Untuk bernikah dengan satu isteri saja sudah payah – bukan kerana isteri atau anak-anak itu yang menyusahkan – namun itulah lumrah kehidupan.
Dititipkan ALLAH ujian dan dugaan di segenap ruang kehidupan. Termasuk cuaca cerah mendung yang bergilir-gilir di alam sebuah perkahwinan, malah perjalanan berliku juga ditempuh sebelum memasuki gerbang perkahwinan.
Poligami, di sana sini kelihatan telah banyak terpamer keburukan dan sisi negatifnya, kerana insan-insan yang berpoligami punya kelemahan dan kekurangan di sana sini – baik para suami mahupun isteri-isteri.
Kekurangan dan kelemahan adalah sesuatu yang pasti… Justeru mungkinkah ada ruang untuk kita berkerjasama menyumbang kepada sebuah perbaikan…?
Saya menyeru para isteri dan suami, yang berusaha menjadi pemikul rumahtangga yang bertanggungjawab, agar sama-sama mencantikkan poligami - andai ia dilaksanakan.
Buat para suami yang akan dan telah berpoligami - para pemimpin ummah, para penyeru insan ke arah kebaikan dan kejayaan...
Moga kalian lah suami yang berusaha berlaku adil, yang ihsan dalam memikul tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak.
Moga kalian lah suami yang selalu merujuk kepada Al Quran dan As Sunnah dalam melalui cabaran keluarga dan ummah yang tak pernah sudah.
Moga akhlak mulia dan kepimpinan kalian melancarkan perjalanan rumahtangga bernama poligami.
Bersama isteri, teluslah berkongsi cabaran dan harapan.
Ketaqwaan – inilah kunci kepada kesulitan, pembuka keberkahan berpanjangan.
Buat para isteri yang telah merasai kebaikan-kebaikan suami, yang telah melalui suka duka rumahtangga..
Moga kalian lah yang memberi kekuatan dan dokongan pada suami yang dikasihi untuk sebuah poligami.
Cinta kasih dan keikhlasan kalian menyantuni suami kerana Allah,
Moga menjadi benteng yang menguatkan rumahtangga poligami.
Ayuh, dengan tuhan, kita kongsikan perasaan-perasaan suka gembira pedih sedih yang mendatang.
Kesyukuran dan kesabaran terus dipanjatkan. Komunikasi berkesan kita bangunkan.
Agar suami tenang menggalas cabaran sebagai pemimpin di dalam dan luar rumah,
Kerana empat pendampingnya selalu berusaha menghidupkan ketaqwaan dan akhlak yang indah.
Moga diriku dan para isteri, waktu-waktu yang ketiadaan suami, ada ruang kita manfaatkan untuk menyumbang pada pembangunan diri, famili dan ummah.
Buat ibu ayah yang gembira dengan kehadiran para menantu dan cucu..
Dokonglah anak-anak lelaki dan perempuan yang berusaha menjadikan syiar poligami ini indah.
Kerana ada ayah ibu lain juga ingin merasai kegembiraan bermenantu dan menimang cucu, melihat zuriat berterusan, menjadi pemimpin masa hadapan...
Kami perlu nasihat kalian,
Kami perlu doa dan restu kalian,
Kami perlu teguran kalian yang penuh hikmah dan kasih sayang,
Untuk perjalanan poligami yang sukar penuh cabaran.
Sesungguhnya poligami adalah perkahwinan, yang jika dibaja dengan ilmu dan ketaqwaan, setiap anggota keluarga merasa sejuknya sebuah pernikahan.
Kebahagiaan poligami sama seperti sebelum poligami insyaALLAH, ia segar dengan cinta bila insan sentiasa ada hubungan dengan tuhan.
Bila hati-hati sentiasa jauh melihat kehidupan akhirat yang berkekalan, bila tanggungjawab semampunya dilunaskan, bila akhlak berusaha diselaraskan dengan nilai Al Quran, moga bahagia menjadi milik kita.
Ya Allah bantulah kami untuk menelusuri kehidupan dunia yang terasa sukar dan panjang, moga menjadi wasilah untuk kami akhirnya tenang menghadap tuhan..
1 comment:
Laailahailla anta subhanaka inniquntuminnazzolimin...
Post a Comment