Monday, November 21, 2011

Pernikahan 3.0



Beberapa teman pembaca berkongsi ujian kesedihan yang mendatangi bilah-bilah kehidupan berumahtangga. Pernikahan 3.0 adalah muhasabah buat diri saya yang menjangkau tiga tahun usia perkahwinan, berdasarkan pemahaman dan penilaian sendiri tentang hakikat pernikahan. Moga menjadi peringatan juga buat kalian yang bercita-cita menjadi isteri yang diredhai ALLAH dan suami.

Kesedihan mendatangi setiap penjuru, yang bermadu, yang tak bermadu. Yang ada anak, yang tak punya anak.

Kesedihan menjadi isteri yang diabaikan suami, walaupun tak berpoligami.

Kesedihan menjadi isteri kedua yang dipisahkan dari suami.

Kesedihan menjadi isteri pertama yang tidak mengetahui kehadiran isteri kedua.

Hati saya tersentuh dengan kisah kesabaran dan ketabahan yang terpaksa kalian bina. Namun sebenarnya hati ini juga kagum dengan kekuatan yang dimiliki hingga ALLAH memberi ujian yang setanding dengan keutuhan hatimu. Segala puji bagi ALLAH yang menitipkan kekuatan buat hati-hati insan. Semoga ALLAH terus memimpin hati-hati kita mencari jalan keluar dengan cara yang diredhaiNYA.

Saya tidak mampu memberi pandangan dan solusi yang spesifik, lantaran setiap rumahtangga itu hanya difahami oleh suami isteri yang mengemudinya. Apatah lagi dengan usia perkahwinan saya yang baru setahun jagung, banyak perkara yang tidak sampai pada tahap ilmu, kematangan dan kesedaran saya. Maka perkongsian saya di sini tentang alam perkahwinan dan poligami pasti saja tidak mencakup seribu satu kisah yang kalian lalui.

Saya juga meniti kehidupan rumahtangga yang normal seperti kalian. Ada masa-masanya gembira dan berjalan lancar. Ada masanya konflik menduga dan kesedihan menyapa. Namun ALLAH Maha Baik. ALLAH datangkan insan-insan yang menggerakkan saya untuk tidak putus asa mencari redha tuhan. Kalianlah insan-insan itu. Teman-teman yang dekat dengan saya. Yang dekat rumahnya, menjadi jiran dan sahabat. Yang dekat daerahnya, di Shah Alam dan Selangor. Yang dekat dengan blog saya walau berbeza negeri dan negara. Yang dengan dengan laman maya yang sering saya kunjungi. Kalianlah sahabat saya.

Pada sahabat yang memuji, kalian memberi semangat agar diri ini menjadi lebih baik dari yang kalian sangkakan. Pada yang mengkritik, kalian mengingatkan diri ini agar lebih bertaubat mensucikan diri dan lebih mencantikkan kata-kata dan perbuatan. Sesungguhnya kita adalah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara. Maafkanlah segala tindakan saya yang menyinggung perasaan dan mengusik hati.

Kita melangkah kaki ke alam rumahtangga dengan segala yang baik. Niat yang baik dan hati yang baik. Untuk beramal sebagai isteri yang baik. Begitu juga dengan suami kita. Pandanglah jauh ke dalam hatinya. Saat dia menikahi kita, ada azam dan niat untuk menjadi suami yang terbaik. Untuk kita. Walau kita isteri ke berapa sekalipun. Seperti mana kita ingin memberi dan mencari bahagia ketika memilih pernikahan, begitu juga nurani seorang suami yang mendamba ketenangan dan sangat ingin memberi kebahagian pada suri (dan suri-suri) hidupnya.

Justeru ciptalah kebahagiaan rumahtangga itu dari jam pertama kita bernikah. Kebahagiaan itu perlu dicipta dan diusaha. Tidak sesekali ia hidup mekar begitu saja. Perkahwinan adalah benda bernyawa, digerakkan oleh suami isteri yang bernyawa. Jika ia tidak dipupuk, ia akan mati. Perkahwinan dan cinta akhirnya akan mati jika tiada rutin harian, mingguan dan bulanan untuk terus menyuburkannya.

Usaha untuk mengharmonikan perkahwinan ini ada dua bahagian. Pertama, usaha kita memberi pada suami. Kedua, usaha kita mendekat pada tuhan. Jika kita ada salah satu, kita akan mampu rasa bahagia tetapi tidak lama. Kita mesti menggilap kedua-dua bahagian. Hubungan dengan suami kita perelokkan. Hubungan dengan ALLAH kita indahkan. Ibarat membuat kek, ada bahan-bahan kering dan basah. Gabungan kedua-dua ini yang menjadikan kek itu gebu dan enak.

Kita berusaha meraih cinta tuhan dengan amalan wajib dan sunnat. Solat, puasa, tahajjud, tilawah dan tadabbur quran. Taubat dan zikrullah selalu. Bersyukur, bersabar dan bersangka baik dengan ALLAH. Hingga ALLAH mendekati dan menjaga kita dari keburukan.

Dalam masa yang sama, kita berusaha menjadi peribadi yang menjemput cinta sayang suami. Bukan sekadar menjaga kebersihan rumah, menjaga anak dengan elok, memasak makanan yang enak, menjaga tubuh badan agar seksi dan menarik, tetapi juga bersabar dengan kekurangan dan keburukan suami. Menjadi pendorong suami dalam menempuh kehidupan yang semakin sulit ini. Menjadi teman di kala susah dan senang. Membangunkan potensi suami sebagai pemimpin hingga isteri dan anak-anak mendapat limpahan kebaikan suami – hasil dari keikhlasan dan kesungguhan isteri sebagai timbalan pemimpin kepada suami.

