Thursday, July 15, 2010

.::Surat cinta buat adinda KhairunNajwa::.


Buat adikku Khairunnajwa..
Moga dirimu berada dalam kemanisan iman dan ketenangan fikiran.

Diri ini merinduimu, dan mencintaimu.. mudah-mudahan cinta dan rindu  ini bukan sekadar ikatan kekeluargaan yang ALLAH tautkan antara kita, namun kerana nilai keimanan dan ketaqwaan yang berusaha kita bina..

Masa terus berlalu tak menunggu kita. Sedar tak sedar, dah hampir dua tahun kita tak bersua muka. Setahun enam bulan diri ini telah bergelar isteri, dirimu belum berkesempatan bertemu diriku dan abang ipar yang telah menjadi ahli keluarga kita. Sekarang pula ALLAH izin di dalam diriku ada seorang makhluk kecil yang menghitung minggu demi minggu untuk menjengah dunia, yang bakal menjadi anak buahmu yang ketiga.

Tahun-tahun yang berlalu penuh rahmat dan nikmat dari ALLAH.. jua ujian kesulitan yang datang di celahan waktu. Alhamdulillah saat ini hati masih terus ingin meniti di atas jalan yang dipimpin cahayaNYA, walau ia sukar dan melelahkan.

Adikku sayang, diriku kini menggilap kesabaran atas kesulitan mengandung di minggu-minggu terakhir.. Lantas menjadi sangat rindu pada ibu yang telah bersusah payah mengandung dan melahirkan kita.. Merasa insaf, ibu menjaga kita dalam kekalutannya menjaga adik-adik kita yang lain. Ibu tetap memasak, membasuh dan mengurus makan pakai kita dalam dirinya yang sulit mengandung..

Sedangkan diri ini hanya perlu menjaga diri sendiri. Hmm sebenarnya kalau difikir-fikir, situasinya tidak lah terlalu sukar untuk diriku mengeluh - hanya sakit-sakit badan, tidur malam yang tak lena, sakit pinggang yang sekali sekala menyerang, sulit membawa badan yang makin berat.. Namun apabila diriku hanya menetap di rumah tanpa tuntutan kerja luar, tanpa tanggungjawab menjaga anak-anak yang lain, dengan sokongan suami dan teman-teman yang memahami, diri ini harus bersyukur sebanyak-banyaknya.

Sesungguhnya sebuah keluarga bahagia itu tidak lahir melainkan dengan kesulitan dan kesabaran kan..

Khairunnajwa yang dirindui,

Dirimu menghitung hari untuk pulang bertemu keluarga tercinta, namun ketahuilah keinginan dan perancangan itu boleh jadi tercapai, dan boleh jadi ada urusan lain mendahului hingga terhalang keinginanmu.. bersedialah. Kita manusia merancang apa yang ada di tangan, namun ALLAH jua yang menyusun dan mengetahui perjalanan masa hadapan.

Adik-adik remaja kita yang lain pula sedang menghadapi dunia studi sekolah menengah, dikelilingi ujian keruntuhan moral yang dasyat di Malaysia [malah di seluruh pelusuk dunia yang dicengkam penjajahan minda..] . Kita ingin bersama ahli keluarga membina keluarga yang berkeperibadian muslim dan mukmin, nyata ia tidak semudah harapan dan impian. Ia satu perjuangan yang bermula dari dalam diri kita sendiri. Sentiasa meningkatkan ilmu, iman dan amal.. hingga kita punya kekuatan untuk mendorong orang lain, adik beradik dan ahli keluarga lainnya agar istiqamah mengatur hidup di bawah lembayung Al Quran dan As Sunnah..

Abah yang kita sayangi dan hormati sedang menikmati tahun pertamanya bersara, namun walau bersara itu sering dilihat punya banyak masa lapang, namun abah sebagai orang yang berdisiplin sentiasa penuh masanya dengan aktiviti keluarga dan bersama masyarakat kampung. Abah juga sering ‘menghilang’ di dalam semak samun kawasan tanah di hadapan dan belakang rumah kita yang masih banyak perlu ditebas dan diurus.

Ibu tercinta pula rutin hariannya mengurus rumahtangga dan persekolahan adik bongsu kita yang nakal, Muhammad. Abah dan ibu semakin bertambah usia, wajah-wajah kepenatan membesarkan anak-anak seramai 9 orang mampu dilihat pada wajah mereka, sekalipun mereka sering saja mempamerkan wajah ceria gembira setiapkali abang, kakak dan adik-adikmu pulang ke Kampung Sungai Talan.

Segala puji bagi ALLAH yang mengurniakan kita keberadaan dan kasih ayah ibu dalam menongkah arus zaman yang mencabar ini. Alhamdulillah juga abah dan ibu telah mendidik dan mengasuh kita sebaiknya hingga kita mampu berdiri mengisi kehidupan sebelum kita semua pulang ke kampung akhirat.

Najwa adikku sayang, setiap masa dan saat yang berlalu, kita usahakanlah agar ia menjadi pahala dan diberkati ALLAH swt. Kita akan didatangi rasa down, lemah dan malas, namun kita harus memuhasabah dan memaksa diri menjadi insan yang lebih baik, lebih produktif dan positf menjalani kehidupan. Dalam sibuk kita dengan urusan studi, peribadi dan famili sendiri, jangan lupa menjalin hubungan dengan insan-insan di luar sana.. agar hidup lebih bermakna.

Hidup lebih bermakna kerana bahagia hidup ini bukan pada hubungan satu hala dengan ALLAH, namun bagaimana kita membina jambatan untuk bersilaturrahim, mensyukuri nikmat dengan orang lain, malah merasai jua membantu kesukaran dan kesulitan yang dihadapai saudara-saudara islam yang lain.



Di pengakhiran perkongsian ini, ingin diriku berkongsi untaian doa yang pernah diajar Rasulullah SAW, doa memohon kekuatan agar dimudahkan beramal soleh dan berakhlak baik.. Doa untuk kita memohon cinta yang tidak putus-putus pada DIA yang mencurahkan cinta dalam kehidupan ini.

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku memohon kepadaMu agar dapat melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, agar dapat meninggalkan semua perbuatan yang mungkar/nuruk, agar aku mencintai orang-orang miskin, dan agar ENGKAU mengampuni dan menyayangiku..

dan agar ENGKAU mengampuni dan menyayangiku..

dan agar ENGKAU mengampuni dan menyayangiku..

Dan jika ENGKAU hendak menimpakan fitnah/malapetaka bagi suatu kaum, maka wafatkanlah aku dalam keadaan tidak terkena fitnah itu.

Dan aku memohon kepadaMU rasa cinta kepadaMU.. dan cinta kepada orang-orang yang mencintaiMU..

Dan aku juga memohon cinta kepada amal perbuatan yang akan mendekatkan diriku untuk mencintaiMU…”

(Hadis Riwayat Ahmad –hasan sahih, di akhir hadis ini, Rasul SAW bersabda, “Sesungguhnya doa tersebut merupakan hal yang benar, maka pelajarilah[hafallah] dan perdalamlah.”)


Sekian kali ini..

2 comments:

sumayyah said...
This comment has been removed by the author.
Sharifah Zahidah said...

Assalamualaikum.

Saudari, dari mana saya boleh dapatkan matan doanya dalam bahasa Arab? Kalau tak keberatan, boleh tolong beritahu saya mcm mana nak dapatkan? *Budak baru belajar :D

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...