Monday, November 15, 2010

Poligami: Andai Bersedia, Kurang Terasa




Dulu, sewaktu hari-hari bernikah semakin hampir, timbul rasa hati yang kuat untuk tidak meneruskan ke ikatan pernikahan. Aku tidak mahu dan tidak sanggup hidup berpoligami.

Fikirku, kalau berkahwin, hari-hari yang berpisah dengan suami, adalah kerana suami kembali kepada isterinya (selain keluar bekerja), perempuan pertama dalam hidupnya. Aku akan cemburu memikirkan waktu-waktunya dengan isteri lain. Aku tak suka jika suami tiada di sisi waktu diriku memerlukannya, apatah lagi jika ketiadaannya adalah kerana keberadaan dia dengan perempuan lain [baca: isterinya].

Apa perasaan kalian jika suami kalian pergi meninggalkan kalian untuk bersama perempuan lain? Untuk menjalankan tanggungjawab lahir batin? Untuk bermesra dan memesrai perempuan lain (isterinya yang halal)?

Sewaktu kalian menginginkan keberadaan suami suami di sisi, memerlukan, merindui.. ternyata suami ada bersama perasaan dan diri lain bernama perempuan untuk lebih diberi perhatian? Apatah lagi dalam kesulitan kalian menjaga anak-anak, suami keluar dalam suka gembira bertemu cinta dan kekasih barunya..apa yang kalian rasa..?

Kalian yang bernama perempuan amat memahami kan, rasa tak tentu arah bila membayangkan kehidupan suami bersama isteri lain – rasa bercampur baur yang tak terungkap dengan kata-kata – cukuplah air mata dan kemuraman berpanjangan menjadi penterjemah rasa hati kerana suami ingin berkahwin lagi. Suami belum berkahwin, dah rasa tak tentu arah, apatah lagi kalau benar berkahwin lagi.

Rasa hati itu yang kuat mendorongku untuk menyampaikan pada bakal suami bahawa aku tidak mahu bernikah dengannya.

Tapi ada rasa lain yang menahan, rasa yang bukan sekadar ingin hidup di dunia sementara, namun rasa yang seolah membawa diri ini sampai dihadapanNYA. Rasa yang tidak pernah meragui janjiNYA.

Rasa yang memujuk dan membelai jiwa bahawa hidup yang dirindukan bukanlah tempat persinggahan bernama dunia, yang dirindukan adalah kehidupan hakiki yang nyata.

Hati terlupa, destinasi cintaku bukan cinta suami, namun destinasi cinta ku CINTA Yang Maha Abadi, Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengasih.

Cinta suamiku itu wasilah indah dalam meredah perjalanan menemui Pencipta. Hanya ingatan pada ALLAH yang memadamkan segala rasa tak tentu arah.

Hingga akhirnya aku bernikah. Merasai hari-hari yang bahagia dan indah. Juga jalan yang payah sering mencelah. Alhamdulillah rasa tak tentu arah tidak lagi menerpa ke fikiran apatah lagi mengganggu kehidupan. Ketakutan dan kerisauan pada diri menghadapi ujian poligami sirna seketika. Diri bersedia menghadapi cabarannya. InsyaALLAH.

Dan kemudian masa berlalu... diri mula berfikir, andai suamiku menyatakan hasrat berkahwin lagi? Datang lagi rasa tak tentu arah. Ku rasakan seandainya suami kahwin lagi, kelak cinta kasih suami akan pergi dari taman-taman bahagia yang baru dibina di hati..

Namun, tatkala suami (atau sebenarnya diriku?) menyebut tentang berkahwin lagi, tatkala kami berbicara isu poligami - rasa tak tentu arah pergi dengan sendiri.

Kerana ada rasa yang mengingatkan bahawa hidup ini semakin beerti tatkala cinta kerana ALLAH berusaha diterjemahkan seikhlas hati.


Ikhlas itu payah namun hasilnya indah. Ikhlas mencintai suami, sudikah merestui keinginan suami beristeri lagi? Ikhlas mencintai saudara perempuan kerana Ilahi, sudikah suami tercintaku ini dikongsi…?

Muhasabah ini untukku lebih tabah menghadapi apa jua situasi. Apapun rasa, kurang terasa andai menjangka dan bersedia.

*Artikel ini ditulis selepas beberapa bulan bernikah.

4 comments:

puteri said...

Assalammualaikum adik... Tersentuh m'baca entry ni. Byk yg kita xtau ttg poligami...I been there before... Now I let it go....

Anonymous said...

salam.akak suka entri akak..very inspiring..teruskan menulis!

Anonymous said...

itulah perasaan seorang isteri apabila suaminya menyatakan hasratnya tuk berpoligami... bagi puan sebagai isteri kedua,berperasaan seperti itu, apatah lagi perasaan isteri pertamanya.... saya merupakan isteri pertama yang bakal dipoligami... terasa amat perit perasaan itu. sedih, kecewa, cemburu dan sebagainya.... macam2 di fikiran... namun, setelah saya mendekatkan diri kepadaNya dan belajar mencintaiNya,benar-benar menguatkan hati saya untuk membenarkan suami saya berpoligami walaupun kadang-kadang bisikan syaitan itu melemahkan semangat saya... saya tahu bahawa seorang suami itu bukan hak milik kita sepenuhnya. Allah berkuasa dan lebih berhak untuk menentukan segalanya.. Sesungguhnya sabar, redha dan ikhlas dengan segala ketentuanNya adalah sebaik-baiknya. Semoga Allah memberi saya ketabahan, kesabaran, dan ketenangan dalam menghadapi kehidupan ini. Sesungguhnya saya amat yakin bahawa Allah tidak akan mempersia-siakan hambaNya yang bersabar.... Kurniakanlah kekuatan kepada ku untuk menghadapinya, Ya Allah..

Anonymous said...

Saya jg bkl merasai ape yg akak rs sbg isteri ptama.. Sdh..

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...