Monday, July 19, 2010

.:: Kerana Dakapanmu Begitu Berharga ::..


ALLAH mencipta manusia lelaki perempuan indah dengan fitrah yang sesuai dan sempurna dengan peraturanNYA. Bercakap tentang peraturan, hati saya dulu tertanya-tanya kenapa antara hukuman atau cara untuk mendidik isteri yang nusyuz setelah menasihatinya ialah dengan meninggalkannya di tempat tidur.

‘Apalah sangat yang menghukumnya kalau sekadar tak tidur sekali, nanti bila dah habis gaduh suami isteri, tidurlah sama balik.’ Begitu fikir saya.

Namun, setelah berkahwin dan tidur sekali dengan insan bernama suami, baru semakin saya fahami aturan ALLAH yang sempurna itu. Kerana..., seorang isteri itu merasa amat besarnya cinta kasih suami bila mana berada dalam pelukan suami, merasa bahagia dengan usapan dan belaian suami pada rambut dan kulit halus perempuan yang sememangnya lebih sensitif dari struktur kulit lelaki.

Sentuhan, usapan dan belaian suami yang sering dirindui isteri bukanlah yang bermaksud pencetus kepada hubungan intim, namun Maha Kaya ALLAH yang menjadikan kedekatan fizikal lelaki pada perempuan bernama isteri itu punya nilai tinggi menghidupkan kasih sayang dalam diri isteri.




Justeru, seorang isteri dalam rajuk dan marahnya pada suami, tetap ingin berada dalam pelukan suami untuk menghilangkan kesedihannya. Dalam hatinya terguris dan tercalar oleh satu dua kesalahan suami, pelukan dan belaian mesra suami mampu merawat kelukaan hati.

Demikianlah besar pengaruh sentuhan dan pelukan suami, jika hukuman seorang isteri yang derhaka itu dengan memisahkan tempat tidur, bagi saya ia benar satu hukuman yang menekan emosi seorang isteri. Walau tidur bersebelahan, namun jika suami berpaling atau tidak mendekati isteri adalah hukuman halus yang mendatangkan tangisan di jiwa si isteri. Hingga si isteri akur dan memohon maaf berjanji meninggalkan kederhakaan.

Maka seandainya kalian adalah isteri yang suka physical touch, sampaikan secara jelas kepada suami bahawa dirimu sangat suka jika sering dipeluk suami, suka disentuh [in non-sexual way]. Sampaikan pada suami, sentuhan dan dakapannya mampu memperbaharui cinta, mampu menghilang kegusaran dan kepenatan. Dan membuatkan kalian rasa sangat disayangi dan dicintai.

Beritahulah pada suami jika kalian suka suami memeluk sebelum dia memejamkan mata, kongsikan bahawa berharganya sentuhan dan pelukan suami membuat hati kalian yang penat kembali segar terisi dengan cinta kasih seorang suami.

Menurut kajian, berbeza dengan perempuan, kebanyakan lelaki bukanlah makhluk yang semulajadi suka lots of kissing, cuddling, touching... Bagi mereka, sentuhan dan belaian itu hanya apabila ingin melakukan hubungan intim. Jadi perlu dikomunikasikan secara jelas kerana suami tidak akan pernah dapat membaca setiap keinginan yang lahir di minda dan hati isteri. InsyaALLAH, seorang suami yang baik akan berusaha mempraktikkan kesukaan dan keinginan isteri.

Namun sebagai isteri, perlu berpada jangan sampai keinginan pada sentuhan, pelukan dan belaian itu menjadikan suami rimas dan makin menjauhkan diri. Ya, perempuan fitrahnya suka sentuhan dan pelukan, sebab itulah perempuan suka teddy bear yang boleh dipeluk selalu, ada yang sukar tidur dengan bantal yang banyak boleh dipeluk, suka berpelukan bila berjumpa teman-teman, suka berpimpin tangan.. Perempuan juga sangat suka dan teruja menyentuh memeluk bayi kerana itu adalah nalurinya yang normal.

Secara teorinya, isteri solehah tidak wajar berpaling membelakangkan suami atau menjauhi tempat tidur suami. Begitu juga secara emosinya, isteri menghargai jika suami walau pun sekadar ingin memaling badannya ke arah lain akan memberitahu, dan isteri akan rasa suami menghargai, maka tidaklah rasa diri ditinggalkan di tempat tidur.

Sekian perkongsian kali ini, walaupun perkongsian ini hasil dari perkahwinan setahun jagung, moga memberi manfaat buat semua yang mencintai kerana mendamba cinta Ilahi.



3 comments:

jasmin said...

ermmm sangat setuju...

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt

boleh tak pn adni tlg komen sikit ada isteri yang hampir 5thn berkahwin tapi purata tidur bersama rasanya 6bulan pun takda..bila nak bersama baru dicari isteri/suami dgn alasan suami tak boleh tidur dlm bilik panas katanya sdgkan isteri kalo tidur jauh dr anak2 x sampai 1jam budak2 dah bgn nangis2 'mama mama'..camna tu??

Anonymous said...

Sedih saya mmbaca nukilan saudari.
Harap artikel ini boleh buat diri sy lebih difahami dan menjadi penyuluh kegelapan sy.

Sekian

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...