Skip to main content

Suami Isteri: Masih Adakah Ruang Perbaikan...?


Dia temanku, seorang isteri yang baru bercerai.

Saya simpati.. kerana perceraian adalah menyakitkan. Namun, saya teringat pesanan seorang sahabat bahawa penceraian bukanlah perkara yang buruk, ia adalah ujian dari banyaknya ujian ALLAH yang lain. 

Dan percayalah, takdir ALLAH SEMUANYA baik. Perceraian membuka ruang untuk bertemu jodoh lain yang lebih baik, atau mungkin juga membina kembali rumahtangga yang jauh lebih baik dengan insan yang sama.

Setelah beberapa minggu bercerai, suaminya datang kembali ingin merujuk.

Pertama kali membaca kisah yang membawa kepada perceraiannya, saya terus bersetuju kalau dia bercerai.

Dan saya juga sependapat agar jangan melayan sebarang ajakan untuk rujuk kembali, kerana betapa teruknya perangai suami itu (maki hamun, mencarut tapi lelaki itu tak pernah memukul, kata isteri). Sikap keluarga suami juga mendatangkan stress dan kelukaan di hati isteri.

Namun bila saya memikir-mikir semula kisahnya, saya merenung-renung berbagai perkara.

Antaranya, saya kasihan dengan si suami. Walaupun nampaknya dia di pihak yang salah, dia pasti masih punya kasih pada anak dan isteri yang telah diceraikan.

Seorang suami pasti bersedih terpaksa bercerai kerana karakter buruknya, sedangkan suami itu juga manusia biasa yang ingin memiliki karakter suami yang lebih baik dan lebih disayangi ALLAH serta insan-insan lain..

Dan yang saya fikirkan juga ialah – apakah segala keburukan, kesalahan dan kejahatan seseorang suami atau isteri itu harus diselesaikan dengan perceraian..?

Sejauh mana kita harus bertahan..? Semudah mana harus kita memutuskan ikatan..?

Apa yang membuatkan kita mampu menjalin semula ikatan pernikahan yang telah renggang atau terungkai…?

Buat diri-diri yang telah beristeri dan bersuami, ayuh kita sama-sama memperbaiki diri dalam sebuah alam perkahwinan...

Kita semua datang dari keluarga yang berbeza-beza, mendapat pengalaman hidup dan didikan awal yang berbeza-beza.

Jadi proses pmbinaan rumahtangga bahagia dan perbaikan harus bermula dari awal-awal lagi.

Di awal-awal pernikahan, lihatlah kebaikan-kebaikan pasangan, pujilah dan hargailah agar dia bermotivasi untuk mengekalkan kebaikan-kebaikan yang ada itu.

Namun jangan terlupa melihat kekurangan dan kesilapan si dia yang disayang, kesalahan itu bukan untuk kita besar-besarkan namun untuk saling menasihati, membimbing dan memberi kekuatan melakukan perubahan.

Jangan menunggu hingga berbulan-bulan apatah lagi bertahun untuk kita menegur kesalahannya. Jangan menunggu lama untuk kita meluahkan rasa tidak seronok dan rasa sedih kita dengan beberapa tingkahnya. Jangan memendam rasa atas hak-hak yang diabaikannya.

Hingga setelah sekian lama keluarlah antara 'ayat-ayat yang membunuh' seperti:

“Sejak kahwin abang tak pernah gembirakan saya..”

“Perangai buruk awak tak pernah berubah..”

“Selama dua tahun kita hidup ni, setiap hari saya makan hati dengan awak..”

Kenapa ini ayat-ayat membunuh..?


Kerana frasa ‘tidak pernah’ dan ‘setiap hari’ yang digunakan dalam konteks itu adalah ayat yang cuba menafikan sebarang kebaikan yang pernah dan sedang diusahakan pasangan..

Tegurlah kelemahan dan kesilapan pasangan kita secara jelas namun berhikmah. Kongsikan apa yang kita rasa dan fikirkan tentang hak kita yang diabaikan, komunikasikan sedalam mana kesilapan dan tindakan salah suami atau isteri itu menghiris atau memakan perasaan.

Jangan fokus pada kesalahan pasangan, itu memberi tekanan lagi membosankan. Namun jangan juga dibiarkan, itu akan makin merosakkan karakter pasangan.

Kita ambil yang pertengahan dalam memperbaiki keadaan. Pertengahan yang bagaimana..? Tentunya yang bersesuaian dengan gaya rumahtangga kita, tak semestinya ikut pendekatan rumahtangga orang lain.

Yang sering terjadi ialah, apabila melihat keburukan karakter orang lain, kita akan menjauhkan diri dari orang itu.

Adakah kita hanya ada kekuatan untuk menyebutkan kesalahan suami atau isteri pada orang lain, tapi kita seolah tak berdaya membawa suami atau isteri duduk bersama kita memuhasabah diri.


