Thursday, April 28, 2011

Stress...? Allah kan ada.



Stress juga bila ada orang ingat kita ni selalu bertenang je, padahal Allah yang Maha Tahu diri insan kerdil ini juga ada waktu stress seperti kalian.. :)

Jom kongsi sikit benda yang buat saya stress...

Diri ini sejak dulu sangat allergic dengan kerja-kerja yang berkaitan mathematics, kira-kira, ilmu hisab, nombor-nombor dan yang sewaktu dengannya –tapi amanah yang diberi terpaksa dilaksanakan - menjadi bendahari tak bertauliah pada ‘grup solehah’ kami (ameen..!)

Stressnya bila terpaksa membuat kira-kira perbelanjaan-perbelanjaan yang digunakan untuk program-program dan terpaksa merekod jumlah wang masuk, terpaksa membahagikan mengikut peratus-peratus wang yang diinfaq untuk program… terpaksa… terpaksa… berulang kali cakap 'terpaksa' akhirnya benar-benar terseksa..



hai, tak ikhlas ke...?

Padahal sebenarnya kalau berusaha memandang positif penuh ‘kasih sayang’ pada tugasan yang bermain dengan wang dan nombor itu, pasti tidak terasa benar bebanannya…

Beberapa ketika, rasa stress di depan laptop bertemankan kepingan ringgit hijau merah dan buku bendahari, rasa tertekan, nak mengadu pada kawanku si akauntan, dia tak jawab call.

Nak mengadu pada sahabatku yang ‘kaya', juga tak dapat dihubungi. Sekadar nak mengadu meluah perasaaan dan bertanya – 'kenapa saya kira macam tak betul, atau saya je yang rasa tak betul, padahal dah betul…ish..ish..payah jaga harta nih,...' keluh kesah lagi...

Rasa stress juga timbulkan rasa nak mengadu dengan housemate.. tapi housemate tercinta tiada di sisi, bertambahlah stress. Stress, plus penat minda, penat mungkin sebab memaksa fikiran bekerja dalam keadaan terpaksa.. :(

Setelah berusaha menyiapkan tugasan semampunya, naik tingkat atas, terus baring dan tiba-tiba nangis. [Tulah perempuan, nangis dan nangis… oppss bukan semua perempuan cengeng macam saya kan…??!)

Tiba-tiba rasa, sedih,,, kenapa tak cari DIA dulu…? Kenapa tak sampaikan rasa hati terus pada DIA yang selalu ‘online”…?

Berharap ketenangan dari manusia, manusia kan selalu tiada … manusia kan sama juga lemahnya…??

Waktu zuhur beberapa minit telah berlalu, membangunkan diri berwuduk dan bersiap-siap untuk solat… Ohh.. ALLAH Maha Dekat, hanya diri yang terlupa…

Waktu stress, perkara kecik pun boleh bawak hati rasa serabut :(((
Apapun ini adalah kisah yang berlaku kira-kira dua tahun dua bulan yang lalu.. :) Saya kongsikan di sini untuk teman-teman blogger yang menyayangi saya hee... love you too...




Wednesday, April 20, 2011

Pernikahan Ini... Ke Mana Arahnya?


Sewaktu keinginan yang mendalam untuk bernikah bertandang di hati, kalian anak muda perlu berjuang.

Ya, bukan sekadar berusaha, tapi berusaha dengan penuh perjuangan dan kesungguhan untuk menjaga iman dan kehormatan.

Berjuang untuk merealisasikan perancangan pernikahan. Syaitan juga akan berjuang mengagalkan niat kita menghalalkan hubungan, kerana syaitan amat suka dengan kemesraan (kemaksiatan) waktu berpacaran.

Jika telah habis cara dan idea untuk memasuki gerbang pernikahan, apakah pilihan yang kita ada…?

Juga berjuang. Berjuang dan bermujahadah menjaga kehormatan diri.

Bersangka baik dengan Allah, Allah akan memakbulkan doamu pada waktu yang tepat. Teruslah mengisi masa mencari ilmu, beramal, membangun peribadi seorang hamba dan khalifah yang mukmin.

Pada yang telaz melafaz nikah, kini kalian telah menjejak alam pernikahan, yang dahulunya terdorong bernikah kerana ingin menjaga kebersihan hati dan perasaan.

Rupa-rupanya, satu bahagian hati terjaga, tapi bahagian hati yang lain masih berperang…

Kita terlupa agaknya, ‘ peperangan’ dalam jiwa itu selalu ada…hingga akhir hayat. Selalu kena bermujahadah, di dalam dan di luar pernikahan.

Hurm... dulu duk fikir nak menjaga hati sendiri, tiba-tiba dah nikah, banyak pula hati lain yang perlu dijaga.. :P

… nak jaga hati suami,

…hati mertua,

..hati ipar duai,

…hati teman-teman yang masih bujang – yelah, dah kawin makin menjauh..asyik berkepit dengan suami….

Ok anyway, sekarang hati dah ‘terjaga’, dah ada teman hidup, …ke mana kita nak bawa pernikahan ini…? Setakat itu sajakah...?

Dulu yang saya 'belajar' dari novel-novel cinta, jua romantic movies, banyaknya seperti itulah… ‘berjuang’ untuk merebut atau mempertahan cinta si dia, dan kemudian ‘live happily ever after’.

