Sunday, November 27, 2011

Taqwa dan Rezeki Rumahtangga



:: Insan yang hatinya tak mengenal dan tak berhubung dengan ALLAH sebenarnya telah lama tiada...hanya jasad kosong menanti disemadikan... tertekan tanpa arah.. Sayakah ini..? Ya ALLAH, bantulah kami untuk mencari jalan menujuMU ::


Saya punya seorang sahabat yang berasal dari keluarga berada. Setelah bertaaruf melalui unit baitul muslim, mereka merancang untuk bernikah awal. Bernikah awal dalam ertikata masih belajar di alam kampus sedangkan waktu nikah yang dianggap normal pada masyarakat kita ialah apabila telah meraih segulung ijazah, telah berkerja dan membayar downpayment untuk kereta :P

Namun bagusnya mereka pada saya ialah setelah bernikah, meninggalkan kehidupan senang yang biasa dilalui. Mereka hanya menyewa sebuah rumah yang amat kecil bagi saya, punya sebuah bilik tanpa perabot– namun itulah kemampuan mereka. Mereka tidak mahu mengharap bantuan ayah ibu. Namun mereka kelihatan gembira sekali. Saya pula yang sedih melihat mereka. Ujian kesulitan mereka itu juga tidak menghalang mereka membantu saya yang satu waktu kecurian.. Saya merasa malu, kerana tidak sepatutnya menerima bantuan dari mereka yang juga kesusahan.

Namun melihat keharmonian yang hadir di wajah muda suami isteri ini, saya percaya rahsianya adalah keyakinan mereka akan janji ALLAH untuk membantu insan yang bernikah demi memelihara kehormatan diri.

“Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan membukakan jalan keluar baginya, dan DIA memberinya rezeki dari arah yang tak disangka-sangkanya.” (Surah At-Thalaq: 3)

Berdasarkan ayat di atas, sebahagian para ulama’ berkata, “ Orang yang bertaqwa sama sekali tidak akan pernah miskin.”

Ayuh teman-teman, kita mengenal dan mendalami erti taqwa… Inilah kunci bahagia yang sebenar. Berkahwin awal atau berkahwin lewat. Atau tidak berkahwin sekalipun, kita sangat perlu kepada taqwa yang akan melapangkan dan memaniskan jalan kehidupan di sebalik kepayahan.

Taqwa adalah melaksanakan seluruh ketaatan, mengharap rahmatNya dan meninggalkan maksiat. Merasa takut dengan azab Allah, dan sentiasa merasa kehadiran Allah dalam segenap kehidupan...

Adakah kita merasa kerana setiap hari kita pergi berkerja, maka gaji itu datangnya dari majikan? Dari syarikat? Dari kerajinan dan usaha kita berpenat- lelah semata? Dari tidur yang kita korbankan untuk mengurus bisnes dan client?

Adakah kerana kita telah berkahwin dengan orang yang kaya dan mampu, maka suami itulah yang memberi rezeki kepada kita?

ALLAH lah yang melimpahkan rezekinya - melalui suami, melalui majikan, melalui syarikat, melalui bisnes... Rezeki semuanya dari ALLAH.

Gelora rumahtangga yang hebat juga mendatangi seorang teman  yang ada rangkaian bisnes, kelihatan kaya kerana punya lebih dari satu kereta, tapi bercerai kerana suami yang curang, yang mengaku meniduri perempuan lain. Malah isteri ini juga mengakui kesilapannya mengabaikan banyak suruhan tuhan.

Beberapa selebriti terkenal dan tokoh kenamaan telah memberi contoh kepada kita bahawa harta dan wang mencurah-curah yang diperolehi tidak sama sekali menyelamatkan rumahtangga mereka dari pergaduhan dan perceraian.

Kita tak bahagia kerana taqwa telah lama dipinggirkan dari kamus kehidupan... Kita tak bahagia kerana menguruskan kehidupan tanpa menyedari ALLAH lah sebenarnya yang Maha Memberi Kehidupan..

