Sunday, July 11, 2010

...Sepetang Melentur Iman...


Alhamdulillah.. dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH, ALLAH telah membantu kami melaksanakan sedikit majlis ilmu buat menambah keyakinan dan pengetahuan teman-teman para pelajar tentang Islam dan Iman. Kami juga mengharapkan program sebegini memberi nilai tambah untuk iman dan ketaqwaan kami.. Taalim petang hujung minggu itu, Alhamdulillah menjadi medan jua untuk kami berukhuwwah dan menjalin silaturrahim dengan saudara-saudara muslimah yang baru dikenali..

Dalam majlis yang dihadiri seramai lebih kurang dua puluh orang muslimah, dua pengisian sederhana telah disampaikan oleh teman-temanku, iaitu tentang Hadith 19, dan Pembentukan Syakhsiah Muslimah. Syukran jazilan pada dua orang saudara muslimahku yang telah bersedia dan mengkaji semampunya untuk berkongsi yang terbaik pada audiens yang ingin mendengar. Mereka bukan ustazah, seorang merupakan bakal akauntan, seorang lagi merupakan guru seni di sebuah sekolah menengah, namun mereka mempersiapkan diri jua iman, menelaah ilmu dan menggilap public speaking atas kapasiti sebagai seorang muslim yang ada tanggungjawab untuk menyampaikan dan mentarbiyyah.



Semester baru telah bermula untuk pelajar-pelajar IPT. Dan kebanyakan pelajar-pelajar ini adalah generasi pemuda harapan ummah. Melihat realiti penghayatan Islam dalam kehidupan hari ini, diri kami dan mereka sangat berhajat kepada tarbiyyah fitriyyah, tarbiyyah islamiyyah yang mencorak jiwa, pemikiran dan perilaku kami berhajat kepada keperibadian muslim yang diredhai ALLAH.

Mereka generasi muda (malah generasi lebih berusia) saban hari dihadapkan cabaran akhlak yang kronik, jika mereka bukan yang terlibat dengan kerosakan itu, mereka adalah orang yang sentiasa ditarik jatuh ke lubang yang dalam.. untuk bergelumang dengan pergaulan bebas. Nafsu mereka diajak untuk berhibur berlebih-lebihan. Para wanita digoda untuk menyarungkan fesyen yang menelanjangkan maruah dan harga diri. Minda mereka dibasuh oleh oleh media massa untuk hidup mengikut arus perdana sekalipun arus itu bakal menenggelamkan mereka ke lubuk kesesatan..

Para pemuda pemudi ini, siang dan malam ke kelas, menyiapkan assignments, menghadapi test dan quizzes, mereka sibuk untuk mengejar kehidupan yang dirancang untuk mereka… Kehidupan yang dirancang untuk mereka…? Apakah kehidupan yang dirancang untuk mereka…? Siapa yang merancang..?

Mereka perlu mendapat ijazah, mereka perlu mendapat kerjaya yang baik, mereka perlu mendapat jodoh yang setanding & sedarjat , mereka perlu mendapat title dan kedudukan di mata masyarakat, mereka perlu hidup dengan gaya moden memiliki segala kesenangan terkini, hingga mereka menjadi orang yang sibuk dengan urusan diri sendiri…

Untuk mendapat semua itu, mereka sangat sibuk.. mereka terlupa dan dilupakan untuk menjadi seorang anak yang berbakti. Mereka terlupa untuk membantu saudara-saudara seagama yang kesusahan. Mereka lupa mereka bukan makhluk biasa namun makhluk mulia yang memegang amanah sebagai khalifah. Mereka lupa mereka perlu meneruskan gaya hidup Islam yang diperjuangkan Rasulullah. Mereka lupa kedudukan Iman dan Islam. Mereka makin jauh dari kalam Al Quran.. kerana mereka sibuk dengan network dasyat bernama Facebook.. Lantas hilang ketenangan, mencari-cari makna kebahagian..

Namun bukan semua yang sebegitu.. Di luar sana, ada jua kumpulan-kumpulan anak muda yang sentiasa membersihkan jiwa dan akhlak dari kekotoran kemaksiatan, mereka studi dan bekerja untuk menyumbang pada kekuatan projek dakwah dan tarbiyyah, mereka memilih nilai hidup mulia penuh ketaqwaan, mereka memfokus pada kebaikan hidup dan akhirat..


Maka, kami berusaha mengajak diri sendiri dan kalian semua untuk membetulkan matlamat dan hala tuju kehidupan. Ayuh kita membina lingkungan yang baik dan solehah untuk kita semua merealisasikan keindahan islam. Ayuh kita keluar dari belenggu kehidupan yang dirancang musuh-musuh islam untuk kita.. Ayuh menjauhkan facebook, ayuh mendekati jua merenungi kalam tuhan..

Kita perlu mendapat ilmu duniawi dan ukhrawi ( samaada dengan atau tanpa ijazah), kita perlu mendapat rezeki yang halal ( samaada ‘bekerjaya professional’ atau ‘bekerja di ladang/ di rumah’ atau di pelusuk bumi manapun..tanpa mengira jawatan).

Kita perlu berusaha menjadi jodoh yang solehah, dan mencari jodoh yang baik ( sekalipun rupa dan hartanya tidak selari dengan keinginan kita dan keluarga), kita perlu hidup serba sederhana dan tidak menurut hawa nafsu dalam menyediakan kesenangan diri dan keluarga e.g membeli rumah, kelengkapannya, kereta, pakaian dan lain-lain aksesori kerana cenderung bermegah dan menuruti hawa nafsu sedangkan rezeki itu boleh diinfak dan disedekah untuk keperluan insan lain…

Ringkasnya, kita perlu merancang kehidupan yang ada nilai di sisi ALLAH.. Kehidupan yang mampu menyumbang pada kenikmatan di kampung abadi bernama akhirat.. Kehidupan yang membersihkan jiwa kita sebagai hambaNYA.. Carilah ruang dan kesempatan untuk melentur iman..

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...