 
Ya, sangat susah untuk melihat perubahan karakter negatif pasangan. Bukan seminggu, bukan sebulan, malah mungkin bertahun pun masih tak berubah. Maka, sangat sedikit yang mahu membantu dan bersamanya memperbaiki diri, sangat sedikit yang mahu menasihati dengan hikmah dan penuh kesabaran.

Namun jangan kita menyerah kalah dan memilih meninggalkan pasangan dengan kelemahannya itu. Dia memerlukan kita untuk memberinya kekuatan melalui kehidupan ini. Di juga sangat merindukan keharmonian sebuah keluarga.

Dia memerlukan kita untuk menjadi suami dan isteri yang lebih baik, hanya saja kita yang bernama suami dan isteri mungkin kurang terdedah kepada ilmu-ilmu komunikasi dan tips-tips untuk menyembuhkan dan meneguhkan kembali rumahtangga yang hampir roboh dengan taufan kesalahan.

Kerana keharmonian pernikahan sesungguhnya sebuah proses yang panjang – proses mengenali, proses mencari keserasian, proses membina keperibadian suami dan isteri yang lebih baik..

Pernikahan bukan sekadar untuk menikmati kebaikan dan kelebihan pasangan, namun terlebih penting bagaimana untuk terus sayang, saling membimbing dan bergandingan apabila keburukan menjelma menutupi kemanisan rumahtangga yang didirikan.



Untuk perbaikan, pertama, kedua-dua pihak harus telus mengenalpasti kesilapan dan mengakui kesalahan masing-masing, jua bersedia untuk berubah. Juga tidak saling menyalahkan, namun saling memaafkan tanpa syarat.

Antara pepatah yang sering didengar tentang alam pernikahan ialah:

Pernikahan memerlukan kita jatuh cinta berulang kali pada orang yang sama.

Mungkin boleh juga ditambah:

Pernikahan memerlukan kita menghadiahkan maaf berulang kali kepada orang yang sama.

Di bawah ini saya kongsikan contoh ayat-ayat yang boleh dipelajari untuk kita saling menasihati sesama suami dan isteri, ayat-ayat ini ada yang boleh digunapakai secara bersemuka atau SMS.

Ini adalah hasil pembacaan saya dari buku-buku tentang relationship, juga mengolah pengalaman sendiri dan orang lain.

*kerja-kerja pembaikan pernikahan sedang dijalankan*

Babak A

“Sayang..boleh abang cadangkan sayang pakai baju kurung yang lain, baju ni sesuai kalau kita nak pergi dinner kat hotel, tapi tak sesuai untuk ziarah mak yang sakit di hospital...” lembut tegur si suami.

“Ohh ya ke, hmm ok sayang tukar.. thanks abang tegur.. hmm baju kurung biru atau yang hijau lembut ni sesuai tak?” isteri menerima teguran dengan rendah hati dan lapang dada.

Babak B

“Abang..saya nak kongsi dengan abang kelemahan diri saya.. saya sebenarnya tak boleh nampak orang yang kaya, saya rasa sakit hati, saya rasa tak suka.. saya rasa mereka ni sombong, kedekut.. saya tahu itu negatif, saya cuba buang, tapi perasaan tu selalu datang.. sebab tu saya kadang-kadang rasa berat dan tak suka pergi open house saudara mara abang yang kaya-kaya tu…” luah si isteri dengan nada yang tenang namun rasa bersalah.

“Ohh macam tu ya.. patutlah abang nampak kadang-kadang sayang menyendiri bila kita selalu pergi rumah Auntie XXX. Abang tak perasan pula, sebab sayang pandai bawa diri, sayang ada juga beramah mesra dengan mereka.. takpe abang cuba faham..hmm macam ni lah, abang rasa kita cuba teruskan perlahan-lahan bergaul dengan mereka..bukan semua orang kaya sombong dan kedekut.. tapi kalau sayang rasa tak selesa, kita boleh balik awal-awal.. ok ke cadangan abang..?” begitu respon suami melegakan hati isteri.

Babak C

“Abang..terima kasih abang luangkan masa dengan saya.. Baby dalam perut ni suka dengar suara abang bercerita kisah-kisah dari Al Quran..hmm .." luah isteri gembira bila suami menyediakan masa 'bersembang' dengan anak yang masih dikandung.

"Terima kasih banyak-banyak juga abang, abang penat kerja.. tapi abang juga yang banyak buat kerja-kerja rumah.. minta maaf alahan mengandung saya ni teruk, saya memang rasa tak larat.. tak dapat nak masak, tak dapat nak layan abang sangat..” luah isteri.

