Skip to main content

Pernikahan: Belajar Bergaduh Cara Selamat



Topik seterusnya yang ingin saya kongsikan berkaitan alam rumahtangga ialah bagaimana untuk kita bergaduh dengan cara selamat. Dengan kata lainnya, bagaimana untuk berkonflik dengan sihat. Ini adalah antara ilmu dan seni alam pernikahan yang perlu kita kuasai dalam mengemudinya selamat ke akhirat yang berkekalan.


Opps jangan salah faham ya, bergaduh yang saya maksudkan di sini bukan bermaksud bergaduh tarik rambut dengan suami atau main baling-baling pinggan. Bergaduh atau berkonflik di sini ialah apabila wujud salah faham atau salah tindakan, menjadi sesuatu yang tak di senangi, seterusnya menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di antara suami isteri.  Bergaduh juga agak sinonim dengan merajuk, maka boleh baca tentang 'Belajar Merajuk' di sini.

Dalam rumahtangga, antara senarai perkara yang akan menjadi konflik termasuklah kewangan, seks, pembahagian kerja-kerja rumah, penjagaan anak, cara hidup harian, aktiviti masa lapang, kerjaya, kawan-kawan dan ipar duai serta keluarga mertua. Jadi belajar berkonflik adalah perlu, agar cabaran dan masalah seperti itu dapat diatasi sebelum ia merebak menjadi pergaduhan dan permusuhan suami isteri. 

Setelah tiga tahun usia rumahtangga, alhamdulillah saya telah belajar bagaimana untuk bergaduh dengan cara yang lebih baik dan lebih selamat :) Maksudnya, saya dah tak merajuk lama-lama, saya lebih mudah meminta dan memberi maaf huhuu, saya dah lebih berusaha untuk memahami hati dan pemikiran suami sedangkan dulu hanya rasa nak suami faham diri kita... kita tak nak mengalah :(  Dan kalau dulu bila timbul suasana tak puas hati, keadaan rasa ,tegang. Tapi sekarang saya rasa dah mampu, untuk senyum ketawa dalam marah dan airmata  ....haaaa??????

Kenapa mesti nak gaduh, tak bolehkah bincang elok-elok...? Hihi memang impiannya macam itu, dan kalian yang baik-baik memang tak bergaduh kan, tapi sebab karakter saya bukan macam tu, walaupun macam lembut, walaupun kononnya dah hafal karakter isteri solehah - degil dan pemarah ada juga :D 

Maka itulah yang membuka ruang konflik dan bergaduh. Ampunkan daku wahai suamiku .... Tapi di luar sana di kalangan kalian ada yang bergaduh tenang-tenang aja kan... selalu sepakat dan satu hati. Alhamdulillah. Harapnya bukan "bertenang-tenang dulu, berperang-perang kemudian." Yang penting juga, bila berkonflik, bukan salah satu menang, pastikan suami isteri sama-sama menang (make it a win-win fight).

Bulan-bulan pertama atau tahun-tahun pertama akan banyak berkonflik di fasa adjustment (penyesuaian diri). Berkonflik dan bergaduh memang ada baiknya :) antaranya ialah 'bergaduh' menjadi medium untuk saling faham dan saling kenal. Selain itu, jika bergaduh diselesaikan dengan cara yang sihat, kasih sayang dan rindu akan makin menggebu gebu..insyaALLAH.

Maka beberapa panduan bergaduh:

1. Teruskan berkomunikasi, supaya sangkaan dan salah faham dapat diminimakan. Sebab bila bergaduh, sering kali  the first thing to stop is communication. Tapi bila bercakap waktu sedang bergaduh, tahanlah diri dari guna perkataan yang menyakitkan dan memburukkan pasangan.

2. Guna perkataan 'I' - e.g "I feel sad because... " . Kita bertanggungjawab dengan perasaan sendiri. Bukan menyalahkan orang lain atas perasaan kita. Bukan " You" e.g  "You make me feel bad..". Yang betul, "Abang, saya sedih bila abang...." - bukannya, " Abang buat saya sedih, abang buat saya tertekan, abang buat saya rasa dalam neraka ...bla...bla...". Yelah, kadang suami dah buat macam-macam kebaikan, tapi tetap kita tak puas hati atau rasa menyampah, jadi sebenarnya apa? Maknanya kita lah yang memang bermasalah :P

3. Bila teman bergaduh itu telah meluahkan perasaan dan harapan berkaitan konflik, handle the message properly. Mendengar dengan baik, cuba masuk ke kasut dia :P Rasa geram dan kecewa makin membuak  bilamana pasangan tak mampu nak faham situasi kita. Bukankah kita semua ingin rasa didengari dan difahami - seek first to understand, then to be understood. Dan kadang, pergaduhan dan konflik itu terlerai hanya kerana kita telah tulus mendengar dan merespon kepada rasa hati pasangan.

