Wednesday, March 3, 2010

Projek Dakwah & Tarbiyyah : Sepanjang Tahun Dan Hayat

Makna dakwah boleh diertikan dengan mengajak manusia kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, sehingga mereka meninggalkan thaghut [jalan syaitan dan kesesatan], hingga beriman kepada Allah agar mereka keluar dari kegelapan jahiliyah menuju cahaya Islam.

Tarbiyyah pula antara lain bermaksud proses pembentukan peribadi muslim yang siap menanggung amanah sebagai khalifah dan hambaNYA.

Saya tidak akan lupakan pengorbanan murobi murobiyyah saya yang bersungguh-sungguh dan merancang dengan baik agenda dakwah dan tarbiyyah hingga saya termasuk dalam golongan mereka yang merasa bahagia dengan nikmat tarbiyyah, mengenal ALLAH dan Rasul, mengenal Islam sebagai cahaya dan sumber ketenangan yang amat besar. Alhamdulillah... [namun sejauh mana saya memanfaatkan nikmat iman dan tarbiyyah islamiyyah itu?]

Bermula lebih 5 tahun yang lalu, murobi dan murobiyyah [ orang yang mentarbiyyah] saya menghadapi cabaran masing-masing dalam menyampaikan islam dan membentuk kefahaman dan keperibadian saya [dan rakan-rakan seusrah] sebagai muslim soleh dan musleh. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih, moga ALLAH mengganjari mereka dengan kurnia yang besar lagi baik. Bukan bermakna sudah jadi soleh dan musleh namun permulaan tarbiyyah dari mereka mencetuskan keinginan yang alhamdulillah masih berdenyut hingga kini.

Masuk ke IPT di tengah bandaraya Shah Alam bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh anak muda yang cenderung dengan keseronokan dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Jiwa yang rapuh akan tenggelam melayan nafsu lantaran iman yang tidak ditempa, dan ilmu agama yang terpinggir dari silibus dalam tahun-tahun pengajian.

Sebenarnya jika difikir secara serius adalah amat menakutkan membesar dan tinggal di dunia kini yang menyerap segenap kekuatan iman manusia. Generasi muda dan anak-anak sekarang melalui zaman dunia berada di hujung jari.

Dengan facebook, twitter, etc mereka saling bersosial tanpa batasan, percampuran lelaki perempuan dan pendedahan aurat di alam maya dan alam nyata, dengan handphone canggih mereka bebas menjelajah alam baru yang berselirat pornografi, judi, games khurafat dan lain-lain bentuk kelalaian hingga potensi akal, hati dan jasad generasi muslim melemah dan melemah menghadapi gegaran zaman.

Anak muda kini juga dihidangkan dengan hiburan keterlaluan, melalui movies, magazines, sports, fashion, concert serta segala program realiti tv yang menjauhkan lagi anak-anak ini dari hidangan Al Quran dan As Sunnah.

Murobi Murobiyyah saya datang ketika itu, dengan izin ALLAH pastinya, dengan misi mereka untuk mentarbiyyah generasi muda. Mereka ingin menyelamatkan pemuda dari terus lemah dengan arus zaman yang membaham moral dan agama kita.

Ketika itu, besar harapan mereka bahawa pada jiwa dan susuk gagah pemuda pemudi yang bergelar mahasiswa mahasiswi ini ada potensi yang boleh menyumbang kebaikan pada ummah dan agama ALLAH. Mereka tekad dan berkorban masa dan tenaga untuk menelusuri jalan para Rasul yang memimpin manusia kepada cahaya dan mengeluarkan dari kegelapan kejahilan.

Antara tajuk-tajuk terawal dalam usrah ketika itu ialah tentang Syahadah – saya diajar dan dijelaskan apa ertinya syahadah bagi kita sebagai seorang muslim. Sedangkan sebelum itu saya hanya tahu lafaz dan makna zahirnya...[dan masih banyak lagi untuk dipelajari..]. Melalui usrah juga saya diperkenalkan kepada Rasul SAW, apa keperluan insan kepada Rasul hingga usrah mingguan itu melahirkan cinta pada ALLAH dan Rasul.

Kini setelah kita mengakui mempelajari tentang ALLAH dan Rasul, adalah lebih berat untuk kita sampaikan pada orang lain. Kerana yang menjadi teramat berat juga adalah untuk kita sendiri mempraktikkan segala ilmu itu agar ia bukan sekadar teori yang tidak membumi di alam nyata.

Projek dakwah dan tarbiyyah yang besar ini sesungguhnya bermula dengan diri kita sendiri, kemudian disebarkan kepada orang lain. Malah ia akan sentiasa bergerak seiring , membangunkan ilmu dan keperibadian diri kita dan mengajak orang lain membangunkan potensi diri sebagai muslim dan mukmin.

Bermulalah dengan projek ini walaupun sedikit. Buat check list tentang letak duduknya amal dan iman kita, dan perlahan-lahan kita sampaikan pada insan dalam lingkungan kita berada. Menjadi teladan dalam keluarga. Membudayakan akhlak baik sesama adik beradik. Menghidupkan solat berjemaah dan tilawah dalam rumah.

Menjadi contoh di tempat kerja. Menjadi orang yang kerap meminta dan memberi nasihat. Memaksa diri berdamping dengan ilmu, terutamanya ilmu Al Quran dan As Sunnah namun tidak mengetepikan life skills yang lain. Menjadualkan aktiviti meneguhkan iman dan amal soleh, seperti mana kita menjadualkan waktu untuk 'cuti-cuti Malaysia', waktu untuk menziarah ibu bapa, waktu ’dating’ dengan suami, waktu menyumbang sedikit sebanyak dengan saudara-saudara muslim yang lain..

Ayuh kita terlibat dengan projek ini...!


”Ya ALLAH, bantulah kami untuk sentiasa mengingatiMu, mentaatiMu dan beribadah dengan terbaik padaMU. Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau tunjuki kami dengan jalan yang lurus..”









No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...