Thursday, August 4, 2011

Pernikahan: Segarkan Dengan Tulus Bicara



“Communication is what keeps the passion alive”

Itulah antara isi kandungan video ringkas tentang alam perkahwinan oleh John Gray yang sempat ku tonton. Komunikasi lagi.

Benar, komunikasi lah yang akan terus menghangatkan perasaan sebagai suami dan isteri. Aura cinta di hati suami isteri mudah subur di awal-awalnya, namun ia tidak akan selalunya ada dan membara, boleh meredup seiring waktu.


Di sinilah komunikasi teramat penting untuk terus mengikat hati dengan jalinan cinta kasih. Kasih yang seiring tanggungjawab. Cinta yang seiring matlamat.

Ada rumah tangga yang menjadi rutin seharian untuk saling bertemu bagi suami isteri. Lalu komunikasi sangat penting dalam mereka mengendalikan keluarga dalam urusan seharian. Agar jelas dan teratur peranan yang perlu dilakukan masing-masing.

Bagi rumahtanggaku yang sebumbung dengan suami purata 12 hari dalam sebulan, komunikasi amat penting supaya tidak terasa perpisahan yang kerap berlaku.

Kami suami isteri memanfaatkan teknologi untuk saling berhubung, update dengan aktiviti masing-masing – SMS, call, YM, emel etc – gunakanlah setiap medium untuk menyuburkan komunikasi. Yang dengan komunikasi itulah seorang isteri mengetahui kedudukan dirinya di hati dan fikiran suami. Yang dengan komunikasi itu jugalah seorang suami mengetahui letak dirinya dalam cinta dan perhatian seorang isteri.

Kadang-kadang mungkin merasakan bahawa perkara 'remeh temeh' tidak perlu dikomunikasikan, ternyata anggapan sebegini adakalanya salah – perkara remeh temeh itulah yang sering mengundang konflik berpanjangan tanpa jalan penyelesaian kerana dari awal tidak dikomunikasikan.

Malah, seandainya diri sangat lemah aspek komunikasi, itulah yang perlu dikomunikasikan pada suami. Agar suami tidak berprasangka bahawa diamnya kita sebagai isteri kerana kita seorang yang berahsia, tidak sudi berkongsi, tidak mempercayai suami, tidak merasakan suami pendengar yang baik.

Sedangkan diamnya isteri itu, kerana mungkin kita tidak pandai mengeluarkan apa yang tertulis di sanubari. Biasanya, seorang isteri itu banyak perkara yang selalu bermain-main di jiwa dan fikirannya. Ada rasa yang ingin di luah, namun tak terluah kerana bimbang dengan penerimaan suami. Atau mungkin diluah, namun dengan kekasaran, kemarahan, atau bentakan yang menutup ruang komunikasi terbuka dengan suami.

Ada idea dan cadangan di fikiran untuk membaikkan sebuah hubungan, namun dipendam lantaran tidak biasa berkongsi pandangan dan perasaan. Dengan diamnya isteri, suami akan upset kerana seolah-olah suami tidak merasa perkongsian hidup yang sebenar dengan si isteri.

Inilah yang sering terjadi. Apa-apa kebaikan suami, si isteri tidak memberi respon sewajarnya.

Apa-apa kesilapan suami, si isteri lebih selesa mendiamkan.

Hingga sikap ini yang menghambarkan dan mendinginkan hubungan pasangan yang sepatutnya melayari rumahtangga dengan ceria disebalik ujian yang tiba. Sikap memadamkan komunikasi inilah yang akhirnya menghantar suami isteri ke lembah prasangka yang akhirnya membinasakan keduanya.

Hidupkanlah komunikasi antara diri kita dan insan yang dicinta. Perkahwinan bukan episod duka yang penuh sengketa dan prasangka, segarkanlah episod cinta yang dibina dengan komunikasi agar suami isteri merasa keberadaan diri masing-masing sebagai satu anugerah yang amat berharga...

SALAM RAMADHAN ~

**Artikel yang ditulis dua tahun lepas, dikongsi semula untuk mengisi blog yang berhabuk ini, khusus untuk saya dan kita yang bergelar isteri.



No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...