Thursday, April 14, 2011

Bina Bahagia Dengan Bicara



"Kak, macam mana saya nak minta maaf dari mak ayah, kalau saya tak pernah diajar untuk meminta maaf?"

" Macam mana saya nak bercakap baik-baik tanpa kemarahan, kalau sejak dulu saya menghadapi mak ayah yang sering meninggi suara dengan kemarahan?"

"Saya tak pandai nak cakap, saya tak pandai nak meluah perasaan pada mak ayah.. Kalau bercakap, saya akan bercakap kasar."

"Bila saya dah tahu berdosa meninggikan suara, saya berusaha diam. Tapi kalau diam pula, saya dikata melawan dan memberontak dalam hati.." lirih suara ukhti itu mengadu. Airmata bergenang.

Ukhti itu merespon setelah satu demi satu nasihat diberi kepadanya - untuk memperbaiki semula hubungan dan berbuat baik pada orang tua.

Namun, dia seperti tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Berbuat baik dan meminta maaf menjadi satu ketakutan bagi dirinya. Terhimpit dengan pengalaman lalu, jiwa menderita bila suara hati seorang anak tidak diluah dengan baik. Merasa ayah bonda tidak pernah menerima bila pandangan yang berbeza cuba disampaikan.

Dirasakan oleh ukhti itu ibu ayahnya tak memahami jiwanya yang mengharap pengertian tulus dari ibu bapa. Nak diluah tak pandai, namun bila disimpan didiamkan - memakan hati setiap masa hingga syaitan pun ketawa ria dengan renggangnya hubungan sesama keluarga.

Luah emaknya pula, "Anak makcik tu tak fikir perasaan mak ayah dia. Kalau dia tak setuju dengan apa yang makcik buat, kenapa tak bagitahu. Kenapa didiamkan sahaja, mengiyakan saja kata-kata makcik dan pakcik?"

Bila mendengar hati luahan kedua-dua belah pihak ibu dan anak, minda ku cuba mencerna apakah punca masalah sebenarnya konflik yang menduga...

Anakkah, atau ibubapakah yang bersalah??

Pengalaman hidupku yang singkat memberi salah satu jawapan - communication breakdown sejak sekian lama menjadi salah satu sumber utama sengketa.

Dalam kes ini, mungkin ... (MUNGKIN) emak dan ayah meletakkan harapan yang tinggi pada anak, mahu anak mematuhi semua skrip kehidupan yang mereka cipta, mahu anak berjaya 'periksa', sambung di IPT, dapat kerja, dan anak ada masa depan yang terjaga.

Salahkah cita ibu ayah seperti ini?? Tak, ini harapan biasa yang dihormati dan boleh diterima dari ayah bonda. Skrip kehidupan yang di atur itu tidak lain untuk melihat anak-anak mereka kelak gembira dan bahagia dalam masa depannya.



Tapi mungkin mereka terlupa, anak ini mengharungi zaman yang semakin ternoda. Cabaran dan ujian untuk mereka membina masa depan kadangkala payah membeban jiwa. Anak-anak ingin berkongsi rasa, meluah bicara agar bebanan menjadi ringan.

Namun anak-anak seakan tak upaya berkongsi rasa. Kerana mereka tidak tahu menyusun bahasa. Ibu bapa kaku dalam berbicara. Lalu, masing-masing menyimpan perasaan dan kerunsingan. Membesar bersama tekanan yang dipendam hingga satu tahap bila harapan tak tertunaikan, meletuslah perbalahan dan konflik berpanjangan.

Satu dekad, dua dekad si anak memendam kesedihan jauh dari perkongsian mesra dengan ibubapa. Ayah bonda pula kecewa anak tidak memenuhi impiannya.

Inilah sisi buruk apabila perasaan tidak dikomunikasikan secara sihat dan membina dalam keluarga. Mungkin bukan budaya kita untuk berbincang secara terbuka antara anak dan ibu ayah, kerana sejak sekian lama, ibubapa mendapat kuasa penuh dan tidak boleh dibantah.



Lalu, bersama-samalah kita perbaiki episod kesedihan ini bermula dari diri kita. Kita yang bakal bekeluarga dan bakal menerima anugerah cahaya mata. Kita kelu bicara kerana ibubapa juga tak fasih tutur katanya. Lantas, kita tidak mahu generasi anak-anak tercorak juga sedemikian rupa.

Ibubapa dulu mungkin tidak berpeluang mempelajari seni berbicara atau kemahiran komunikasi dalam membina keluarga. Mereka hanya mengikut budaya keluarga yang telah diturunkan.

Namun, tidak ada alasan untuk kita di langit terbua. Parenting Course boleh diperolehi dimana-mana. Lambakan buku komnukiassi memenuhi ruang kedai buku, hanya kita mahu atau tidak membacanya.

Terima kasih pada seorang teman yang sangat mendorongku untuk mempertingkat kemahiran komunikasi. Katanya, kalau komunikasi tidak terjaga dalam rumahtangga dan keluarga, hasilnya amatlan merugikan dan mengecewakan.

Lalu, ku tatap dan berusaha ku fahami antara salah satu buku yang dihadiahkannya “The Art Of Talking To Anyone”. Di dalamnya membicarakan bagaimana untuk kita berinteraksi dan berkomunisa secara efektif dengan pelbagai lapisan manusia dalam perhubungan yang berlainan.

Dan ku baca juga buku lain antaranya Saling Memahami dalam Bahtera Rumahtangga, How To Talk To Kids Even When You Think You Shouldn’t, Men Are From Mars,Women Are from Venus...dan lain-lain.

Walaupun buku-buku itu telah banyak ditelaah, untuk mempraktikkannya tidak lah semudah berbicara tentangnya. Perlu banyak kali ‘try and error’. Malah walaupun ilmu berbicara sudah difahami, kita perlu bermujahadah, kerana kadangkala kita tetap memilih untuk mengeluarkan kata sesedap rasa dari memilih bicara yang baik berhikmah menyejukkan jiwa.

InsyaALLAH ku kan terus berusaha kerana mahu anak-anak generasiku membina kehidupan yang lebih bermakna dari generasi sebelumnya. Ku berkongsi tentang ini kerana mahu keluarga bahagia tercipta juga diluar sana kerana komunikasi yang positif dan membina.

Ayuh kalian, perlahan-lahan  kita bina bahagia dengan memperelok bicara~





2 comments:

cun09 said...

salam nurul ^_^

berkomunikasi dgn keluarga dlm satu rumah lebih susah rasanyeee drp berkomunikasi dgn sahabat di sekolah atau tempat kerja...silap haribulan dikatanya kita kurang ajar dgn org yg lebih tua dr kita atau dikatanya kita tidak pandai mengajar cara berkomunikasi dgn yg lebih muda dr kita...pernah mengalami situasi ini...SABAR...tp kekadang takut hilang SABAR...

Nurul Adni Adnan said...

saya setuju, berkomunikasi dengan orang luar/orang asing lebih mudah, kerana kita tak kenal kelemahan mereka.

Kita dah tahu kelemahan ahli keluarga, kita selalu mempertikai banyak perkara, mudah marah tercetus..

The good news is, kasih sayang keluarga adalah sesuatu yg takkan hilang selamanya kalau kita memperbaiki cara kita komunikasi dengan ahli keluarga :)

kita sama-sama usaha ya..

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...