Monday, November 14, 2011

Istikharah Pernikahan



Antara persoalan, lontaran dan perkongsian yang kerap diterima di kotak emel dan komen saya adalah berkaitan istikharah dan proses membuat pilihan tentang jodoh. Persoalan lain yang lebih banyak kebelakangan ini ialah berkaitan poligami, moga ALLAH membantu saya menyediakan ruang dan kesempatan untuk menaip perkongsian semampunya. Moga ALLAH anugerahkan di hati ini rasa cinta di sebalik bait - bait kata – cinta tulus kepadaNYA, jua cinta kepada teman-teman yang membaca.

Saya tidak mengetahui dengan mendalam dengan isu solat dan sebagainya yang berkaitan fiqh ibadah, namun saya kongsikan di sini berdasarkan sedikit ilmu dan kefahaman yang telah diperolehi tentang solat istikharah. Ilmu dan kefahaman ini saya gandingkan dengan pengalaman yang telah dilalui. Dialu-alukan perkongsian ilmiah dari kalian buat menambah ilmu kita semua tentang solat istikharah.

Yang setakat ini difahami, solat istikharah itu dilakukan setelah kita berusaha mencari jodoh,  membuat pilihan berdasarkan taaruf dan melakukan penyelidikan tentang calon yang melamar atau dilamar.

Tidak boleh mengharap jodoh tanpa usaha dan doa. Jika ingin berkahwin awal, perlu berusaha, seperti yang saya kongsikan di sini. Jika ingin berkahwin lewat pun, ada usahanya :P

Terdapat pelbagai cara yang mengikut syariat yang boleh dilakukan untuk mencari jodoh bagi lelaki dan wanita, boleh rujuk di sini.

Contoh yang pernah saya alami, sewaktu belajar dulu saya suka seorang lelaki yang nampak baik, yang dikenali dalam salah satu program khidmat masyarakat yang saya sertai, bernama Abdullah (bukan nama sebenar). Jadi mula-mula saya sekadar tertarik kerana akhlak yang zahir, tapi saya tak tahu rasa suka saya ini akan bawa ke mana.. saya hanya mengadu pada tuhan akan perasaan saya :D suka sekadar kerana nampak baik, tapi sekarang dah tak ada rasa suka dan dah lupa pun..

Lalu saya berusaha, pertama, memilih untuk menyiasat tentang Abdullah dan latarbelakangnya dari teman-teman yang dipercayai.

Usaha saya yang kedua, saya bercerita kepada ibu bapa saya tentang Abdullah, apa pendapat mak abah jika saya ingin berkahwin dengan Abdullah..?  

Usaha seterusnya, dengan info-info yang saya ada tentang Abdullah, saya mengambil keputusan untuk melamarnya.

Sebelum saya melamarnya itu, saya beristikharah, menghadapkan pada ALLAH keputusan saya untuk melamar lelaki itu...

Dan setelah beristikharah, saya melamar Abdullah. Tetapi akhirnya takdir ALLAH itu melakar bahawa Abdullah yang saya lamar bukan jodoh saya. Sebagai manusia biasa, saya bersedih kerana saya telah berusaha untuk bernikah dan saya berharap ALLAH membantu saya bernikah dengan jodoh ini.

Malah kerana itu adalah cubaan 'berani mati' saya yang pertama melamar seorang lelaki, perasaan saya ketika itu sangat teruji dengan rasa-rasa yang agak negatif, kecewa, down.

Tetapi ALLAH Maha Mengetahui kan? Maka hati pun terpujuk dengan rangkap doa istikharah yang diajar Rasulullah SAW.

"...Ya ALLAH, andai urusan yang ku inginkan ini baik untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, maka takdirkanlah ia untukku, mudahkanlah jalannya, berkatilah ia..

...Andainya urusan ini membawa keburukan untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, jauhkan ia dariku, takdirkanlah kebaikan untukku di mana saja diriku berada, dan berilah keredhaan kepadaku."

Saya juga tidak rasa menyesal kerana hubungan itu diputuskan setelah berbincang dengan orang-orang yang amanah dan berilmu. Untuk soalan seberat jodoh, jangan sesekali membuat keputusan tanpa berdasarkan musyawarah (perbincangan) dengan ibu bapa dan orang-orang berilmu.

Istikharah dan musyawarah adalah sangat penting untuk membuat keputusan yang mantap dan tidak berakhir dengan penyesalan.

