Friday, June 15, 2012

Suami Anugerah Tuhan



“Anwar Anugerah Tuhan”

Begitulah bunyinya headline muka depan sebuah akhbar satu waktu dulu. Dengan kenyataan itu, nampaknyanya pihak media membuka ruang dan peluang untuk masyarakat terus mempersenda situasi  Dato’ Seri Wan Azizah yang merupakan Presiden sebuah parti politik.

Kebelakangan ini, pihak media sememangnya sudah banyak memuntahkan kepada kita tentang ‘gelojak’ yang berlaku dalam parti pembangkang itu hingga mungkin kita berasa muak mendengar segala permainan politik ini.

Saya tidak ingin terlibat jauh dalam politik, saya hanya mendoakan pemimpin-peminpin islam kita mampu menjalankan menjalankan amanah sebaiknya.

Namun saya suka melihat sisi positif dan kebaikan dalam kemelut politik yang sedang mereka tempuh. Kenyataan muka depan akhbar itu sedikit sebanyak membawa saya melihat satu ciri baik seorang isteri, yang benar-benar berada di belakang suami, menyokong dan memberi dorongan sewaktu banyak pihak mencerca dan menjatuhkan suaminya. (Well, tak bermaksud saya menyokong mereka, saya ingin menekankan tentang ciri sahaja :D)

Pada pandangan peribadi saya, Wan Azizah sebagai seorang isteri telah mengucapkan sesuatu yang tepat pada waktu yang tepat. Walaupun kenyataannya itu kini menjadi bahan senda gurau kasar yang banyak tersebar di internet. Dan sebenarnya banyak lagi penjelasan Wan Azizah dalam ucapannya itu, namun hanya ayat itu –"anwar anugerah tuhan" – yang di highlight untuk memprovokasi dan mempersenda suasana yang sedia panas.

Apapun para isteri yang dihormati sekelian, mampukah kita juga mengeluarkan kenyataan yang sebegitu untuk suami yang telah memilih kita menjadi isternya…?

Betapa pun suami kita memiliki kelemahan dan kekurangan, saya ingin kita sama bermuhasabah bahawa sesungguhnya suami adalah anugerah tuhan yang amat berharga buat kita...

Di awal-awal perkahwinan, suami melalui kesulitan untuk mencari dan menampung kos perkahwinan yang semakin hari semakin meninggi. Suami berusaha menikahi kita sewaktu ada insan-insan sekeliling yang menghalang atau melambatkan kita menempuh alam pernikahan. Ahli keluarga yang bermacam kerenah, kawan-kawan yang tidak membantu, orang-orang yang sepatutnya mempercepatkan prosedur bernikah semuanya memberi cabaran.

Suami melalui saat-saat tertekan untuk dia hidup bersama kita. Kerana cabaran kewangan, kerana tuntutan kerja yang menyebabkan terpaksa bertangguh bernikah, bersabar menunggu kita menghabiskan pengajian. Suami pening kepala mencari pemiutang yang boleh memberi pinjaman kewangan. Suami mengikat perut mengumpul duit untuk mendampingi kita sebagai isteri.

Dan akhirnya kita bernikah. Bukan mudah untuk suami mencari rumah – menyewa atau membeli - yang sesuai dengan keselesaan kita, dalam masa yang sama, mencukupi juga untuk kewangannya. Suami membeli kereta semampunya memikirkan tidak mahu anak dan isteri berhujan berpanas menaiki motor atau kenderaan awam.

Dari cinta kasih seorang suami, ALLAH memberi zuriat yang comel penyejuk hati. Suami makin sulit memikirkan dan merancang sumber pendapatan bagaimana untuk dia memberi keselesaan hidup pada isteri dan anak-anak.

Inilah cinta kasih seorang suami yang tak ternilai namun sering tidak difahami malah mungkin tidak disedari para isteri.

Isteri mudah saja terlupa segala kebaikan ini hanya kerana suami tidak memanjakannya seperti yang dilihat dalam filem-filem cinta – begitu asyik si hero membelai si heroin. Kerana suami terlupa bunga, coklat atau hadiah lainnya pada waktu istimewa, isteri merasa sayang suami sudah pudar.

Isteri bermuram wajah bila para suami di zaman ini yang ditekan lagi tertekan dengan persaingan menambah rezeki - terlupa memberi ‘good nite kiss’, terlupa isteri mengharapan usapan dan sentuhan manja, terus tertidur tanpa menjaga emosi isteri yang merindukan sentuhan mesra.

