Teman pembaca yang dikasihi... Rahsia kebahagiaan seorang wanita antara lain ialah dia mengetahui akan hala tuju dan destinasi kehidupannya dengan jelas. Dia mengenal hakikat penciptaan dirinya dan kenapa tuhan meletakkan dirinya di bumi ALLAH ini.
Saya dulu berada
di alam remaja, yang membesar dikelilingi budaya cinta melalui majalah, novel,
televisyen serta teman-teman yang lincah dalam pergaulan. Sangat normal untuk
remaja merasai bahawa dia perlu ada seseorang untuk dicintai dan mencintainya.
Kita meningkat
dewasa dengan fitrah itu, mahukan seseorang yang bernama lelaki untuk mengasihi
dan menjaga kita seadanya. Lalu fitrah itu perlu diluruskan di atas syariat
ALLAH. Mencintai lelaki di alam perkahwinan. Dan perkahwinan pula bukanlah
medan sekadar menghiburkan perasaan, ia sesungguhnya kurniaan dan amanah yang
sangat berat.
Perkahwinan
menuntut kita berilmu dan beramal. Perkahwinan bukanlah tujuan kehidupan, yang
kita menyerahkan jiwa raga kepadanya – namun ia adalah medium untuk kita terus
mengabdikan diri kepada ALLAH. Wasilah untuk kita meneruskan keberlangsungan
generasi manusia. Dengan pernikahan, seorang wanita boleh memanfaatkan banyak
potensi dirinya untuk berbuat baik kepada suami dan anak-anak malah masyarakat
sekeliling.
Tanpa ilmu,
wanita tidak akan bahagia dengan perkahwinan dan kehidupan seluruhnya. Tanpa ilmu,
wanita akan mudah kecewa dengan cinta manusia bernama suami. Ilmu mengajak
wanita untuk hidup dalam keimanan dan amal soleh. Hingga hati dan diri melihat
perjalanan pernikahan adalah laluan yang membawa dirinya semakin hampir kepada
ALLAH swt.
Wanita yang
memahami hakikatnya cintanya dengan ALLAH akan mampu merawat hati dan fokus
pada tujuan kehidupan bilamana ALLAH menguji dengan suami yang melukai hati,
suami yang kemudian meninggalkannya pergi atau suami yang menikah lagi.
Wanita perlu
membentuk dirinya sendiri menjadi muslimah yang baik, bukan sekadar mengharap
kehadiran seorang suami untuk membentuk diri kita menjadi baik. Apatah lagi,
kita berada di dalam situasi yang payah menjumpai lelaki yang punya
keperibadian untuk membimbing wanita.
Yang lebih
penting, upaya wanita beriman dan beramal soleh sangat diperlukan di zaman ini
untuk membawa watak insan yang mampu merubah keperibadian manusia lain. Wanita
menguatkan diri, hingga melangkah masuk ke dalam medan pernikahan – dia mampu
memberi pengaruh kebaikan dan perubahan yang besar pada suami dan anak-anak
yang dilahirkannya.
Wanita yang teguh
dengan keimanan insyaALLAH akan menghadapi ujian kesusahan dan kesenangan
dengan baik. Bersabar dan bersyukur dengan banyak keadaan. Kerana sesungguhnya
tidak ada insan yang tidak ditimpa kesusahan. Wanita yang mulia melalui ujian
kesulitan dengan keyakinan pada rahmat Tuhannya.
"Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu
dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda
dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang
yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan,
mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah
jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan
berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya." (Surah
al-Baqarah: Ayat 155-157).
Semua ini bermula
dengan cinta dan cita yang benar. Kita hidup untuk meraih redha dan cinta ALLAH.
Dengan cara yang diredhai ALLAH. Kita memanfaatkan segala nikmat, rezeki dan
kemudahan yang ALLAH beri untuk menjadikan kehidupan ini ladang menyemai
kebaikan. Berusaha menjalin hubungan dengan ALLAH dan berbuat baik kepada
manusia. Hingga kita bertemu ALLAH dengan hati yang tenang.
"Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan
redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaku ( yang soleh ). Dan masuklah ke dalam syurgaku". ( Surah Al-Fajr : Ayat 27-30 )
InsyaALLAH
sama-sama kita membesarkan tujuan kehidupan, andai ALLAH memberi ujian besar di
alam perkahwinan - masih ada cinta dan cita agung untuk dicapai :)
Seperti pesan
teman saya yang baik juga" Living for ourselves or other people will
only bring disappointments and misery, because in the end we still die alone
carrying our own deeds. There is no greater purpose of living except to worship
Allah."
“Tidak
aku jadikan jin dan manusia, melainkan
untuk beribadah kepadaku”. (Ad Dzariat: 56).
Maka
ayuh kita terus mencari ilmu agar dapat beribadah kepada ALLAH dengan cara yag
terbaik. Dengan cara yang ditunjuk Rasulullah SAW. Beribadah yang harus
difahami bukan sekadar ibadah ritual seperti solat, puasa, membaca Al Quran
namun juga dalam hubungan kita sesama manusia dan lingkungan. Berbuat baik
kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak, jiran tetangga, dan insan lain. Malah
berbuat yang baik dan terbaik di tempat kerja atau belajar juga menjadi ibadah
yang berharga di sisi ALLAH bilamna kita menjalankannya dengan mengikuti
syariat ALLAH.
Mulakan dengan niat yang baik untuk menjadi
wanita berilmu. Rencanakan tujuan kehidupan dan kuatkan tekad. Berdamping
dengan ilmu Al Quran dan As Sunnah, berdamping dengan orang-orang soleh untuk
membangun keimanan sehingga kita mampu menjalani kehidupan ini dengan tenang di
sebalik ujian yang tidak putus menimpa. Lagipun, bukankah dunia ini hakikatnya tempat
ujian, untuk ALLAH melihat yang terbaik antara kita.
"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji
kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi
Maha Pengampun." (al-Mulk: Ayat 2).
8 comments:
MashaAllah..
Sangat hebat kata2 ni..
Jazakillah khoir ukhti atas ingatan dan tazkirah yang bagi saya sangat membuka hati..
Kadang2 wanita (saya la tu) lupa tujuan sebenar kehidupan kerana dirasakan perkahwinan begitu indah, terlalu bergantung kpd suami dlm semua hal, pudar cinta dari suami menyebabkan suram kehidupan mendatang, padahal ada cinta yang lebih agung yg kita sedang cari..
Perkahwinan adalah wasilah dalam mencapai cinta Rabb..
Jazakillah khoir again, looking fwd utk post2 sbegini yg sangat mmbuka hati, membawa manusia kmbali kpd tujuan asal..
Wslm wbt..
Salam. Salah x jika kita pilih lelaki yg byk kekurangan dgn harapan dia akn berubah suatu hr nnt?
Terima kasih ukhti izati atas kata-kata yang baik :)
memilih lelaki dengan mengharap dia berubah tak salah,namun cubalah mencari yang lebih baik dan kita giatkan diri menjadi lebih baik. Bila kita jadi baik, minta ALLAH bantu kita untuk bantu orang lain jadi baik :)
Terima ksh. Sy perlu kata2 nasihat
Terimakasih perkongsian ilmu
Tq
Tq
Subhanallah... Terima kasih... Sangat suka dgn kata2 "Perkahwinan adalah wasilah dalam mencari cinta Rabb..."
Post a Comment