:: Memilih jalan yang baik, mudah-mudahan menyampaikan kita ke tempat yang terbaik :: |
Jalan menuju ke kawasan perumahan saya semakin hari semakin menguji perasaan dan mendera kenderaan. Pada teman-teman yang mengandung, tidak digalakkan melalui jalan ini (Jalan Haji Abdul Manan, Meru - selepas trafic light kedua). Namun di sebalik jalan rosak yang hanya lebih kurang satu kilometer ini, pastinya terlalu banyak kesyukuran atas laluan dan jalan lain yang ALLAH pelihara keadaannya.
Hidup di Malaysia sangat besar nikmatnya. Nikmat jalan yang
cantik dan baik, sangat jauh berbeza dengan negara Kemboja yang pernah dilawati. Tidak ada highway yang luas seperti highway
PLUS kita, jalan-jalan biasa pula begitu berdebu, angin menerbangkan pepasir kasar
yang pedih hinggap di mata. Saya takkan lupakan pengalaman pedih mata menunggang motosikal
di bandar Phnom Penh menuju ke kampung-kampung lebih kurang sepuluh km di luar
bandar itu.
Bila tidak ada pilihan, maka jalan yang ada itulah ditempuh
saban waktu, setiap hari. Menempuhnya dengan kesabaran dan berhati-hati.
Bersabar juga berdoa moga jalan baru cepat dibina. Berhati-hati kerana tidak
sedikit kenderaan yang ‘ter’ accident atau pecah tayar di laluan itu.
Memandu di jalan lekuk-lekak ini membawa saya merenung jalan
kehidupan yang dilalui saat ini. Kita adalah hambaNYA. Bernama manusia, kita
sering dihadapkan dua jalan, dua pilihan. Jalan kebaikan dan jalan kejahatan.
Maka jiwa perlu memilih, jalan ketaqwaan atau jalan kemaksiatan.
Oh tuhan, bantulah kami memilih jalan yang ENGKAU redhai.
Sungguh tidak mudah. Jalan menujuMU kelihatannya sukar dan payah. Perlu
perjuangan iman yang tak sudah. Perlu penggalian ilmu buat peneman dalam
kesukaran.
Sedangkan jalan kesesatan itu begitu menarik mata dan sanubari
kami. Godaan dan ujian melambai-lambai memanggil kami untuk termasuk dalam
golongan syaitan……………….. mahu merosakkan roh yang dibawa jasad kami.Syahadah kami hanya kalimah kosong tanpa pengertian, tidak sebati dibawa dalam urusan kehidupan.
Hati telah menangis. Tidak mudah menjadi wanita di atas
jalan kemuliaan. Pemikiran kami penuh dengan kisah cinta romantis lelaki
perempuan, bukan kisah wanita yang memperjuangkan ketuhanan. Perasaan kami
sering menjadi tuhan, tidak lagi kami benar bertuhankan Allah Ar-Rahman.
Segalanya kami lakukan kerana menurut perasaan.
Jasad kami, penampilan kami dimanipulasikan manusia-manusia
yang bertuhan nafsu. Menjadi mangsa kehambaan fesyen. Menjadi alat murahan atas
nama pengiklanan. Menjadi hiasan yang ditelanjangkan - dan kami senang memanggilnya kebebasan. Jiwa tulus seorang
perempuan digilap arus moden untuk hanya menarik perhatian lelaki di jalanan. Tidak
membesarkan iman dan ketaqwaan, namun sering berbangga dengan perhiasan,
anak-anak dan kekayaan…..
Wahai diri ini…jua teman-teman yang disayang, hidup hanya
sekali. Jadikan ia beerti dengan memilih jalan kebenaran. Kebenaran itu
hanyalah milik tuhan. Maka teruslah kita mengenali tuhan. Teruslah mendekati
dan mencintai ALLAH. Agar jalan yang kita pilih dan susuri ini membawa kita
selamat ke dalam redha tuhan……
Wahai tuhan, tunjukilah kami cahaya kudus buat menerangi hati yang kesepian dan kegelapan. Harus bagaimanakan diri ini menjadi perempuan mulia di sisiMU. Harus bagaimanakah diri ini mencapai tujuan hidup yang ENGKAU redhai...
Jalan yang rosak menuju rumah saya, hanya akan merosakkan
kenderaan. Namun jalan rosak kehidupan yang terus kita ikuti, bakal merosakkan
kehidupan kita di dunia dan di akhirat sana. Ayuh kita terus saling mengingatkan...
4 comments:
suka baca entry kat sini :)
"Jalan yang rosak menuju rumah saya, hanya akan merosakkan kenderaan. Namun jalan rosak kehidupan yang terus kita ikuti, bakal merosakkan kehidupan kita di dunia dan di akhirat sana. Ayuh kita terus saling mengingatkan..."
1 kenyataan yang ringkas tapi sangat menarik dan mendalam maksud pengertiaanya...
mohon share kat FB.
teruskan menulis wahai ukhtie
terima kasih sweetpink and jasmin :)
untuk menulis kebaikan, perlu kekuatan hati , doakan saya..
assalam sis,,
saya selalu baca entri sis,,bile baca dan baca terasa ade rse ingin lagi berubah,,ape je yang sis kata kan,saye cube fikirkan di mana kelemahan pada diri saya.mohon sis dapat lagi buat entri yang lagi baek,,ehehee,,
Post a Comment