Antara buku yang termasuk dalam senarai buku untuk saya baca dan fahami ialah buku yang berkaitan dengan akidah. Saya menyuarakan keinginan ‘meminjam’ sebuah buku dari taman ilmu yang luas[baca:library] suami saya di Shah Alam, buku tebal yang bertajuk ‘Syarah Akidah Wasatiah’.
Namun sebaik buku itu sampai di tangan, saya rasa tinggi kemungkinan untuk saya tidak membaca hingga habis kerana ketebalannya dan bila membuka melihat kandungannya sepintas lalu, saya rasa tidak mampu untuk menghadam isi kandungan kerana nilai ilmiahnya yang tinggi bagi 'pelajar agama darjah 1' seperti saya. [insyaALLAH di masa akan datang saya akan mampu membaca buku yang lebih ‘serius’ seperti itu.]
Suami lantas mencadangkan satu buku lain yang lebih ringkas dan nipis, yang mana insyaALLAH mendorong pembaca yang baru ingin mengenali tentang akidah seperti saya. Melihat buku itu, besar niat dan harapan untuk saya makin mengenali dan memahami akidah Islam yang menjadi jalan hidup yang telah ditelusuri sekian waktu.[ sejauh mana saya telah melaluinya..?]
InsyaALLAH di sini ingin saya kongsikan sedikit kandungan buku sederhana tentang akidah yang telah saya baca itu. Buku yang mempunyai 9 bab ini bertajuk ‘Panduan Akidah Ahlu Sunnah Wal Jama’ah’ karya Darwis Abu Ubaidah. Kandungan buku ini bermula dengan pengertian dan karekteristik akidah dan ajaran Islam.
Bab-bab lain antaranya ialah:
- Tauhid dan Pembahagiannya
- Erti dua kalimah syahadah dan perkara yang merosakkannya
- Syirik, Kufur, Munafik
- Huraian tentang rukun iman
- Perbezaan Ahlus Sunnah dengan Golongan Lainnya
- Pandangan Ahlu Sunnah tentang Takdir, Iman, Al Wala’ wal Bara’, Ahlul Qiblat, para sahabat, ahlul bait, akal
Kerana kononnya telah biasa ’mengaji tentang akidah’ di ta’alim, usrah dan daurah, kadangkala saya terlepas pandang untuk ’mengulangkaji’ ilmu tentangnya. Sedangkan saya perlu membaca dan terus mengkaji ilmu untuk lebih selamat di perjalanan kehidupan dunia.
Berbalik kepada buku itu, saya tertarik dengan muqaddimah bahawa akidah (kepercayaan dan keyakinan) yang baik dan lurus akan membawa kepada amalan hati dan luaran yang benar lagi bersih. Keyakinan dan kefahaman tentang Islam, Iman dan segala rukunnya akan membentuk peribadi yang akan melalui kehidupan dengan tenang, yakin serta merasa bahagia bukan sahaja di dunia malah di akhirat yang merupakan kehidupan sebenar.
Melalui buku ini, dengan izin ALLAH, saya mempelajari perkara baru, antaranya, saya mampu memahami hujah di sebalik keyakinan dan kepercayaan yang dipegang. Hujah-hujan Berdasarkan Al Quran dan As Sunnah sebegini sangat saya hargai memandangkan selama belasan tahun di institusi pendidikan formal belajar tentang keimanan dan keyakinan pada agama hanya melalui buku-buku teks, sangat minima kupasan yang ilmiah dan hikmah dari para pengajar ketika itu.. [Mungkinkah saya yang tidak memberi tumpuan..? Terima kasih para pengajarku yang telah memperkenalkan segala ilmu baru dalam hidup ini.. ]
Contoh dan penerangan isi buku ini mudah saya fahami kerana turut dikaitkan dengan sifat, sikap dan situasi umat islam di zaman awal juga di waktu kini.
Buku ini juga memotivasikan bila berkongsi tentang pandangan ulama lain tentang akidah dan ajaran Islam.
Seperti pandangan Ibnu Taimiyah yang dikongsikan dalam buku itu, ”... hakikat dari seorang hamba adalah hati dan rohnya, ia tidak mungkin baik kecuali dengan ALLAH yang tiada tuhan selainNYA. Ia tidak mungkin tenang hidup di dunia kecuali dengan zikir (ingat) kepadaNYA... Seandainya Ilah (Tuhan) diperlukannya, di setiap keadaan, di setiap waktu dan di manapun dia berada, maka DIA sentiasa bersamaNYA.
Buku ini Alhamdulillah memperkenalkan dengan lebih baik dan memperingatkan diri saya kepada ALLAH yang menjadi tujuan kehidupan. Buku ini menceritakan pada saya tentang kerajaan dan rahmat ALLAH Maha Luas, kitab suci Al Quran menjadi manual untuk manusia, para malaikat menjadi ’bodyguard’ yang taat memelihara manusia di hadapan dan belakang. Tidak ketinggalan persoalan takdir yang sering menjadi pertanyaan insan yang berusaha mengikuti garisan ketentuan
Kisah hari akhirat, jua teladan kehidupan para rasul yang menyeru ke arah kebaikan serta menyampaikan berita gembira dan azab ALLAH yang dikongsi dalam buku ini menyuburkan semangat untuk terus memperbaiki diri sebelum bertemu ALLAH.
Kesimpulannya, dengan ciri penerangannya yang ringkas namun difahami aspek penting akidah,[fasa pengenalan], buku ini amat sesuai dibaca oleh mereka yang baru ingin mengenali dan memahami akidah dan ajaran Islam, moga akhirnya akan mencetus dan mendorong untuk terus mendalami dan mempraktikkan islan sebagai cara hidup unggul yang disusun ALLAH buat hambaNYA.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment