Wednesday, February 29, 2012

Pernikahan: Belajar Bergaduh Cara Selamat



Topik seterusnya yang ingin saya kongsikan berkaitan alam rumahtangga ialah bagaimana untuk kita bergaduh dengan cara selamat. Dengan kata lainnya, bagaimana untuk berkonflik dengan sihat. Ini adalah antara ilmu dan seni alam pernikahan yang perlu kita kuasai dalam mengemudinya selamat ke akhirat yang berkekalan.


Opps jangan salah faham ya, bergaduh yang saya maksudkan di sini bukan bermaksud bergaduh tarik rambut dengan suami atau main baling-baling pinggan. Bergaduh atau berkonflik di sini ialah apabila wujud salah faham atau salah tindakan, menjadi sesuatu yang tak di senangi, seterusnya menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di antara suami isteri.  Bergaduh juga agak sinonim dengan merajuk, maka boleh baca tentang 'Belajar Merajuk' di sini.

Dalam rumahtangga, antara senarai perkara yang akan menjadi konflik termasuklah kewangan, seks, pembahagian kerja-kerja rumah, penjagaan anak, cara hidup harian, aktiviti masa lapang, kerjaya, kawan-kawan dan ipar duai serta keluarga mertua. Jadi belajar berkonflik adalah perlu, agar cabaran dan masalah seperti itu dapat diatasi sebelum ia merebak menjadi pergaduhan dan permusuhan suami isteri. 

Setelah tiga tahun usia rumahtangga, alhamdulillah saya telah belajar bagaimana untuk bergaduh dengan cara yang lebih baik dan lebih selamat :) Maksudnya, saya dah tak merajuk lama-lama, saya lebih mudah meminta dan memberi maaf huhuu, saya dah lebih berusaha untuk memahami hati dan pemikiran suami sedangkan dulu hanya rasa nak suami faham diri kita... kita tak nak mengalah :(  Dan kalau dulu bila timbul suasana tak puas hati, keadaan rasa ,tegang. Tapi sekarang saya rasa dah mampu, untuk senyum ketawa dalam marah dan airmata  ....haaaa??????

Kenapa mesti nak gaduh, tak bolehkah bincang elok-elok...? Hihi memang impiannya macam itu, dan kalian yang baik-baik memang tak bergaduh kan, tapi sebab karakter saya bukan macam tu, walaupun macam lembut, walaupun kononnya dah hafal karakter isteri solehah - degil dan pemarah ada juga :D 

Maka itulah yang membuka ruang konflik dan bergaduh. Ampunkan daku wahai suamiku .... Tapi di luar sana di kalangan kalian ada yang bergaduh tenang-tenang aja kan... selalu sepakat dan satu hati. Alhamdulillah. Harapnya bukan "bertenang-tenang dulu, berperang-perang kemudian." Yang penting juga, bila berkonflik, bukan salah satu menang, pastikan suami isteri sama-sama menang (make it a win-win fight).

Bulan-bulan pertama atau tahun-tahun pertama akan banyak berkonflik di fasa adjustment (penyesuaian diri). Berkonflik dan bergaduh memang ada baiknya :) antaranya ialah 'bergaduh' menjadi medium untuk saling faham dan saling kenal. Selain itu, jika bergaduh diselesaikan dengan cara yang sihat, kasih sayang dan rindu akan makin menggebu gebu..insyaALLAH.

Maka beberapa panduan bergaduh:

1. Teruskan berkomunikasi, supaya sangkaan dan salah faham dapat diminimakan. Sebab bila bergaduh, sering kali  the first thing to stop is communication. Tapi bila bercakap waktu sedang bergaduh, tahanlah diri dari guna perkataan yang menyakitkan dan memburukkan pasangan.

2. Guna perkataan 'I' - e.g "I feel sad because... " . Kita bertanggungjawab dengan perasaan sendiri. Bukan menyalahkan orang lain atas perasaan kita. Bukan " You" e.g  "You make me feel bad..". Yang betul, "Abang, saya sedih bila abang...." - bukannya, " Abang buat saya sedih, abang buat saya tertekan, abang buat saya rasa dalam neraka ...bla...bla...". Yelah, kadang suami dah buat macam-macam kebaikan, tapi tetap kita tak puas hati atau rasa menyampah, jadi sebenarnya apa? Maknanya kita lah yang memang bermasalah :P

3. Bila teman bergaduh itu telah meluahkan perasaan dan harapan berkaitan konflik, handle the message properly. Mendengar dengan baik, cuba masuk ke kasut dia :P Rasa geram dan kecewa makin membuak  bilamana pasangan tak mampu nak faham situasi kita. Bukankah kita semua ingin rasa didengari dan difahami - seek first to understand, then to be understood. Dan kadang, pergaduhan dan konflik itu terlerai hanya kerana kita telah tulus mendengar dan merespon kepada rasa hati pasangan.

4. Jangan ungkit isu yang tak berkaitan atau yang dah lepas, focus here and now. Jangan kaitkan gaduh hari ni dengan isu balik raya haji tahun lepas. Jangan kaitkan isu kewangan dengan ipar duai. Maka sebab itulah, setiap kali bergaduh, selesaikan cepat-cepat. Kalau tangguh dan berlonggok-longgok konflik, boleh meletup besar-besaran :D

5. Sekalipun bergaduh, berkatalah yang baik. Atau diam, kunci mulut jika rasa nak mencela dan melukakan pasangan dengan perkataan. Bila dah sejuk hati, baru meluah perasaan dengan nada dan words yang baik.

6. Bila dah resolve conflict, cari konflik lain untuk bergaduh :D jangan asyik bergaduh perkara yang sama. Konflik tidak boleh dielakkan kerana suami dan kita lahir dan membesar dalam suasana yang sangat jauh berbeza. Pengalaman hidup yang lain-lain, personaliti yang juga lain, cara berbelanja yang lain dan sebagainya.

7. Kalau tak ada titik temu atau jalan keluar waktu sedang bergaduh itu, bawa haluan masing-masing untuk seketika. Oppss jangan lari rumah, jangan bawa kereta laju-laju entah ke mana. Cukuplah sorang duduk di dapur, sorang duduk bilik mendobi, atau merenung bintang di balkoni :D Supaya bila tak keluar rumah, senang nak pujuk. Atau bawa haluan masing-masing selama-lamanya jika yang digaduhkan itu berkaitan akidah dan hidup mati dunia hingga akhirat.

8. Jika dah selesai konflik, minta maaf setulus hati – supaya tidak bertimbun rasa tidak puas hati. Memberi dan meminta maaf tanpa syarat. Jangan sesekali ego untuk meminta maaf. Jangan buat tak tahu, atau jangan kita asyik rasa pasangan kita yang salah... Bila berlaku konflik, adalah kerana kita berdua ada kelemahan - maka ada ruang untuk kita suami isteri melakukan perbaikan diri masing-masing.

9. Setelah selesai salah faham dan pertengkaran, bila hati dah sejuk dan tenang, hugs and kisses sangat membantu untuk kembali mengharmoniskan suasana. Dan boleh juga sambung dengan drama-drama romantis seterusnya...

