Monday, August 20, 2012

Pernikahan adalah bahtera, bukan kapal kertas



Apabila melihat ombak bergelora di laut, saya teringat antara pengalaman menakutkan yang pernah saya lalui  ialah sewaktu saya berkayak di laut Pulau Perhentian. Berkayak di Tasik Shah Alam atau mana-mana kolam/tasik rupanya sangat tak sama dengan berkayak di laut lepas :O Ketika mula berkayak, laut kelihatan tenang namun saya dan pasangan kayak terus ke tengah laut dan bila laut mengalun kuat, kami panik. Saya rasa kayak hampir terbalik dan sudah tidak ada tenaga untuk mengayuh balik ke pesisir pantai... berdoa tulus dalam hati memohon ALLAH tidak mengambil nyawa hamba yang tidak pandai berenang ini di tengah laut itu...

Alhamdulillah saya masih di sini berkongsi cerita dengan kalian :D

Moga ALLAH membantu kita melalui lautan kehidupan yang misteri, penuh keindahan dan kadang menakutkan :]

Beberapa teman muslimah berkongsi cabaran dan kesulitan dalam proses menjadi isteri kedua dan melangkah ke alam poligami. Berat, sedih, tertekan. Ya lebih kurang sama juga ketika saya melaluinya lebih tiga tahun dulu. Dalam masa yang sama, adakah kita terfikir yang bakal suami dan isteri pertama juga melalui tempoh yang sangat sukar?

Dan sebenarnya, bukan saja bakal isteri kedua, yang menjadi satu-satunya isteri turut ada kesulitan dan cabaran masing-masing menuju pernikahan kan? :D

Saya tidak mampu memberi nasihat secara spesifik untuk situasi yang kalian lalui, hanya saya teringat ayat-ayat ALLAH, “Mohonlah pertolongan ALLAH dengan sabar dan solat”.

Ia tidak membantu menunjukkan jalan keluar secara direct mungkin, tapi solat yang kita hayati membentuk dan meneguhkan semula hati yang lemah. Sabar bermaksud, sabar mencari jalan. Sabar menerangkan kepada ibu ayah kenapa ingin bernikah. Sabar menghadapi kata-kata dan persepsi negatif orang sekeliling. Sabar dalam interaksi dengan bakal suami dan isterinya yang sedia ada.

Proses membina bahtera memang sangat susah. Bahtera rumahtangga. Tidak ada yang mengatakannya mudah. Kenapa bahtera? Kenapa bukan sampan dan kayak? Kerana bahtera ini untuk belayar di lautan kehidupan. Jika kita tak bersungguh, tak ada persiapan dan kekuatan yang banyak, bahtera kita musnah sebaik badai pertama menghempas. Sampan atau kayak, kita boleh menaikinya riang ria di tasik tenang…bukan seperti itu bahtera.

Nah, proses yang susah untuk bernikah adalah proses mendewasakan dan mematangkan. Proses meneguhkan bahtera. Kita menyangka kalau dah bernikah lagi mudah kehidupan kita? Tidak sama sekali. Lautan semakin mengganas, keyakinan yang tinggi kepada ALLAH dan skil mengendalikan bahtera yang akan menyelamatkan kita. Dan asas kita membina bahtera – apa asasnya – kita tak ingin kapal kertas.

Kita tidak benar tahu apa kesakitan dan ombak badai dalam rumahtangga hingga kita mula melayarkan bahtera. Banyak ribut, banyak kejutan, banyak dugaan yang tidak disangka hingga kita rasa tak mampu lagi meneruskan. Jika sebelum bernikah banyak duka, kecewa dan air mata – bersedialah lebih banyak lagi selepas bernikah. InsyaALLAH.

Saya tidak mahu kalian pesimis, kata kuncinya – bersedia. Bagi yang bersedia, boleh dikurangkan ribut dan ombak badai… Bagi yang bersedia- akan ada skil untuk menempuh rumahtangga- bagaimana mahu bergaduh, bagaimana nak berbaik semula, bagaiman untuk menjalankan peranan dengan terbaik, bagaimana untuk menuntut hak dengan baik, bagaimana untuk bersyukur, bagaimana untuk bersabar, bagaimana jika kewangan meruncing, bagaimana jika kewangan terlebih :D etc – dan ke mana akhirnya destinasi rumahtangga...
Bahtera ini digerakkan oleh nakhoda, dan isterilah pembantunya. Siapakah yang kita pilih sebagai nakhoda, bagaimana pula diri kita mempersiapkan ilmu dan iman untuk bersama dengan nakhoda... Kita tak mahu asyik menyalahkan nakhoda tanpa mengenali dan mengakui kelemahan diri sendiri...


Ohh berbalik kepada kesulitan sebelum bernikah - banyakkan berdoa, yakinkan ibu ayah dan orang sekeliling dengan kata-kata yang baik dan akhlak mulia. Maafkan kata-kata negatif orang, abaikan persepsi yang tidak membantu. Bismillah, menikahlah … :) sebagai isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat.

2 comments:

LadyBird said...

salam puan adni.. sy petik kt2 puan adni dan letak di fb. mohon keizinan.

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=475609082462965&set=a.297760590247816.78387.100000416327467&type=1&theater

Miss H said...

sgt terkesan..tq atas tulisan ini..ia memberikan semangat kpd saya

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...