Usah tertipu dengan menyangka, ‘Seandainya aku lebih kaya, pasti rumahtangga aku lebih bahagia’. Ini adalah harapan yang juga akan mengecewakan andai benar kita suami isteri menjadi kaya suatu hari nanti. Kerana kekayaan juga datang dengan pakej cabaran dan ujian yang tersendiri (tak percaya? tanyalah orang-orang kaya yang dah bercerai...). Seperti mana kekurangan wang ringgit turut menghamparkan kesulitan dalam memikul beban rumahtangga.

Orang beriman selalu bersangka baik, di samping berusaha menambah pendapatan, “Sesungguhnya Ya ALLAH, moga dengan kemiskinan ini sebenarnya ENGKAU menjaga diriku dari kemudaratan yang dibawa oleh kekayaan…”

Jadi dalam kesibukan menambah pendapatan, membangun bisnes, usahakan juga mencari rezeki yang berbentuk kasih kasih sayang dan petunjuk tuhan. Bila melihat ke dalam diri-diri kita, kenapa merasa kehidupan sempit dan susah - adalah kerana kita tidak ada hubungan dan sandaran yang hebat pada ALLAH... Kita sangat perlu mencari kasih ALLAH, kerana kita mahu ALLAH memberi pada kita..

Belajarlah mencintai ALLAH. Belajarlah mengenali dan mendekati ALLAH. Saya akui ini untuk diri sendiri, sekalipun beberapa insan yang memandang melihat saya teramat bahagia :D  namun bila ALLAH tidak menjadi nombor satu di hati saya, kehidupan terasa sempit.. cinta terasa hambar dan sirna.. wang pun asyik tak cukup :D

Bantulah kami Ya ALLAH, menjadi insan bertaqwa..





* Kupasan tentang taqwa dirujuk kepada buku Tazkiyatin Nafs - Syeikh Ibnu Taimiyyah.

5 comments:

Umi Azrini @ Umi Kauthar Abdul Razak said...

terima kasih untuk entry ini. Saya mengambil teladan dan sempadan daripada entry di blog ini.

Biarpun ada yang mencemuh, teruskan berpesan kepada takwa kerana sisi pandang kehidupan manusia itu berbeza-beza dek latar kisah kita yang tidak sama.

namun tujuan hidup tetap sama. saya nampak apa yang puan ingin sampaikan dalam setiap entry puan.

teruskan menulis tentang cinta kepada Tuhan itu, dan harusnya takwa itu dalam diri yang sering lupa ini.

Terima kasih sekali lagi. Semoga sentiasa dilimpahi Kasih Tuhan hendaknya, ameen...

Anonymous said...

Saya ingin berkongsi pengalaman.

Saya berkahwin 5 tahun yang lalu, ketika itu gaji saya hanya sekitar RM 300 sahaja. Ketika itu saya sempat bimbang, dapatkah saya menjalani kehidupan dengan gaji sekecil itu, sedangkan istri saya juga tidak bekerja?

Namun setelah kami menjalani kehidupan di alam perkahwinan berbekal takwa, maka Allah Yang Maha Kaya selalu membukakan pintu rizki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Hingga saat ini Alhamdulillah gaji saya sudah naik menjadi RM 1000. Kami dikaruniai 2 cahaya mata. Dan kami selalu melatih diri agar merasa cukup dengan apa yang Allah berikan, sehingga kami selalu merasa bahagia.



-Abu Abdillah-

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih umi azrini dan abu abdillah, coretan kalian telah menjadi nasihat dan peringatan yang sangat baik untuk saya..!

moga ALLAH memberi kebaikan dunia akhirat buat kita semua~

Anonymous said...

assalammualaikum..

saya setuju dengan anda. hidup berbekalkan taqwa hati sentiasa tenang + senang. come hell or high water if ALLAH always in our heart, sebesar mana pun dugaan dunia akan menjadi debu kerana syurga ALLAH telah mengecilkan musibah dan ujian dunia.

keep it up ukhti!!

love,
NZMA

Nurul Adni Adnan said...

ukhti NZMA, terima kasih atas tazkirah :)

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...