Andai ada datang masalah, ya, ‘cinta kita’ akan kuat untuk menempuh badai gelombangnya…

Tapi alhamdulillah setelah sedikit sebanyak kita belajar dari buku penerang dan petunjuk dari ALLAH – Al Quran- saya mula nampak bagaimana pernikahan saya dan kita akan bagi kesan pada suasana politik antarabangsa… dan bagaimana ia akan mempengaruhi iklim dunia…wah begitu sekali kah…???

Ya. Pernikahan kita bukan berkisar pada gelora jiwa kita sahaja. Ia adalah bagaimana kita memanfaatkan seluruh nikmat dan potensi yang ALLAH kurnia untuk cemerlang sebagai hamba dan Khalifah..

Dan ‘cinta suci kita’ sahaja tidak cukup untuk mempertahankan rumahtangga, apatah lagi untuk pernikahan kita itu memberi nilai tambah pada ummah..

(wah..ini motivasi yang baik untuk saya yang kadang-kadang hanyut dengan emosi untuk isu-isu kecil …)

# Pernikahan yang membangunkan potensi individu

Dulunya, antara niat saya, moga pernikahan yang menyatukan saya dan suami ini tidak lain menjadi wasilah untuk kami menjadi hamba-hamba ALLAH yang lebih baik, lebih bersungguh mencari keredaan dan keampunanNYA.

Tapi masa yang berlalu, kesenangan dan kesulitan yang ALLAH datangkan ke dalam rumahtangga ini, adakah benar-benar meningkatkan keperibadian kita seorang insan…?

Apa khabar dengan ilmu kita tentang ALLAH dan ISLAM?

Akhlak kita masih di takuk lama atau banyak yang sudah digilap?

Sejauh mana kesungguhan kita memuhasabah dan memperbaiki diri kita dalam melunaskan hak pasangan…?

Adakah makin bersemangat untuk beramal soleh dan istiqamah dengannya…?

Adakah pernikahan ini benar-benar membawa kita menggantungkan hati dan memperhambakan diri padaNYA?

Inilah persoalan yang perlu saya dan kalian jawab, jika benar pernikahan bukan tujuan kehidupan, tapi satu medan besar meningkatkan kesabaran dan ketaqwaan.



# Pernikahan yang membangunkan potensi keluarga

Saya dulu tak berapa fikir tentang anak, dan malah saya rasa tak matang untuk jadi ibu..[walau jauh di sudut hati, saya ingin melahirkan generasi yang dicintai ALLAH].

Sedar-sedar, dengan izin ALLAH dah ada seorang anak yang rasanya begitu pantas membesar. Apa perancangan saya untuk mencorakkan kehidupan anak ini… bukan kah dia juga kelak ditaklifkan untuk beribadah dan memimpin ummah ke jalan ALLAH…?

Tidak ada cara lain, saya dan suami harus menyuburkan ilmu dan iman. Agar anak-anak ini turut membesar dalam suasana yang mengenal hakikat kehidupan, mengenal amanah yang datang dengan segala nikmat pemberian tuhan.

Karakter dan pembawaan dirinya akan banyak sekali ditentukan oleh persekitaran yang dicorakkan kami ibu bapanya dan orang-orang terdekat dengannya.

Jika dulu saya bersetuju, bahawa mereka yang bernikah jangan sekadar fikir sampai ke pelamin, tapi hingga ke lampin (anak-anak).

Kini saya ingin mengembangkannya, harus kita fikirkan, pernikahan kita yang baru bermula ini, bagaimanakah kelak akan membantu anak-anak kita membina pernikahan yang penuh sakinah, rahmah wa mawaddah…?

# Pernikahan yang membangunkan ummah

Ummah ini mampu hebat bila setiap keluarga benar-benar menerapkan islam sebagai a way of life. Suami isteri yang berusaha memahami petunjuk Al Quran dan As Sunnah, kemudiannya akan mengukir keluarga dengan acuan Islam yang syumul.

Adakah pernikahan kita, keluarga yang kita bina, menjadi batu-bata yang menguatkan bangunan Islam?

Mungkin kita sendiri masih mencari ilmu, kita juga masih kabur keluarga bagaimana yang Islam kehendaki, ….tidak mengapa, langkah yang kita mulakan perlahan-lahan ini, mudah-mudahan mendorong anak-anak untuk kelak sama-sama mendalami ilmu ALLAH.

Mungkin kita sendiri masih banyak kelemahan akhlak yang perlu diperbaiki, ayuh temanku, kita berganding bahu mencantikkan diri dengan akhlak islami, sebagai ibu bapa, sebagai isteri (atau suami), kita saling mendoakan agar insan-insan tersayang turut berada dalam petunjuk tuhan.

# Pernikahan yang membangunkan mahligai di syurga

Rasul SAW berpesan agar kita selalu berhubung dengan ALLAh SWT, hati yang zikrullah dalam banyak keadaan, boleh memberi kebahagiaan di dunia dan di syurga.

Syurga itu mungkin terlalu jauh untuk kita harapkan, dengan banyaknya kelemahan dan kesilapan kita, akan tetapi jangan berputus asa dari rahmat Tuhan. Kita mungkin selalu tewas oleh syaitan dan perasaan, namun sentiasa ada ruang taubat dan kembali pada tuhan.