Duhai isteri yang dirahmati ALLAH, ayuh kita cari dan pandang serta berterima kasihlah atas sekecil-kecil kebaikan suami apatah lagi untuk pemberian yang besar-besar.

“Saya tak mampu menghargai suami saya, kerana terlalu banyak perkara yang menyakitkan…” mungkin itu luahan sebahagian kita.

Tapi bukankah kita juga ada BANYAK kesilapan & kekurangan – kesilapan kecil yang adakalanya merimaskan suami, malah kesalahan besar yang juga mendatangkan serabut di jiwa suami…?

Ayuh kekurangan kita dan suami bersama kita perbaiki, dan amat penting untuk kita selalu ada bekal maaf, kesabaran dan lapang dada dalam menempuh alam pernikahan yang matlamatnya membawa semua ke syurga ALLAH.

Jangan biarkan perasaan dan pemikiran kita hanyut dengan kelemahan dan kekurangan suami hingga kita berwajah muram dan menghilangkan senyuman di wajah.

Bukankah suami bernikah dengan kita kerana mengharap ketenangan dan kebahagiaan..?

Senyuman kita kan menghiburkan dirinya, meredakan kekusutan dan mengusir kepenatannya. Layanan kita yang penuh kesabaran dan kelembutan akan memberi semangat untuk suami menjadi teman hidup yang lebih baik. Kesabaran kita mendorongnya menjadi ayah yang lebih bertanggungjawab.

Ya, suami kita juga banyak kelemahan dan kekurangan, namun kita tegurlah seadanya..bukan memburukkannya. Kita perlu meluahkannya, jangan memendam rasa hingga kita meletup mengungkapkan segala keburukannya selepas berbulan-bulan atau bertahun memendamnya.

Ayuh bermula hari ini, kita senaraikan SEGALA dan SEMUA perkara baik yang dilakukan suami...lafazkan syukur pada Tuhan. Kesyukuran dibuktikan dengan kebaikan dan ketaatan. Moga kita benar-benar merasakan bahawa ALLAH telah menganugerahkan seseorang yang teramat baik untuk kita mengharungi kehidupan ini.

Serahkan atau sampaikan pada suami senarai panjang kebaikannya yang telah kita tulis, agar suami mengetahui betapa sebenarnya dia adalah penting dan bermakna dalam hidup kita dan anak-anak.

Moga dengan kebaikan suami yang kita cari, syukuri dan hargai – ALLAH akan menambah lebih banyak nikmat dalam rumahtangga kita dan memberkati pernikahan ini hingga kita merasa qana’ah sebagai seorang isteri. Ini adalah janji ALLAH di dalam Surah Ibrahim, ayat 7.

"Abang.. abang benar-benar anugerah tuhan untuk saya. Alhamdulillah. Terima kasih abang menikahi saya, memilih jalan suci ini untuk mengasihi dan menjadi teman saya dalam kehidupan yang sementara ini. 

Terima kasih yang tak terhingga abang menyediakan rumah buat berteduh.. saya dan anak-anak gembira dan selesa terpelihara dari hujan dan panas. Terima kasih abang berusaha menyediakan kereta dengan semampunya agar mudah untuk saya dan anak-anak keluar atas keperluan yang ada. Keluar berjalan-jalan dan menjalin silaturrahim dam hubungan kekeluargaan.

Terima kasih sangat-sangat abang, abang keluar mencari rezeki dengan jadual yang kadangkala penuh dan sibuk, jadual kerja yang mengganggu waktu tidur abang berhari-hari.. abang pun tak seronok berpisah berhari-hari dengan kami - namun abang meninggalkan kami dengan makan minum dan cukup keperluan lain seadanya.

Di sela-sela waktu yang ada, atau cuti bekerja, abang mencari masa dan tempat untuk membawa saya dan anak keluar berjalan-jalan. Jika ada kelebihan rezeki, abang akan membelikan sesuatu yang istimewa buat kami. Kami gembira dan belajar untuk berkongsi rezeki, bila abang juga berkongsi rezeki dengan insan-insan yang susah dan memerlukan. Abang mengingatkan kami dengan orang-orang yang susah sewaktu kami meminta-minta perkara yang tidak penting.

Terima kasih abang membantu menjaga anak di sebalik kepenatan abang mencari rezeki. Abang membantu memandikan baby, abang mendukung, memujuk dan menenangkan baby sewaktu baby perlukan extra attention. Abang menyediakan telinga dan hati mendengar isteri dan ibu ini, yang kadangkala hanya remeh temeh, namun abang mengerti kalau isteri itu gembira jika dapat sekadar meluahkan rasa dan didengari suami.