10. Yang terakhir dan yang paling penting, untuk kita yang muslim, bergaduhlah dengan bertaqwa. Bergaduhlah dengan tidak melupakan ALLAH. Masa tengah marah, ingatkan dalam hati maksud ayat 133 dan 134 Surah Ali Imran. Letak syurga di depan mata dan tanyalah pada diri, 

"Adakah ALLAH redha dengan tindakanku dan ucapanku pada suami di dalam konflik dan pergaduhan ini…?" 

"Adakah sanggup untukku memberi maaf kerana ALLAH? Adakah sanggup untuk ku menahan dan mencairkan marah kerana ALLAH?" 

"Adakah  sanggup untuk ku menolak keburukan dengan kebaikan kerana ingin ALLAH menanam rasa cinta di hati kami yang bergaduh?

Sekian perkongsian tentang bergaduh buat kali ini. Banyak lagi yang boleh dikongsi di masa akan datang. Teruskan bergaduh dengan cara selamat :) Sekalipun bergaduh, berdoalah agar ALLAH tidak menghapus cinta di hati kita padanya yang dicinta. Mohon perlindungan ALLAH dari syaitan yang menyiram kemarahan dan suka memisah-misahkan.

 Semoga saya dan kita akan ingat pesanan dalam entri ini bila kita bergaduh malam ni atau esok pagi :D










Monday, February 27, 2012

Poligami: Bersedia Hadapi Ombak Perasaan




Saya amat tersentuh hati dengan perkongsian beberapa teman dan kakak para  pembaca yang bergelar isteri pertama, yang berkongsi melalui emel dan fb, juga yang sudi bertemu saya - berkongsi pengalaman dan perasaan samaada setelah berpoligami dan sedang dalam proses ke arah poligami. Saya mendoakan kebaikan buat kalian, moga ALLAH membalas keimanan dan kesabaran kalian melalui semua ini.

Di kesempatan ini, saya kongsikan tentang ombak perasaan di alam poligami  -pastinya perkongsian ini terbuka untuk kalian bersetuju dan tidak bersetuju. Memandangkan topik ini agak sensitif, mohon kemaafan atas sebarang ketidaksensitifan...

Beberapa waktu yang lepas, seorang teman saya yang baru dua tahun bernikah, menyatakan menerima poligami dilaksanakan dalam baitul muslimnya/rumahtangganya. Mata saya bulat merenung wajahnya, benarkah kesediaannya…? Saya adalah isteri kedua, mungkin jika saya diberi status isteri pertama, hati saya tak sebegitu kuat menempuh poligami.

Si teman terbuka untuk bersedia dipoligami kerana melihat ramai di kalangan teman-teman muslimah kami yang masih bujang untuk berkongsi alam rumahtangga. Dia merasa punya tanggungjawab untuk membantu saudara muslimah ini malah yakin akan keperluan poligami untuk kebaikan dakwah dan tarbiyyah jangka masa panjang. (Dan sesungguhnya keperluan poligami ini telah semakin banyak dibincang untuk dilaksanakan di lapangan dakwah dan tarbiyyah, moga ALLAH bagi kekuatan untuk kita semua menjayakannya).

Namun menurutnya, suaminya seakan tidak berminat  membincangkannya. Pada pandangan saya, mungkin agak normal bagi lelaki muda apatah lagi yang baru setahun dua bernikah – untuk tidak terus-terus cenderung berpoligami apatah lagi di fasa sedang membangun keteguhan ekonomi dan di fasa memberi yang terbaik dalam menunaikan hak isteri. Apatah lagi si suami juga sibuk dengan terlibat dan menyusun program tarbiyyah, sudah tentu mengambil amanah berkahwin sekali lagi bukan satu keputusan yang mudah.

Namun bagusnya teman saya ini, dia bermuhasabah bertanya pada diri adakah kerana dirinya sebagai isteri yang mungkin banyak menuntut , banyak kerenah – maka melambatkan hasrat suami untuk berpoligami. Moga ALLAH membantu keterbukaan dan kesudiaan teman saya ini meraikan syariat poligami.

Baru-baru ini, bila saya berjumpa lagi dengan teman itu, dia berkongsi lagi. Katanya, dulu suami macam tak berminat, sekarang bila suami menunjukkan respon kepada perbincangan poligami – hatinya mula rasa yang tidak enak. Mungkin sedikit berat.

Teman pembaca sekalian, apa yang saya nak kongsikan dari kisah teman saya ini ialah apabila suami kita akan berkahwin lagi, kita sebenarnya sedang dalam menuju siri-siri cabaran perasaan yang rumit lagi mencabar. Rasa berat dan sakit. Rasa tak sanggup, tak boleh menerima, tak mampu hidup di alam poligami. Rasa tidak enak yang terasa di peringkat awal proses untuk bemadu akan menjadi rasa yang bergejolak seribu macam.

Sama saja perasaannya pada isteri pertama, kedua dan ketiga. Maka jadilah isteri keempat ya, suami anda tak akan bernikah lagi :D insyaALLAH (jika tidak bercerai dengan mana-mana isteri)

Yang membezakan kemampuan dan ketahanan dalam menghadapi ujian poligami adalah pendedahan, kefahaman dan keimanan.

Bila kita faham kebaikan dan hikmah poligami, insyaALLAH kita akan terbuka menerima suami berpoligami. Bila kita faham ia bukan sesuatu yang negatif, kita akan berusaha bersikap positif pada isu ini. Namun sebagai insan biasa, naluri hati seorang isteri akan berada dalam gejolak dan bisikan yang bermacam-macam saat bermula proses poligami, sebelum bernikah sehinggalah sebulan atau setahun dua selepas poligami. Dan sepanjang hidup poligami, akan ada ujian perasaan. (Hmm tapi yang tak poligami pun, ALLAH bagi ujian perasaan dari segenap penjuru juga kan…?)

Setakat yang saya tahu dari pembacaan dan perkongsian beberapa muslimah lain yang telah bergelar dan akan menjadi isteri pertama, memang ombak cemburu itu sangat dashyat pada peringkat awal suami bernikah. Pada ketika itulah, isteri yang tak tahan akan minta cerai. Dan suami yang tak tahan, akan ceraikan isteri pertama. Dan isteri kedua pula merasa kesilapan besar melangkah ke alam poligami. Maka suami dan isteri-isteri harus maklum tentang fasa-fasa ini supaya bersedia untuk melaluinya dengan tabah dan sabar.

Ohh ombak perasaan ini bukan saja melanda bila suami telah bernikah, namun jauh sebelum bernikah – tatkala kita tahu atau suami memberitahu bahawa ia akan bernikah.

Rasa marah. Tak percaya. Tak sangka. Terkejut. Rasa Dikhianati. Tak boleh menerima – semua ini sangat terasa menghempas perasaan jika suami ingin berkahwin kerana telah sedia punya kekasih tanpa pengetahuan isteri.

