:: Moga keimanan dan kesabaran menjadi perhiasan di hati-hati para suami dan para isteri yang berada di alam perkahwinan, samaada poligami atau monogami :: |
Bismillah, saya kongsikan di bawah sedikit dari buku "202 Pelajaran Berkenaan Poligami" tulisan Hafiz Firdaus Abdullah. Moga bermanfaat untuk sahabat-sahabat yang bergelar suami dan isteri.
* * *
Poligami adalah satu perkara yang besar. Ia melibatkan amanah menjaga maruah ahli-ahli keluarga, tanggungjawab mengurusi mereka, ilmu memimpin mereka dan keadilan memenuhi hak-hak mereka.
Poligami memerlukan keberanian, kekuatan diri, kesabaran dan kematangan seorang suami. Justeru usah berpoligami jika ia sekadar berseronok-seronok, mengikut jejak langkah kawan, menerima pujian hebat daripada rakan-rakan atau kerana jatuh hati kepada seseorang wanita.
Poligami bukanlah sesuatu yang mudah. Jika anda yakin mampu menceburinya, maka janganlah menceburinya secara berseorangan.
Sebaliknya mintalah pertolongan.
Pertama sekali, mintalah pertolongan Allah Subhanahu waTa’ala dengan berdoa kepada-Nya, agar diberikan pimpinan, kemudahan dan keberkatan. Baik monogami atau poligami, jangan kita lupa berdoa kepada Allah demi kebaikan, kesejahteraan dan keharmonian rumahtangga kita.
Seterusnya mintalah pertolongan daripada orang-orang yang berilmu, matang lagi dipercayai keperibadiannya, agar dapat ditimba nasihat dan teguran. Berilah prioriti kepada orang-orang yang telah berpoligami kerana mereka mampu menolong anda berdasarkan pengalaman sendiri.
Justeru usah berpoligami jika ia sekadar berseronok-seronok, mengikut jejak langkah kawan, menerima pujian hebat daripada rakan-rakan atau kerana jatuh hati kepada seseorang wanita.
Kehidupan di alam perkahwinan memerlukan ilmu yang luas. Apatah lagi di alam poligami, ilmu yang diperlukan lebih luas dan mendalam. Oleh itu jangan melangkah ke alam poligami sebelum anda mendapat ilmu yang secukupnya, yang dapat memberikan anda keyakinan dan ketenangan untuk mengorak langkah.
Satu hakikat yang perlu diperhatikan, tidak banyak sumber ilmu yang sahih lagi bermanfaat tentang poligami di Malaysia. Amat sedikit buku atau kuliah agama yang dapat dijadikan rujukan. Jika ada sekalipun, kebanyakannya disampaikan oleh orang yang tidak menceburi alam poligami. Maka mereka hanya berbicara secara teori tanpa pengalaman praktikal.
Lebih memburukkan suasana, wujud pula penulis atau penceramah yang menyampaikan pandangan-pandangan yang salah tentang poligami, atau anti-poligami. Justeru anda perlu berusaha lebih keras bagi mendapatkan ilmu poligami serta berhati-hati terhadap sumber yang menyelisihinya.
Bukan merupakan syarat agama untuk meminta izin atau memaklumkan isteri anda rancangan untuk berpoligami. Jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu‘alaihi wasallam, baginda bernikah lagi tanpa memberitahu isteri-isteri yang sedia ada.
Pun begitu, memandangkan poligami adalah sesuatu yang janggal pada masa kini, dianjurkan untuk memaklumkan isteri anda rancangan untuk berpoligami. Tindakan ini dapat mengurangkan kejutan emosi ke
atas isteri dan membolehkan beliau menyiapkan diri untuk dimadu. Bahkan mungkin saja beliau mempersetujui rancangan ini dan membantu anda sekadar yang mampu.
Islam tidak memberi sebab khusus untuk seorang suami berpoligami. Ayat ketiga surah al-Nisa’ menganjurkan poligami tanpa menyebut sebabnya sementara Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga berpoligami tanpa menerangkan sebab-sebabnya. Pada waktu yang sama, al-Qur’an dan al-Sunnah memang menganjurkan perkahwinan dan anjuran ini meliputi semua bentuk perkahwinan, baik monogami atau poligami.
Oleh itu anda sebagai suami boleh melaksanakan hak anda untuk berpoligami tanpa perlu memberikan apa-apa sebab kepada isteri bagi menjustifikasikannya. Ini kerana apa jua sebab yang anda berikan, ia akan ditolak atau dipandang remeh oleh isteri anda.
Sebaliknya apa yang patut anda lakukan ialah berjanji kepada isteri bahawa anda akan tetap menyayanginya, menjaganya dan memberikan nafkah secara adil kepadanya. Sama ada janji ini diterima oleh
isteri atau tidak, ia terpulang kepada beliau. Apa yang penting ialah anda tetap melaksanakan peranan anda
sebaik mungkin sebagai suami apabila berpoligami kelak.