Seorang teman rapat berkongsi pengalaman diri bahawa dia pernah ‘rasa dengki dan membenci’ seseorang teman yang rapat dengannya. Dia dengki kerana teman perempuannya itu lebih lembut, lebih sopan, lebih baik dan lebih disukai oleh ramai kawan berbanding dirinya. Dia benci memandang wajah si teman, selalu rasa ingin bergaduh dan ingin memarahi tanpa alasan yang kukuh. Namun sekarang mereka berdua telah berkawan baik.
Saya bertanya, “ Jadi macam mana sekarang dah boleh berbaik-baik?”
“Alhamdulillah kerana tarbiyyah..” Jawabnya.
Saya memahami bahawa program pentarbiyyahan islamiyyah – usrah, MABIT, daurah, rehlah, mukhayyam etc – telah memproses diri teman saya untuk membuang karat-karat mazmumah. Jalan pertarbiyyahan yang berterusan diikutinya telah membina peribadinya untuk menjadi seorang yang pemaaf, bersabar, berlapang dada, mendahulukan kepentingan saudara dan menjauhkan diri dari dengki dan buruk sangka.
Namun saya melihat bahawa manusia itu sering saja berpisah dan berpecah kerana karakter yang berbeza. Padahal ada disebut bahawa perbezaan itu ALLAh jadikan untuk lebih saling mengenal dan saling mengasihi.
Saya sendiri beberapa kali diuji dengan ketidakmatangan menghadapi perbezaan. Yang terbaru, saya berasa tidak suka dengan seorang ukhti yang serius dan kelihatan sombong, padahal itu hanya prasangka buruk saya. Saya berasa tidak selesa dengan keberadaannya dalam program yang saya hadiri.
Saya tertanya-tanya pada diri sendiri, saya susah nak benci orang, tapi kenapa dengan ukhti ini saya ada aura yang negatif…? Ada sesuatu yang buat saya macam tak suka dia dan saya rasa dia pun macam tak suka saya…
Hingga akhirnya ALLAH mentakdirkan saya dan dia perlu bekerja erat untuk program pentarbiyyahan, nyata sangkaan saya salah belaka. Saya rasa amat berdosa. Ternyata benar firman ALLAH dalam Al Quran, kebanyakan prasangka adalah dosa. Ianya salah. Ukhti yang tidak saya sukai ini rupanya seorang yang baik, matang, prihatin dan mengambil berat malah sangat komited dengan tugasnya.
Malah tanpa diduga dia kini menjadi teman terbaik yang saya ada. Saya kini sering mencurahkan rasa hati dan berkongsi masalah dengannya, orang yang saya pernah benci. Hati saya menangis kerana pernah merasa tidak suka dan bersangka buruk padanya.
“Kerana apa aku tidak suka padanya dulu…?” Saya terus memuhasabah diri. Saya tidak mahu mengulangi. Saya tidak mahu hati saya kotor kerana merasa diri sendiri baik dan orang lain kurang bagus - hingga benci, tidak suka dan tidak selesa menghuni hati.
Setelah memuhasabah, saya terfikir bahawa saya tidak menyukainya kerana ada beberapa karakternya terlalu bertentangan dari karakter saya. Tidak perlu saya nyatakan di sini. Namun memang tidak wajar alasan berbeza karakter itu mewujudkan benci di hati saya.
Alhamdulillah destinasi cinta telah menemukan kami. Kami mencari dan menuju cinta yang Satu. Walau berbeza, kami tidak putus asa menjadi orang-orang bersaudara di jalan ALLAH. Saya belajar bahawa setiap orang ada perwatakan dan cara yang tersendiri - yang perlu kita hormati dan pelajari.
Andai saudara itu punya ciri yang positif, bersama kita contohi dan hargai. Andai ciri itu negatif, kita membantunya untuk berubah pada yang lebih baik.
Yang penting, kita semua ingin ke taman indah yang seluas langit dan bumi. Dan bertemu ALLAH.
No comments:
Post a Comment