Wednesday, December 21, 2011

Bersediakah isteri dididik...?




Saya membaca beberapa komen di forum online tentang kisah rumhatangga dan isu-isu yang berkaitan. 

Antara yang diutarakan ialah isu peranan suami mendidik isteri dan anak-anak, betapa segelintir [atau sebahagian besar..?] lelaki sebagai pemimpin keluarga kelihatan jarang sekali mendidik ahli keluarga dengan nilai-nilai agama dan aspek lainnya.

Saya pastinya tidak bersetuju dengan pandangan yang hanya menyalahkan pihak suami, sedangkan berjaya atau gagalnya budaya tarbiyyah [pendidikan] dalam rumahtangga itu bergantung pada kedua-dua suami dan isteri. Kaum isteri menyalahkan suami yang tak mendidik, namun adakah kita para isteri sebenarnya berkeperibadian seorang insan yang bersedia dididik dan dibentuk..?

Saya banyak merenung hal ini ke dalam diri saya sendiri yang bertatih tidak sampai setahun bergelar isteri. Saya bersyukur memiliki suami yang asertif, banyak mendidik, serta sering memerhati ruang-ruang perbaikan saya sebagai seorang isteri. Di masa dan kesempatan yang terbatas, beliau sebagai suami berusaha membina keperibadian saya sebagai isteri yang disenanginya dengan perkataan dan teladan.

Namun di manakah keperibadian saya dan kita para isteri sebagai orang yang didik..?

Bila ditegur merajuk lama-lama
Bila dikritik tidak lapang hati menerima
Bila dimarah tetap kesalahan tak diubah
Bila diingatkan bersifat defensif menutup kesalahan

Saya rasa sinonim sekali dengan isteri yang sangat suka mengambil pendekatan merajuk dalam konflik-konflik yang dilalui. Tahukah kita para isteri bahawa para suami tidak suka dengan isteri yang asyik merajuk dan tahukah kita bahawa merajuk adalah cara efektif untuk memanjangkan perbalahan suami isteri. Bila merajuk beerti  kita tidak mahu berbaik-baik dan menamatkan konflik, kita hanya mahu memenangkan perasaan dan memuaskan nafsu sendiri yang cenderung hanyut dengan emosi.

“Abang, terima kasih banyak-banyak mendidik nurul secara intensif..” Ujar saya di ruang chatting YM di satu hari sewaktu suami saya berada nun jauh di seberang lautan. Saya spontan berkata demikian sebaik habis membaca nukilan-nukilan online tentang isu suami yang tidak mendidik isteri dan anak-anak. Rasa bersyukur hinggap di hati kerana punya suami yang sering berusaha mendidik.

“Abang minta maaf, dalam mendidik kadang-kadang abang terlebih tegas dan garang.” Balas suami saya.

Suami saya sedar kadang-kadang terlebih garang dan tegas pada seorang isteri yang hati rapuh seperti saya.

Saya tak kisah dengan ketegasan itu. Kerana saya sangat perlu diperingatkan. Jangan sampai peringatan-peringatan semakin kurang sampai kepada hati kita lantaran kita merasa telah cukup. Cukup ilmu. Cukup dewasa. Cukup baik.

Jangan sesekali memandang remeh pada setiap teguran suami. Sesuatu yang kita nampak kecil, mungkin sebenarnya besar di mata suami.

Suami menegur tentang aurat dan cara berpenampilan yang tidak kena.
Suami menegur tentang aktiviti keluar masuk rumah dan aktiviti luar.
Suami menegur tentang bau badan, kebersihan diri, penjagaan badan, tentang makan minum.
Suami menegur tentang pengurusan rumahtangga dan anak-anak.
Suami menegur cara berbelanja.
Dan lain-lain.

Jika kita tidak mengambil berat tegurannya, kita seolah tak berusaha memahami dan menghormati perasaannya. Malah mungkin kita sedang tidak mentaatinya sedangkan ia kewajipan. Namun masihkah kita memandang berat tentang wajibnya ketaatan kepada suami, atau kita rasa ia hanya pilihan? Atau kita rasa, layakkah suami kita diberi ketaatan?