Khadijah, Fatimah, Asiah dan Maryam …keimanan dan kecantikan akhlak mereka ayuh kita jadikan teladan. Mereka penghuni syurga, maka merekalah contoh terbaik untuk diikuti bersama.

Jika kita gembira bahagia dengan pasangan hidup yang ALLAH takdirkan dengan kita waktu ini, bersyukurlah dengan terus mentaatiNya. Kita berdoa lah agar kemanisan ini bersambung di taman syurga sana.

Jika kita berduka lara dengan jodoh yang ditetapkan ALLAH, berusaha lah lakukan perbaikan di ruang yang ada. Dan rawatlah hati-hati itu dengan kesabaran dan keimanan yang sebenar-benarnya. Moga ia menjadi asbab juga untuk kita memperoleh pasangan sempurna di syurga…

Justeru, bernikahlah, raikan fitrah yang indah, bangunkan ummah dengan terus mencari ilmu dan redha Allah...



Sunday, April 17, 2011

Mak...saya nak nikah...


Beberapa tahun sebelum bernikah, saya mencari-cari kelebihan berkahwin awal supaya saya termotivasi untuk bernikah awal. Dan ditemui antara kelebihan berkahwin adalah ia menjaga kesucian diri dan hati. Memelihara pandangan dan kehormatan.

Ya, saya pun kemudiaannya berada di fasa yang sama dengan teman-teman, terdorong untuk bernikah untuk menjaga hati...(walaupun belum ada calonnya lagi).

Tapi saat ini, saya tidak memandang lagi semua itu sebagai KELEBIHAN berkahwin awal, tapi KEWAJIPAN dan KEUTAMAAN berkahwin awal.

“Susah sangat ke nak jaga hati…??”

“Kenapa tak sabar tunggu hingga habis belajar…??”

“ Tak payahlah selalu contact dengan lelaki tu kalau hati tak tenang..!??”

“Kan selalu ikut program agama, takkan boleh terjerumus maksiat….!??”

“Orang lain bercinta juga, tak lah sampai nak berzina…!??”

“Janganlah ikut sangat perasaan…”

Mungkin ini adalah antara dialog luahan-luahan mak ayah kita bila saatnya kita menyuarakan keinginan untuk bernikah di usia awal 20an.

Lantas kita merasakan ibu bapa tak memahami ‘situasi getir’ yang kita hadapi dalam era moden dunia tanpa sempadan.



Ya, memang ibu bapa kita kebanyakkannya tak faham..kerana kita juga tak berusaha untuk faham apa yang mereka faham.

Yang mak ayah kita faham, kita masuk universiti untuk belajar. Dan belajar. Dan belajar. Hingga dapat segulung ijazah. Kemudian dapat perkerjaan yang menjamin masa depan.

Kemudian berkongsi sedikit kesenangan dengan adik-adik dan famili. Kemudian, silakanlah merancang untuk pernikahan. Waktu itu, tenangnya hati mak ayah kerana kita telah ada pendapatan bulanan. Mungkin ada juga sedikit wang simpanan.

Mak ayah kita punya harapan dan perancangan sebegitu kepada anak-anak kerana MUNGKIN mereka membandingkan zaman pergaulan kita dengan situasi muda mudi zaman 70an dan 80an.

Sedangkan kita di ‘era depan’ 2010, 2011, 2012…

Kita tidak lagi di zaman public phone, perlu ada syiling yang cukup untuk meluah perasaan mencambah perasaan dengan ‘teman tapi mesra’ itu.

Kita tidak lagi di zaman mengutus surat menyatakan rindu sayang, jika bersurat, rasa rindu dan sayang hanya sampai kepada si dia setelah jiwa bergelora kita menjadi reda.

Komunikasi yang terbatas waktu dulu tidak memungkinkan perkenalan sebulan dua membawa kepada keinginan yang dasyat untuk berzina…!

Kita bukan di zaman perlu menunggu dan menaiki bas untuk keluar dating…

Kita bukan di zaman mengintai dari jauh buah hati yang sering diingat-ingatkan..

Namun, kita berada di zaman yang amat sukar kita tewaskan segala dugaan dan godaan, dengan lemahnya jiwa dan perasaan.



Mak ayah nampak macam kita menjaga pergaulan lelaki dan perempuan, namun hakikatnya saban waktu kita berdekatan lelaki dan perempuan, dengan terciptanya handphone, laptop etc di samping berkembang majunya cara berkomunikasi dan laman sosial.

Mula dengan saling berkenalan di alam kampus atau luar kampus, di alam maya atau alam nyata.

Ada handphone, boleh call dan sms berjam-jam melayan suka dan cinta yang mekar tumbuh di jiwa. Bila semakin rapat, boleh bermesra hingga menimbulkan keghairahan hanya melalui telefon..

"Abang.."

"Sayang.."

"Darling.."

"Muah muahss.."

Dari text "...dah makan, buat apa tu"  kepada..  "....sayang tidur pakai apa.."

"nanti call kejutkan bangun tahajud ya.. abang nak dengar suara sayang.."

Perasaan orang muda bertali arus dengan gelora cinta, wahai ibu ayah, kami tidak ada kekuatan menepis semua ini...

Kalau smartphone, lebih canggih dugaannya untuk menjaga kesucian hati dari segala kemudahan bercinta terhidang depan mata, hanya di telapak tangan.

Dulu ada komputer hanya untuk menyiapkan tugasan dan kerja-kerja sebaiknya.

Kini ada laptop atau komputer peribadi dilengkapi internet yang menjadi wasilah penting untuk mempertaut hati.

Pilih saja broadband yang bagus atau streamyx.. YM, facebook, twitter dan segala jenis social network ini melajukan curahan perasaan hingga tak mampu dikawal.

Curahan perasaan lambat laun membawa kepada bertukar-tukar gambar sendiri tanpa pakaian atau minima sekali… Gambar-gambar kaku kemudiannya dipanjangkan pada video sebenar…

Mak ayah mungkin tak faham dengan kewujudan video calls yang membolehkan bercinta bukan dengan hanya dengan pujuk rayu mesra, malah ada kebebasan untuk mempamerkan keindahan fizikal.

Dengan web cam yang jelas gambar dan cantik skrinnya, sendirian di bilik rumah sewa dan asrama masing-masing, siapa yang melarang untuk tidak membuka tubuh pada kekasih seperti malam pertama suami isteri..?

Tidak perlu menunggu bas untuk dating, si dia yang punya kereta bersedia mengambil dan menghantar… Di jalan-jalan sunyi, siapa yang kuat untuk tidak ringan-ringan sewaktu cinta kasih meluap-luap memenuhi perasaan…?

Jika di taman-taman dan kawasan peranginan jua jeram tak ada privasi bercumbu-cumbuan, siapa yang melarang untuk check-in di budget hotel RM9.90 semalam yang makin banyak di sekeliling tempat belajar dan tempat kerja kalian..

Mak dan ayah, kalaupun kami tak berpacaran, di jalanan banyak perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang hingga jiwa kami menjadi resah gelisah.. (ya, ia kesalahan kami tidak merendahkan pandangan)..

Mak dan ayah, kami tidak mahu terlibat dengan pacaran, namun teman-teman sekeliling banyaknya yang dah 'berdua', kami teringin juga sepertinya..

Mak dan ayah, inilah zaman yang kami berada di dalamnya. Tidaklah kami sekadar menyalahkan zaman, namun kami mencari alternatif menguatkan jiwa dan perasaan.

Kami ingin bernikah, bantulah kami menjaga sekeping iman dan akhlak yang makin hilang dengan segala kecanggihan hidup yang datang…



Kami ingin bernikah, bantulah kami berumahtangga agar pengajian berjaya diteruskan dan rumahtangga dipelihara dengan matang.

ALLAH berfirman, “…jangan dekati zina…” namun ke manapun kami berpusing, kami seolah-olah terlalu dekat dengan zina..

Kami akui kelemahan kami, kami akui kesilapan kami, bantulah kami mencari kehidupan yang suci dan tenang.. Bantulah kami untuk terus di atas jalan kebaikan.





Thursday, April 14, 2011

Bina Bahagia Dengan Bicara



"Kak, macam mana saya nak minta maaf dari mak ayah, kalau saya tak pernah diajar untuk meminta maaf?"

" Macam mana saya nak bercakap baik-baik tanpa kemarahan, kalau sejak dulu saya menghadapi mak ayah yang sering meninggi suara dengan kemarahan?"

"Saya tak pandai nak cakap, saya tak pandai nak meluah perasaan pada mak ayah.. Kalau bercakap, saya akan bercakap kasar."

"Bila saya dah tahu berdosa meninggikan suara, saya berusaha diam. Tapi kalau diam pula, saya dikata melawan dan memberontak dalam hati.." lirih suara ukhti itu mengadu. Airmata bergenang.

Ukhti itu merespon setelah satu demi satu nasihat diberi kepadanya - untuk memperbaiki semula hubungan dan berbuat baik pada orang tua.

Namun, dia seperti tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Berbuat baik dan meminta maaf menjadi satu ketakutan bagi dirinya. Terhimpit dengan pengalaman lalu, jiwa menderita bila suara hati seorang anak tidak diluah dengan baik. Merasa ayah bonda tidak pernah menerima bila pandangan yang berbeza cuba disampaikan.

Dirasakan oleh ukhti itu ibu ayahnya tak memahami jiwanya yang mengharap pengertian tulus dari ibu bapa. Nak diluah tak pandai, namun bila disimpan didiamkan - memakan hati setiap masa hingga syaitan pun ketawa ria dengan renggangnya hubungan sesama keluarga.

Luah emaknya pula, "Anak makcik tu tak fikir perasaan mak ayah dia. Kalau dia tak setuju dengan apa yang makcik buat, kenapa tak bagitahu. Kenapa didiamkan sahaja, mengiyakan saja kata-kata makcik dan pakcik?"

Bila mendengar hati luahan kedua-dua belah pihak ibu dan anak, minda ku cuba mencerna apakah punca masalah sebenarnya konflik yang menduga...

Anakkah, atau ibubapakah yang bersalah??

Pengalaman hidupku yang singkat memberi salah satu jawapan - communication breakdown sejak sekian lama menjadi salah satu sumber utama sengketa.

Dalam kes ini, mungkin ... (MUNGKIN) emak dan ayah meletakkan harapan yang tinggi pada anak, mahu anak mematuhi semua skrip kehidupan yang mereka cipta, mahu anak berjaya 'periksa', sambung di IPT, dapat kerja, dan anak ada masa depan yang terjaga.

Salahkah cita ibu ayah seperti ini?? Tak, ini harapan biasa yang dihormati dan boleh diterima dari ayah bonda. Skrip kehidupan yang di atur itu tidak lain untuk melihat anak-anak mereka kelak gembira dan bahagia dalam masa depannya.



Tapi mungkin mereka terlupa, anak ini mengharungi zaman yang semakin ternoda. Cabaran dan ujian untuk mereka membina masa depan kadangkala payah membeban jiwa. Anak-anak ingin berkongsi rasa, meluah bicara agar bebanan menjadi ringan.

Namun anak-anak seakan tak upaya berkongsi rasa. Kerana mereka tidak tahu menyusun bahasa. Ibu bapa kaku dalam berbicara. Lalu, masing-masing menyimpan perasaan dan kerunsingan. Membesar bersama tekanan yang dipendam hingga satu tahap bila harapan tak tertunaikan, meletuslah perbalahan dan konflik berpanjangan.

Satu dekad, dua dekad si anak memendam kesedihan jauh dari perkongsian mesra dengan ibubapa. Ayah bonda pula kecewa anak tidak memenuhi impiannya.

Inilah sisi buruk apabila perasaan tidak dikomunikasikan secara sihat dan membina dalam keluarga. Mungkin bukan budaya kita untuk berbincang secara terbuka antara anak dan ibu ayah, kerana sejak sekian lama, ibubapa mendapat kuasa penuh dan tidak boleh dibantah.



Lalu, bersama-samalah kita perbaiki episod kesedihan ini bermula dari diri kita. Kita yang bakal bekeluarga dan bakal menerima anugerah cahaya mata. Kita kelu bicara kerana ibubapa juga tak fasih tutur katanya. Lantas, kita tidak mahu generasi anak-anak tercorak juga sedemikian rupa.

Ibubapa dulu mungkin tidak berpeluang mempelajari seni berbicara atau kemahiran komunikasi dalam membina keluarga. Mereka hanya mengikut budaya keluarga yang telah diturunkan.

Namun, tidak ada alasan untuk kita di langit terbua. Parenting Course boleh diperolehi dimana-mana. Lambakan buku komnukiassi memenuhi ruang kedai buku, hanya kita mahu atau tidak membacanya.

Terima kasih pada seorang teman yang sangat mendorongku untuk mempertingkat kemahiran komunikasi. Katanya, kalau komunikasi tidak terjaga dalam rumahtangga dan keluarga, hasilnya amatlan merugikan dan mengecewakan.

Lalu, ku tatap dan berusaha ku fahami antara salah satu buku yang dihadiahkannya “The Art Of Talking To Anyone”. Di dalamnya membicarakan bagaimana untuk kita berinteraksi dan berkomunisa secara efektif dengan pelbagai lapisan manusia dalam perhubungan yang berlainan.

Dan ku baca juga buku lain antaranya Saling Memahami dalam Bahtera Rumahtangga, How To Talk To Kids Even When You Think You Shouldn’t, Men Are From Mars,Women Are from Venus...dan lain-lain.

Walaupun buku-buku itu telah banyak ditelaah, untuk mempraktikkannya tidak lah semudah berbicara tentangnya. Perlu banyak kali ‘try and error’. Malah walaupun ilmu berbicara sudah difahami, kita perlu bermujahadah, kerana kadangkala kita tetap memilih untuk mengeluarkan kata sesedap rasa dari memilih bicara yang baik berhikmah menyejukkan jiwa.

InsyaALLAH ku kan terus berusaha kerana mahu anak-anak generasiku membina kehidupan yang lebih bermakna dari generasi sebelumnya. Ku berkongsi tentang ini kerana mahu keluarga bahagia tercipta juga diluar sana kerana komunikasi yang positif dan membina.

Ayuh kalian, perlahan-lahan  kita bina bahagia dengan memperelok bicara~





Monday, April 11, 2011

Manisnya pernikahan...Kerana Iman



Perasaan itu ada di hati.

Dulu ia terpendam, kerana sibuk studi.

Atau, “Malaslah nak fikir..belum ready…”

“Belum sampai masanya lagi…”

“Macam mana nak mulakan, tak reti…”

“Saya memang sedang mencari lah ni…”

Perlahan-lahan, perasaan itu meresap ke hati.

"Subhanallah, perasaan apakah ini..?”

Itulah perasaan yang suci, ingin saling menyayangi. Ingin saling melengkapi. Ingin dicintai. Ingin dirindui.

Perasaan untuk bertemu pasangan. Di atas landasan pernikahan.

Tatkala ia hadir dalam perasaan dan fikiran, layanilah ia dengan iman.

“Ya ALLAH Ya Rahman..Bimbinglah diriku menjadi jodoh yang baik.. Temukan diriku dengan dia yang beriman.. Permudahkanlah jalanku menuju pernikahan..”

