Monday, November 29, 2010

Kitakah isteri yang dicari...?




Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami.

Bukan lelaki sahaja yang bisa tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang bernama perempuan itu juga bisa bergetar hatinya melihat lelaki yang soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH agar dipilih oleh lelaki soleh itu..

Betul tak saudara-saudara perempuanku… :P

[Ya, bukan semua.. sebahagian perempuan tidak terusik hati pun dengan kebaikan dan kesolehan lelaki…]

Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu…

Ada yang inginkan yang kaya dan hensem..yang penuh sifat kelelakian.

Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’…

Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan.

Namun, apakah realiti yang sering berlaku…?
Bila suami baik…

“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur.

Bila suami bertanggungjawab…

“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..”

Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak.

Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki..

Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…?

Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..?

Bila suami peramah..

“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..”

Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin.

Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh…

“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati.

Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif..

Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..”

Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman.

Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’.

Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi.

“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..”

“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…”

“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…”

Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya.

Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya.



Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik].

Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan.

Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..?

Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…?

Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…?

Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan?

Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu.

Tapi realiti nya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu.

Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi.

Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah.

Mampu membawa diri yang bagaimana..?

Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya).

Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita.

Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu..

Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati.

Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan.

Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya..

Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman..

Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapapun ditakdirkanNYA buat kita…

Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan..

Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan..

Sekian perkongsian, harap bermanfaat..

Thursday, November 25, 2010

Ayuh selesaikan hutang...!



Sambil duduk meriba Abdullah yang kusyuk menyusu, saya membaca salah sebuah kitab hadis yang merupakan mutiara ilmu peninggalan Rasul SAW.

(Bila menyusukan Abdullah (susu badan), samaada saya akan berada di hadapan laptop melompat dari satu blog ke satu blog, atau dari satu laman ke satu laman maya yang lain. Jika tiada selera dengan internet, saya akan duduk di sofa ruang tamu, sebelah tangan memangku Abdullah, sebelah lagi membaca buku.. Ada banyak kategori buku yang saya suka, dan ada juga yang saya paksa untuk suka.)

Bila tiba bab hadis tentang hutang, hati saya berdebar-debar. Gementar membaca ancaman-ancaman Allah tentang mereka yang meremehkan hutang (tidak membayar hutang).

Saya termasuklah dalam kumpulan itu.. ada beberapa hutang tertangguh dan saya dalam proses melangsaikannya.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah)

Wah, orang yang mati syahid, yang berperang di jalan ALLAH (amal yang paling utama) pun tidak diampunkan dosa hutang, apatah lagi kita yang beramal biasa-biasa ini…

Harga barang semakin naik, kos perkhidmatan yang bertambah, hutang kereta, hutang rumah.. Tol dan petrol yang menjadi bajet terbesar dari gaji bulanan, bajet untuk mak ayah, bajet nak kahwin..

Dua minggu selepas dapat gaji, duit kita pun dah habis..

Apa pilihan yang kita ada selain berhutang..?

Ayuh kalian semua, kita melangsaikan hutang! Ayuh bekerjasama melangsaikan hutang..!

Jika kalian ada lebihan duit, kalian bantulah diri sendiri menyelesaikan hutang.

Jika ada lebih lagi, bantulah diri orang lain menyelesaikan hutang..

"Barangsiapa memberi tangguh orang yang kesulitan untuk membayar hutang maka Allah akan menaunginya di hari kiamat pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya" (Hadits Riwayat Muslim)

Ohh..tapi jarang sungguh ada lebihan duit kan.. Hanya cukup-cukup, atau memaaaaaang tak cukup.

Duit dan hutang adalah antara topik terhangat kalau kita bersembang dengan teman-teman tika ini. Kita bertukar keluhan, jua bertukar pandangan bagaimana lagi harus kita akan menambah pendapatan.

Tapi jangan lupa temanku, kita perlu berusaha menjadi kaya seperti yang didefinisikan oleh Rasul SAW

“Bukanlah kekayan itu dengan banyaknya harta. Tetapi, sesungguhnya kaya itu ialah kaya jiwa.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bila kita kaya jiwa dengan; banyak kesabaran, banyak kemaafan, banyak kelembutan, banyak memberi bantuan dan banyak kebaikan, maka PASTI ada laluan rezeki yang ALLAH buka buat kita.


Juga seperti janji ALLAH, barang siapa yang membantu saudaranya, pasti dia pun mendapat bantuan ALLAH.

“…Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat…” (Hadis Riwayat Muslim)

Moga ALLAH membantu dengan rezeki dan nikmat lain-lain dari NYA.

Dan tahukah siapa orang yang miskin sebenarnya di sisi ALLAH…?

"Bukanlah digelar miskin orang yang berkeliling di kalangan manusia lalu diberi satu atau dua suap (makanan) dan satu atau dua biji kurma. Akan tetapi yang digelar miskin ialah orang yang tidak menemui kekayaan yang mencukupi keperluannya (yakni kaya tetapi masih merasakan tidak cukup), tidak mengerti ke manakah hartanya patut disedekahkan dan tidak mahu berusaha sebaliknya hanya meminta-minta kepada manusia." (Hadis Riwayat Bukhari)

Lama dulu sewaktu zaman belajar di UiTM, seorang sahabat saya sering menceritakan betapa kita semua manusia telah ‘terjerumus’ ke dalam ‘sistem’ dunia yang merosakkan kita semua. Dia banyak kali membuka topik itu, tapi dengan schemata atau background knowledge yang minima pada saya, saya sukar memahaminya.

Kini setelah beberapa tahun berlalu, saya jadi semakin mengerti dan saya juga ingin mengeluarkan diri dari sistem yang menjadikan manusia menjadi hamba material dan hamba nafsu.. [ohh mengertikah kalian..??]

Sistem apakah itu..?

Sistem yang dicipta oleh konspirasi hebat agar menjerumuskan manusia jauh dari nilai-nilai fitrah.

Manusia dicipta ALLAH punya tujuan yang murni dan tinggi ; menjadi khalifah yang seharusnya ke depan dalam memimpin manusia. Jadi ALLAH datangkan manusia ke bumi lengkap dengan sistem kehidupan ALLAH yang syumul, yang dengannya manusia TENANG di DUNIA dan BAHAGIA di SYURGA.

Akan tetapi sistem yang sesat lagi menyesatkan telah berjaya mendapat tempat di hati manusia di peringkat antarabangsa…

[ishh.. sistem apa ni, tak faham lah..]…

Sistem bersosial, sistem pendidikan, sistem ekonomi yang dijana Yahudi yang dilaknat.. dan lain-lain sistem palsu telah menjauhkan manusia dari sistem ALLAH. Inilah akhirnya yang menjadikan manusia sangat sangat sangat tertekan, seolah berada dalam kegelapan. Hilang kebahagian jauh dari ketenangan.

( Lihatlah pada diri sendiri, apa yang berlaku.. jika masih tak faham, silalah kita membaca tentang sejarah kejatuhan dunia, konspirasi Yahudi, gerakan kebangkitan islam dan beberapa topik lagi yang boleh membangkitkan kita dari lena yang panjang.)