Terima kasih abang, abang bersabar dengan kelemahan-kelemahan saya. Abang menasihati dan memberi teguran semampunya agar saya tidak terus berada dalam kesilapan dan kekurangan, sedangkan kekurangan itu boleh diperbaiki.

Saya gembira dengan kehadiran abang, seorang suami, seorang ayah..

Alhamdulillah...Banyak lagi sebenarnya kebaikan dan kasih sayang abang yang terpamer.. lafaz terima kasih saya tidak cukup untuk membalasnya. Moga ALLAh merahmati abang, memberi petunjuk dan menambah ilmu abang dalam meniti hari-hari. Saya perlukan cinta kasih abang, nasihat dan bimbingan agar saya menjadi isteri yang lebih dicintai abang dan lebih diredhai DIA tuhan yang menganugerahkan semua ini…"

Buat para isteri, mencari dan menghitung kebaikan suami adalah salah satu tanda kita bersyukur dengan segala yang ALLAH Subhanahu waTa’ala kurnia dalam hidup ini.

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah” (Hadis riwayat Ahmad & AT-Tirmizi)

 Moga hati-hati ini sentiasa menghitung dan mensyukuri setiap sesuatu yang KAU hadirkan dalam hidup kami Ya ALLAH…




6 comments:

LadyBird said...

ya Alalh ya Tuhanku... didikkanlah hatiku untuk menerima dan menghargai suamiku... ameeennn..

semut merah said...

Very Well Said nurul! Syukran wa jazakallah.

Aisya Qaisara said...

Saat sy selesai membaca artikel akk, terasa sebak menahan air mata..mmg benar, suami adalah anugerah dr Alla h yg xternilai..terima kasih byk kak atas artikel y mnyentuh prasan..membuatkn sy tersedar betapa bertuahnya sy mempunyai seorg suami..menjdkn sy mahu lebih mnghargai suami sy seadanya..terima kasih lg skali kak..smoga akk teruskn pnulisan y brmnfaat spt ini y dpt mbantu wanita hr ini u mnjd isteri cerdik y solehah..smoga Allah mberikn y terbaik buat akk skeluarga..amiin.

Anonymous said...

terima kasih atas artikel yg berbekas di hati sy..macam mana nak buat kalo rumah kita yg sediakan, kereta kita yg beli sendiri, anak2 tak penah nak tlg tgkkan (kalo bby menangis dia akan ckp 'xkan budak tu nak nangis pun x boleh')

kalo da kat umah pun dok dlm bilik ngadap laptop jer, ada xda kat umah sama jer..bila isteri ckp nak selesaikan konflik terus dia offkan hp..perkahwinan 4thn setgah rsnya ble kira brpa mlm yg betul2 tido bersama..mmg so sadkan kehidupan umah tga camni..

isteri puas cari blog ustaz2 n kaunselor2 utk tarbiahkan hati supaya dapat kuat bg tabah menjalani hari utk membesarkan anak..hmm ntah la..bkn takat belajar berckp tp dah puas berckp tp suami ble ckp 'xkan nak dia tunggu anak n isteri jer' Ya Allah sabar jer dgar ayat cmtu..anak n isteri pun xnak tunggu..

Anonymous said...

assalam..
Pada pendapat saya, setiap org punya ujian & dugaan masing2. Sekiranya karakter lelaki seperti yg dijelaskan dalam penulisan penulis.. Memang kita isteri kena melakukan yg terbaik. Tetapi sekiranya kelakuan lelaki sebaliknya seperti suka berbohong, tidak bertanggungjawab, memikirkan hal sendiri tidak ahli keluarganya, hipokrit, dan macam2 hal lagi seperti kaki pukul dan sebagainya.. Saya rasa tidak ramai yang boleh tahan dengan lelaki sebegini.. Islam telah menetapkan garis panduan untuk menjaga hak wanita.. Sekiranya wanita tidak mampu meneruskan.. Terdapat cara yang telah diberikan untuk melepaskan diri daripada terus dianiaya.

Apa kata penulis? Apa yg akan penulis lakukan sekiranya suami penulis kaki perempuan, menipu, kaki pukul & suka memukul penulis sampai lebam2..? Agak2 leh bertahan sampai akhir hayat tak?

Anonymous said...

Terima kasih....minta keizinan untuk mengambil sedikit coretan anda untuk saya forwarkan pada suami...terima kasih

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...