Memilih melalui taaruf yang telus. Membincangkan dengan ibu bapa, teman-teman yang berilmu lagi amanah. Hati lapang mendengar pandangan, terbuka menerima pesanan dari yang berpengalaman dan akhirnya keputusan itu, kepada ALLAH diserahkan.

“Ya ALLAH…"

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar…”

Inilah antara untaian doa istikharah yang diajar Rasul SAW saat kita telah memilih dan mengenali latarbelakang calon jua bermusyawarah dengan insan-insan berilmu dan amanah.

Kita membuat keputusan memilih si dia, dan kita kemudiannya bukan meminta pada ALLAH agar dia menjadi jodoh kita, tapi kita meminta keputusan ALLAH atas usaha-usaha kita, dan pastinya atas ilmu dan kebijaksanaan ALLAH. Malah, itulah misteri yang sejak dulu ALLAH telah tetapkan.

Akhirnya kita bernikah.

Alhamdulillah.. Subhanallah.. Allahu Akbar.. Nikmat bernikah sebenarnya terlalu indah dari yang kalian bayangkan..

Nikmat itu bukan hanya pada hubungan jasmani, bukan hanya kerana bersatunya emosi suami isteri tapi lebih besar dari itu.

Nikmat bernikah itu ada pada hati-hati yang berusaha dihidupkan dengan iman.

Sangat indah bila hati mampu merasai kurnia ALLAH yang Maha Penyayang… DIA yang menitiskan sakinah.. ketenangan dan kenyamanan berada dalam kasih sayang berpasangan. Cinta yang mengalir sebening air yang menyejukkan hati-hati…



“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang” (Surah Maryam:96)

Indahnya menikah bila hati mampu merasa kesyukuran atas rahmat ALLAH yang melingkari segenap kehidupan. ALLAH berkehendak menitipkan cinta dan rindu sesama suami dan isteri, hingga kalian menikmati kebahagiaan.

“Ya ALLAH.. kasih sayangMu terlalu hebat.. terlalu agung..ALLAH Yang Maha Mulia, Maha Pemurah, segala puji bagiMu Ya ALLAH..yang membenihkan kecintaan dan kerinduan di hati-hati kami suami isteri…”

Dia – pasangan kita - insan yang berbeza. Datang dari keluarga dan latarbelakang berbeza.

Namun dengan iman, kalian melayani pasangan dengan baik, penuh kasih sayang dan kelembutan. Kalian meminta-minta pada ALLAH.., “Ya ALLAH Yang Maha Memberi Petunjuk..Tunjukilah kami dengan akhlak yang baik, jauhkan lah kami dari akhlak yang buruk."

Karakter pasangan yang menguji perasaan, dihadapi dengan iman. Kalian bermujahadah untuk menolak kesalahan pasangan dengan cara yang lebih baik. Hingga kasih sayang semakin merimbun di dalam rumahtangga itu.

"Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia" (41 : 34 )

Dengan iman, kalian saling berkhidmat pada pasangan hanya kerana mengharap keredhaan Tuhan. Hati-hati berusaha diikhlaskan.

Seorang isteri..senyuman, perkataan, perbuatan, teguran, masakan, kebersihan, kelembutan, belaian, penjagaan zuriat dan rumahtangga seluruhnya.. mengharap pertolongan ALLAH Yang Maha Membantu..

“Ya ALLAH, segala-gala ini kami lakukan keranaMu..”

Seorang suami..harta benda, kediaman, kenderaan, kewangan, perhatian, kasih sayang, nafkah zahir batin pasangan, kebahagiaan rumahtangga yang dipimpin dan diusahakan.. semuaNYa kerana keyakinan dan ketaqwaan pada Tuhan..

Bila suami dan isteri berusaha membugarkan iman, bila pernikahan digerakkan di landasan iman..itulah syurga dunia..

Namun di sana, ada suami dan isteri yang benar –benar teruji dengan keburukan pasangan. Tatkala dirinya berusaha memberi yang terbaik, pasangan sebaliknya memandang remeh amanah pernikahan.



Tingkah pasangan yang menyesakkan perasaan, bulan dan tahun berganti tiada perubahan, jauh dari keharmonian yang diimpikan. Wahai tuhan, apakah Engkau sedang memberi hukuman…?

Maha Suci ALLAH dari menzalimi hamba-hambaNYA. Namun, ALLAH dengan kasih sayang yang agung mengizinkan ujian getir menimpa rumahtangga kalian, kerana DIA mencintaimu.

Dalam lafaz-lafaz doa kita yang dulu, bukankah kita memohon pernikahan untuk menambah iman..?

Nah, ALLAH memberi ujian kesenangan dan kesulitan dalam pernikahan, agar pernikahan benar-benar menjadi wasilah untuk kita makin dekat, semakin dekat ke pangkuanNYA. Makin mendalamkan iman dan cinta kita padaNYA.

Tika kesabaran teruji dengan kerenah pasangan, berimankah kita dengan janji ALLAH akan ada kesenangan selepas kesusahan?

Tika kekusutan rumahtangga membelenggu jiwa, berimankah kita dengan ayatNYA bahawa jalan keluar senantiasa ada buat hamba yang bertaqwa…?

Tika kita memaafkan dan bersabar dengan segala keburukan pasangan, berimankah kita bahawa kemanisan iman itu terhasil bila kita tulus mencintai kerana ALLAH...?