Namun jika dari awal melibatkan isteri secara telus, semua rasa itu tidak ada atau sangat kurang. Mungkin pada sebahagian, hanya rasa berat untuk berkongsi kasih, hanya berat untuk menghadapi persepsi masyarakat, cemburu yang seadanya – namun tidak rasa terkejut, tidak marah, tidak rasa dikhianati kerana suami melibatkan isteri dalam aspek pemilihan calon isteri kedua hinggalah sama-sama merancang giliran hari, pembahagiaan masa dan perubahan kehidupan yang dijangka bila beristeri lagi.

Sekalipun isteri dari awal bersedia menerima, cabaran perasaan tidak akan berhenti menguji. Apatah lagi jika sejak awal telah menolak dan langsung tidak mahu mempertimbangkan. "Samaada abang teruskan, atau rumahtangga kita berakhir di sini."

"Adakah suami masih perlukan aku? Apakah nilai cintaku di hati suami setelah memiliki cinta baru? Kenapa ALLAH membiarkan suami menyakiti hati dengan poligami? Kenapa ALLAH membiarkan kesedihan dan kecemburuan bergejolak di hati?" Persoalan ini hampir setiap masa menerpa ke fikiran, dan syaitan menambah cucukan untuk melemahkan perasaan.

Sekalipun jauh di dasar hati akur dengan wujudnya kebaikan dari alam poligami, namun setiap saat, setiap hari perasaan berubah-ubah. Dengan kehadiran musuh nyata bernama syaitan, yang sentiasa berdampingan dan merasuk bisikan negatif bila hati terputus hubungan dari tuhan - perasaan isteri setiap masa berkocakan.

Dan jika isteri dari awal tidak membuka hati dan fikiran langsung kepada poligami, ia adalah tikaman perasaan yang hebat. Ia adalah goncangan perasaan dan fikiran yang boleh menghilangkan semangat hidup.

Semakin menghampiri suami bernikah lagi, rasa tak lalu makan dan tak boleh tidur pada sebahagian isteri. Rasa ingin meninggalkan suami dan rumahtangga. Poligami adalah ujian yang benar-benar ALLAH hadirkan untuk menguji keimanan yang berusaha kita pasakkan di sudut hati paling dalam. Seminit rasa ok, seminit kemudian rasa tak ok. Sehari boleh menerima hakikat suami akan bernikah lagi, hari esok tenggelam dalam tangisan kesedihan.

Hari ini mungkin masih mampu memandang suami dengan cinta. Hari esok mungkin rasa ingin membuang suami jauh-jauh dari hati. Rasa marah. Benci. Rasa tak mahu teruskan hidup dengan suami. Namun dalam marah, sedih atau benci, hati rindu. Sangat rindu pada suami. Rindu kemanisan dan kebaikan sepanjang hidup berpasangan.

Meneruskan? Atau memilih perceraian? Saat ini, syaitan begitu hebat menunjuk jalan perceraian pada isteri.

Yang melalui, amat faham bagaimana segala perasaan yang berkecamuk sebelum suami bernikah. Dan pastinya, hakikat suami benar-benar bernikah membawa kepada ujian perasaan yang lebih meluruhkan perasaan.

Malam-malam pertama, minggu-minggu pertama suami bernikah lagi adalah kemuncak ujian perasaan yang hebat. ALLAH saja yang tahu deraian atau derasnya air mata yang mungkin kalian menangis hingga terbelah jiwa…Apatah lagi jika suami tak berusaha membantu dan tak empati pada perasaan isteri di fasa ini.

Bila bermula pembahagiaan giliran hari - rasa marah, rasa kecewa, geram - isteri merasakan semua perbuatan dan ucapan suami tidak ada yang mampu menyejukkan hati. Hati yang rasa berpasir, tidak mampu meneruskan layanan dan khidmat yang baik pada suami. Panggilan perceraian tidak pernah berakhir.  Kesilapan yang kecil menjadi pergaduhan. Kebaikan yang suami buat sedikitpun tidak memberi makna. Lebih menyedihkan bila suami perlu pulang ke rumah isteri kedua (atau seterusnya), sedangkan pergaduhan masih tidak terselesaikan.

Cemburu menggigit dan mencengkam. Sekalipun hebat pukulan cemburu,  wahai saudaraku yang dikasihi ALLAH, tidak wajar meminta cerai hanya kerana cemburu- jika suami berkahwin lagi- melainkan suami mengabaikan tanggungjawab/atau ketidakadilan yang begitu ketara.

Beberapa perkongsian isteri pertama, bahawa mereka menyesal sebab telah memilih bercerai. Alangkah baiknya kalau mereka bertahan sedikit, dan suaminya bersabar lebih sikit waktu bulan/tahun pertama poligami.

Fasa cemburu yang hebat itu akan berakhir, seterusnya fasa cemburu yang biasa saja. Maka sebolehnya bertahanlah pada cemburu menyerang kuat di bulan-bulan pertama, itulah kesabaran kan .. sebagaimana pesan Rasul saw, sabar itu pada pukulan pertama..

Jika kita membenarkan cemburu merobohkan rumahtangga, kita seolah-olah membenarkan syaitan menang atas perasaan cemburu yang berlebih-lebihan. Cemburu itu normal, yang berlebihan itu dari syaitan. Tika inilah, kehadiran sahabat-sahabat solehah memberi nasihat dan kekuatan amat diperlukan - membantu isteri keluar dari kepungan makhluk yang dilaknat.

Dalam poligami, cemburu mendatangi dari segenap sudut.. macam saya, sebotol listerine yang suami nak bawa ke rumah kakak isteri pertama pun boleh menerbitkan cemburu - kalau dikumpul banyak rasa cemburu itu tanpa diluah pada suami dan ALLAH, itu yang boleh rasa give up - tak nak teruskan lagi pernikahan. Terseksa jiwa setiap masa... (hihi mesti tak faham kan, apalah sangat yang nak cemburu dengan listerine)

Itu saya yang isteri kedua, kalian para isteri pertama lebih getirnya rasa cemburu...

Ini kita hanya bercakap dari persepsi seorang isteri... Pernahkah kita cuba memahami gelodak hati seorang suami, yang sebenarnya amat ingin membahagiakan kita, dan amat ingin membina keluarga monogami dan poligami yang bahagia. Mereka juga jauh di sudut hati tidak mahu melukakan hati isteri, maka pilihan yang ada adalah menyembunyikan. Sedangkan menyembunyikan kehadiran isteri kedua adalah pengkhianatan yang lebih menikam perasaan.

Suami takut berterus terang kerana merasakan isteri akan menyambut hasrat poligami dengan beremosi yang tak mampu diuruskan mereka, dan kita para isteri kebanyakkannya membuktikan bahawa telahan suami itu adalah benar. (Saya tidak merendahkan gejolak perasaan teman yang bergelar isteri sekalian, kerana saya juga satu hari hampir pasti melaluinya bilamana suami akan dan telah bernikah lagi). Hanya saja, bagaimana untuk kita dan suami meluruskan cabaran dan ketegangan yang menerpa?

Teman-teman sahabat pembacaku sekalian, kita saling doa ya..doakan saya dan saudara-saudara muslimah kita dipelihara dari syaitan yang berusaha memusnahkan kasih sayang dan perkahwinan...


Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman
dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka. (Surah An-Nahl)

Atas semua ini - dari cemburu, kesakitan, ombak perasaan - apakah pelajaran penting yang ALLAH ingin saya dan kita belajar?

Saya dan kita semua - tidak boleh tidak, harus benar-benar memahami hakikat insan mencintai Tuhan lebih dari segala-galanya.  Saya dan kita harus bersangka baik, ALLAH benar-benar ingin melihat keikhlasan kita, "Bila saya berterusan menurun semangat dan motivasi kerana suami berkahwin lagi - adakah sebenarnya sebenarnya selami ini suami yang menjadi tujuan dan motivasi ? Bukankah ALLAH yang menjadi sasaran amal kebaikan..?

Jika tidak mempositifkan perasaan, hati pecah berderai memikirkan suami yang sangat dikasihi pergi membawa cintanya kepada orang lain. Bukankah kita dari awal berazam mencintai suami kerana ALLAH? Maka -dalam mujahadah - kita berlapang dada dan gembira suami melunaskan haknya yang diberi tuhan bernama poligami. Bukankah saya mencintai saudara perempuan saya kerana mengharap naungan ALLAH? Maka kita juga lapang hati bilamana dia kelak membina kehidupan rumahtangga yang indah seperti yang telah kita rasakan.

Bukankah ALLAH tidak mahu kita menjadikan suami hak milik mutlak? Bukankah ALLAh cemburu jika  kita teramat mencintai suami makhlukNYA yang lemah, sedang kita tidak menyerahkan seluruh cinta dan perasaan kepada mengagungkan Tuhan, di kala cinta teragung dan sempurna adalah MilikNYA? 

Bukankah ALLAH mahu kita bermujahadah tidak tunduk kepada bisikan syaitan dan nafsu? Bukankah ALLAH menjamin bahawa keikhlasan kita dalam mentaati dan mencintai ALLAH - tidak akan membuka ruang pada syaitan menjatuhkan  perasaan ini?


."..dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hambaMu di antara mereka yang ikhlas.”
[al-Hijr 15:36-40]

Ujian poligami benar-benar menghiris perasaan… namun hirisan itu bukan untuk merosakkan hati, namun sangka baiklah bahawa ALLAH sangat inginkan hati yang diujiNYA dengan kesakitan itu menjadi semakin cantik dan kuat dalam perjalanan mencari syurga…. Selepas ombak perasaan itu surut perlahan, hati akan menjadi tenang dan semakin kuat insyaALLAH.

ALLAH menyayangiku dan kamu, ALLAH menyayangi suamiku, ALLAH menyayangi madu-maduku… ALLAH sangat bahagia bila jiwa yang lemah ini berlari ke dakapan Tuhan mengadu kan segala kesakitan dan kepedihan… ALLAH.. terimalah kami dalam rahmat peliharaanMU.

Ya ALLAH…kami datang kepadaMU……. 

Jika kalian rasa saya tidak memahami, kalian juga mungkin tidak memahami saya, apatah lagi untuk kita berharap pasangan kita, suami atau isteri, untuk membaca dan memahami rangkap perasaan yang bergema di jiwa-jiwa lemah ini....

Maka sesungguhnya, ALLAH lah pemelihara terbaik, pendengar terbaik. :)

"Hanya kepada ALLAH ku adukan kesusahan dan kesedihanku" (Surah Yusuf: 86)






Sunday, February 26, 2012

Pernikahan: Tenang dalam Cinta Luar Biasa



Alhamdulillah di pagi hujung minggu semalam ALLAH mengizinkan saya menjadi moderator untuk sebuah Forum berkisar “Baitul Muslim: Fantasi Vs Realiti.” Saya sebenarnya telah agak lama tidak berada di hadapan, jadi dengan bantuan Google dan belajar dari Youtube, saya mempersiapkan diri tentang bagaimana seharusnya menjadi moderator forum yang baik.

Ohh bukan nak cerita tentang Moderator, kerana saya tak berpuas hati dengan persediaan sendiri… namun Alhamdulillah ALLAH mendatangkan kepada kami tiga orang panel yang berkongsi banyak point berharga tentang rumahtangga, khususnya nasihat buat mereka yang menghadirkan niat berbaitul muslim di jalan dakwah dan tarbiyyah.

Antara satu pengajaran yang saya dapat dari Panel Pertama yang baru 23 tahun usia rumahtangganya :

Suami isteri adalah hubungan yang hidup dan bergerak, amat dekat – bila bergerak pasti ada friction(pergeseran). Pergeseran dan konflik adalah pasti dalam alam rumahtangga, maka bila suasana ‘panas’ timbul, apakah tindakan kita?

Kembalilah kepada yang asas. Apakah sebenarnya tujuan hidup berpasangan? 

Rujuk surah Ar Rum ayat  21. "Litaskunu ilaiha".

Taskunu dari perkataan 'sakana' beerti diam. Diam dan tenang, yang sebelumnya bergoncang dan sibuk.  

Jadi pernikahan adalah tempat untuk lelaki dan perempuan memperoleh ketenangan dari dunia luar yang amat sibuk lagi meresahkan. Maka ALLAH menjadikan pernikahan, yang dengannya ALLAh titipkan rasa cinta, sayang  di hati dua insan – amat penuh ketenangan bila berada di samping pasangan.

Nah, ayuh saya dan kamu bermuhasabah… Agaknya sudahkah dan masihkah, atau pernahkah pasangan merasa amat tenang dengan kita di sisinya…? Atau kita ini seringkali menambah keresahan dan kekacauan yang sememangnya dihadapi pasangan kita di luar sana?

( ohh terus rasa berjanji dalam hati, “Abang..saya berusaha untuk tidak menambah beban perasaan dan beban fikiran abang yang sememangnya sibuk dengan pelbagai urusan …Ya ALLAH, mohon sangat-sangat, jadikan diri ini peribadi isteri yang mencambah ketenangan di hati suami…”

Pulang ke rumah selepas forum, saya mengulangkaji tafsir surah Ar Rum ayat 21 ini, dari Tafsir Al Mishbah, saya kongsikan di sini sebahagian kata-katanya, dengan kefahaman saya:

“Siapakah yang menjadikan rasa tenang dan cinta yang mendalam di hati suami isteri? Kesediaan seorang suami untuk menjaga isteri sejak terjadinya hubungan dengannya - sesungguhnya adalah keajaiban. Kesediaan seorang wanita untuk hidup bersama seorang lelaki, bersedia membuka rahsianya yang paling dalam, semua ini tidak akan terjadi sendiri tanpa adanya kuasa ALLAH. Sakinah, rahmah dan mawaddan itu dicipta ALLAH di dalam hati suami isteri untuk menjalani kehidupan harmonis, bila dan di manapun manusia berada…”

Pada yang sedang menikmati manisnya cinta sebuah pernikahan, keindahan anugerah perkahwinan tidak terlukis dengan kata-kata. Jiwa dan jasad yang bersatu, sesungguhnya menjadi bukti-bukti keagungan tuhan bagi yang memikirkannya.