Antara sistem yang memanipulasi nafsu dan kehendak manusia ialah sistem berhutang.

Untuk sambung belajar di universiti, kita perlu berhutang. Contohnya pinjaman MARA, PTPTN.

“Menuntut ilmu kan wajib..?? Apa salahnya berhutang..?? Nanti dah dapat kerja yang baik, kita bayarlah…”

“ Betul ke menuntut ilmu.. atau kita mengejar degree hanya untuk dapat kerjaya yang baik..?”

Belajar di universiti, sibuk dan serabut dengan assisgnment, kemudian exam. Di antaranya ada aktiviti-aktiviti non-akademik dan kemasyarakatan. Perkara yang sama berulang hingga tahun akhir.

Universiti mempunyai visi melahirkan seorang pemikir ummah, mencetak orang yang bermanfaat pada orang lain.. Universiti sepatutnya meningkatkan jati diri dan ilmu dunia akhirat.

Adakah kita produk universiti yang sebegitu..?

Atau kita keluar bekerja, dengan gaji itu hanya memuaskan nafsu yang tidak pernah habis.. ohh saya perempuan, saya saaaaaaaangat suka baju walau almari dah tak muat, saya suka handbag, suka kasut, saya suka jalan-jalan melancong makan angin..

Adakah setelah tempoh yang panjang di universiti, kita keluar hanya untuk bekerja dan berbelanja mementingkan diri sendiri..?

“Ohh tidak.. saya bantu mak ayah, saya sedekah kepada pada orang miskin.. saya buat tusyen percuma, saya terlibat juga dengan NGO untuk aktiviti kebajikan.. “

Alhamdulillah.

Sangat sangat sangat sangat sangat menyedihkan jika di sekolah menengah, jika di zaman remaja kita mendapat acuan baik, mendapat tarbiyyah dan belajar mencintai dakwah, tapi bila menjejak kaki ke IPT, kita meninggalkan kemanisan tarbiyyah islamiyyah. Menginjak kaki ke IPT, kita memudarkan zaman remaja yang cinta solat. Kita lupa adab baik pergaulan lelaki perempuan, kita lupa menjaga kesopanan penampilan…

Apabila keluar universiti, solat makin terabaikan. Pakaian kita yang perempuan, terbuka dan makin pendek satu persatu. Pakaian muslimah yang dulunya sopan mengikut sistem ALLAH, bertukar mengikut sistem fesyen antarabangsa, semakin ketat, semakin nipis dan semakin jarang.

Dengan pergaulan lelaki perempuan tiada batas yang memisahkan, malah kita tertanya pula.. “what so bad about this kind of relationship???” Kita tenggelam dengan hiburan dan pergaulan tanpa batasan yang ‘ditaja’ universiti. Kita secara halus dirosakkan dan merosakkan jati diri..

Dan kita berhutang membayar PTPTN puluhan ribu, ditambah ribanya yang banyak, untuk melalui kehidupan kampus yang sebegini.. Nauzubillah.

Bukan semua produk universiti begitu. Jangan kita menyalahkan universiti, tapi apa yang telah kita lakukan dalam memanfaatkan semua potensi yang ALLAH bagi pada kita…?

Beruntunglah kalian yang… kehidupan di universiti membuka jalan untuk kalian mencambah iman. Di universiti kalian menemukan erti memiliki jati diri dan integriti. Di universiti kalian memanfaat gedung ilmunya untuk memahami sejarah kehidupan dunia, memahami pergolakan antarabangsa, memahami tujuan kita manusia sebagai hambaNYA dan khalifahNYA.



Beruntunglah kalian yang menemukan peribadi soleh dan membina karakter mukmin di alam kampus. Pulang ke kampung sebagai anak yang lebih baik, memberi warna tarbiyyah islamiyyah pada keluarga sendiri. Memberi motivasi pada ahli keluarga untuk menjadi insan bermaruah, hidup dengan nilai iman dan islam……

Belajar kerana ALLAH. Bekerja untuk pengabdian diri kepada ALLAh. Setiap usaha dan masa untuk menjadi manusia yang makin baik di sisi ALLAH..

Itu tentang belajar.

Seterusnya, ramai juga antara kita yang berhutang untuk bernikah..

Baguslah kita bernikah untuk mencari jalan yang bersih menjaga kehormatan diri..

Namun kenapa sebegitu payah untuk kita..? Ya, mungkin lebih baik berhutang dari bermaksiat, dan ada baiknya jika berhutang dari sanak saudara tanpa ada bunga atau riba..

Namun berkatkah pernikahan yang didirikan atas hutang yang bermain-main dengan riba… kerana telah mempunyai gaji bulanan, senang saja mengisi borang pinjaman peribadi di bank puluhan ribu? Berhutang ribuan untuk majlis sehari..? Tapi kesannya menghantui diri selagi hidup..?

Kerana kita telah terikut dengan sistem orang lain, kerana ingin [terpaksa sebenarnya] memuaskan hati masyarakat dan sanak saudara kita berhutang untuk walimah sehari…

Apabila kita tidak punya RM 30 000 – RM 50 000 untuk majlis pernikahan, maka kita membuat pinjaman peribadi di bank puluhan ribu.. dan setelah kita bercerai dua tahun kemudiannya kita masih berhutang majlis pernikahan dulu..Nauzubillah.

Kita mohon perlindungan dari perkara buruk sebegini, namun inilah antara realiti yang menakutkan dan menyedihkan. Antara kita ada yang terpaksa dan dipaksa untuk berhutang semata-mata kerana majlis kenduri kahwin yang satu hari..



Andai semua keburukan sistem itu telah menimpa kita, ayuh kita bersama perbaiki situasi ini agar ia tidak menimpa generasi kita. Kita berdoa kepada ALLAH membantu kita keluar dari kemelut hutang. Kita niatkan bahawa kita ingin benar benar menyelesaikan hutang sebelum ALLAh menjemput kita di hadapanNYA.

Andai orang yang memberi hutang pada kita tak meredhai dan tak menghalalkan, maka sebaik manapun diri kita, amal soleh dan kebaikan kita pada orang lain, cukuplah hutang ini kelak akan menjadikan kita manusia sengsara di akhirat sana….mungkin inilah cita-cita syaitan durjana..

Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH, walau dengan apa cara sekalipun, mereka ingin mengheret kita beramai-ramai bersamanya ke dalam neraka.. salah satunya dengan melazimkan diri kita berhutang, hingga kita terjerat dan tidak mampu melangsaikannya.

Ayuh kita berusaha dan berdoa mengatasi ujian hutang ini..

Kasihanilah kami Ya ALLAH….

Ada doa yang boleh dibaca seperti yang di ajar Rasul SAW, ayuh kita pohonkan selalu pada ALLAH intisarinya:

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kedukaan. Aku berlindung kepadaMu dari lemah kemahuan dan kemalasan.Aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu dari banyak hutang dan kezaliman manusia.”



Monday, November 22, 2010

Memilih pakaian terbaik


Assalammu’alaikum wa rahmatullah

Moga Abdullah, jua semua hamba ALLAH yang disayangi sihat sejahtera dalam naungan rahmatNYA.