Namun bagi ramai antara kita yang jatuh cinta dan berpacaran sebelum bernikah, maka perasaanlah yang menjadi panduan dalam membuat jodoh. Berhati-hatilah, lorongkanlah perasaan itu untuk mencari jodoh yang beriman dan membantu kita dalam kehidupan menuju akhirat yang kekal abadi.

Dan kini Abdullah ada di sisi saya, bukan Abdullah yang dilamar, tapi Abdullah anak saya yang ALLAH bagi melalui suami yang ALLAH tetapkan buat saya...

Bagaimana pula usaha saya untuk bernikah dengan suami yang ALLAH telah tetapkan ini?

Setelah kakak isteri pertama menyampaikan hasrat suami menjadikan saya isteri kedua, saya membincangkan dengan teman-teman terdekat dan kakak naqibah yang mengendalikan usrah saya. Saya tak berani terus-terus memberitahu pada ibu ayah - saya bimbang mereka terkejut, atau marah, atau bersangka bahawa saya yang sengaja menjalin hubungan dengan suami orang.

Namun yang terawal adalah berdoa meluahkan segala rasa hati pada ALLAH -  kebimbangan, ketidakpastian dan segala gelodak perasaan dengan lamaran poligami itu. Kerana ALLAH lah yang kemudiannya menemukan kita dengan teman-teman baik yang membantu meleraikan persoalan dan kekusutan.

Saya kemudian meluahkan pada mak, tapi mak pastilah berkongsi dengan abah. Dalam pada itu, saya banyakkan bertemu dan memohon pandangan tentang lamaran poligami dari makcik pakcik, majikan tempat saya bekerja, ustaz ustazah. Yang agak rapat dan boleh dipercayai.

Saya mula menggoogle tentang suami saya, banyak juga pakcik google sediakan info. Saya mendapat paling banyak info tentang suami saya dari kakak isteri pertama. Saya bertanya pandangan orang-orang yang mengenali suami saya secara jauh atau dekat.

Saya menggoogle tentang kehidupan poligami. Saya meminjam buku tentang poligami dari sahabat. Saya menemui beberapa isteri yang berpoligami untuk mendengar cerita dan pengalaman.

Setelah berbincang dengan ibu ayah dan adik beradik, dengan segala risikan dan penyiasatan tentang suami saya, dengan taaruf yang sempat berlangsung dengan suami beberapa waktu, dengan info tentang kehidupan berpoligami yang perlu saya ketahui, semuanya diproses hati dan minda saya - saya kemudian beristikharah.

Dengan doa istikharah, saya berteguh hati menerima lamaran. Tidak ada mimpi aneh memberi petanda, tidak ada bisikan yang datang di malam hari. Tidak ada wajah yang hadir di alam tidur.

Hasil istikharah itu bagi saya ialah, saya merasa tenang. Saya merasa bantuan. Saya merasa ALLAH menunjuk jalan.

Saya merasa lapang meneruskan walau banyak cabaran yang datang di sepanjang perjalanan menuju pernikahan.

Maka sebenarnya untuk urusan jodoh ini perlu usaha yang optima dan berterusan, dalam rangka kemampuan kita asalkan mengikut syariat. Dan bukan meminta ALLAH membuat keputusan untuk kita, tapi dengan segala usaha kita menyelidik latar belakang pasangan, dengan persediaan kita menerima atau menyesuaikan diri dengan keperibadian calon teman hidup - inilah akhirnya yang membawa kita membuat keputusan.

Dan usaha serta keputusan seorang insan kerdil ini kita hadapkan dalam solat istikharah kepada ALLAH dengan setulus perasaan, memohon perlindungan, meminta kebaikan, merayu rahmat dan petunjuk. Setakat yang saya tahu, doa istikharah itu boleh dilafazkan sebelum atau selepas memberi salam, dalam bahasa melayu, bahasa cina, bahasa france atau sebaiknya dalam bahasa arab - asalkan kita faham, tak kira bahasa apa.

Islam bukan agama yang pasif, bukan hanya menerima calon yang melamar tanpa merisik dan menyiasat latarbelakang, atau bukan duduk menunggu jodoh datang bergolek. Islam bukan mengajar memilih jodoh dengan hanya dengan perasaan, namun aspek perasaan ada bahagiaanya dalam memilih jodoh. Islam mengajar aktif dan proaktif mencari jodoh mengikut syariat. 

Kesimpulannya, solat istikharah memilih jodoh adalah gabungan usaha yang optima dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Kita sebagai manusia berusaha mencari, berkenalan, menyelidik dan berkomunikasi dengan calon teman hidup dalam kadar yang sewajarnya. Kemudian, kepada ALLAH kita sandarkan dengan keyakinan segala ikhtiar, harapan dan perjalanan kehidupan yang kita rancang. Hingga akhirnya kita redha dengan ketentuan dan keputusan tuhan yang Maha Mengurus Kehidupan.

