Skip to main content

Ayah Ibu Juga Bahan Belajar Kita..




Adikku, diri ini cuba mengerti luahan hatimu yang terbuku dengan insan bernama ayah ibu. Diri ini cuba memahami tekananmu menghadapi hari-hari yang sering melihat pertengkaran ayah dan ibu.

Dalam masa yang sama, cuba jua hati ini merasai perasaan insan bernama ayah dan ibu. Fitrah mereka menyayangi dan mempeduli anak-anak yang dikurniakan.. bukan menyayangi, tapi sangat-sangat menyayangi. Di dasar hati mereka menginginkan kesenangan dan kesejahteraan anak.

Tidaklah kesalahan dan kelalaian mereka mengurusi jiwa dan peribadi anak disengajakan, namun ada sebab yang membenarkan persengketaan ini berlaku.

Mungkin kerana tekanan. Atau kejahilan.

Konflik, perselisihan dan pergaduhan yang kita saksikan di jendela keluarga bukan didatangkan tuhan tanpa kebaikan. Kesedihan, kekesalan dan kepahitan yang telah kita tempuh sedari dulu sarat pengajaran dan kemanisan.

Pengajaran dan kemanisan yang bagaimana ..?

Adikku, bukankah dari pertelingkahan keluarga dan keserabutan keluarga telah menunjuk jalan untuk kita menghampiri tuhan? Bukankah kekecewaan perpecahan itu menghadiahkan kita sebuah kematangan?

Ujian berat itu ALLAH kurniakan sebagai bahan belajar buat kita. Kata-kata negatif ibubapa dan ahli keluarga telah menjadi senjata yang memisah-misahkan. Lantas, kisah sedih itu mendorong kita mendalami medan komunikasi dan pertuturan. Kerana tidak mahu kesilapan menyampaikan dan kesalahan perbicaraan mematikan kegembiraan anak kita di masa depan. [Sama ada anak kandung, atau anak didik atau sesiapa pun yang kita kongsikan pengalaman.]

Mak ayah menghamburkan perkataan yang mengguris perasaan, mungkin kerana tertekan meniti kehidupan. Tekanan wang ringgit, tekanan pekerjaan, tekanan membesarkan anak-anak, mengurus rumahtangga dan mungkin tertekan kerana jauh dari pedoman tuhan.

Lantas, kita belajar dan tekadkan di hati, diri-diri kita harus kuat menempuh dugaan. Agar kelak anak-anak didik kita tidak menjadi tempat menghambur kerunsingan, tidak terguris hatinya hanya kerana kegagalan kita mengawal perasaan. Kita harus terus berjuang mencari ilmu agar amanah seserius perkahwinan dan menjadi ibubapa kita hadapi dengan kebijaksanaan..

Adikku sayang, telah kita belajar di medan ilmu bahawa betapa tingginya tempat ibu dan ayah di sisi tuhan.. lihatlah ayah ibu kita dengan rasa kasing sayang penuh kemuliaan.

Satu ketika, diri kita pernah bahagia dan damai di pelukan ayah dan ibu. Kecomelan dan ketenangan wajah kita suatu waktu memberi kegembiraan di sudut hati mereka. Bolehkah kebahagiaan itu kita kembalikan?

Kita tertekan, lalu tanpa disedari, perasaan ayah ibu kita lukakan.

Adikku sayang, kita tidak mampu kembali ke masa lalu. Hari ini sahaja yang ada untuk kita membuat pilihan.. Kita memilih untuk memperbaiki keadaan. Kita memilih untuk memaafkan dan melupakan kesalahan.

Ibu ayah juga melakukan kesilapan, mereka juga sedar dan ingin bangkit membetulkan kesalahan. Lalu kitalah yang membangkitkan harapan pada mak dan ayah.

Mohon keampunan agar urusan diberi jalan keluar olehNYA. Agar ALLAH menyatukan hati kita dan ayahbonda. Agar ALLAH menjauhkan kita dari menjadi permainan syaitan durjana.

Manisnya,... betapa manisnya bila kesusahan birrul walidain ini kita redahi kerana meyakini janji tuhan. Manisnya terasa bila mengingatkan ayat-ayat ALLAH, bahawa DIA bersama-sama orang yang bertaqwa dan melakukan perbaikan.

Perjalanan berbuat baik dan membetulkan kesilapan bukan sehari dua, bukan seminggu dua..mungkin berbulan, mungkin bertahun, namun inilah langkah pertama.

Comments

SAYYAFF said…
Assalamualaikum.

Artikel saudari menginsafkan saya. Terima kasih atas perkongsian. Smg ALLAH merahmati saudari selalu. InshaALLAH.

*Then, saya post dekat status fb saya, mengajak kawan2 yg lain utk turut sama baca artikel ini. Harap saudari izinkan? *Saya letak eh eh eh?? ;)

Popular posts from this blog

Menjadi isteri kedua

Ketika suami menikah lagi...

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?

Poligami: Bersedia Hadapi Ombak Perasaan