Terasa begitu cepat masa berlalu, baby Abdullah hampir mencecah 3 bulan, dengan berat lebih kurang 7kg. Alhamdulillah.

Abdullah sihat dengan nikmat makan minum dari rezeki yang ALLAH berikan. Betapa ‘sihatnya’ Abdullah, mama pun pergi shopping baju Abdullah beberapa helai baju yang lebih besar untuk menggantikan baju lama yang makin sendat dan pendek.

Semalam di Giant Klang Sentral, mama beli 3 pasang baju dan 2 pasang stokin. Kaki Abdullah dah makin gemuk, tak muat stokin yang lama.

Hmm beli kat Giant je…?

Takpe lah Abdullah.. walaupun beli kat Giant mungkin nampak tak glamour macam beli kat shopping mall lain, namun mama berusaha pilih baju yang berkualiti dengan harga yang sederhana(murah...!?). Sepasang baju lengan pendek RM 15.90, dan lagi dua pasang baju lengan panjang RM 8.90 setiap satu. Dan harga stokin pula… RM 0.99 sen sehelai. Murah, cantik dan baik kainnya. InsyaALLAH.

Alhamdulillah anakku, baju baru dapat dipakai. Ada baby baby lain yang bukan sekadar bajunya lusuh dan sempit, malah ada yang diuji kesempitan hidup tidak cukup makan minum.. hanya minum air kosong dan bubur bersama kicap..

Hari ini mama ke Jusco pula membeli beberapa barang lain, dan mama juga membeli tiga pasang lagi pakaian Abdullah.

Tapi, di Jusco ini, mama terpaksa bermujahadah untuk tidak membeli baju Abdullah yang mahal-mahal.. Dengan brand, rekaan dan corak serta kualiti yang lebih pelbagai, baju-baju terdiri dari harga kadar murah, sederhana dan amat mahal.

Mama belek-belek baju baby yang mahal dan murah silih berganti.

Sambil mama menolak Abdullah yang tidur lena dalam stroller, mama mengingatkan diri.. “Adakah Abdullah benar-benar memerlukan baju mahal yang cantik atau mama hanya ingin memuaskan kehendak hati mama melihat Abdullah memakai ‘pakaian yang mewah bergaya’ untuk seorang bayi..?”

Alhamdulillah dengan gaji yang ALLAH kurniakan pada papa, papa InsyaALLAH mampu untuk menanggung kos baju Abdullah yang mahal cantik bergaya. Tapi papa tidak mengajar kita untuk berbelanja boros apatah lagi membazir..



Jadi harapnya bila Abdullah semakin besar, Abdullah boleh jadi pengingat mama agar berhemah berbelanja dan selalu selalu kita ingat mereka yang kesempitan hidup untuk mematikan nafsu yang teruja dengan pakaian dan perhiasan lainnya – yang bukan keperluan, yang hanya runtunan perasaan.

Untuk mama-mama yang ingin memakaikan pakaian yang indah pada baby, silakan mengikut kemampuan. Asal jangan keterlaluan. Nikmatilah kurnia ALLAH sebaiknya...

Apa yang lebih penting, mama perlu memakaikan Abdullah dengan pakaian taqwa dan akhlak mulia. Hidup di akhir zaman ini, mudah saja manusia untuk mementingkan aspek luaran dan fizikal, namun mengabaikan aspek jiwa dan roh. Sedangkan taqwa itu adalah pakaian terbaik, dan dengan taqwa itulah manusia punya nilai di sisi ALLAH.



Allahu akbar, mama yang bercakap tentang taqwa ini masih bergelut untuk meneguhkan taqwa. Untuk mendapatkan pakaian taqwa, bukan dengan duit anakku. Tapi dengan ilmu yang membawa pada keimanan dan amal soleh = orang bertaqwa.

Abdullah.. mama akan terus berusaha menghidupkan iman di hati ini.. InsyaALLAH. Agar kelak mama mampu menumbuhkan jiwa Abdullah dengan bunga-bunga keimanan yang akhirnya menjadi buah amal soleh dan peribadi mulia.

Saturday, November 20, 2010

Takutlah kalian sebelum menempuh pernikahan..

Coretan ini ditulis, ditujukan khas kepada Akh Doc Abdullah Ameen & Ukht Ummu Umair yang akan bernikah beberapa ketika dulu dan juga kepada teman lain yang bakal menyandang status suami isteri, yang akan disatukan di persada pernikahan, moga ALLAH mengumpulkan kalian dalam keberkatan..

Nukilan ini berdasarkan sedikit pengalaman sendiri dan banyaknya pengalaman orang lain yang dikongsi dan diperhati.. Moga menjadi tazkirah pada saya dan kita semua yang bergelar isteri dan suami.

* * *


 

Sekian lama kalian menyusun tarikh perkahwinan

Kalian mempersiap rumah untuk hari baru suami isteri

Berbulan, bertahun kalian pening kepala untuk walimah satu hari

Warna tema, dulang hantaran, DJ Team, senarai tetamu..

Hidangan buffet kah, lembukah, ayamkah, kerbaukah..



Di sebalik kalian merisaukan kewangan yang terhad

Kalian memikirkan perancangan berbulan madu

Kalian memikirkan kebahagiaan alam perkahwinan

Kalian membayangkan segala kebaikan dan keindahan



Duhai teman,

Takutlah jika kalian memasuki perkahwinan dengan jiwa yang miskin

Jiwa yang miskin sering sempit, sering keluh kesah

Tidak menghitung kebaikan pasangan

Tak mampu menghargai pemberian dia yang tersayang

Tidak mensyukuri cinta yang dianugerahkan tuhan



Takutlah berkahwin jika kalian tipis kesabaran tipis sangka baik

Takutlah melangkah ke alam pernikahan jika kalian mudah marah kerap merajuk

Mudah lepas cakap, mudah menyalahkan

Takutlah jika kalian punya sikap sukar memberi maaf, sukar memohon maaf



Takutlah kalian dengan sikap yang suka memberontak

Takutlah kalian dengan hati yang keras dan mudah melawan

Takutlah kalian jika kalian sering ego mengakui kesilapan

Takutlah jika kalian ego melakukan perubahan dan perbaikan



Takutlah kalian jika kalian memiliki banyak karakter buruk ini

Kasih sayang hanya mekar setahun, atau sebulan



Bertahun kalian merancang pernikahan

Mudah sahaja pernikahan bergolak andai sifat mazmumah tidak dibersihkan

Takutlah menginjak ke alam pernikahan andai kabur hakikat kehidupan

Takutlah kalian andai ilmu dan buku bukan teman kalian yang sering berdampinan

Takutlah kalian andai ALLAH dan Rasul bukan menjadi tujuan pernikahan



Takutlah kalian jika enggan dan tak pandai menerima peringatan pasangan

Takutlah kalian jika sering tak berhikmah menyampaikan teguran

Takutlah sekarang, jika kalian sering mendahulukan perasaan dari ilmu dan iman

Bersedialah rumahtangga itu menjadi medan pergaduhan

Yang membara dengan kebencian

Yang tak ditembus rahmah dan kasih sayang



Apatah lagi jika roh solat dan quran berjauhan dari sanubari kalian

Pasti.. dengan akhlak yang tak dicantikkan, adalah pasti kepada hambarnya sebuah percintaan

Pasti .. dengan melupakan tuhan, adalah pasti pada kosong peritnyanya sebuah perkongsian kehidupan



 
Kerana pernikahan itu bahagia dengan akhlak yang baik

Kerana pernikahan itu indah dengan suburnya jiwa mahmudah

Kerana pernikahan itu manis pada kesungguhan membahagiakan pasangan

Dan..

Pernikahan itu bahagia barokah pada hubungan dengan ALLAH yang selalu diteguhkan...





Monday, November 15, 2010

Poligami: Andai Bersedia, Kurang Terasa




Dulu, sewaktu hari-hari bernikah semakin hampir, timbul rasa hati yang kuat untuk tidak meneruskan ke ikatan pernikahan. Aku tidak mahu dan tidak sanggup hidup berpoligami.

Fikirku, kalau berkahwin, hari-hari yang berpisah dengan suami, adalah kerana suami kembali kepada isterinya (selain keluar bekerja), perempuan pertama dalam hidupnya. Aku akan cemburu memikirkan waktu-waktunya dengan isteri lain. Aku tak suka jika suami tiada di sisi waktu diriku memerlukannya, apatah lagi jika ketiadaannya adalah kerana keberadaan dia dengan perempuan lain [baca: isterinya].

Apa perasaan kalian jika suami kalian pergi meninggalkan kalian untuk bersama perempuan lain? Untuk menjalankan tanggungjawab lahir batin? Untuk bermesra dan memesrai perempuan lain (isterinya yang halal)?

Sewaktu kalian menginginkan keberadaan suami suami di sisi, memerlukan, merindui.. ternyata suami ada bersama perasaan dan diri lain bernama perempuan untuk lebih diberi perhatian? Apatah lagi dalam kesulitan kalian menjaga anak-anak, suami keluar dalam suka gembira bertemu cinta dan kekasih barunya..apa yang kalian rasa..?

Kalian yang bernama perempuan amat memahami kan, rasa tak tentu arah bila membayangkan kehidupan suami bersama isteri lain – rasa bercampur baur yang tak terungkap dengan kata-kata – cukuplah air mata dan kemuraman berpanjangan menjadi penterjemah rasa hati kerana suami ingin berkahwin lagi. Suami belum berkahwin, dah rasa tak tentu arah, apatah lagi kalau benar berkahwin lagi.

Rasa hati itu yang kuat mendorongku untuk menyampaikan pada bakal suami bahawa aku tidak mahu bernikah dengannya.

Tapi ada rasa lain yang menahan, rasa yang bukan sekadar ingin hidup di dunia sementara, namun rasa yang seolah membawa diri ini sampai dihadapanNYA. Rasa yang tidak pernah meragui janjiNYA.

Rasa yang memujuk dan membelai jiwa bahawa hidup yang dirindukan bukanlah tempat persinggahan bernama dunia, yang dirindukan adalah kehidupan hakiki yang nyata.

Hati terlupa, destinasi cintaku bukan cinta suami, namun destinasi cinta ku CINTA Yang Maha Abadi, Yang Maha Penyayang Lagi Maha Pengasih.

Cinta suamiku itu wasilah indah dalam meredah perjalanan menemui Pencipta. Hanya ingatan pada ALLAH yang memadamkan segala rasa tak tentu arah.

Hingga akhirnya aku bernikah. Merasai hari-hari yang bahagia dan indah. Juga jalan yang payah sering mencelah. Alhamdulillah rasa tak tentu arah tidak lagi menerpa ke fikiran apatah lagi mengganggu kehidupan. Ketakutan dan kerisauan pada diri menghadapi ujian poligami sirna seketika. Diri bersedia menghadapi cabarannya. InsyaALLAH.

Dan kemudian masa berlalu... diri mula berfikir, andai suamiku menyatakan hasrat berkahwin lagi? Datang lagi rasa tak tentu arah. Ku rasakan seandainya suami kahwin lagi, kelak cinta kasih suami akan pergi dari taman-taman bahagia yang baru dibina di hati..

Namun, tatkala suami (atau sebenarnya diriku?) menyebut tentang berkahwin lagi, tatkala kami berbicara isu poligami - rasa tak tentu arah pergi dengan sendiri.

Kerana ada rasa yang mengingatkan bahawa hidup ini semakin beerti tatkala cinta kerana ALLAH berusaha diterjemahkan seikhlas hati.


Ikhlas itu payah namun hasilnya indah. Ikhlas mencintai suami, sudikah merestui keinginan suami beristeri lagi? Ikhlas mencintai saudara perempuan kerana Ilahi, sudikah suami tercintaku ini dikongsi…?

Muhasabah ini untukku lebih tabah menghadapi apa jua situasi. Apapun rasa, kurang terasa andai menjangka dan bersedia.

*Artikel ini ditulis selepas beberapa bulan bernikah.

Monday, November 8, 2010

Perjalanan Menuju Pernikahan



Saya mula membuka mulut pada mak ayah, ‘memohon’ untuk berkahwin pada usia 19...awal tak?

Ketika itu saya di tahun-tahun awal bergelar pelajar UiTM Shah Alam. Antara faktor yang mendorong saya untuk berkahwin awal ialah, saya membuat mini research untuk subjek Kaunseling ketika itu, bertajuk Early Marriage Among University Students.

Hasil kajian ringkas itu, banyak penemuan [baca: perkongsian] menarik dari mereka yang ditemuramah. Mereka yang ditemuramah kebanyakannya adalah mereka yang berkahwin ketika masih belajar.

Saya terdorong dengan tujuan sebahagian mereka memilih berkahwin awal, iaitu untuk: cemerlang.

Akan tetapi, pada usia ‘sementah’ 19 tahun itu, saya membuka topik perkahwinan dengan mak ayah kerana telah ada seorang lelaki baik yang berhajat menjadikan saya isterinya. Alhamdulillah.

Dia tua setahun dari saya [20 tahun usianya ketika itu]. Dia meminta saya menyampaikan kepada ibubapa hasrat kami bernikah. Dan alasan saya (kami?) untuk cepat bernikah waktu itu, sama seperti kebanyakan kalian, ingin menjaga hati dan mengelak maksiat :)

Abah, I want to talk about marriage...” Itulah ungkapan pertama saya sebaik abah menuruti permintaan saya malam itu untuk berbual secara privasi dengannya.

Tuhan saja yang tahu betapa bergeloranya hati saya dan terasa di badan peluh ketakutan seram sejuk untuk mengeluarkan ayat pertama itu. Mana tidak berdebarnya, kerana tahu diri sendiri jauh dari kematangan dan kahwin bukan perkara main-main...

Dipendekkan cerita, sama juga seperti kebanyakan kalian, abah sangat sangat sangat sangat sangat keberatan untuk membenarkan setelah saya menjelaskan hasrat kami itu. Tepat seperti yang saya jangkakan.

