patience, perseverance, and sacrifice. The building of selflessness. The building of love.

And the building of your path back to Him.

♥♥♥

Thursday, July 12, 2012

Poligami: Bahagia Itu Milik Bersama







Tika di bumi Mekah/Madinah, beberapa jemaah umrah Malaysia/internasional merasakan kerapatan kami berdua sebagai madu (ukhti Aishah M Nasarruddin dan saya) adalah cerita pelik tapi benar. Ada yang memuji dan mengkagumi, ada yang sukar percaya melihat kami tinggal sebilik, ke sana ke mari bersama-sama. Ada beberapa siri 'interview' dan meminta tips. ( Apapun, Ya, saya percaya ramai lagi madu-madu yang berbaik di luar sana ).


Kisah kami sesungguhnya bukan seperti cerita 'Siti di alam Fantasi'. Kami bermadu dan kami adalah isteri-isteri di alam realiti. Kami berbaik. Kami gembira bersama. Dan kami juga bermujahadah. Kami juga perlu selalu bermuhasabah. Masa-masanya, konflik menjengah. Kadang kami menggembirakan suami. Kadang kami memeningkan suami :P

Usah mencari-cari kesempurnaan famili poligami untuk dikagumi. Usah mengintip-intip kesalahan dan kekurangan untuk menjadi hujah mengenepikan poligami. Kerana poligami atau monogami, setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Berusahalah bersungguh-sungguh memberi dan menjadi yang terbaik, ALLAH Maha Adil dalam pembalasan dan pemberian..

Untuk event international bernama umrah ini, sesungguhnya ia adalah ruang yang baik untuk berkongsi kebaikan dan kemanisan islam...Kami gembira kerana mereka gembira menemui kami yang hidup di alam poligami. Bertemu dan bersembang dengan beberapa Muslimat dari negara lain seperti Indonesia, Turki, Mesir, saya bersyukur pemergian saya ke Mekah bersama madu memberi pengalaman berharga untuk kami dan mereka yang bersama kami.

Wahai teman-teman ku semua...Kita sedang sama-sama belajar, kita saling mendoakan dan kita berubah untuk membina famili yang diredhai ALLAH ok :)


Seperti perkongsian suami kami Kapten Hafiz Firdaus Abdullah dalam status facebook nya:

"Ada yang anggap, hanya pasangan yang sempurna boleh hidup di alam poligami. Padahal kami yang hidup di alam poligami memiliki banyak kekurangan sama seperti di alam monogami. Kami gembira dan sedih, rindu dan meluat, ketawa dan gaduh, betul dan salah, faham dan salah faham, bersama dan berseorangan (need our own space), sihat dan sakit, lapang dan sempit (kewangan)....dan demikianlah seterusnya. Oleh itu kesempurnaan bukanlah syarat poligami."

Selagi ada langit dan bumi, kasih sayang tak pernah habis. Begitu juga konflik dan pergaduhan. Kita boleh memilih dan berubah. Memilik untuk jadi baik, dan berubah kepada yang lebih baik. Ya, ia tidak mudah untuk sebahagian pembaca yang melalui alam poligami, yang suami menikah lagi secara terang atau sembunyi. Ingatlah bahawa bermadu bukan persaingan, ia adalah perkongsian dalam perjalanan hamba menuju tujuan utama, ALLAH yang Maha Sempurna.

Kita sayangkan suami, kita mahu kasih sayang suami ekslusif untuk kita. Namun setelah seorang madu, atau dua orang, atau tiga orang ALLAH hadirkan dalam hidup kita - pujuklah hati untuk menerimanya. Jika kita tak mampu menjadi rapat dengan madu, paling kurang berlapang dada. Kasih sayang suami amat luas untuk kita, dengan izin ALLAH. Mohonlah perlindunganNYA dari cemburu, terluka, kecewa, marah, tak puas hati yang menjelma di jiwa oleh godaan syaitan terkutuk. Mintalah petunjuk ALLAH dalam kita menghadapi konflik yang berat antara suami dan madu.

Bahagia itu milik bersama. Jika kita memilih untuk menjadi isteri dan insan yang membahagiakan, kita akan bahagia. Kita memilih untuk melihat perkara positif di sebalik ujian negatif yang menimpa, maka ALLAH akan lipatgandakan perkara yang positif menjelma di lalun kehidupan...