Maka apabila rumahtangga terasa hambar, kasih sayang menjadi pudar dan konflik yang menjelma makin menyala - ayuh muhasabah ramuan kebahagiaan ini. Adakah cinta semakin dingin kerena hubungan kita dengan ALLAH juga tidak basah dan merah? Solat seolah terpaksa, di akhir waktu dan tak kusyuk pula. Al Quran hanya perhiasan di almari, tanpa rutin harian membaca dan merenungnya. Bagaimana bakti kepada ibu bapa dalam meraih cinta ALLAH? Bagaimana pergaulan dan penampilan sebagai muslimah? Inilah sebahagian nilai hubungan kita dengan ALLAH.

Atau kita hanya menjaga hubungan dengan ALLAH namun kita mengenepikan usaha untuk mendekati, mencintai dan berbakti setulus hati dengan suami? Pernahkah kita berterima kasih kepada suami keranan menikahi kita? Berapa banyakkah terima kasih kita setiap hari kepada suami atau sebulan pun susah untuk berterima kasih? Adakah kita sering melihat dan mengungkap kebaikan suami? Atau kita sering membesarkan dan menampakkan kelemahan suami?

Tanyalah pada suami dengan rendah hati, apakah yang boleh kita perbaiki sebagai isteri? Juga mohonlah pada ALLAH, bantulah kita hamba yang lemah ini untuk menjadi isteri yang dicintai ALLAH dan disayangi suami. Mohonlah ALLAH memberikan akhlak yang baik, memberi ilmu rumahtangga, memberi keimanan dan kekuatan untuk kita menjadi tulang belakang rumahtangga suami. Hingga kekuatan diri kita sebagai ‘ustazah pilihan’ memberi rasa dan warna baru pada rumahtangga. Ketepikan harapan ‘saya mahu suami yang dapat membimbing diri’ sebaliknya, bimbinglah diri sendiri dan bawa perubahan pada famili.

Mohon perlindungan dari ALLAH dari gangguan syaitan yang sentiasa ingin merosak bahagia dan ketaatan isteri pada suami dan pada tuhan. Saat ingin berbuat baik kepada suami, “Suami aku bukan baik sangat pun pada aku”, lantas menahan kebaikan.

Saat suami mendekati dan ingin berbaik, “Sorry..aku pun boleh mogok juga, tak heranlah”. Setelah bergaduh, “Sorrylah aku nak minta maaf.” maka bersikap dingin tidak mahu berbaik. Bila bergaduh, rasa rindu sebenarnya nak berbuat baik dengan suami. Tapi bisikan syaitan menguasai hingga menahan kita untuk mula menghulur tangan meminta maaf, untuk kita memasukkan kegembiraan semula ke hati suami setelah bertelingkah.

Jangan biarkan syaitan mengawal hati seorang isteri. Selalulah kita meletakkan tuhan di hadapan sekalipun sedang terluka, merajuk dan kecewa. Hingga keazaman kita untuk tetap berbuat baik dan memaafkan menggagalkan usaha syaitan untuk merenggangkan suami isteri. Ya, syaitan bersama kita setiap hari, setiap waktu.

Demikianlah yang mampu hati ini kongsikan dengan teman-teman yang disayangi. Teruskan berdoa, jangan putus harapan mencari kebaikan pada diri, suami dan rumahtangga. Carilah ilmu buat penguat menempuh kehidupan sementara. ALLAH Yang Maha Pengasih sentiasa ada untuk bergantung dan memperkenan doa tulus seorang isteri.






 

5 comments:

Seven said...

somehow yien puji akak..tak tau nape tp serius puji life akk yang berlapang dada walaupun banyak kena hentam dengan orang yang tinggalkan komen..
hehe..but thanks for a lot of advise from your blog about marriage.
boleh jadi ilmu bg mempersediakan diri untuk melangkah ke alam perkahwinan..

ADWAteam said...

sedang menyediakan perisai-perisai dalam meniti kehidupan berumahtangga akan datang.. perkahwinan pertama telah gagal.. banyak rupanya ilmu yang perlu saya pelayari.. tq sis atas semua ilmu yang dikongsi.. insyaallah bangun dari kegagalan amat perit kerna diri masih dihantui luka-luka lama..

Anonymous said...

saya sebenarnya harap sangat akak baca buku novel SEBARKAN CINTA_MU karya Fatima Syarha, saya lebih suka huraian beliau tentang poligami

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih semua :)

yien: alhamdulillah yang baik semuanya dari ALLAH. moga ALLAH menjadikan diri akak lebih baik dari yang disangkakan...

ukhti balada rindu : moga ALLAH menganugerahkan kehidupan yang lebih baik selepas ini, atas usaha ukhti menambah ilmu dan memperbaiki diri..ameen..


ukhti anonymous: insyaALLAH saya baca nanti ya novel ukhti Fatimah, saya percaya banyak yang saya boleh belajar dari karyanya..

Salam ukhuwwah :)

Anonymous said...

alhamdulillah..perkongsian yg bermakna.. kadang2 seorang wanita memerlukan nasihat dan peringatan agar matlamat perkahwinan adalah Allah..

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...