“Takpelah, sayang pun banyak selesaikan urusan rumahtangga, jaga rumah, tengokkan mak ayah abang.. sayang tengok-tengokkan studi adik-adik abang.. Baaaaaaaaanyak kebaikan sayang, nanti baby ni pun baik macam ummi dia..” respon si suami yang menggembirakan hati isteri.

Babak D

“Alamak..kita dah salah jalan ni..” ujar suami.

“Takpe abang..bagus juga kita explore jalan baru.. hmm kita dah lewat nak lunch, sian abang dah lapar ya.. saya ada cadbury..abang makan lah sikit bagi tambah tenaga nak pusing-pusing cari jalan nie..” begitu respon isteri hingga isteri dapat markah lebih dari suami.

BABAK E

“Sayang pandai masak, sayang rajin berkemas, sayang jaga anak kita dengan baik.. abang happy sayang jadi isteri abang.. dan abang lagi happy kalau sayang boleh lebihkan masa di rumah dengan famili.. dua bulan ni abang nampak sayang busy sangat dengan kerja-kerja bisnes tu.. " itulah antara teguran berhikmah suami bila isteri nampak tidak seimbang dalam menguruskan rumahtangga dan kerjaya.


BABAK-BABAK SETERUSNYA

“Abang saya happy sangat bila abang…bla..bla..”

“Sayang betul-betul hargai bila abang..bla..bla..”

“Saya bahagia ada abang sebab abang..bla..bla..”

“Saya selesa bila abang..bla..bla..”

Pujilah, dan sebutlah secara spesifik perkara yang kita suka suami lakukan. Moga dia akan terus melakukan.

Dan di sebalik segala pujian dan penghargaan, kongsikan juga secara lembut dan tenang satu dua perkara negatif tentang suami [spesifik] yang membuat kita kerap berjauh hati dengan suami.. insyaALLAH suami menerima dan bertekad membetulkan kesilapan.

“Abang saya sedih, takut bila abang…bla..bla..”

“Abang saya tak selesa dan tak seronok bila abang…bla..bla..”

“Ok sayang, abang cuba baiki.. sayang ingat-ingatkan abang ya.. “ respon suami dengan baik bila isteri bukan sekadar menyebut-nyebut kelemahannya, namun isteri juga mengiktiraf kebaikan dan kelebihan dirinya.


*kerja-kerja meruntuhkan pernikahan sedang dijalankan*


BABAK A

“Apa pakai macam ni! Pakailah elok-elok sikit..!” sergah si suami.

“Alah abang ni, yang saya pakai semua tak kena!.. Abang pergilah sorang..!” isteri pun menjawab keras dan bermasam muka.


BABAK B

“Apasal pulak tak suka orang kaya..???? Apasal yang awak kolot sangat..orang-orang kaya memanglah gaya hidup macam tu..?!” terus berubah marah wajah suami dengan luahan isteri yang tak selesa dengan gaya hidup orang-orang kaya.


BABAK C

“Kenapa tak sampai-sampai lagi ni? Kenapa abang ikut jalan lain? Abang ni selalu sesat.. Itulah saya dah cakap ikut jalan tadi tu..abang nak juga ikut jalan ni” rungut si isteri.

“Itulah abang..kan saya dah cakap, tapi abang degil nak buat jugak..”

“I told you so.. see??!

"Itulah..saya dah cakap..!” atau “I told you so..” adalah frasa yang kalian perlu buang dari kamus hidup berumahtangga kerana ayat itu menyakitkan, menjatuhkan dan tak membina langsung.

Ayat-ayat lain yang perlu dibuang:

“Abang tak pernah gembirakan saya…”

“Abang selalu buat saya sedih..”

“Kenapalah abang ni tak macam suami orang lain..”

Kadang-kadang mungkin kita tak sedar – konflik dan pergaduhan suami isteri itu banyak berpunca dari pilihan perkataan, nada dan susunan ayat... Bad communication secara halus menghiris perasaan dan akhirnya menjadi luka bernanah yang sukar disembuhkan.

Bersediakah kita belajar bercakap untuk berubah ke arah pernikahan yang mantap?

Buatmu duhai teman, bersama kita memohon pada ALLAH setulusnya, agar menunjukkan kita dan pasangan jalan untuk memperbaiki hubungan, sama ada kita sudah bercerai atau kita berada di fasa-fasa yang menunjukkan jalan perceraian.

ALLAH tidak mengizinkan ujian buruk ini berlaku padamu duhai teman, namun kita sangka baik pada ALLAH - bahawa gelombang hebat dalam rumahtangga ini ALLAH hadirkan kerana ALLAH berkehendak kita menjadi lebih baik pada pasangan, lebih baik dalam mendekati tuhan.



“Abang… saya minta maaf, saya betul-betul minta maaf.. Saya minta maaf kerana ________, ________ dan __________. Saya sayang sangat kat abang dan rumah tangga kita. Saya dan anak kita perlukan abang, perlukan kasih sayang abang, perlukan sokongan dan dorongan seorang suami dan ayah. Abang…kita mulakan sekali lagi.. kita sama-sama saling mengingatkan ya… “ lafazkanlah tulus dari hati.