Ayuh sahabatku, kita terus menyayangi suami, madu-madu dan seluruh ahli keluarga dalam cara yang kita mampu...kerana kita ingin bahagia bersama hingga bertemu Pencipta. InsyaALLAH.

Sunday, July 8, 2012

Jalan Yang Lurus


Semalam selepas habis meeting program di UiTM Selayang, saya mencuba jalan baru untuk pulang ke rumah. Saya melalui jalan seperti yang di atas iaitu highway LATAR yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Kuala Selangor. Pagi Ahad ini, untuk ke seminar di Selayang juga, saya mengikut highway yang sama. Saya terpesona dengan kecantikan pemandangan sekitarnya, saya pun memperlahankan kereta dan mengambil gambar. Itu suasana pada pukul 8 pagi...

Abdullah dan Tok Naninya turut saya angkut ke meeting program. Saya kira, bila tanggungjawab semakin bertambah ada kelonggaran dan pertimbangan untuk meeting bersama para ibu :D Mereka tidaklah mengganggu meeting saya, namun saya meminta izin untuk beredar awal dari meeting setelah beberapa perkembangan dan kata sepakat untuk program yang dirancang telah diambil.

Sepanjang perjalanan di highway LATAR, Abdullah dan Tok Nani duduk di seat belakang. Saya memandu berhati-hati, maklumlah jalan baru - perlu melihat signboard dengan betul dan tidak terlalu laju kerana tak tahu di mana selekoh, di mana curam dan sebagainya. Namun jalan yang lapang tanpa banyak kereta ini membawa fikiran saya merenung banyak perkara.

Keselesaan kita atas pengorbanan orang lain

Alhamdulillah saya bersyukur kehadiran LATAR memudahkan perjalanan saya untuk balik ke Meru dari Selayang. Dalam perjalanan ke UiTM itu, agak sesak di exit Selayang. Di NKVE juga, antara Damansara ke Subang adalah kawasan yang selalu sesak dan kereta bergerak perlahan. Namun kali ini terasa cepat dari Selayang ke Meru, dengan mengambil exit Puncak Alam. Syukur semuanya kemudahan dari ALLAH.

Kiri kanan LATAR adalah hutan, saya teringat makhluk ALLAH bernama haiwan yang tinggal di dalam hutan, pembangunan lebuhraya ini telah sedikit sebanyak (mungkin sangat banyak) mengganggu habitat dan ekosistem mereka. Ke manakah mereka sang haiwan lari membawa anak pinak? Masih banyakkah sumber makanan untuk mereka? Selamatkah mereka dalam penghijrahan ke tempat baru?

Kerana kita selesa di jalanraya, mereka dikorbankan tempat tinggal dan sumber makanan. Mereka perlu mencari sumber rezeki dan tempat tinggal yang lain... :O Saya terlebih prihatinkah??

Situasi ini mengingatkan saya bahawa kita makhluk ALLAH sangat memerlukan kepada satu sama lain termasuk haiwan. Haiwan ternak menjadi makanan kita.

Sewaktu kita makan nasi, ada petani yang membanting tulang di sawah padi, samaada petani tempatan atau petani di negara pengeksport beras. Sewaktu kita menikmati ikan dan makanan laut yang lain, ada nelayan yang menyabung nyawa di laut dan lautan. Sewaktu kita memakai pakaian baju dan kasut, jenis kulit atau kapas, ada perkerja yang bertungkus lumus di ladang kemudian memprosesnya di kilang. Sewaktu kita memakai kereta, ada pekerja yang berkerja kuat memasang segala komponen kenderaan. Sewaktu kita ke sana ke mari dengan nikmat petrol, di tengah lautan mereka bersusah payah dengan kerjaya carigali.

Bersyukurlah. Berterima kasihlah pada semua. Itu hanya sebahagian kecil yang boleh disenaraikan.