Namun itu tidaklah memudarkan hasrat saya, kerana sedikit sebanyak saya sudah mencari dan bersedia untuk mengasah skil berbincang dengan ibu ayah.

Setelah beberapa fasa perbinjangan dan sesi memujuk orang tua, abah akhirnya bersetuju, walau pun tak semudah itu untuk dia akur dengan kehendak kami.

Akan tetapi...takdir ALLAH mengatasi segala perancangan lain, di satu ketika ada perkara lain yang memutuskan pertalian kami, jodoh terhenti di situ. Alhamdulillah ‘ala kullihal.

[Lelaki yang baik itu kini telah bertemu jodoh dengan seorang perempuan yang baik lagi bijak, bakal menerima cahaya mata pertama, insyaALLAH. Moga keberkatan melimpahi hidup kalian :)]
 
 
 
Pelajaran penting yang ingin saya kongsikan dengan kalian, bersedia lah menjadi matang walau pun hati terasa kecil dan kerdil untuk ‘meminta izin’ menikah dari ayahbonda tercinta. Jangan sesekali membentangkan hasrat pada mereka dengan emosi melulu.
 
Jangan putus asa, jangan merajuk dengan mak ayah bila rundingan pertama tidak berjaya. Realitinya, proses ke arah pernikahan itu perlu beberapa siri perbincangan, malah harus banyak kali, dari hati ke hati dengan ibu ayah untuk memelihara keharmonian suasana, bukan asyik kita berbincang berdua dengan si dia yang dah melekat di jiwa.. :)

Jangan mudah melabel mak ayah ‘tak faham’ sebelum kita bersungguh lagi berhikmah memberi faham kenapa kita ingin berkahwin awal, ketika usia muda dan masih belajar.
 
Ya, antara kalian ada yang mudah mendapat sokongan dan dorongan ibu bapa, tapi lebih banyak yang payah.

Teruslah berdoa tulus, tingkatkan negotation skills dan yang paling penting, jaga lah akhlak dengan ibu bapa. Agar mereka memberi izin bernikah dengan redha dan lapang dada, bukan mengizinkan kerana kita hentak-hentak kaki nak berkahwin. Atau mereka mengizinkan kerana kita dah sebulan ‘memboikot’ ibu ayah sendiri dan menunjuk muka merajuk.

                        *                                                    *                                                 *
 
 

Selepas gagalnya proses pernikahan pertama, saya ‘diam seketika’. Tapi, seperti juga kalian, hasrat bernikah sentiasa ada di hati. Jadi dengan lafaz Bismillah, saya mengambil langkah melamar calon yang seterusnya...
 
[nampak desperate kah..? hmm takpe desperate dalam menambah wasilah mencari cinta ALLAH :) ameen.] 

Ya, saya yang melamar lelaki baik itu. Bukan seorang, tapi dua orang. Satu ‘lamaran saya’ diterima, satu lagi ditolak...

“Hmm bagaimana saya boleh melamar..? Saya tak malu ke melamar lelaki..?”

“Malu. Pasti malu.. ” . Apatah lagi saya tidak sebagus kalian.

Seperti mana bergeloranya hati saya ketika kali pertama membuka mulut untuk berbincang dengan mak ayah, begitulah gelora hati saya ketika melamar dua lelaki baik itu.

Malah lebih hebat gelora cemas dan debarnya. Mungkin lebih hebat dari gelora lautan yang membawa banjir terburuk di utara Malaysia tika ini.

Tapi dalam setiap episod proses lamaran ini, kesamaannya ialah saya berusah berusaha berusaha untuk benar-benar menyerahkan hati pada DIA yang Maha Menentukan Segala. Tanpa DIA, tak mungkin. Tak mungkin saya sanggup melalui semua itu pada usia ‘semuda’ 19 tahun dan kemudiannya melamar pula di awal usia 20an. Opps...jangan lamar dengan cara murahan, buatlah dengan penuh izzah dan kehormatan.

Dalam masa yang sama, dalam berharap pada DIA yang menentukan jodoh manusia, saya dan kalian perlu bersungguh MENCARI dan MENJADI calon jodoh yang baik.

Manisnya bila ‘lamaran saya’ diterima salah seorang lelaki baik itu.

Tetapi sekali lagi, rencana Allah yang terbaik antara semua.

Walaupun mak abah telah merestui dengan calon seterusnya ini, adik saya di Mesir dah bersemangat membeli tiket pulang untuk kononnya meraikan pernikahan kakaknya ini, perjanjian saya dengan lelaki itu terputus. Kami bukan ditakdirkan bersama.

Saya ‘kembali diam’. Merenung hikmah di sebalik semua ini.

Kemudian, sewaktu saya berkira-kira untuk melengkapkan borang Baitul Muslim sebagai usaha mencari jodoh yang seterusnya, saya menerima lamaran.

Menjadi isteri kedua.

Bukan mudah untuk merespon pada lamaran berpoligami itu. Dengan titis air mata, saya mohon sangat sangat sangat pada ALLAH, bantulah saya membuat keputusan di atas nilai hidup yang saya pilih - nilai dakwah dan tarbiyyah (D & T).

Ya Allah..Saya baru bertatih di jalan mulia D & T ini, jangan biarkan saya jatuh terperosok hanya kerana saya ingin berteman seperti insan lain. Saya memilih D & T kerana saya ingin berubah menjadi lebih baik di sisi Allah, jua ingin mengajak orang lain menjadi baik. Justeru, siapa pun dia yang ALLAH tentukan menjadi suami saya, moga ada ruang untuk keberterusan D & T.


Saya memilihnya, dan sesungguhnya ALLAH lah yang memilih lelaki terbaik itu untuk saya meneruskan hidup ini bersesuaian dengan usaha dan nilai hidup yang dipilih. InsyAllah.

Dan kini, ALLAH izinkan saya bergelar isteri kedua – dalam alam rumahtangga yang berseri dengan kemanisannya dan makin teguh dengan kepahitan cabarannya..

Saya bernikah pada usia 25 tahun, 6 tahun selepas saya mula pertama kali membuka mulut tentang pernikahan pada abah.

Nampakkah realitinya di sini...? Kita mahu dan merancang berkahwin awal, tapi ilmu ALLAH terlalu agung dalam menetapkan liku perjalanan hambaNYA.

Berusahalah kalian, seperti mana selama 6 tahun itu saya berusaha untuk memiliki hubungan lelaki perempuan yang halal. Persiapkanlah diri, janalah ekonomi, carilah ilmu menjadi suami dan isteri.. Pernikahan sungguh ruang cinta terindah yang ALLAH titipkan dalam kehidup seorang insan.

Inilah sebahagian kisah seorang saya yang ingin bernikah halal, kelihatannya payah namun sebenarnya banyak kemudahan dan pertolongan ALLAH di sepanjang proses itu. Di kalangan kalian yang telah bernikah awal pula, ada yang kelihatannya mudah namun saya percaya kalian juga punya cabaran yang tersendiri dan kesulitan untuk diatasi.