Tidak, ketaatan adalah wajib selagi bukan yang melanggar perintah ALLAH.

Jangan kita membuat kesimpulan sendiri, teruskan ilmu diperdalamkan. Di sebalik kelemahan dan kekurangan suami, hak sebagai pemimpin perlu ditaati. Namun banyaknya antara suami yang memilih mengunci mulut dari menegur lantaran kita sebagai isteri menyambut teguran itu dengan silent treatment dan kedinginan perasaan yang berpanjangan. Malangnya kita kehilangan penasihat nombor satu jika suami berhenti menasihati dan menegur.

Kadang ada rasa tak suka kan diperingatkan dengan ketaatan kepada suami… namun moga peringatan ini membetulkan orientasi kehidupan yang sementara ini.

Isteri wajib mentaati suami kerana hak qawwamah (kepimpinan) yang telah diberi oleh Allah kepada suami seperti yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 34. Tidak ada maknanya hak qawwamah ini jika tidak disertai dengan hak ketaatan. 

Terdapat beberapa cabang perkara yang perlu diberi  ketaatan oleh isteri; antaranya ketaatan dalam memenuhi hajat suami, ketaatan dalam urusan taharah, ketaatan dalam urusan kebersihan tubuh badan dan perhiasan, ketaatan untuk tetap di rumah, ketaatan untuk memelihara harta suami dan lain-lain lagi dalam semua hal.

(Ilidalila.wordpress.com)

Saya juga ada masa sedih dan rasa nak merajuk. Namun dalam sedih dan rajuk saya dengan didikan dan teguran suami kadang-kadang, saya berusaha tidak memanjang-manjangkan isu, kritikan, teguran atau ketegasan suami. Saya berusaha mempelajari dan mempraktik ilmu dan teguran yang diberi. Saya berusaha berubah di mana yang boleh. 

Menjadi pendidik sebagai suami sungguh tidak mudah. Perlu kemahiran menyampaikan. Perlu bijak membetulkan. Perlu ada kesabaran tahap luar biasa dengan saya yang kadangkala bersikap sambil lewa dan tidak cerdas mengambil pelajaran.

Menjadi orang yang dididik juga tidak mudah. Perlu hati yang luas dan lapang supaya bersedia menerima apa jua teguran, peringatan, pembelajaran dalam ketenangan suami atau waktu tekanannya hingga ungkapannya mungkin keras menyinggung perasaan.

Untuk apa suami mendidik…?  

Suami mendidik kerana kita para isteri adalah amanah dan tanggungjawabnya. Suami mendidik kerana mahu kita menjadi isteri yang makin dicintainya, jua dicintai ALLAH dan RAsulNYA.

Untuk apa isteri dididik..? 

Isteri dididik kerana isteri adalah aset rumahtangga yang akan mendidik seluruh zuriat yang dikurnia Tuhan. Isteri dididik untuk terus memperbaiki diri sebagai insan mulia, menjadi sumber kebahagian dan ketenangan. Isteri dididik untuk menjadi sosok peribadi yang membantu suami dalam keimanan dan amal soleh. Menjadi teman yang tangkas memudahkan urusan pasangan. Menjadi orang yang berilmu, berkemahiran dan penuh keimanan hingga rumahtangga menjadi medan pentarbiyyah an yang melahirkan generasi  rabbani menggalas perjuangan mentauhidkan tuhan.. Rumahtangga menjadi syurga dunia yang harmoni dengan isteri yang terdidik dan mendidik.





 *artikel lama 

2 comments:

hana said...

Artikel yg sangat bermanfaat..Dah lama jadi silent reader kak nurul..best semua artikelnye,sgt mendidik..terima kasih ya share ilmu..

Anonymous said...

Taat lah suami utk meraih syurga ILLAHI ...terimakasih puan nurul kerana share ilamu

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...