Kita sangat perlu petunjuk ke jalan yang lurus

Memandangkan ini kali pertama saya mengikut LATAR, kehadiran signboard yang banyak dan jelas - sangat membantu saya sampai rumah saya di Meru dengan selamat tanpa sesat. Signboard atau petunjuk itu sangat penting. Tidak kurang pentingnya ialah, ilmu dan keyakinan untuk kita 'taat' pada signboard.

ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَIhdinas-sirâta l-mustaqîm
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"

Setiap hari, dalam solat berulangkali kita memohon kepada ALLAH jalan yang lurus, jalan hidayah, jalan yang benar, jalan yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita sangat perlu petunjuk itu. Malah kadangkala kita telah nampak dan tahu kepada petunjuk, namun kita tidak punya kekuatan untuk melakukan sesuatu perkara mengikut petunjuk ALLAH SWT. Maka kita juga memohon rahmat dan inayah ALLAH untuk sentiasa di jalan yang lurus.

Setiap masa, setiap hari kita menghadapi situasi perlawanan hawa nafsu dan godaan syaitan. Separuh hati ingin menjadi baik, berbuat baik. Separuh hati lagi rasa malas untuk berbuat baik, rasa 'Lantaklah semua orang, aku nak buat ikut suka aku...' Maka jika keimanan dan kepercayaan kita bahawa ALLAH itu Maha Melihat, ALLAH Maha Penilai, ALLAH itu tumpuan hati - kita akan memilih jalan yang benar dan lurus. Sekalipun sakit dan perit dengan pertarungan perasaan.

Menjadi wanita, menjadi anak, menjadi isteri, menjadi ibu - siapakah yang tidak ALLAH uji dengan kesakitan dan kepayahan? Kesusahan fizikal dan cabaran emosi? Kesulitan kewangan dan tekanan fikiran? Kita semua diuji dengan bentuk yang pelbagai, maka pilihan yang kita ada ialah bertindak dan merespon dalam semua situasi dengan petunjuk ALLAH SWT. Petunjuk Rasulullah SAW. Yang dengannya kita PASTI akan temukan jalan keluar. Hanya ALLAH yang melorongkan penyelesaian.

Ayuh kita memohon pada ALLAH. Berhenti meletak harapan tinggi kepada manusia samaada anak, suami, ibu bapa atau sesiapa. Jika hati kita bulat kepada ALLAH, mentaati dan redha dengan segala sayariat jua ketentuanNYA - pasti ALLAH mudahkan kehadiran manusia lain untuk membantu dan memberi bahagia pada kita.

Berdoalah memohon dari ALLAH petunjuk jalan yang lurus untuk diri kita dan pasangan. Memohon petunjuk jalan yang lurus untuk madu-madu kita, untuk anak-anak yang kita sayangi, untuk ibu ayah yang telah membesarkan, untuk ahli keluarga dan saudara islam seluruhnya...

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (Al Maidah:16)

Sekian perkongsian, moga bermanfaat ::









Friday, July 6, 2012

Ramadhan: Jom jadi lebih baik :)




Assalammu'alaikum wa rahmatullah :)

"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu" (Riwayat Bukhari)

* ihtisab = Mengharap redha dan pahala dari ALLAH

Sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi, jika diizin ALLAH, kita akan menjejak kaki ke bulan Ramadhan buat kesekian kalinya...

Ramadhan yang mulia menjelma, ayuh kita menjadikan bulan ini wasilah untuk kita menjadi hamba yang mulia di sisi ALLAH.Kita fokus kepada diri sendiri, menjadikan DIRI SENDIRI lebih baik di pandangan ALLAH.  Kita fokus untuk menambah keimanan dan amal soleh, dalam rangka meneruskan kehidupan sementara dengan cara yang diredhai ALLLAH.

Ayuh merancang dan mempersiap hati, fizikal dan minda untuk Ramadhan :D

Saya juga mengingatkan diri sendiri dan sahabat semua agar terus mendekatkan diri kepada ALLAH. Mencari ilmu mengenal ALLAH hingga kita menikmati manisnya cinta sejati dan keimanan. Kita terus belajar cara beribadah yang sahih (benar) seperti yang dipandu Rasulullah SAW, agar amal ibadah kita diterima di sisi ALLAH.