Semoga perkongsian ini tidak lain dapat membuka pandangan dari satu sisi lain kehidupan. Yang bermanfaat, harap disebarkan. Yang salah, mohon ditegur agar dapat diperbetulkan.



Friday, November 5, 2010

Meraih Bahagia



“Mak rasa saya bahagia tak…?” terpacul soalan itu dari bibir sewaktu saya dan mak menaiki kereta menuju ke sekolah untuk menjemput  Muhammad, adik bongsu saya pulang dari sekolah.

Saya menanti jawapan mak, yang berada di tempat duduk belakang kereta. Emak sedang meriba anakanda, Abdullah. Saya berada di kampung hari ini setelah meminta izin suami untuk menziarah ibu ayah tercinta.

“Bahagialah... sebab alhamdulillah semua dah ada” begitu jawab mak.

“Tapi..bahagia tu sebenarnya dalam diri sendiri, dalam hati masing-masing… Kaklang bahagia tak..? Diri sendiri je yang tahu bahagia atau tak.. kalau nampak dari luar tu memanglah macam bahagia..” mak menyambung jawapannya. Dalam keluarga, saya dipanggil kaklang.

Hmm..bahagia tu dalam diri sendiri, dalam hati..???

“Ha’ah betul lah mak.. kaklang sendiri lah yang tahu kaklang bahagia atau tak.. kan..” saya menyambung bicaranya selepas beberapa ketika.

Saya saja-saja bertanya tentang bahagia untuk bersembang dengan mak. Tapi jawapan mak menjadi tazkirah pada saya, yang buatkan saya terfikir, di mana kah sebenarnya bahagia..?

Mungkinkah..

Bahagianya kalau ada duit banyak.. [sedangkan makin banyak duit, nafsu makin hebat berbelanja untuk sesuatu yang tidak diperlukan, akhirnya boros menjadi saudaranya si syaitan]

Bahagianya kalau saya cantik macam dia...[ sedangkan kecantikan itu mudah saja disalah gunakan, merasa cantik lantas membuka 'kecantikan' pada laki-laki di jalanan, akhirnya menjadi senjata syaitan untuk melemahkan kaum adam]

Bahagianya kalau saya pandai macam dia... [sedangkan ramai orang - makin dia pandai, makin dia menjauh dari tuhan, akhirnya kepandaian hanya di atas kertas, 'A' bersusun, tidak memberi nilai tambah pada akhlak dan iman]

Bahagianya kalau saya ada suami.. [sedangkan ramai yang makan hati dan muram berpanjangan dengan kerenah pasangan hingga berbisik 'alangkah bagus jika aku tak berkahwin..']

Bahagianya kalau ada anak...[sedangkan ramai ibu bapa hari ini yang terguris terluka dengan telatah anak-anak. Ya, anak-anak comel menyejuk hati di waktu bayi, namun bertambah usia, ibu bapa sering menjadi orang paling belakang dalam hidup anak-anaknya..]

Bertahun mencari bahagia..

Bahagia itu rupanya ada pada ALLAH.

Bertahun menanti bahagia, rupanya bahagia perlu berusaha dicari gali.

Ia tidak datang sendiri.



Bahagia ada pada jiwa yang ikhlas menyerahkan seluruh perbuatan dan pekerjaan kepada ALLAH.

Bahagia beriringan dengan orang yang berusaha menjadikan Rasulullah SAW rujukan dan panduan dalam urusan seharian.

Beruntunglah mereka yang kaya duit, dalam masa yang sama jiwanya juga kaya iman , kerana cinta ALLAH berleluasa dalam hatiNYA.

Beruntunglah mereka yang pandai, dan kepandaian itu menjadikan hatinya makin kagum dengan Pencipta.

Beruntunglah mereka yang memiliki keluarga bahagia - bersama suami dan anak -namun itu tidak lain menjadikan hatimua makin tunduk pada kekuasaan dan keagungan ALLAH yang menebarkan kasih sayang sesama.

Temanku, sungguh bahagia itu ada pada ALLAH. ALLAH turunkan dalam hati hamba yang mentaatiNYA, yang tak jemu mendekati dan mengenaliNYA. Hati yang selalu bertaubat akan bahagia merasa ALLAH tak pernah meninggalkannya.

Cinta ALLAH adalah bahagia sebenarnya. Kita tak akan pernah kecewa dan terluka dengan cintaNYA.

Mengharap bahagia dari faktor luaran, kita PASTI takkan bahagia.

Carilah ilmu tentangNYA, mujahadahlah menelusuri jalanNYA..

Agar bahagia itu ku raih, Ya ALLAH.. tunjukilah kami.. bantulah kami mentaatiMU dan  mencintaiMU..jangan biarkan kami sempit dan sesat dalam kegelapan..bantulah kami untuk bahagia dengan kesyukuran dan kesabaran di pentas kehidupan..




Wednesday, November 3, 2010

Catatan Sebuah Kelahiran..

Sebuah kelahiran, menjadi peringatan agar terus berbuat baik pada ibu dan ayah. Bukan berbuat baik yang biasa-biasa, tapi berbuat baik sebaik-baiknya.. yang mampu mengumpulkan kita dan mereka dalam nikmat akhirat yang berkekalan.

"Harta benda dan anak anak itu adalah perhiasan hidup di dunia dan amal soleh yang terus menerus itu lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu, dan lebih baik menjadi harapan." (Kahfi:46)

Isnin, 23 Ogos 2010, 7.30pm:

Sewaktu berbuka puasa, suami menyebut, "Abang rasa esok nurul kena masuk wad..". Saya tersenyum.

'Takkan kot..ada seminggu lagi sebelum due date. Baby macam seronok je duduk lama dalam ni. Tak rasa apa pun lagi.. mesti lewat dari EDD'. Fikirku.

Esok insyaALLAH saya akan jumpa doktor untuk check-up mingguan.

Selasa, 24 Ogos 2010, 3.00pm:

 Alhamdulillah 'Ala Kullihal. Walaupun tak menjangka hari ini masuk wad, itulah takdirnya. Betul tekaan suami saya. Saya tak menjangka, namun bersyukur saya dah bersedia dengan segala kelengkapannya.



Doktor suruh masuk wad, kerana air ketuban yang makin kurang, dan saya rasa baby pasif semacam dari malam tadi. Lebih kurang pukul 6pm, doktor masukkan ubat induced.

Malam menjelma, contraction mula terasa, sakit pinggang juga mengganggu tidur baring saya. Malam itu sahabat saya, Ayu menemani saya di wad sejuk ber air-cond itu.

Rabu, 25 Ogos 2010, 6.00pm:

24 jam telah berlalu. Selepas ubat pertama doktor masukkan, doktor masukkan lagi ubat sebelah petang ini, half. Tapi masih tiada rasa contraction kuat. Banyakkan berjalan..? Kaki dah lenguh berjalan sekeliling wad.

Mak, adik kecik saya, Muhammad, dan adik saya, Khairunnajwa datang dari Kuala Pilah, NS dan tiba di wad selepas asar tadi. Saya sangat-sangat gembira dengan kehadiran mereka.