Namun seiring masa yang berjalan, hubungan suami isteri yang berdua bahagia akan disapa badai ujian. Tanggungjawab bertambah, kehadiran zuriat sebagai amanah – semua ini perlu diluruskan dengan komunikasi yang jelas dan hikmah. Tika dugaan dan tekanan mengasak di luar, di tempat kerja, di lapangan bisness, di medan dakwah dan tarbiyyah – mampukah kaki melangkah pulang ke rumah untuk bertemu pasangan dan menyebarkan sakinah…? Ini memerlukan kekuatan yang luar biasa dari hubungan hati dengan tuhan.

Jika ayat ALLAH yang menggariskan asas hidup berpasangan ini dihayati suami dan isteri, insyaallah kita mampu mencipta syurga pernikahan yang sejuk tenang. Jika sebaliknya, jika kita terlupa dan menjauh dari kalam ALLAH ini, maka rumahtangga boleh menjadi tempat yang panas hingga suami isteri ingin pergi jauh…jauh dari segalanya ini..

Kita para daie adalah insan yang memberi taujih dan tazkirah, insan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, yang mencegah kemungkaran, justeru seharusnya begitu juga kita mensikapi kesalahan dan kekurangan pasangan. Bersabar yang benar-benar sabar, penuh kasih sayang, tidak putus asa, redha dengan ujian ALLAH dan selalu memohon pada ALLAH atas segala-galanya.

Pernikahan adalah kurnia cinta yang istimewa dan luar biasa. ALLAH menitipkan sakinah, rahmah dan mawaddah di hati dua insan sebagai bekal agung untuk manusia meneruskan kehidupan di dunia yang penuh pancaroba.

Pernikahan juga adalah medan ujian yang hebat, terlebih lagi pada aktivis dakwah yang hidupnya penuh dengan program ilmu, usrah, daurah, dan sebagainya… Bagaimanakah untuk kita menunjukkan hasil dari segala wasilah pembaikan diri ini kepada pasangan? Bagaimanakah untuk kita menterjemahkan ilmu ini kepada memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada belahan jiwa?

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri(pasangan) dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar Rum:21)

Thursday, February 23, 2012

Perhiasan dunia...

:: Hari Pertama ::

:: Belajar meniarap ::

:: Teman setia mama ke mana-mana ::

:: Di Tanjung Harapan ::

:: Tiga hari di KPJ Selangor ::

:: Tak suka pasir Teluk Cempedak ::

:: Tolong susun magazine mama ::

:: Pengiring mama ke halaqah ::

:: Dengan Tok Sidek , Penang ::

:: Teman baik ::



"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu" (Al Kahfi) ...

Friday, February 10, 2012

Psikologi Suami Isteri... It's not easy

:: Bukan mudah mempelajari dan memahami psikologi pasangan, kerana manusia adalah ciptaan ALLAH yang kompleks buatannya. Namun dengan keikhlasan dan kesungguhan menghidupkan pernikahan, hati dan pemikiran suami isteri akan mampu disatukan ::

InsyaALLAH dalam lembaran kali ini, saya cuba berkongsi pandangan berkaitan poligami seperti ditanya sahabat pembaca sekalian. Isu spesifik yang ditanya itu adalah, "Bagaimana suami boleh bernikah lagi jika suami tak pandai memahami psikologi isteri?"

Ohh ini satu persoalan yang sangat menarik.  Sebelum kita bertanya tentang suami, adakah kita sudah bertanya diri sendiri.. "Adakah saya faham psikologi suami, yang hampir semuanya cenderung kepada poligami?"

Opps saya bukan ahli psikologi, jadi pandangan ini tidak usah diguna pakai jika anda meragui kesahihannya :D

Mungkin saya boleh bagi analogi.

Siapa kat sini isteri yang dah menjadi seorang ibu, angkat tangan?

Bila dapat anak pertama, anak itu menjadi eksperimen segala teori parenting dan tarbiyyah (pendidikan) yang diketahui. Bila dapat anak kedua, seorang ibu tentunya lebih matang dan lebih kreatif mengurus anak-anak. Masuk anak ketiga, keempat, dan seterusnya…para ibu telah semakin masak dengan kerenah anak-anak. Dan insyaALLAh para ibu semakin cekap dan semakin matang sebagai ibu.

Kalau kita rasa suami kita tak faham karakter dan psikologi seorang wanita, boleh tak kita berbesar hati membenarkan suami bernikah lagi supaya suami semakin matang dan semakin senstif dengan keperluan wanita?

Moga semakin cepat suami kita menambah isteri, semakin cepat suami membina ciri-ciri suami idaman. Dengan syarat - para isteri harus membantu suami memahami psikologi wanita dengan berhikmah.

Tak percaya, cuba tanya para suami yang dah berkahwin! Mereka makin romantis dan makin lembut!  (Huh..tak setuju ??!)

Walau bukan semua yang berjaya dengan poligami, mereka pun akhirnya meluahkan… ‘Kalau dah namanya perempuan…’ maknanya, hidup dengan perempuan menjadikan mereka lebih arif dalam bergaul dengan isteri. Kita doakan ya, agar saudara-saudara lelaki kita tak putus asa dalam berdampingan dengan isteri yang kadang amat berselirat jiwa dan perasaan… Perceraian adalah harga mahal yang perlu dibayar jika kita berterusan dalam kejahilan untuk memahami, apakah sebenarnya harapan pasangan yang bernama suami dan isteri.

Bila berbicara tentang psikologi, kita sebagai isteri seboleh mungkin memudahkan suami untuk memahami psikologi kita seorang isteri yang kadang-kadang berbelit-belit. Setiap kita berbeza. Setiap isteri punya lain keinginan dan kesukaan. Sekalipun suami ada ramai isteri, setiap isteri itu berbeza cara dan preference.

Maka terus terang saja. Berterus terang, direct to the point, itulah kunci kemesraan suami isteri di zaman langit terbuka. Jangan sekadar bermonolog di dalam hati, ‘Abang tak puji pun saya pakai baju baru hari ni.’

‘Abang pergi seminar kat Langkawi tak belikan pun saya coklat banyak-banyak, kan coklat murah kat sana’.

‘Abang tak bawak pun saya keluar jalan-jalan’.

'Abang keluar rumah tak peluk cium pun saya’.

'Abang tak bawak pun saya keluar jalan-jalan macam suami orang lain’.

Dan semua ini hanya bergema dalam hati seorang isteri - sedangkan seharusnya semua ini sampai secara jelas kepada suami. Fahamkah kita psikologi seorang suami - bahawa secara umumnya orang lelaki tak pandai  sangat baca riak wajah apatah lagi untuk faham bahasa berkias seorang isteri. Dan tak ada manusia yang suka dibanding-bandingkan, jadi jangan compare dengan lelaki/suami lain.

Hmm tak romantiklah kalau semua keinginan kita nak bagitahu suami…???!! Ya betul sesuatu perkara itu rasa romantik bila ada elemen surprise, tapi kalau dah bertahun duk menunggu suami buat perkara romantis yang kita inginkan, suami still blur - bagitahu terus terang apa yang kita harapkan  :D

Tak payah tunggu bertahun makan hati, tak payah tunggu sampai kita nampak suami orang lain begitu romantis, atau sampai kita melarikan diri kerana suami kaku dan keras.