Ujian dalam hidup tidak akan putus mendatangi, kesusahan adalah ujian. Kesenangan adalah ujian.Jika kita redha dan tenang melalui kedua-dua bentuk ujian itu dengan kesabaran dan kesyukuran, insyaALLAH kebahagiaan akan menghuni di sanubari.

Seringlah kita memperbaharui niat dan keikhlasan. Puasa Ramadhan adalah latihan intensif amal ibadah yang menddidik nilai keikhlasan. Ia urusan yang tulus dengan ALLAH, mudah-mudahan. Sekalipun ada kesempatan untuk makan minum, kita menahan kerana tahu ALLAH melihat. Sekalipun boleh melakukan perkara yang dilarang di bilik sendiri yang tertutup rapi, kita menahan  diri kerana tahu ALLAH memerhati.

Sesungguhnya kita adalah hamba dan KhalifahNYA. Niatkan bahawa kita ingin menjadi hamba yang soleh solehah. Sebagai khalifahNya, kita ingin mendorong dan mengajak orang lain menjadi hamba tuhan yang baik ...bukan hamba perasaan. Bukan hamba syaitan.

Mulakan dengan diri kita...kita tidak mampu mengubah banyak keadaan. Namun kita boleh mengubah sikap dan cara merespon kepada keadaan. 

Kita juga tidak mampu mengubah karakter dan keperibadiaan orang lain, hanya mereka yang mampu mengubah diri mereka. Namun pembawaan diri kita yang baik akan memberi pengaruh yang mampu mendorong suami, anak-anak, ahli keluarga, adik beradik, teman-teman - untuk turut berubah ke arah kebaikan dan kebenaran. InsyaALLAH.

Kita kurangkan sikap negatif ya..mujahadah! :O

Kurangkan mengeluh. Kurangkan mengkritik dan menyalahkan orang lain. Kurangkan bercerita keburukan orang. Sebaliknya fokus kepada mengkritik diri sendiri. Kita tilik keaiban dan kelemahan diri kita sendiri. Berusaha mengubah diri sendiri, Jika kita sibuk memperbetul diri sendiri, kita tidak ada masa untuk bergosip atau menyalahkan orang lain :) Mengubah diri sendiri saja begitu mencabar kan, bagaimana pula kita bercita-cita mengubah orang lain :]

Kita banyakkan kata-kata yang positif. Banyakkan kata syukur pada manusia (berterima kasih). Banyakkan kata syukur pada tuhan (alhamdulillah).  Bersyukur dengan segala yang diberi, segala yang dimiliki. Jangan lupa, selalulah memberi kata-kata yang baik bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga pada hati dan minda sendiri :)

Berusaha mensucikan hati dan meluruskan pemikiran, ia akan membawa kepada lidah yang bersih. Moga akhlak lain yang indah juga terlahir bila dalaman berusaha kita cantikkan.

Demikianlah nasihat untuk diri saya dan sahabat yang dicintai semua <3 

Saya tahu, ia tidak mudah. Menjadi postif. Menjadi baik, Sangat tidak mudah untuk saya dan kita. Saya juga sedih. Ada masa saya juga kecewa dan terluka. Namun orang yang positif akan membesar-besarkan kebaikan di sebalik kesulitan. Akan mencari -cari hikmah dan positif di sebalik kekalutan dan kegoncangan.

Kita saling memerlukan. Kita adalah hamba ALLAH yang bersaudara. Kita saling doa dan saling cinta ya :)






Monday, July 2, 2012

Kehidupan : Berjuang Merentasi Lautan Dunia...




Yasmin Mogahed, UM, 1st July 2012

How to cross the ocean of dunia:

1. Know that Life is just a bridge to the next world

2. Know your purpose

3. Understand this ocean (dunia):

a. it is temporary
b. Imperfect
c. A test
d. Mean/tool

4. Plan for tomorrow (tomorrow = hereafter)

5. Rememberance of Allah (never let shaitan be the main advisor)

6. Protect your heart from syaitan

7. Guard yourself from your own nafs

8. Avoid sins, repentance

9. Guard your heart, protect your heart by guarding tongue, eyes, ears... having good company.

10. Maintain personal connection with Allah swt thru prayers, tahajjud..doa a lot. Always talk to Allah..!


:)








posted from Bloggeroid

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...