Tiba malam, sakit pinggang yang sangat kuat menyerang, kesan ubat induced. Saya berpusing-pusing di atas katil menahan kesakitan. Emak bersungguh-sungguh mengurut-ngurut pinggang saya. Terasa penuh simpati & penuh kasih.

Saya sebak, buat kali pertama saya menatap wajah mak, ummi tercinta, dengan perasaan cinta dan sayang yang tak pernah saya rasa sebelum ni.

Sakit contractions datang dan pergi, tapi baby belum ada tanda mahu menjenguk dunia...

Malam ini juga, Ayu yang menemani. Kesian dia, hanya tidur duduk di kerusi. Moga ALLAH membantu teman yang selalu membantuku ini... Sesungguhnya pertolongan semuanya dari ALLAH, hanya kita mampu merasainya atau tidak..

Khamis, 26 Ogos 2010, 10.00pm:

Pukul 6 pagi nurse datang memeriksa. Saya bagitahu, tiada contraction yang kuat selepas malam tadi. Pukul 6.30 nurse masukkan ubat induced yang lagi half. Tidak sampai setengah jam, contraction yang kuat pun datang.

Hampir pukul 8, darah keluar dan rahim terbuka 2cm. Saya ditolak ke labor room. Sempat sms suami yang berada di rumah memberitahunya. Masuk ke labour room, doktor memecahkan air ketuban saya. Dan bermula lah kesakitan yang amat.

Ibu saya ada di luar labor room, saya meminta dia dibenarkan masuk, tapi hanya suami dibenarkan. Saya sedih dan pilu menahan kesakitan seorang diri begitu. Pukul 9.30 saya dah mula menyerah kalah dengan kesakitan. Sakit yang sebegini sakit, baru terbuka 3cm..? Berapa lama saya harus menunggu..?

[Saya tidak sekuat kalian rupanya.. Mungkin iman juga tak kuat saat ini. Juga dangkal ilmu untuk meraikan kesakitan yang istimewa ini..]

"Abang.. saya nak epidural.." saya meminta dengan suara yang lemah. Alhamdulillah saat itu,saya bersyukur suami dah berada di sisi.

Suami terus bangun ke luar dan lebih kurang 15 minit kemudian doktor pakar bius pun datang bersama teamnya. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Rasa tewas dengan kesakitan.. dengan epidural saya tak akan merasai kesakitan meneran melahirkan, hilang juga sakit contraction ini. Saya sedih, merasa gagal bertahan.

Doktor pakar bius meminta saya membengkokkan badan seperti udang galah, untuk dia memasukkan tiub [catheter] tapi saya kesakitan menahan gelombang contractions setiap 3 minit.

"Nanti doktor, saya sakit ni.." berkerut-kerut wajahku, berpusing-pusing badan menahan kontraksi. Ya ALLAH, sungguh kesakitan ini untuk anugerah yang istimewa bernama anak...

Bila sakit hilang, saya cepat-cepat membengkokkan badan, doktor menjalankan tugasnya, dan memasukkan[menyuntik] tiub halus itu ke saraf tunjang saya. Usai sahaja prosedur itu, contraction menyerang dan itulah contaraction terakhir yang saya rasa. Ubat bius telah berfungsi, mematikan deria sakit saya dari pinggang ke bawah..



Jam menunjukkan pukul 10.00am. Kesakitan telah hilang, saya pun terlena kepenatan. Terjaga pukul 12 tengahari, nurse datang check, baby dah hampir keluar!

Akibat epidural, saya tidak rasa lagi pergerakan baby. Saya tidak mampu meneran, baby tersekat di laluan keluar.. Dengan sedikit bantuan forseps, Alhamdulillah baby akhirnya berada di dakapan saya. I'm speechless. Separuh badan saya telah hilang deria rasa kerana bius, saya tidak rasa bayi keluar kecuali sedikit.

Tak rasa excited sangat [boleh ke cakap macam tu?], mungkin sebab saya 'tak berjuang' melahirkan baby comel itu. Namun saya bahagia bersyukur, hadirnya dia sempurna sejahtera.

"Kenapa kaklang nampak ceria je? Bukan ke orang lepas bersalin nampak tak bermaya..?" tanya adik saya sebaik saya ditolak keluar dari labor room.

'ohh inikah kesan buruk epidural..? ia tak bagi saya rasa sakit sikit pun..?'
Apapun, malam ini, adik saya Najwa menemani saya di wad...bersama teman baru, Abdullah bin Hafiz Firdaus.




Jumaat, 27 Ogos 2010:

Pagi-pagi lagi saya dah bersiap untuk balik, alhamdulillah selepas solat Jumaat, suami datang menjemput saya dan baby.

Maka, bermulalah tanggungjawab baru saya sebagai seorang ibu...

Tuesday, November 2, 2010

Ibu, dekatlah di sisi ku...

Anakku, sungguh ibu ingin menjadi ibu yang terbaik kepadamu. Ibu ingin mencurah kasih sayang tulus buatmu, agar dunia ini menjadi tempat tinggal yang nyaman untuk mu. Ibu ingin mencurah ilmu padamu, agar dunia ini tidak menenggelamkan dirimu dengan tipudayanya. Ibu ingin mengisi hati mu dengan iman, agar istiqamah langkah mu mencari redha tuhan. Bantulah ibu, anakku...


Saya menerima SMS dari seorang teman yang saya kasihi, bergelar isteri yang berkongsi satu persoalan. Dia merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah.

“ Hari ini sekolah sekali lagi meminta saya membuat keputusan samaada berhenti mengajar atau tidak. Moga ALLAH memberi petunjuk pada kami yang kebingungan. Sungguh dunia ini milik ALLAH.”

Dia diberi pilihan samaada berhenti atau terus mengajar kerana dia mengalami ujian-ujian kesakitan yang kerap datang sewaktu sedang hamil (insyaALLAH lagi lebih kurang dua bulan dia akan bergelar ibu).

Maka terpaksa bercuti mengajar, yang mana kita maklum bahawa ketiadaan guru walau sehari akan memberi kesan pada kerja dan rakan-rakan guru yang lain perlu menyandang tugas sementara rakan guru itu bercuti.

Apatah lagi, jika perlu cuti berhari-hari, maka sekolah terpaksa memberi pilihan untuk berhenti.

Sebaik menerima SMS itu, dalam hati saya rasa gembira. Kenapa? Saya rasa gembira kerana saya merasakan dia akan memilih berhenti kerja.

Kenapa saya gembira kalau dia berhenti kerja…? Saya gembira kerana dia akan menjadi isteri dan ibu sepenuh masa.

Menjadi isteri dan ibu sepenuh masa..?

Menjadi ibu sepenuh masa adalah pekerjaan terbaik yang saya ketahui setakat ini. Dalam pada itu, saya memahami kalian para ibu yang terpaksa bekerja kerana tuntutan hidup, perlu membantu ibu ayah kalian, terikat dengan kontrak biasiswa, membayar pinjaman dan sebagainya. Moga ALLAH mengurniakan tenaga extra pada kalian, sesungguhnya ALLAH lah sebaik-baik penjaga kepada anak kalian...