Ya, perkahwinan bukan mudah, terlalu banyak ranjau ujian, namun dengan iman.. tidak akan mudah hilang pedoman. Dengan iman, merasa DIA memberi bimbingan dan pertolongan. Melaluinya dengan kesabaran, kesyukuran.. akhlak Rasulullah berusaha diterjemahkan, tuntutan Al Quran berusaha direalitikan dalam rumahtangga..

Rasulullaah Saw bersabda, “Alangkah menakjubkan keadaan seorang Mu’min. Setiap persoalan yang dihadapinya selalu menjadi kebaikan. Dan sikap itu tidak bisa dimiliki oleh siapa pun kecuali orang Mu’min. Apabila kegembiraan menghampirinya, dia bersyukur; dan itu menjadi kebaikan baginya. Dan apabila kesusahan menimpanya, dia bersabar, dan itu menjadi kebaikannya baginya.” [HR. Muslim]

Bahagialah kalian yang memilih iman sebelum, semasa dan sehingga pernikahan itu berlangsung di dunia, moga nikmatnya berterusan di syurga..InsyaALLAH..

Teruskan bermujahadah, untuk merasa nikmat pernikahan yang amat manis lagi indah, jua menikmati musim-musim ujian cabaran agar pernikahan terus menjadi wasilah taqarrub ilallah.



Sunday, April 10, 2011

tarbiyyah: proses panjang mencipta kebahagiaan

Anak-anak remaja itu dipersalahkan, betapa nakal dan buruknya sikap mereka. Mereka juga dicemuh, tidak ada hala tuju hidup, tidak memberi manfaat pada orang lain. Hanya berhibur. Hanya melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Mereka dilabel, 'tidak ada pegangan ' agama. Mereka tidak ada wawasan untuk memajukan diri sendiri. Bahkan, mereka melakukan perkara-perkara yang merosakkan diri sendiri dan merunsingkan masyarakat.

Anak-anak itu..tidak sedikit merunsingkan dan menyusahkan hati ibu ayah. Anak- anak itu juga dengan segala gejala sosial, parti seks liar, buang anak, pil khayal, merempit dan lain-lain lagi - juga termasuk dalam bajet dan agenda besar pemimpin negara..

Kita adalah ibu bapa dan pemimpin yang harus merenung.. Di manakah ruang perbaikan diri kita, agar anak- anak remaja 'yang bermasalah' tidak bertambah dan terhasil dari keluarga kita?

'Check' iman kita, ilmu kita, akhlak kita, kemampuan kita memimpin dan mendidik.. adakah anak-anak ini telah kita cetak dengan wahyu tuhan dan petunjuk rasul..?

Jiwa-jiwa kita..adakah kita sendiri telah pasti dengan tujuan hidup dan destinasi akhir yang ingin kita tuju?

Ilmu mengenal Allah, Rasul.dan Islam..adakah telah kita miliki dan hayati?

Adakah kita insan-insan 'dewasa' yang positif, matang, punya wawasan hidup dan agama yang luas? Adakah kita sendiri juga telah berusaha keras menjadi muslim yang baik, sebelum mengimpikan anak- anak kita menjadi remaja muslim yang dicontohi?

Wahai diriku, dan kalian yang mencintai ummah ini, pupuklah dalam hati ini iman yang bersumber dari ilmu Al Quran dan As Sunnah. Iman dan ilmu itu akan menjadi akhlak yang baik pada diri kita dengan usaha dan doa tanpa jemu. InsyaAllah.

Ayuh kita belajar mendidik dan membimbing. Ayuh kita belajar memotivasi dan membangun insan-insan di sekeliling.

Memotivasi suami untuk menjadi pemimpin keluarga yang baik. Memotivasi anak-anak untuk membangun potensi diri. Memotivasi adik beradik dan ibu ayah untuk menghidupkan keluarga yang beriman di jalan tuhan. Agar kelak kita semua bertemu di syurga tuhan..

Semua itu adalah proses tarbiyyah yang panjang. Jiwa kita harus tegar meningkatkan nilai diri sebagai isteri, ibu, penunut ilmu dan penyampai risalah agama..

Kita mentarbiyyah diri menjadi baik., agar punya kekuatan mentransformasi insan lain menjadi baik..

Tarbiyyah itu..hasilnya bukan terlihat sehari dua atau sebulan dua. Bukan bertahun atau malah mungkin berganti dekad, barulah tika itu lapisan keluarga mukmin unggul tercipta..

Namun moga-moga,.perubahan kita hari ini mencipta perubahan dan kebahagiaan di hari esok..



Published with Blogger-droid v1.6.7

Wednesday, April 6, 2011

...mencari 'izzah



Wahai diriku seorang muslimah..ingin menjadi terpandang, bukan dengan cara yang menurutkan perasaan dan kejahilan..

Dirimu terpandang tidak kerana tubuhmu yang buka-bukaan mempamer keindahan..

Dirimu terpandang bukan kerana gemerlap perhiasan yang tersalut dari hujung rambut ke hujung badan..

Dirimu terpandang bukan kerana senyum manis yang dilemparkan pada lelaki sebarangan..

Drimu terpandang bukan kerana lenggok suara yang lunak menusuk perasaan pada laki-laki di jalanan..

