Cuti sekolah hujung tahun insyaALLAH menjenguk sekali lagi. Cepat benar masa berlalu kan? Apa agaknya perkara-perkara bermakna yang telah kita capai dan lakukan pada tahun ini? Apa agaknya liku-liku berduri yang telah ditempuh oleh hati-hati kita sepanjang hampir dua belas bulan ini?
Cuti sekolah hujung tahun amat sinonim dengan jemputan kenduri kahwin yang silih berganti. Para bakal pengantin begitu sibuk dengan persiapan terakhir sebelum majlis walimah berlangsung. Pelbagai cabaran dan dugaan menguji di sebalik rasa teruja dan gembira bakal mengikat hubungan yang halal. Memang normal kalau To-do list and To-buy list rasa tak sempat dikejar oleh masa dan duit :D
Maka peringatan penting yang ingin saya kongsikan kali ini ialah perhebatkanlah hantaran perkahwinan. Hantaran perkahwinan yang saya maksudkan ini termasuk perkara teratas yang yang perlu diberi perhatian.
Saya tidak berkata tentang dulang-dulang hantaran tujuh berbalas sembilan. Atau sembilan belas berbalas dua puluh satu. Saya bukan ingin berbicara tentang dulang-dulang yang berisi sirih junjung, sejadah dan telekung yang digubah penuh kreatif, set perfume yang mahal, ferraro rocher yang menjadi jelingan dan rebutan anak saudara, ipad sebagai latest hantaran perkahwinan di tahun 2011/2012…
Namun hantaran perkahwinan yang saya maksudkan perlu diperhebat adalah diri kita sendiri sebagai seorang isteri yang akan melangkah ke rumah suami.
Wah…boleh ke umpamakan diri kita seorang wanita sebagai hantaran perkahwinan?
Sebahagian dari kita berbulan-bulan lamanya telah berdikit-dikit mengumpul duit dan mengubah dulang hantaran untuk majlis perkahwinan. Berbulan-bulan resah gelisah tentang kenduri kahwin. Menempah dan mendesign baju pengantin… Sedarkah kita ia hanya untuk majlis satu hari?
Apakah cukup persediaan agama, fizikal, mental, dan emosi untuk kita menghantar kebahagiaan pada suami dan rumahtangga agar kekal sepanjang hayat?
Adakah berbulan-bulan juga kita memantapkan ilmu, iman dan akhlak yang amat diperlukan untuk tampil sebagai isteri terbaik di hadapan suami – di bulan pertama rumahtangga hingga nafas terakhir seorang suami?
Adakah kita berasa risau dan resah memikirkan strategi dan tips penting dalam membangunkan rumahtangga sewaktu statistik perceraian di kalangan pasangan muda makin naik seperti mana naiknya harga barang di pasaran?
Adakah kita seorang wanita yang telah mendalami ilmu ALLAH yang disampaikan Rasul SAW tentang hak suami yang sangat besar untuk ditunaikan? Ehem..hak isteri juga besar ya, wahai abang-abang di luar sana.
Ohh jangan takut dengan soalan saya… Saya tanya je, jangan tak jadi kahwin pula :P Jangan terus tinggalkan persiapan walimah dan membuat dulang hantaran.
Saya dulu ada juga dulang hantaran berisi terjemahan dan tafsir Al Quran – yang alhamdulillah masih dibaca hingga kini. Berisi sepasang kasut yang hingga tahun ini saya pakai, tapi beberapa minggu lepas anjing liar telah menceroboh masuk dan menggigit kasut hantaran saya itu :(. Ada hantaran handbag yang juga setiap masa setiap tempat dipakai hingga tercabut dah talinya. Ada kek sederhana besar warna biru yang selamat dinikmati sanak saudara di malam majlis walimah. Itu saja… lima dulang dari saya pihak perempuan. Saya ada kongsikan serba sedikit di sini tentang persiapan majlis walimah saya di sini.
Saya mengajukan persoalan-persoalan di atas sebab dulu tak ada sesiapa tanya pada saya. Saya tahu secara umum saja perkahwinan itu ada konflik-konflik yang berat. Saya tahu secara kasar saja bahawa seorang isteri ada tanggungjawab yang besar pada suami. Ehh…mungkin ada kot yang menimbulkan persoalan seperti itu, tapi tak sedar :P
Dan ternyata persediaan dan persiapan saya sangat minimima tentang bagaimana peranan seorang isteri mengisi sebuah perkahwinan yang bahagia. Hinggakan awal-awal berkahwin dulu ada juga saya rasa,
“Adakah saya telah tersalah timing masuk ke alam rumahtangga?”
“Adakah saya tersalah langkah masuk ke alam poligami?”
“Adakah suami saya telah tersalah memilih saya sebagai isteri?”
“Adakah saya terburu-buru menikah pada usia 24 tahun 4 bulan?”
“Adakah saya sebenarnya tidak bersedia untuk bernikah?”
Hehe.. dan bila berkongsi dengan beberapa isteri lain, mereka juga turut timbul pertanyaan sebegitu selepas berkahwin gara-gara kebingungan dengan konflik-konflik bersiri yang terjadi dengan suami. Tapi ada juga isteri yang cool, tak konflik sungguh-sungguh dengan suami.
"Laa...kenapa kalian berkonflik sampai macam tu?? Nampak kalian macam serasi je...?? Macam pasangan bahagia je..??"