Temanku yang soleh, ku kongsikan di sini pandangan peribadi yang berdasarkan pengalaman hidup yang singkat, ilmu yang kurang.. mohon maaf andai ada coretan yang mengguris perasaan...

Dengarlah monolog hati seorang anak:



 
Wahai ibu,

Jangan diswastakan penjagaanku..

Ibu, saya perlukan dakapan dan belaian ibu sekerapnya.

Saya perlu cinta dan kedekatan ibu.

Saya berharap agar dapat menyusu dari ibu sepenuhnya. Ibu boleh memerah susu badan, dan pengasuh boleh memberikannya melalui botol, namun tidak sama ibu, jika ibu sendiri yang menyusui saya...

Tatkala ibu menyusui, saya menatap bening sinar matamu, saya selesa dan tenteram dalam dakapan kasih ibu. Saya tenang mendengar pujukan dan dodoian ibu. Mendengar degup jantung ibu yang tulus menyayangi saya..

Saya perlu mendengar suara kasih ibu untuk menyuburkan perasaan saya. Mendengar ibu kerap mengalunkan ayat-ayat ALLAH. Ibu mentadabbur Al Quran dan membisik makna kalam ALLAH di telinga saya.

Saya inginkan perhatian ibu pada emosi dan fizikal, pada iman dan pemikiran saya.

Jangan biarkan saya tercari-cari ibu kerana ibu pergi mencari rezeki, sedangkan saya perlu kasih dan belaian ibu lebih dari segalanya...

Yang penting, saya perlukan tarbiyyah dari seorang ibu. Ibu saya yang sebenar, ibu saya yang mengandungkan saya dan bercita-cita bersama saya untuk menjadi penegak agama ALLAH.

Ibu, moga kehadiran saya tidak mengganggu projek dakwah ibu dan ayah. Moga ALLAH membantu ibu ayah menjadi penolong agamaNya.

Walau dari segi kewangan ibu ayah mungkin kurang mampu menyumbang untuk dakwah, insyAllah ibu ayah mampu menyumbang yang terbaik dengan menjadi daie yang membimbing manusia ke jalan ALLAH? Walaupun kurang wang untuk diinfaq - moga ilmu, akhlak dan jiddiyah ibu menjadi asbab utama memimpin manusia jahil ke lorong yang disinari hidayah.

Ibu, bawalah diriku ke program ilmu dan program dakwah, supaya saya turut merasai manisnya berada dalam taman-taman syurga. Tidak mengapa jika ibu berpisah dua tiga jam dengan saya jika perlu berhalaqah, namun jangan ibu tinggalkan saya lebih separuh hari kerana tuntutan kerja ibu..

Ayuh ibu, kita menetap di rumah menanti kepulangan ayah mencari rezeki.. Bila ibu menjadi isteri dan ibu sepenuh masa, ibu dan saya akan punya banyak kesempatan menyamput kepulangan ayah dengan hati yang lebih tenang dan lapang.

Kalau ayah stress di tempat kerja, ibu menanti ceria untuk menenangkan dan memotivasikan ayah. Ibu berhias untuk ayah, ibu menghiaskan saya, ibu menghias rumah. Tenangnya hati ayah, pulang ke rumah, anak dan isteri ceria bahagia menyambutnya. Terasa hilang kepenatan ayah. Ayah makin fokus pada kerja dan dakwah jika ibu menjaga saya dengan baik..

Indahnya hidup bekeluarga bila ibu ayah saling membantu, saling mendorong untuk amal soleh...

Kalau ibu memilih bekerja, di tempat kerja ibu tertekan, hingga ibu dan ayah saling bertemu dengan wajah kusam penat lagi tertekan. Ibu makin stress perlu memasak dan mengemas rumah.. Saya?? Tersepit di tengah-tengah ibu ayah yang sibuk dengan bebanan kerja dan mengurus rumahtangga.

Sayunya hati, minggu-minggu berlalu, saban minggu lebih banyak masa ibu habiskan untuk memenuhi tuntuan majikan, sedangkan saya..?

Biarlah ayah seorang yang keluar mencari rezeki, rezeki dari ALLAH, pasti ALLAH cukupkan buat kita...

                                                           *                      *                        *

Dahulu sewaktu saya masih bujang, pada tahun 2008, saya berkerja sementara di sebuah klinik dengan gaji RM550 sebulan. Dengan gaji itulah saya membayar sewa bilik, makan dan minum, tambang bus, teksi, tren etc kalau mahu ke mana-mana, dengan gaji sebanyak itulah saya mampu ke halaqah dan program-program agama lainnya. Terasa getirnya hidup dengan gaji sekecil itu. Alhamdulillah ‘ala kullihal.

Saya fikir, kalau gaji saya ribu-ribu tentunya saya akan lebih tenang dan lapang. Mesti cukup.

Nah, itulah persepsi yang salah.

Kini saya bekerja di rumah, menjadi isteri dan ibu sepenuh masa, alhamdulillah setiap bulan bajet yang dikurnia Allah untuk saya lebih RM 5000 . Adakah cukup..?

Tidak, tak cukup. Kerana apa?

Kerana duit memang tidak pernah cukup.

Bukan jumlah gaji, tapi cara kita menguruskannya (nyata saya tidak bijak menguruskan duit). ALLAH menjamin rezeki ada untuk setiap anak Adam, hanya perlu diusahakan.

Tidak mungkin jika seorang ibu memilih untuk menjadi ibu dan isteri sepenuh masa, ALLAH membiarkannya dalam kesempitan.

Temanku, jika dirimu punya pilihan, pilihlah untuk menjadi ibu kepada anakmu, bukan part-time mother. Menjadi madrasah sepenuh masa kepada anakmu. ( Namun tidak mungkin menjadi madrasah tarbiyyah jika ibu yang di rumah jauh dari mengenal Allah, tidak cinta ilmu, tidak punya visi untuk anak dan rumahtangga).

Moga suamimu tenang, anak buah cinta kalian terjaga elok di tangan ratu rumahtangganya (ibu dan isteri), bukan di tangan pengasuh yang menjaga kerana kita membayarnya. (Saya sama sekali mengiktiraf adanya kehadiran pengasuh yang penuh kasih lagi soleh menjaga anak orang lain penuh keikhlasan, bukan semata kerana bayaran.)

Kepada isteri dan ibu yang bekerja di luar rumah, ku hormati pilihan kalian. Ku simpati dengan keterpaksaan kalian. Ku hormati pertimbangan-pertimbangan kalian memilih bekerjaya di luar rumah yang terpaksa meninggalkan anak-anak. Kepenatan dan masa bersama famili yang dikorbankan, moga akhirnya terbalas dengan redha tuhan.



p/s: Saya sarankan membaca artikel Ustaz Zaharuddin di sini:
http://zaharuddin.blogspot.com/2010/10/ulama-penjenayah-dibentuk-dari-rumah.html

Antara catatannya:

"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"



Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...