Selepas dua tiga bulan bernikah – terus saja suarakan secara lembut dan baik apa harapan kita yang tak tertunaikan. Dan jangan lupa, dengar juga suara hati suami – apa pula tingkah dan harapan kita yang dia mahu perubahan atau pembaikan.

Ya mungkin seperti suami saya yang telah lebih sepuluh tahun bernikah, sifat romantis itu memang banyak tapi lain isteri lain karakter dan kegemarannya. Jadi suami harus terus belajar, berkahwin lebih ramai insyaALLAH akan bagi suami ruang praktikal untuk lebih memahami jiwa halus tersembunyi seorang isteri… (oppss jangan marah ya isteri-isteri tersayang……)

Para isteri, jangan bermain psikologi dengan suami. Bagitahu keinginan, kesukaan, kebencian secara spesifik.

“ Abang…saya suka bila abang ______________”

“Abang… saya happy bila abang ____________”

“Abang… saya sedih bila abang ____________”

“Saya tak seronok bila abang…____________”

Pernikahan yang bahagia sesungguhnya lahir dari perkongsian jiwa yang paling dalam, dengan rasa kepercayaan yang tinggi. Jadilah pendengar yang baik, dan meresponlah dengan baik kepada luahan dan perkongsian perasaan.

Sesungguhnya di antara suami isteri, saaaaaaaaaangat banyak perkara yang susah nak terluah. Lebih mencabar, bila kita dah meluah – pasangan pula tak boleh handle mesej yang nak disampaikan. Jadi belajarlah  meluah, dan belajar merespon kepada luahan dengan kata-kata yang baik. Jangan sama sekali menjatuhkan atau membalas dengan kesakitan, sekalipun kita rasa tersinggung dengan luahan suami atau isteri.

Bila luahan berusaha difahami, hati suami isteri semakin dekat. Maka makin faham psikologi suami dan isteri. Sesungguhnya pernikahan ini mengajar kita untuk deal dengan perkara-perkara yang sangat sensitif dan intim. Kalau kita tak mampu berbincang perkara luaran seperti kewangan, aktiviti/leisure, ipar duai dan pembahagian tugas rumahtangga dengan adil dan bertenang, bagaimana untuk bersembang tentang hal-hal hubungan intim dan hasrat seksual yang memerlukan level pendedahan diri dan rasa percaya yang sangat tinggi antara suami dan isteri…

Ayuh saling membantu antara suami dan isteri dalam bab psikologi … Meluah perasaan dengan baik. Merespon dan mendengar dengan baik. Maka suami isteri akan makin cinta dan kasih, kerana telah mampu masuk ke sudut hati suami dan isteri yang paling dalam… Rasa tenang ( sakinah) dan nyaman hidup dalam pernikahan adalah jaminan ALLAH pada suami isteri yang berusaha memberi yang terbaik kepada pasangan.

Jadi insyaALLAH sama-sama kita mengurangkan isu, “ Suami tak faham psikologi wanita, bagaimana mampu bernikah lagi, sedangkan hati dan fikiran seorang isteri saja selalu tak dipeduli…”

Apa kata kita mula dulu memahami psikologi seorang suami, bahawa poligami itu sangat dekat pada jiwa dan pemikiran seorang lelaki, pada fitrah dan ciptaan dirinya. Mudah-mudahan suami akan makin  memahami keinginan dan harapan seorang isteri.

Demikian pandangan seorang isteri yang masih mentah dari pengalaman menjadi isteri selama baru tiga tahun sebulan :D Pasti saja pandangan saya boleh diterima dan ditolak. Tapi yang pasti kita semua punya harapan yang sama kan, ingin pernikahan yang bahagia dan diredhai hingga ke akhirnya................ Kita saling doa dan menasihati ya :)




Tuesday, February 7, 2012

Barangsiapa yang suka bertemu tuhan...


::  Whoever loves to meet Allah, Allah will love to meet him ::


Sesungguhnya pengalaman yang paling manis dalam hidup ini adalah apabila ALLAH mempertemukan saya dengan insan-insan yang menunjukkan dan menguatkan saya untuk mencari destinasi yang sebenar dalam perjalanan kehidupan dunia ini. (Namun di sebalik manis, ada pahit dan sakit yang bergilir hingga saat ini…)

Perjalanan ini masih diteruskan hingga akhirnya, moga... Bertemu tuhan dengan hati yang tenang sejahtera. Inilah pengakhiran yang saya inginkan. ALLAH redha ke atas saya dan saya pun redha dengan segala-gala yang disusun dan diberi ALLAH di dunia dan di akhirat sana. ( hmm malunya dengan impian ini.. )

"Barangsiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah juga suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang benci bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci bertemu dengannya." (Hadis)

Mati itu sakit dan menyakitkan, namun bagi orang mukmin ada khabar gembira hingga merasa suka dan gembira untuk bertemu ALLAH. Bagi orang mukmin, ada ganjaran tak ternilai atas segala pengorbanan dan ketaatan yang tak berbelah bagi...hmm amat payah ku telan kenyataan ini kerana sedar diri yang masih jauh dari kriteria mukminah..... (tak apa insyaAllaH boleh! Jangan putus asa menelusuri jalan yang lurus..) :'(

Maka setiap sesuatu perbuatan dan situasi, harus saya menyedari pengawasan dan penilaian ALLAH yang tidak pernah putus. Bekerja, belajar, bergembira, berduka,…adakah saya benar telah menyerah sepenuh jiwa raga ini pada ALLAH? Adakah benar keikhlasan dan cara hidup terpandu mengikut Rasulullah saw yang menjadi teladan?

Nikmat dan ujian dunia yang dibentangkan di hadapan insan sering saja memanggil-manggil memesongkan kita untuk istiqamah beriman kepada ALLAH. Sebahagian kita lemas terhanyut dengan ujian kesenangan. Sebahagian kita semakin jauh dari jalan tuhan bila ALLAH menguji dengan kesulitan.

Satu ketika yang sunyi, saya mendengar bacaan surah Sajadah Oleh Mishary Rashid Al Fasy… dan hati rasa tersentak dengan satu  rangkap ayat suci mulia kalam ALLAH.

“…Bahkan mereka mengingkari pertemuan dengan tuhannya…” (Sajadah: 10)

Wahai hati, jika benar ingin bertemu ALLAH, mengapa hati mudah lalai… tegar bermaksiat dan melupakanNYA?

Wahai hati, jika benar ingin bertemu ALLAH, mengapa kehidupanmu tidak terarah pada ketaatan dan ingatan pada kebesaranNYA?

Hidup ini tidak mudah. Nikmat dunia yang terhampar ini datang bersama rasa negatif yang mengiringi jiwa lemah seorang manusia. Penat, sedih, bosan, kecewa….. Apakah setelah segala keperitan dan kesusahan yang dilalui, hati ini akhirnya tidak akan dipandang ALLAH…?