4. Jangan ungkit isu yang tak berkaitan atau yang dah lepas, focus here and now. Jangan kaitkan gaduh hari ni dengan isu balik raya haji tahun lepas. Jangan kaitkan isu kewangan dengan ipar duai. Maka sebab itulah, setiap kali bergaduh, selesaikan cepat-cepat. Kalau tangguh dan berlonggok-longgok konflik, boleh meletup besar-besaran :D

5. Sekalipun bergaduh, berkatalah yang baik. Atau diam, kunci mulut jika rasa nak mencela dan melukakan pasangan dengan perkataan. Bila dah sejuk hati, baru meluah perasaan dengan nada dan words yang baik.

6. Bila dah resolve conflict, cari konflik lain untuk bergaduh :D jangan asyik bergaduh perkara yang sama. Konflik tidak boleh dielakkan kerana suami dan kita lahir dan membesar dalam suasana yang sangat jauh berbeza. Pengalaman hidup yang lain-lain, personaliti yang juga lain, cara berbelanja yang lain dan sebagainya.

7. Kalau tak ada titik temu atau jalan keluar waktu sedang bergaduh itu, bawa haluan masing-masing untuk seketika. Oppss jangan lari rumah, jangan bawa kereta laju-laju entah ke mana. Cukuplah sorang duduk di dapur, sorang duduk bilik mendobi, atau merenung bintang di balkoni :D Supaya bila tak keluar rumah, senang nak pujuk. Atau bawa haluan masing-masing selama-lamanya jika yang digaduhkan itu berkaitan akidah dan hidup mati dunia hingga akhirat.

8. Jika dah selesai konflik, minta maaf setulus hati – supaya tidak bertimbun rasa tidak puas hati. Memberi dan meminta maaf tanpa syarat. Jangan sesekali ego untuk meminta maaf. Jangan buat tak tahu, atau jangan kita asyik rasa pasangan kita yang salah... Bila berlaku konflik, adalah kerana kita berdua ada kelemahan - maka ada ruang untuk kita suami isteri melakukan perbaikan diri masing-masing.

9. Setelah selesai salah faham dan pertengkaran, bila hati dah sejuk dan tenang, hugs and kisses sangat membantu untuk kembali mengharmoniskan suasana. Dan boleh juga sambung dengan drama-drama romantis seterusnya...

10. Yang terakhir dan yang paling penting, untuk kita yang muslim, bergaduhlah dengan bertaqwa. Bergaduhlah dengan tidak melupakan ALLAH. Masa tengah marah, ingatkan dalam hati maksud ayat 133 dan 134 Surah Ali Imran. Letak syurga di depan mata dan tanyalah pada diri, 

"Adakah ALLAH redha dengan tindakanku dan ucapanku pada suami di dalam konflik dan pergaduhan ini…?" 

"Adakah sanggup untukku memberi maaf kerana ALLAH? Adakah sanggup untuk ku menahan dan mencairkan marah kerana ALLAH?" 

"Adakah  sanggup untuk ku menolak keburukan dengan kebaikan kerana ingin ALLAH menanam rasa cinta di hati kami yang bergaduh?

Sekian perkongsian tentang bergaduh buat kali ini. Banyak lagi yang boleh dikongsi di masa akan datang. Teruskan bergaduh dengan cara selamat :) Sekalipun bergaduh, berdoalah agar ALLAH tidak menghapus cinta di hati kita padanya yang dicinta. Mohon perlindungan ALLAH dari syaitan yang menyiram kemarahan dan suka memisah-misahkan.

 Semoga saya dan kita akan ingat pesanan dalam entri ini bila kita bergaduh malam ni atau esok pagi :D










Comments

LadyBird said…
perkongsian yg menarik.. sesuai tuk lady :D.. tq yer :D.. susah jugak nak elak pergaduhan suami isteri bila masing2 keras hati,..
Miss Ladybird, saya alu-alukan juga jika ukhti dan pembaca ada tips lain dalam berkonflik :) syukran.
Fuhpixel said…
perkongsian yang menarik.. hehe..
leh belajar...
Azie said…
minta izin nak share .. ^_^
lyza safa said…
Panduan utk saya yg baru bergelar isteri..kdg2 terasa mudah sgt merajuk. .en suami la jd mangsa..
syuhada amir said…
Sukanya baca perkongsian nie...

Especially part komunikasi berkesan tu...guna I, bukannya You...setuju sgt.. :)

Popular posts from this blog

Menjadi isteri kedua

Ketika suami menikah lagi...

Adab Isteri Dalam Rumahtangga Poligami

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?