Skip to main content

Memilih pakaian terbaik


Assalammu’alaikum wa rahmatullah

Moga Abdullah, jua semua hamba ALLAH yang disayangi sihat sejahtera dalam naungan rahmatNYA.

Terasa begitu cepat masa berlalu, baby Abdullah hampir mencecah 3 bulan, dengan berat lebih kurang 7kg. Alhamdulillah.

Abdullah sihat dengan nikmat makan minum dari rezeki yang ALLAH berikan. Betapa ‘sihatnya’ Abdullah, mama pun pergi shopping baju Abdullah beberapa helai baju yang lebih besar untuk menggantikan baju lama yang makin sendat dan pendek.

Semalam di Giant Klang Sentral, mama beli 3 pasang baju dan 2 pasang stokin. Kaki Abdullah dah makin gemuk, tak muat stokin yang lama.

Hmm beli kat Giant je…?

Takpe lah Abdullah.. walaupun beli kat Giant mungkin nampak tak glamour macam beli kat shopping mall lain, namun mama berusaha pilih baju yang berkualiti dengan harga yang sederhana(murah...!?). Sepasang baju lengan pendek RM 15.90, dan lagi dua pasang baju lengan panjang RM 8.90 setiap satu. Dan harga stokin pula… RM 0.99 sen sehelai. Murah, cantik dan baik kainnya. InsyaALLAH.

Alhamdulillah anakku, baju baru dapat dipakai. Ada baby baby lain yang bukan sekadar bajunya lusuh dan sempit, malah ada yang diuji kesempitan hidup tidak cukup makan minum.. hanya minum air kosong dan bubur bersama kicap..

Hari ini mama ke Jusco pula membeli beberapa barang lain, dan mama juga membeli tiga pasang lagi pakaian Abdullah.

Tapi, di Jusco ini, mama terpaksa bermujahadah untuk tidak membeli baju Abdullah yang mahal-mahal.. Dengan brand, rekaan dan corak serta kualiti yang lebih pelbagai, baju-baju terdiri dari harga kadar murah, sederhana dan amat mahal.

Mama belek-belek baju baby yang mahal dan murah silih berganti.

Sambil mama menolak Abdullah yang tidur lena dalam stroller, mama mengingatkan diri.. “Adakah Abdullah benar-benar memerlukan baju mahal yang cantik atau mama hanya ingin memuaskan kehendak hati mama melihat Abdullah memakai ‘pakaian yang mewah bergaya’ untuk seorang bayi..?”

Alhamdulillah dengan gaji yang ALLAH kurniakan pada papa, papa InsyaALLAH mampu untuk menanggung kos baju Abdullah yang mahal cantik bergaya. Tapi papa tidak mengajar kita untuk berbelanja boros apatah lagi membazir..



Jadi harapnya bila Abdullah semakin besar, Abdullah boleh jadi pengingat mama agar berhemah berbelanja dan selalu selalu kita ingat mereka yang kesempitan hidup untuk mematikan nafsu yang teruja dengan pakaian dan perhiasan lainnya – yang bukan keperluan, yang hanya runtunan perasaan.

Untuk mama-mama yang ingin memakaikan pakaian yang indah pada baby, silakan mengikut kemampuan. Asal jangan keterlaluan. Nikmatilah kurnia ALLAH sebaiknya...

Apa yang lebih penting, mama perlu memakaikan Abdullah dengan pakaian taqwa dan akhlak mulia. Hidup di akhir zaman ini, mudah saja manusia untuk mementingkan aspek luaran dan fizikal, namun mengabaikan aspek jiwa dan roh. Sedangkan taqwa itu adalah pakaian terbaik, dan dengan taqwa itulah manusia punya nilai di sisi ALLAH.



Allahu akbar, mama yang bercakap tentang taqwa ini masih bergelut untuk meneguhkan taqwa. Untuk mendapatkan pakaian taqwa, bukan dengan duit anakku. Tapi dengan ilmu yang membawa pada keimanan dan amal soleh = orang bertaqwa.

Abdullah.. mama akan terus berusaha menghidupkan iman di hati ini.. InsyaALLAH. Agar kelak mama mampu menumbuhkan jiwa Abdullah dengan bunga-bunga keimanan yang akhirnya menjadi buah amal soleh dan peribadi mulia.

Comments

sumayyah said…
hohoh makja da takdpt lg teman mama beli baju..

hurm paham je betapa peningnya mama abdullah nak pilih yg mana satu..murah,sederhana or mahal..

..hee abdullah dlu cam muka klang,tp skg da ikut muka papanya pulak,bese la ek baby muka bubah2..

huu rindu ini membahagiakan..^_^

Popular posts from this blog

Menjadi isteri kedua

Ketika suami menikah lagi...

Adab Isteri Dalam Rumahtangga Poligami

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?