Saya manusia, sangat mudah lupa dan mudah lari dari tujuan hakiki mengabdi diri. Membaca status fb seorang teman, saya tambah jadi termenung pilu…

"Sekiranya kita menganggap jalan untuk menjadi hamba Allah SWT itu mudah dan senang, sebenarnya kita telah tersilap dengan kesilapan yang besar, dan membuka pintu kekecewaan yang seluas-luasnya.


Kalaulah di atas dunia ini memang wujud kesenangan yang sejati, 
maka apa gunanya diwujudkan Syurga."


Ya ALLAH, seakan rasa tak mampu untuk terus menjadi hambaMU. Sangat mencabar. Sangat  susah untuk sekeping hati ini. Namun jika tidak menjadi hambaMU, apa pilihan yang diriku ada…?

Menjadi hamba nafsu?

Menjadi hamba syaitan?

Tak mahu. Tak nak. Saya mahu menjadi hamba ALLAH. Saya benar-benar mahu ALLAH menjaga dan memerhatikan saya… Ampunilah dosaku Ya ALLAH..

Ayuh teman-teman ku yang dikasihi, sesungguhnya iman kita melusuh seperti mana lusuhnya pakaian.  Maka kepada ALLAH kita bermohon agar diperbaharui dan diperindahkan iman di hati ini. 

Sesungguhnya insan sangat perlu pada cahaya keimanan, yang dengannya menolong kita di kehidupan yang berliku ujian. Dengan iman, kita akan memperlakukan ujian kesenangan dengan kesyukuran. Dengan iman, kita akan mengait kesabaran untuk meliputi carik-carik kepayahan.

Kita teruskan menggilap iman ya…! Dan memotivasi diri untuk terus berbuat baik dan terbaik...!


"Barang siapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadah" 

[Al-Kahfi:110]




Wednesday, February 1, 2012

Isteri proaktif dalam pembinaan...



Jadilah isteri proaktif, sebagai elemen penting untuk terus menghidupkan suasana rumahtangga yang harmonis.

Be proactive.

Saya mengenali istilah ini di zaman kampus dulu, sewaktu seorang sahabat baik saya mengajak saya mendalami buku Steven Covey yang bertajuk 7 Habits Of Highly Effective People. 'Jadilah proaktif' adalah habit pertama yang penting. Saya kemudiannya mendapat pendedahan seterusnya tentang 7 habits dari islamic approach yang dikupas oleh Ustaz Hasrizal, saifulislam.com.

Menjadi pemuda pemudi kampus memerlukan kita peka kepada situasi masyarakat kampus untuk kita membangun potensi diri, malah ingin turut sama membangun potensi dan kebaikan pada diri orang lain. Orang yang proaktif tidak mudah menyalahkan keadaan negatif yang berlaku di sekeliling, namun melihat pada diri sendiri – apa yang kita boleh lakukan untuk mempositifkan keadaan.

Reaktif adalah lawan kepada proaktif. Orang yang reaktif mudah menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku. Malah mudah menjadi mangsa keadaan kerana cara berfikir yang ditentukan oleh faktor luaran.

Contoh popular yang sering diberi tentang proactive ialah seorang anak tertumpahkan air di pagi hari di meja makan. Si ayah marah-marah kepada anak. Kemarahan ayah kepada anak menyebabkan anak itu menangis. Si ibu yang turut berada di situ juga berasa tidak seronok kerana suasana telah tegang. Kemudian si ayah pergi kerja dengan rasa marah.

Reaksi seorang ayah yang proaktif ialah, menenangkan dirinya dahulu – bahawa anaknya tidak sengaja tertumpahkan air. Berterima kasih pada si isteri yang telah segera mengelap air yang tumpah. Dan menasihat anak (dan semua yang di meja makan agar lebih berhati-hati). Maka si ayah keluar pagi itu ke tempat kerja dengan tenang.Tindakan proaktif yang dilakukan ayah adalah mengingatkan anak  untuk lebih berhati-hati, di sebalik memilih untuk terus marah-marah. Kalau marah pun, air sudah tertumpah kan? Apakah mahu memburukkan suasana dengan marah-marah?

Menjadi seorang isteri di zaman tanpa wayar, terlalu banyak cabaran berumahtangga yang mendatangi hinggakan isteri mudah berasa makan hati, sedih, kecewa, atau yang lebih serius - mungkin berasa murung yang berpanjangan.

Saya juga sama seperti kalian, berada di zaman yang mana perkahwinan telah menjadi lebih complicated berbanding zaman datuk nenek kita. Waktu zaman mereka -  tak ada shopping mall, tak ada mega sale, tak ada Passat, mereka hanya jalan kaki berkilo-kilometer – jadi tak ada sangat isu duit tak cukup bila hujung bulan (kurang gaduh, kurang hutang, kurang tekanan). Tak ada tiga almari pakaian, kasut dan handbag macam kita..

Datuk nenek tak ada PJJ (perhubungan jarak jauh). Kalau adapun, beberapa kerat saja. Kebanyakannya duduk satu kampung. Sekarang, kita terpisah kerana tuntutan studi di kampus atau berbeza negeri tempat kerja. PJJ suami isteri memberi extra konflik kepada hubungan suami isteri yang sememangnya menuntut komitmen tinggi dan kerja keras...

Maka kita juga perlu berjuang menjadi isteri yang proaktif - istilah yang mungkin opah saya dulu tak pernah dengar kerana zaman opah dulu belum ada Google dan Facebook. Isteri yang proaktif penyelesai masalah, dan melihat positif di sebalik masalah yang menerkam, bukan hanya menyalahkan zaman.

Cabaran masa antara cabaran yang menguji keharmonian rumahtangga. Hidup kita lebih lama di ofis dan di atas jalan dari di rumah sendiri. Ohh saya juga seperti kalian yang suka ada suami selalu, suka spend time dengan suami, bangun tidur, nak lelap tidur…. Mahu suami saja.. (Eleh keciknya cabaran saya kan hihi) 

Maka sebagai isteri proaktif, kita bukan sekadar  salahkan masa yang  memang tak pernah cukup. Namun melihat apa ruang yang ada untuk kita mencipta masa. 

Kenalpasti keperluan sendiri kepada suami dan komunikasikan. Mencari jalan memanfaatkan teknologi sebagai alternatif mendekatkan diri kepada suami. Mencukupkan diri dan bersyukur dengan masa singkat yang ada dengan suami. Menguatkan harapan dan motivasi diri untuk hidup bahagia di syurga nanti - tempat yang mana masanya adalah kekal selamanya tanpa gangguan.

Bila suami tak romantik, apa usaha isteri proaktif untuk membantu menghidupkan suasana romantik dalam rumahtangga...? Sekarang kita dah jadi pasangan yang halal - adakah kita memanfaatkan ruang kemesraan, kemanjaan, keintiman atau kita hanya duduk menunggu suami mendekati kita…? 

Komunikasikan bentuk kemesraan dan perhatian yang diinginkan, dan diri sendiri lah yang memulakan menjadi isteri romantik... Jadilah isteri yang seronok didekati dan dimanjai. Belajar juga cara berhikmah untuk membangunkan semangat romantik dalam hati suami.

