Wednesday, August 8, 2012

Kehidupan: Saya ingin menjadi juara! ^_^


"Saya benar-benar ingin menjadi juara...!" Abdullah ketika hari-hari pertama menjengah dunia.

 

Anakku Abdullah, tahukah siapa sebenarnya yang menjadi juara di sisi ALLAH...?


:: Ali-Imran:185 ::

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.

Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.

Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."



Kejayaan seperti inilah yang mama ingin raih buatmu, buat diri mama sendiri dan seluruh insan-insan yang mengharapkan kehidupan akhirat.. dan ternyata ia teramat sukar...


Kita kadang menyangka hidup ini mudah dan indah sebegitu saja. Hingga kita tersentap bila ALLAH menguji dengan sesuatu yang tak dijangka, jauh sekali kita yang meminta. Sesungguhnya dunia yang ALLAH hamparkan kepada kita ini adalah medan ujian. Medan bertempur. Medan menitisnya darah dan air mata. Medan menuntut pengorbanan jiwa, tenaga dan air mata.

Seperti yang dikongsikan oleh salah seorang guru mama, Sister Yasmin Mogahed, dunia ini perlu dilihat dengan mata hati. Mata fizikal hanya melihat luaran dan boleh jua salah mentafsir. Namun mata hati yang bersih akan melihat keberadaan ALLAH dalam segala hal dan setiap perkara.

Jiwa akan terasa sakit dan perit jika hati tak diasah kuat menjadi benteng menahan segala ujian yang menyerang sisi kehidupan. Mencintai harta, mencintai perhiasan, mencintai insan - segalanya tidak wajar kita lebihkan dari kita mencintai Tuhan.

Maka sering saja hikmah yang datang seiring dengan ujian adalah kerana ALLAH ingin kita mengisi hati dengan kasih sayang dan rahmat Tuhan. ALLAH mengambil perkara dan orang yang kita sayang kerana ALLAH tak ingin kita terus tersalah memaknakan cinta. ALLAH mahu kita kembali kepada kebenaran dan tujuan hakiki. ALLAH mahu kita mengisi ruang hati yang sebetulnya dengan mencintai Tuhan.

ALLAH tidak ingin menyakitkan hambaNYA. Namun ujian pedih dan perit lagi sukar itu adalah ubat yang akan akhirnya menyembuhkan hati insan dengan seluruhnya. Bila hati kuat dan ingat ALLAH, dengan itulah kita mampu meneruskan perjalanan di dunia menuju kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar.

Kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar di dunia ini hanya sampel. Hanya sedikit dan tidak kekal. Hamba perlu pulang ke tempat asal untuk mendapat bahagia dan berjaya yang sebenarnya.

Kekurangan harta, kemiskinan, kesempitan hidup, kekurangan fizikal, kesunyian diri, kekosongan hati, kegagalan rumahtangga, keberantakan keluarga, kebencian orang dan lain-lain - ayuh bersangka baik bahawa segala ujian ini adalah wasilah dari ALLAH untuk memimpin hati kita mencari jalan yang diredhaiNYA.

Wahai diri ku dan teman pembaca yang dikasihi....Bersyukurlah, bersabarlah dalam mencari bahagia dan menjadi juara di sisi Tuhan ! Teruskan berberbuat baik, bertaubat, jangan putus asa dengan rahmat ALLAH untuk mencari kebaikan dan melakukan perubahan...!


Tidak ada yang dapat mencegah ketentuan melainkan doa dan tidak ada yang menambahi umur melainkan amal kebaikan.
(Riwayat Tarmizi)


Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang berbuat baik (muhsinin). [al-A’raaf 7:56]



2 comments:

LadyBird said...

org yg berjaya adalah org yg berjaya ke Syurga.. huhuhuhu.. mampukah? :(

sally said...

artikel yg baik. terima kasih :)

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...