Anakku sayang.. sekarang alhamdulillah lebih kurang 33 minggu dirimu berada di dalam rahim ibu. Pengalaman mengandung ini memenatkan, sukar namun sangat mengujakan. Ibu bahagia dan teruja merasa kehadiranmu yang terasa aktif bergerak di dalam perut ini. Lebih kurang sebulan lagi, insyaALLAH ibu akan bertemu dirimu..
(Seandainya dirimu tidak berpeluang hadir di dunia, sesungguhnya ALLAH memilihmu berada di tempat yang terbaik. Seandainya kehadiranmu membawa ibu pulang pada tuhan, moga ibu menghadap ALLAH dengan hati yang salim..)
Memenatkan kerana berat badan ibu kini 81 kg. Dirimu lebih kurang 2 kg sahaja, tapi ibu yang banyak makan dan banyak berehat ni selalu termengah-mengah bila bergerak lebih. Pergerakan harus perlahan-lahan dan berhati-hati, jika ibu bergerak cepat-cepat, terasa sakit dan ngilu di bahagian rahim.. Hmm ibu patut bersyukur kerana ramai ibu-ibu lain yang mengandung, namun dalam masa yang sama terpaksa @ paksa rela @ rela hati bekerja.. Moga ALLAH merahmati kesungguhan dan penat lelah mereka.
Alhamdulillah ibu hanya duduk di rumah, mengisi masa dengan perkara yang tidak membebankan fizikal e.g memasak, mengemas rumah, menguruskan pakaian, dan keluar ke kedai-kedai berhampiran membeli barang-barang keperluan. Ibu juga banyakkan membaca tentang baby care, breastfeeding, natural birth etc yang banyak memberi ilmu dan pegetahuan baru pada ibu. Ibu juga telah menyusun agar halaqah-halaqah mingguan ibu diuruskan oleh sahabat-sahabat ibu yang lain.. moga adik-adik halaqah dan ibu istiqamah dalam pencarian redha dan rahmat tuhan…
Ibu bersyukur papa sangat membantu meringankan kerja-kerja rumah.. Walaupun jadual kerja papa padat dan sibuk kebelakangan ini, papa mencuri-curi masa dan tenaga membantu membersihkan rumah.. membasuh bilik-bilik air, memvakum, mengemop tingkat atas dan bawah sementelahan sedikit ubahsuai rumah menjadikan rumah kita sering saja dipenuhi debu-debu simen dan kayu.. Dengan kesibukan kerja dan menulis – jadual terbang ke sana sini, training session dan tanggungjawab papa lainnya, moga ALLAH merahmati khidmat bakti papa pada kita..
Anakku sayang.. alhamdulillah ALLAH melapangkan rezeki kewangan hingga mama mampu menyediakan keperluan asas yang sederhana buat dirimu… Mama kini terus mempersiap diri untuk keperluan ruhiyyah, emosi dan lain-lain keperluan mu yang tak nampak dengan mata kasar. Mama mencari ruang untuk bersembang dan mendengar pengalaman dari teman-teman yang telah memiliki pengalaman bergelar ibu.. Anakku.. harus ibu bersyukur sebanyak-banyaknya atas nikmat kesenangan yang melingkari hidup kita, agar nikmat ini tidak menjadi ujian yang melalaikan..
Seorang teman ibu, makcik Rahilah yang sarat mengandung seperti ibu, kini berada nun jauh di pedalaman Sabah.. Di sebuah pulau, perkampungan nelayan. Dia tinggal di rumah-rumah di atas laut yang tidak mempunyai sumber air bersih. Dia menemani suaminya yang mengajar di sana.. Hidup di lingkungan kaum Bajau, Makcik Rahilah tinggal jauh dari jeti daratan, menurutnya satu jam setengah menaiki bot. Dia pun tidak sangka ada orang yang boleh survive di tempat terpencil seperti itu. Katanya, sekarang tiada hujan, tidak dapat menadah air, jadi mereka terpaksa membeli berkotak-kotak air mineral untuk makan minum. Mandi sekali-sekala hanya dengan setengah baldi air.. tanpa sabun.. mereka sangat perlu berjimat-jimat menggunakan air.
Aduhai anakku..itu kehidupan di Sabah, di bumi Malaysia ‘yang aman harmoni’..bagaimana pula ibu-ibu saudara kita di Palestin.. berteman berhujan peluru, bersimbah darah, dizalimi rejim pengganas Israel.. dalam perang dan ketakutan saban hari.. Mereka jauh lebih bersabar dari yang kita sangka..Maka kita harus jauh lebih bersyukur dari syukur biasa-biasa yang ada..
Syukur dan bersyukur, moga ALLAH menambah nikmatNYA pada kita.. jika tidak bersyukur, pasti azab ALLAH mendatangi kita.. Sekian kali ini tazkirah ibu untuk diri ibu dan teman-teman yang membaca perkongsian ibu.. Anakku sayang, moga kehadiranmu menjadikan diri ibu makin bersyukur dan membalas syukur ini dengan berbuat baik pada orang lain, sepertimana ALLAH terlalu banyak berbuat baik pada kita…ameen. insyaALLAH.
No comments:
Post a Comment