Sebab sebenarnya memang setiap lelaki ada jiwa pengasih dan romantik yang terpendam, jadi adakah kita seorang isteri telah berusaha menjadi pencinta yang baik hingga suami terdorong untuk berkasih mesra beromantika dengan kita? Tak, suami tak akan ada mood romantik kalau isteri asyik nampak kesalahan suami, asyik komplen suami suka sepah rumah, asyik marah suami main games lama-lama, asyik soal siasat suami kat mana, buat apa... :D (laa abis tu nak buat macam mana kalau dah memang suami macam tu...????)

Apa pula definisi romantik bagi isteri...? Bagi 14 kuntum bunga di Hari Kekasih..? Atau menyanyikan lagu cinta sebelum tidur? Atau apa... :D Jangan bagi pening kepala suami dengan ungkapan, "Abang ni tak romantik lah..." Kerana romantik itu beragam bentuknya, hargai setiap kebaikan dan perhatian yang diberi suami sekalipun hati tak rasa terbuai macam menonton cerita Nora Elena dan Seth..(eh cerita apa tu...???)

Ujian kewangan - jangan biarkan diri terus tertekan dengannya. Ayuh menjadi isteri yang proaktif, mencari ruang di mana kita boleh berjimat atau cut cost. Jika tidak boleh berjimat lagi, memang dah habis jimat, perlu berusaha mencari pendapatan sampingan. Seperti pesanan teman saya kepada saya yang  kadang terlebih belanja, samaada kurangkan perbelanjaan atau mencari lebih pendapatan – barulah cukup wang hati tenang. 

Dua-dua keadaan pun susah, jadi inilah kehidupan - tak pernah berhenti dari ujian :D

Jika suami tak bagi duit cash sebagai nafkah, maka proaktiflah dengan cara halus mulus meminta suami membelikan keperluan rumah, makan minum atau pakaian. Usah duduk menunggu dan memendam perasaan. Proaktif memahami kekangan suami yang sememangnya rasa terbeban dengan ujian kewangan.

Isteri yang proaktif memilih dan memutuskan perasaannya dengan cara yang benar dan wajar. Mendidik hati dan pemikiran untuk melihat positif di sebalik ujian besar yang melanda. Ya, perasaan itu satu keputusan... 

(haa..perasaan itu keputusan???) Keputusan kita untuk merasa bahagia atau derita, tiada siapa yang boleh merosak dan merampas keputusan kita. Hanya ALLAH yang maha berkuasa.

"Saya happy walau suami saya selalu tak ada sebab…"
"Saya happy jaga anak-anak seorang diri tanpa suami sebab…"
"Saya happy tinggal serumah dengan mertua sebab..."
"Saya happy berada di alam poligami sebab..."
"Saya happy suami saya ada isteri-isteri  lain sebab..."
"Saya bersyukur setelah bercerai sebab..."
"Saya bersyukur tidak dapat melanjutkan pelajaran di kampus sebab ALLAH memberi ruang yang luas belajar di universiti kehidupan, belajar di muka bumi untuk terus mengangkat potensi diri sebagai hamba dan khalifah."
"Saya happy traffic jam sebab saya boleh habiskan mendengar kuliah Prof Muhaya dalam kereta..."
"Saya happy hari hujan sebab..."
"Saya happy hari panas sebab..."

Orang yang proaktif mencari alasan untuk merasa gembira dan bahagia di sebalik apa jua cuaca dan suasana :).

Isteri yang proaktif akan mencipta dan mengusahakan perkahwinan yang bahagia, bukan sekadar menunggu perkahwinan membahagiakan dirinya. Sama sekali tak akan pernah jadi begitu J

Isteri proaktif berusaha mengenalpasti apa tips-tips penting untuk mempertahankan perkahwinan,  dan seterusnya mencari kekuatan untuk melaksanakannya.

Isteri yang proaktif mengenalpasti apa cara efektif untuk meruntuhkan rumahtangga atau hubungan suami isteri, dan berusaha sama sekali untuk menghindarkannya.

Kita bukan sekadar tertanya-tanya  dalam kesedihan; kenapa suami menjauhi diri kita, atau beralih arah dalam cinta dan perhatian – namun merenung diri sendiri, apa kekurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Apa pula ciri-ciri seorang isteri yang seorang suami admire and never want  to leave, supaya kita boleh upgrade segenap penampilan dan perilaku diri.

Dalam kita menangis pada ALLAh merayu jalan keluar untuk ujian rumahtangga, jangan lupa muhasabah adakah kita telah menjadi isteri yang proaktif mencari redha ALLAH. Hingga ALLAH berkenan mengabulkan permintaan dan harapan kita. Sudahkan kita benar mentaati dan mencintai ALLAH hingga ALLAH menjaga dan merahmati segenap kehidupan ini...

Orang yang proaktif bukan mangsa keadaan. Saya tidak mahu jadi mangsa kepada kejauhan saya dan suami. Saya tidak mahu jadi mangsa kepada alam poligami yang kini makin bercambah di bumi Malaysia :D

Saya tidak mahu menjadi mangsa kepada zaman yang menghamburkan banyak cabaran pada rumahtangga. 

Sekalipun cabaran tak berhenti menduga, orang yang proaktif tak putus asa dengan rahmat Tuhannya. Gembira dan duka silih berganti, orang yang proaktif merasa terbaik dalam semua keadaannya.

Fuhh... mudah je cakap :D

Tak apa, kita sama-sama berusaha ya..Jadikan pesanan Rasulullah SAW dalam hadis ini sebagai motivasi hidup di dunia :

“Sungguh menakjubkan urusan orang yang beriman, semua urusannya adalah baik belaka. Sikap demikian tidak siapapun yang memilikinya kecuali orang yang beriman. Sekiranya ia mendapat kesenangan, lalu ia bersyukur, maka sikap yang demikian itu baik baginya, dan jika ditimpa kesusahan, lalu ia bersabar, maka sikap yang demikian itu juga baik baginya. Dan jangan hendaknya mati salah seorang dari kamu melainkan ia berbaik sangka terhadap Allah”.

[HR Ahmad, Al-Baihaqy dan Imam Ahmad]


Kesimpulannya, orang proaktif lebih banyak bertanya pada diri sendiri apa yang boleh dia buat, apa pilihan yang dia ada dan tindakan macam mana yang boleh dilakukannya. Sedangkan orang yang reaktif, lebih suka menuding jari kesalahan kepada orang lain, bukan dirinya sendiri.

Orang-orang yang proaktif  lebih bertenang dan bijak mengawal emosi. Tidak mudah melenting mahupun 'meletup'.  Berfikir sebelum bertindak.  Mengelak dari sikap suka mengeluh.  Yakin sentiasa ada pilihan selagi mana dia inginkannya.  Menganggap masalah sebagai cabaran. Melihat aspek positif dalam musibah yang melanda. Bertanggungjawab. 

Mudah-mudahan sikap ini berusaha kita membinanya dalam diri kita :)









Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...