11 comments:

Anonymous said...

terima kasih banyak-banyak ka....artikel akak memang banyak membantu....

Anonymous said...

Cabaran isteri kedua tidak sehebat isteri pertama, kerana isteri kedua masuk ke alam rumahtangga yang telah stabil dari segi kewangan dan kematangan suami,anda berada di fasa zon selesa sekarang dan zon ini akan bertukar kelak bila suami anda pencen dan anak2 anda masih kecil, maka berlapang dadalah saat itu...

Kalau isteri pertama yang menulis betapa dia bahagia dalam poligami, itu lebih baik lagi dan kejayaan poligami anda boleh diukur..

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih mengingatkan saya tentang fasa seterusnya dalam kehidupan :)moga saya dan famili bersedia menghadapi saat itu, dan boleh lagi menulis untuk berkongsi, doakan kami ya..

pada adik, alhamdulillah jika artikel memberi sedikit manfaat, segalanya dari ALLAH.

Anonymous said...

Salam

Alhamdulillah saudari Allah beri kekuatan dan kesabaran untuk berpoligami, barakallahufik... saya begitu teringin sekali mengetahui ketulusan rasa hati isteri pertama tentang indah dan manisnya setelah berpoligami.. ada ruang tak dikongsi di sini? kerana saudari banyak berkongsi dari perspektif isteri kedua yang saya kira saudari berada di zon selesa sekarang ni... jadi bagaimana pula dengan perspektif dari isteri pertama, selamanya indah dan manis kah?

Nurul Adni Adnan said...

Terima kasih atas keprihatinan semua, alhamdulillah Allah membantu kami - suami dan para isteri - di sebalik ujian yang Allah datangkan. Tak perlu ukur kejayaan rumahtangga, kerana kejayaan dan kebahagiaan sebenar hanya di syurga. Di dunia, kejayaan itu adalah satu titik dalam garisan kehidupan, bersambung dengan titik kekecewaan dan kegagalan, juga titik kemanisan dan kegembiraan.

Nurul Adni Adnan said...

saya pun di zon tak selesa.. :-) Mana ada zon selesa dalam dunia..begitu juga dalam rumahtangga.. Tunjukkan saya zon selesa, saya nak duduk situ lama lama..

Musafirah said...

Alhamdulillah. jzkk ats perkongsian kak nurul. tlg doakan saye. rupenye saye tak sorang2 dlm usaha 'berani mati' ye. same spt yg berlaku pada saya, lepas berbincang dgn parents, dgn murabbi, menyiasat, then istikhara, saya memberanikan diri. tapi ditolak juga. cuma alhamdulillah, cukup tenang menerima, lebih2 lagi ditolak dgn 'terhormat' dan ayat yang 'sweet' & sopan. tipu la kalau tak sedih langsung, tapi tak frust. alhamdulillah. tlg doakan jodoh yng tbaik utk saya pd mase yg tbaik :). skg masih belum ada 'pengganti'.

Anonymous said...

salam...
terima kasih kerana blog akak banyak membantu saya menguatkan hati dan perasaan sy. sy pn membuat keputusan berani mati tp selepas solat istikharah jalan dipermudahkan dan diterima keluarga..sekarang sy buat keputusan untuk mnjadi isteri no 2 setelah solat istikharah telah dilakukan..alhamdulillah rase lapang dada membuat keputusan walaupun masih rase takut untuk masuk alam poligami..perasaan cemburu terlalu membuak2 tp sy rase dengan membaca blog seperti ni perasaan sy dapat dikawal dan stabil..alhamdulillah

Nurul Adni Adnan said...

Saya hargai perkongsian pengalaman kalian, moga ALLAH membantu usaha dan ikhtiar kalian membina rumahtangga :)

farizah farr said...

Assalamualaikum..terima kasih atas artikel nie..sy mngkin antara mngsa tp sy x nk dipanggil begitu..sy ingin positif..positif..n positif...

Ibu Aqmar said...

Assalammualaikum... terima kasih kerana berkongsi pengalaman tentang istikarah pernikahan ini. Saya mencari maklumat berkaitan poligami utk bekalan masa depan, bila mana suami asyik menyebut2 ingin berpoligami sejak mula2 kawin lagi. Sebagai langkah persediaan juga ni supaya hati dpt dikawal n tidak terlalu emosi nnt.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...