Seorang muslimah, ia terpandang kerana akhlaknya yang bersumber keimanan..

Ia terpandang kerana ilmunya yang membuahkan keteladanan dan kesederhanaan.

Ia santun menjaga kebersihan dan penampilan mengikut syariat tuhan, ia hebat kerana peribadinya yang bermanfaat mengajak insan kepada kebaikan.

Seorang muslimah menjadi mulia dan istimewa, bila kecantikan dan kemanjaan dikhususkan buat lelaki pilihan di atas nama pernikahan..

Hakikatnya, di sisi tuhan, seorang muslimah jadi terpandang bila punya 'izzah yang memberi kebaikan dalam menelusuri kehidupan...


Bukan sekadar muslimah, manusia seluruhnya ingin merasa terpandang, ingin meraih perhatian, ingin kelihatan berwibawa, ingin pengaruh yang luas..manusia ingin kekuatan, kemenangan, kejayaan..

Yang bernama manusia...,

Mungkin nampak hebat dan mulia di sisi manusia dengan harta benda yang dimiliki, banglo tersergam indah, kereta mewah bersusun dan bergelar jutawan.

Mungkin nampak hebat dengan kecantikan yang membuat semua terpukau, kecantikan itu ditambah-tambah lagi dengan perhiasan gemerlapan, pakaian yang semakin nipis dan ketat mempamer segala keindahan badan...

Mungkin nampak hebat dengan senarai jawatan dan status yang dipegang, dengan kelayakan dan pengiktirafan dari pelbagai pihak dalam dan luar negara..dengan ramainya pengikut dan peminat dari lapisan golongan.

Namun 'izzah atau kemuliaan yang sebenar adalah anugerah tuhan kepada insan-insan pilihan.

Ayuh melihat dan merenung erti kemuliaan di sisi Tuhan...

"Barangsiapa yang mengkehendaki kemuliaan, maka bagi ALLAH lah kemuliaan semuanya..." (Surah Fathir: 10)

Semua manusia termasuk kaum musyrikin berlumba-lumba meraih kemuliaan, maka ALLAh mengingatkan bahawa kemuliaan itu datangnya dari ALLAH.

Kemuliaan hakiki, tidak boleh tidak, hanya diperoleh dengan ketaatan kepadaNYA dan amal-amal soleh.


 'Izzah, berasal dari huruf 'ain dan zai. Maknanya berkisar kekuatan dan kemantapan.

Tidak mengikut tuntutan syariat, namun kelihatan mulia atau terpandang di mata masyarakat, itu adalah kemuliaan yang sementara dan hilang dimakan masa.

"...Dan kemuliaan itu milik ALLAH, milik RasulNYA dan milik orang-orang mukmin..." (Surah Al-Munaafiqun: 8)

Kemenangan, kejayaan dan kemuliaan yang hakiki adalah milik ALLAH yang diberi kepada orang-orang mukmin.

"izzah juga berkait dengan Allah Al'Aziz. Allah Yang Maha Mulia, Dia Yang Maha Mengalahkan, tidak akan terkalahkan oleh sesiapa. Kedudukannya begitu tinggi hingga Dia tidak tersentuh dengan kehinaan dan keburukan.

Dan Dia memberi kemuliaan kepada Rasul-rasul dan hambaNYA yang mukmin. Izzah menghiasi peribadi mereka dengan wibawa dan yakin diri. Kemuliaan yang hakiki ini lah yang menjadikan para Rasul tidak kalah dan terus menerus menyebar ajaran ALLAH di sebalik lawan-lawan yang membencinya.

Merasa izzah atau merasa mulia bukan beerti angkuh. Namun insan yang ada 'izzah akan punya yakin dan wibawa diri dalam melalui kehidupannya. 'Izzah adalah sumber motivasi hakiki, bukan manusia sekadar menyaluti diri dengan kemewahan untuk merasa yakin diri.

Bahkan Imam Ghazali menyebut hamba-hamba ALLAH yang 'aziz (mulia) ini selalu diperlukan oleh orang lain dalam meraih kebaikan akhirat dan kebahagiaan yang abadi. Mereka adalah para Rasul dan penerus ajaran mereka.

Justeru kemuliaan tidak terletak pada harta, pada jawatan, pada status sosial, pada kemantapan fizikal dan material, tapi pada nilai hubungannya dengan ALLAH SWT.

Dekatkanlah diri pada ALLAH untuk mulia di sisiNYA.

Orang yang punya izzah tidak merasa rendah diri dan hina di sisi orang-orang kafir, musyrik dan munafik.

Orang-orang yang punya 'izzah tidak terlalu memikirkan dirinya pada penilaian manusia, namun bagaimanakah kelak dirinya akan kembali menghadap Tuhan Yang Maha Pemilik Kemuliaan.

Kesimpulannya..ayuh membangun 'izzah dalam diri, agar izzah itu menjadikan kita melalui lehidupan ini dengan yakin, sejahtera perjalanan menuju tuhan... Agar 'izzah itu membawa kita menghadap tuhan dengan tenang lagi penuh keselamatan...


Rujukan: Tafsir Al-Mishbah, Tafsir Al-Aisar, Tafsir Ibnu Kathir

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...