Sebab lelaki perempuan tak compatible, hmmmm tapi bukan sebab itu sebenarnya. ALLAH mencipta kita semua dengan sempurna. Kita yang tak cukup ilmu mengurus incompability :P
Ya, bagi sebahagian orang, hanya dua hari pertama bernikah yang memang best. Perfect. Atau dua minggu pertama memang best. Tak berenggang, asyik duduk dalam bilik. Ada magnet luar biasa antara suami isteri. Senyum terpamer selalu di wajah. Tapi selepas dua bulan, welcome to the real life :D
Tamat fasa honeymoon, datang fasa berkonflik. Janganlah terus ke fasa perang dunia ketiga ya. Perfectly normal jika ada konflik. Namun berkonfliklah dengan matang, ikhlas dan terbuka. (Berkonflik dengan ikhlas, maksudnya - berkata-kata dan bertindak dalam batas yang diredhai ALLAH).
Jangan melancarkan perang dingin, tak bercakap dan tak bersentuhan. Jangan keluar rumah tanpa izin ya wahai isteri wahai suami… Bila bergaduh, atau timbul apa-apa tak puas hati – tenangkan perasaan hati sendiri dulu. Kemudian tenangkan suami, tak kisahlah siapa yang salah.
Aik…mana boleh??? Bukan saya yang salah???!! Yelah, memang kita ‘perasan’ kita tak salah, tapi kita kan nak bercinta hingga ke syurga, bukan hingga ke kamar mahkamah atau pejabat agama, jadi ikut petunjuk Rasul dalam membina keharmonian berumahtangga - isteri dianjur menenangkan suami.
Tahu tak kenapa suami pilih kita sebagai isteri? Sebab kalian nampak sweet, sopan, lemah lembut, matang, bertenang, seksi, solehah, menyejukkan pandangan – lantas harapan suami menggunung bahawa kalian akan menebarkan kasih sayang dan ketenangan pada suami. Bahawa kalian akan selalu menggembirakan dan menghiburkan hati.
Sekali, bila dah kahwin – baru nampak wajah kelat mencuka pasangan, baru nampak jelingan marah mengganti renungan redup sewaktu zaman dating dulu. Baru tahu suami punya bilik macam tongkang pecah. Pakai t-shirt sampai tiga hari dah berbau tapi tak perasan. Baru tahu isteri tidur berdengkur kuat dan suka mandi lama-lama sampai asyik terlambat keluar rumah. Dulu suami tak kisah belanja makan setiap kali keluar dating sekarang nak beli ikan sardin satu tin pun suami akan pertikai… Hehe… Jangan marah ya suami, isteri...
Jadi, sama-sama kita hebatkan diri wahai isteri. Jadilah seperti harapan suami. Hantarkan diri sebagai seorang wanita solehah kepada suami - the best thing a man can have. Seorang isteri yang benar-benar datang dari acuan islam akan menjaga kebajikan suami dan berusaha memasukkan kegembiraan dalam hati suami. Akan belajar mengangkat suami sebagai pemimpin di sebalik kelemahan suami, memotivasi bila diperlukan.
Seperti dulang hantaran pernikahan, luar dalam begitu mahal dan berseri dihias. Diri ini lebih berharga, maka cantikkan penampilan, pakaian dan akhlak luaran depan suami, lunakkan kata-kata yang terbit dari lidah. Cantikkan kulit, sihatkan tubuh dengan senaman. Biasakan mengukir senyuman. Untuk dalaman – yang bernama hati – biasakan zikrullah pada tuhan. Bersihkan dari keegoan dan kemarahan. Teguhkan hati dan isilah ia dengan kemaafan, kesabaran, kelembutan baaaaaaaaaaaanyak-banyak…..
Bila isteri sebagai timbalan pemimpin dalam rumahtangga sangat berwawasan dan positif, suami juga akan terdorong untuk memberi lebih kebahagiaan pada isteri dan famili. Belajar merungkai kesalahan pasangan dengan hikmah, bukan dengan marah melulu apatah lagi mencari-cari kesalahan suami untuk dibentangkan depan suami. Tak, tiada siapa yang suka dikritik dengan lantang apatah lagi dengan senarai panjang. Satu-satu, bertahap-tahap. Akui juga kelemahan dan keburukan diri kita.
Untuk menjadi timbalan pemimpin yang bagus dalam rumahtangga bukan sehari dua atau sebulan dua. Belajar teori, dan istiqamah membinanya di alam realiti. Bermulalah dari sekarang, maka anda diseru untuk bernikah dengan hati terbuka :)
Kesimpulannya, hebatkan diri sebagai isteri, tenang-tenang saja dengan persiapan walimah dan gubahan dulang hantaran yang masih tak siap lagi. Jom…saya juga ingin sama-sama belajar dengan kalian menjadi isteri yang dicintai suami diredhai ALLAH. Fokus pada bagaimana seharusnya kita menghantar diri ke alam rumahtangga yang suami impikan. Bagaimana untuk menjadi menantu dan ipar yang memberi manfaat pada keluarga suami. Bagaimana untuk perkahwinan kita ini memberi nilai tambah pada ummah … Selamat bercinta di syurga dunia :)
1 comment:
kak.thanks share and bagi nasihat serba sedikit mengenai ni:)
Post a Comment