ALLAH mensyariatkan perceraian selama tiga kali (sampai talak tiga).

Hikmah yang saya nampak ialah suami isteri ada ruang dan kesempatan untuk kembali berbaik-baik, ada peluang bersama memperbaiki diri dan mudah-mudahan perceraian pertama menjadi momentum hebat untuk mendapat perkahwinan yang hebat [samaada kembali berkahwin dengan orang yang sama, atau pernikahan dengan orang lain].

Usahakanlah meminta maaf dan memberi maaf setulusnya. Kongsikan harapan dan perasaan dari lubuk hati terdalam, duduklah secara aman bersama pasangan membincangkan strategi dan hala tuju perubahan yang ingin dilakukan.

Setelah kembali berbaik, kita pasti tak dapat melupakan kisah-kisah sedih dan perit yang berlaku antara kita suami dan isteri – bagilah masa pada diri sendiri untuk mengusir kesakitan dan kelukaan itu.

Namun, jangan sering mengulang tayang di minda kita pergaduhan atau konflik teruk yang telah berlaku – itu akan menghalang kita membina kebahagiaan di depan. Akan menghalang pandangan kita untuk melihat kemampuan pasangan merubah diri menjadi lebih baik.

Dan seandainya setelah difikir-fikirkan dengan mendalam, bahawa amat rumit untuk kembali melalui kehidupan dengan pasangan yang sama, kita tak mampu membina semula cinta, kita tak mampu menahan keburukannya, maka di sana ISLAM menyediakan perceraian agar suami isteri tidak saling berdosa kerana terus menyakitkan pasangan.

Apapun, jika status berubah bukan sebagai suami isteri, kita ada ikatan persaudaraan islam yang tetap mengikat kita dengan bekas pasangan.

Sebagai seorang saudara muslim, dia tetap memerlukan tulus doa dan tulus cinta kita kerana ALLAH, selagi dalam batas syariatNYA.

Sekian perkongsian, moga menjadi muhasabah pada diri ini dan para pemikul amanah rumahtangga.. moga ujian-ujian ini menjadi wasilah kita meraih ampunan dan syurgaNYA…




Comments

Anonymous said…
alhamdulillah..perkongsian yang sgt2 diperlukan ketika ini..
Anonymous said…
TERIMA KASIH ... syukur Allah memberi saya berjumpa dgn artikel ini .. semoga Allah memberkatimu dan keluarga. amin.
dR.DidiE said…
beautiful sharing akak!huhu..tersentuh!
Maslina said…
terima kasih :) insyaAllah saya akan cuba amalkan. suami saya sangat baik, tp saya rasa saya masih banyak kekurangan...moga dapat sedikit bimbingan dari blog kamu.terima kasi sekali lagi :)
Anonymous said…
Beautiful insights.....apabila diduga di alam perkahwinan, jalan Allah sahaja ubat kepada kesedihan dan membawa suami isteri kembali ke jalan kebahagian....Alhamdulillah.
Anonymous said…
sedang sedih...hubby sedang merindu kekasih lama...setelah 12 tahun...ples advis me...
Alhamdulillah, terima kasih atas perkongsian dan pandangan :)

kita manusia banyak silapnya, fokus pada memperbaiki diri kita, dan menghulur tangan sebaiknya untuk mengajak pasangan ke arah yang lebih baik..

pada hubby yang merindu insan lain, selain berdoa, kita muhasabah diri, di mana kita boleh perbaiki diri kita - agar suami teringat-ingat pada kita juga...

moga ALLAH membantu rumahtangga kalian~
Me said…
hanya mampu menitiskan air mata meminta EHSAN ALLAH maha mengasihi
Anonymous said…
Kalau sebelah pihak je nak berubah, suami tak nak berubah macam mane? Sebab isteri saje harus 'turut taat'.
Anonymous said…
Terima kasih di atas perkongsian ini.. Cukup tersentuh jiwa..Alangkah indahnya hidup ini jika kita ditakdirkan pasangan bahagia dan saling membahagiakan pasangan.. Sama-sama kita berdoa dan lebih mendekatkan diri pada Allah..Moga Allah kabulkan permintaanku.. Isteri solehah dan suami soleh..Impianku menjadi hamba Allah Yang solehah,anak solehah, ibu solehah, isteri solehah, muslimah solehah.. Bahagia di dunia dan akhirat. InsyaAllah.. Amin...

Popular posts from this blog

Menjadi isteri kedua

Ketika suami menikah lagi...

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?

Poligami: Bersedia Hadapi Ombak Perasaan

Pengalaman Sebagai Pembantu Di Klinik