Saturday, June 12, 2010

...Rumah siapa paling cantik..??

Jika ada pertandingan rumah tercantik atas muka bumi, rumah siapakah agaknya yang akan memenangi anugerah itu...? Adakah rumah kita layak untuk menyertai pertandingan rumah paling indah...?



Mereka kagum dengan keindahan dan kebesaran rumahmu yang tersergam. Mereka terpaku dengan ukiran jua perhiasan-perhiasan yang menghiasi setiap sudut rumah. Mereka memuji rumahmu yang memiliki interior design terkini. Mereka kenyang dengan makanan enak yang dirimu sebagai tuan rumah sajikan. Mereka tidur nyenyak dengan kelengkapan bilik tidur yang selesa, berteman kedinginan air-cond.

Tetamu suka datang kerana rumahmu yang punya banyak bilik. Ada bilik untuk ayah ibu, anak-anak, suami isteri, ruang library, bilik solat, ruang menonton, dapur basah, dapur kering, malah beberapa bilik untuk tetamu… Rumahmu dilengkapi kemudahan ICT, mereka boleh melayari internet dan online dengan sesiapa yang diingini. Hatta tetamu suka berlama-lama di bilik air rumahmu yang setaraf hotel lima bintang...



 
Atau mereka memandang sebelah mata rumahmu yang cat dinding luntur tertanggal. Dengan keluasan rumah yang kecil, hanya tiga bilik asas, tiada sofa dan karpet gebu, tiada ruang dan bilik khas untuk tetamu, bilik air kecil...hanya sebuah pula, dan tetamu terpaksa bersila di atas tikar yang sisinya telah reput-reput. Tatkala bertandang, tetamu hanya dihidang biskut kering dan teh o panas. Keadaan rumahmu panas, hanya punya kipas yang terketar-ketar kerana ketuaannya.. tanpa air-cond. Dapur yang sempit hanya muat seorang untuk berdiri memasak, ada pula bumbung tiris di sana sini…

Wahai ayah, wahai ibu, wahai suami, wahai isteri, wahai anak-anak…

Rumah kamukah yang besar lagi indah itu..? Yang lengkap dengan segala keperluan dan keselesaan…?

Atau rumah kamukah yang kecil dan kelihatan sempit itu…? Rumah kamukah yang serba kekurangan tak cukup keperluan apatah lagi perhiasan luaran yang cantik…?

Nanti dulu.. ayuh kita menilai rumah – samaada besar, indah dan luas itu dari jendela islam yang menjadi rahmat ke seluruh alam.. Bukan dari penilaian manusia yang hidup di era rakus mengagungkan material. Ayuh kita melihat rumah mana yang meraih keberkatan ALLAH dan rumah siapakah yang sentiasa didoakan para malaikat…

Rumah yang besar tersergam boleh jadi terasa sempit tanpa nilai iman dan islam, begitu juga rumah yang kecil dan terhad boleh terasa indah mendamaikan, jika kita memiliki ciri-ciri murni yang mencantikkan kediaman kita.. di bumi dan negara mana sekalipun diri berpijak…

Seandainya saya menjadi panel hakim pertandingan.. saya kongsikan di sini sebahagian senarai ciri-ciri yang layak memenagi rumah tercantik di atas muka bumi..

Rumah paling cantik dimenangi oleh rumah yang:

.: Penghuninya selalu memperbaharui keimanan dan ketaqwaan, bukan sekadar memperbaharui langsir, sofa dan kelengkapan lainnya:.

.:Penghuninya menjaga kebersihan dan kesucian rumah, jua menjaga kebersihan dan kesucian jiwa:.

.:Penghuninya memahami bahawa rumah yang didiami itu hanyalah pinjaman ALLAH, ALLAH berhak mengambil bila-bila masa.. samaada kemudahan atau ketidakcukupan keperluan rumah, segalanya berlaku dengan izin ALLAH, kita berusaha yang termampu:.

.:Penghuninya menyedari bahawa rumah itu hanyalah kediaman sementara sebelum berada di kediaman yang lebih lama dan lebih kekal iaitu di alam barzak dan alam akhirat:.
.:Perhiasan –perhiasan rumah sederhana, bermanfaat dan tidak membazir, malah memiliki perhiasan rumah tercantik iaitu, akhlak mulia yang dimilik para penghuni rumah:.

.:Penghuninya berusaha menjadi tuan rumah yang dicintai ALLAh dan Rasul tatkala ada tetamu bertandang, memahami adab-adab Islami menjadi tuan rumah:.

.: Penghuninya berusaha menjadi tuan rumah yang bukan sekedar memenuhi tuntuan makan minum tetamu, namun berusaha menjamu tetamu dengan hidangan jiwa yang berlandaskan ilmu, iman dan pengalaman:.

.: Penghuninya mempunyai interaksi yang baik dengan Al Quran, melazimkan bertilawah, mentadabbur malah memotivasikan para penghuni rumah untuk menterjemahkan kehidupan bernaung Al Quran… bukan sekadar khat Al Quran cantik tergantung dan dibingkai , bukan mushaf Al Quran yang bertinta warna emas tersimpan rapi di almari perhiasan:.

.: Penghuninya menghidupkan budaya ilmu, samaada dengan menyediakan keperluan buku serta bahan-bahan agama dan ilmiah, atau mendapatkan ilmu dari luar untuk disebarkan sesama penghuni rumah:.

.: Penghuninya berkasih sayang kerana ALLAH, hati dan perasaan para penghuni diikat dengan ikatan iman, matlamat yang sama, berusaha mencari redha dan syurga ALLAH:.

.: Di rumah itu, para tetamu tidur dengan jiwa yang sejuk bernuansa keinsafan.. di hatinya tumbuh kesedaran untuk menumbuhkan keimanan, amal dan akhlak yang mendamaikan jiwa seperti yang dimiki tuan rumah:.

.:Di rumah itu, para penghuninya selalu menghitung dan bersyukur dengan nikmat tuhan yang amat banyak, selalu memuhasabah amal untuk kebahagiaan di hari akhirat:.

.: Di rumah itu, para penghuninya saling menasihati dengan berhikmah, saling menerima teguran dengan kerendahan hati, saling berpesan-pesan ke arah kebenaran dan kesabaran:.

####################


... Wahai diriku dan saudaraku...sejauh mana kita telah berusaha agar rumah kita menjadi rumah yang paling cantik, penuh barokah itu...?

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...