Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia
akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat
Bukhari)
Kini saya telah bergelar isteri, maka saya harus bersungguh menjadi pemimpin
rumahtangga seperti pesanan Rasul SAW yang akan memberi impak yang besar pada suami dan anak-anak.
Semuanya perlukan ilmu dan kesungguhan. Moga bila isteri sebagai timbalan
pemimpin berkeperibadian baik, suami akan tenang dan kuat dengan cabaran
sebagai pemimpin ummah di luar sana. Ya, suami sangat tenang dan bahagia jika
rumah dan anak-anak terjaga elok di bawah kelolaan suri muslimah.
Perkara-perkara besar yang berlaku di peringkat antarabangsa – samaada yang
positif atau negatif – bermula di rumah. Bermula di bawah pimpinan seorang
wanita… setuju tak :D
Pada yang tidak miliki suami, pengaruh pimpinan kalian lebih luas. Plan B
saya, jika ALLAH mengambil nikmat suami, maka saya akan terus fokus memimpin anak-anak
dan para remaja jua teman muslimah lainnya kepada kebaikan dunia dan akhirat.
Bantu saya ok, kita sama berjuang menjadi pemimpin yang bermanfaat atas jawatan
khalifah yang diamanahkan di muka bumi. Dan sesungguhnya, menjadi pemimpin
bermula dengan memimpin diri sendiri…
Kalian di luar sana yang samaada yang bujang, yang bergelar isteri atau
ibu, telah bercerai atau kematian suami, ada nilai dan ciri baik pada kalian
yang menjadi renungan dan ikutan saya. Sama-sama kita upgrade ilmu, iman dan
amal ya… dalam memperjuangkan kebaikan
dan memimpin manusia untuk bahagia yang hakiki…
Bagaimana saya mula sedar untuk belajar menjadi
pemimpin?
Sewaktu di sekolah menengah, saya
tidak terlibat secara aktif dengan mana-mana persatuan. Pergi sekolah, balik
sekolah hanya untuk belajar dan ambil periksa. Pergi bersukan, pergi lawatan,
bersukan, ketawa gembira, bersembang cinta remaja. Melalui zaman remaja di sekolah
menengah yang kadang ok, kadang rasa tak ok. Kadang gembira, kadang perasaan
kacau bilau.
Alhamdulillah menjejak kaki ke
UiTM Seksyen 17 Shah Alam membuka jalan baru untuk saya mengenali diri dan
tujuan kehidupan. Mendiami Kolej Kediaman Perempuan – Kolej Akasia – perlahan-lahan kaki
melangkah ke surau dan mencari erti diri. Hati pun bercambah segar disiram
ayat-ayat Quran dan Hadis.
Dari menjadi pengunjung setia
surau, seorang kakak senior mencadangkan saya menjadi Ketua Biro Kerohanian
yang bertanggungjawab untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di Surau
Kolej Akasia. Mungkin kerana melihat saya ‘dekat’ dengan surau, atau melihat
keaktifan saya melontar pelbagai persoalan agama. Sedangkan keaktifan itu hadir bukan
kerana karakter saya seorang yang aktif, tapi kerana memang banyak persoalan dalam hidup
yang tak terjawab dari awal remaja.
Apapun, saat itu, bermulalah
proses mendidik diri sebagai pemimpin.
Membelek fail-fail yang
mengandungi kertas kerja dan perkara lainnya, hati jadi gementar. Ya ALLAH,
saya tak pernah jadi Ketua atau memegang jawatan yang saya perlu mengambil
tanggungjawab merancang program. Perlu pula berjumpa para pegawai yang
berkaitan Hal Ehwal Pelajar. Menyiapkan kertas kerja dan membentuk
jawatankuasa.
Saya bukan orang yang peramah.
Saya bukan orang yang suka atau biasa berbincang apatah lagi berada dalam
situasi bermesyuarat. Perlu kendalikan meeting? Perlu merangka kewangan? Perlu
mengetahui perkara teknikal tentang keperluan program? Perlu membiasakan diri
membuat surat rasmi?
Bagaimana? Siapa? Di mana? Bila? Kenapa?
Bagaimana menjadi pemimpin yang
berkesan?
Siapa yang akan bekerja bersamaku?
Siapa yang akan bekerja bersamaku?
Di mana daya kepimpinan ini akan dimanfaatkan?
Bilakah akan bermula dan
berakhirnya seorang pemimpin?
Kenapa menjadi pemimpin, ke arah mana pimpinan
ini mahu ku bawa?
Saya perlu bekerja dengan pelajar
lelaki dari Kolej Cemara. Macam mana dengan pergaulan?
(Kolej Cemara- Akasia adalah
kolej kediaman yang terasing dari kolej-kolej kediaman UiTM yang lain, maka
segala aktiviti kami hanya berpusat di Kolej dan sasarannya adalah Student
INTEC - dan sebenarnya kami pelajar Fakulti Pendidikan yang menumpang di kolej
INTEC.)
Apa aset atau modal yang saya ada
untuk memulakan semua ini?
Matlamat, saya sudah jelas bahawa
saya inginkan segala bentuk aktiviti atau program yang membawa pelajar ke arah
kebaikan yang berlandaskan islam.
Persediaan menjadi Ketua Biro
untuk setahun dua itulah yang perlu saya usahakan.
Alhamdulillah dari awal saya suka melibatkan
diri dengan program Unit Kaunseling. Program mereka membantu saya menggali
potensi diri. Digabungkan pula dengan input islam yang saya dapat di surau dan
usrah yang baru disertai, fikiran saya makin padat untuk menggabungkan ilmu, potensi
dan segala tanggungjawab belajar. Bagaimana untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk amal?
Saya pun mula mencari buku di Science
Social section di library - mula belajar tentang communication, leadership, handling a
meeting etc.
Saya mula menjejak kaki ke
pejabat Tuan Haji hassan Awang Boon yang sangat disegani sebagai Timbalan
Pengarah HEP INTEC – membincangkan kertas kerja serta hal-hal yang berkaitan
program yang dirancang, juga aspek kewangan.
Saya mula memerhati sifat dan
sikap kepimpinan yang ada samaada di kalangan teman-teman pelajar, para pensyarah atau
pegawai Kolej dan HEP.
Saya belajar bergaul, belajar
menjadi insan yang disenangi dan didekati. Saya belajar mudah terseyum. Belajar
berdiplomasi. Belajar berkomunikasi dengan ‘orang atasan’ dan ‘orang bawahan’. Dengan
pelajar yang lebih muda atau lebih berusia, lain caranya. Bergaul sama jenis
dan lawan jantina ada cabaran dan pendekatan tersendiri. Bagaimana untuk
berhubung secara professional dengan pihak penceramah atau wakilnya. Perlu juga
belajar menghadkan diri agar tidak didekati oleh insan yang tak perlu :P
Saya membaca, mencatit dan
rehearsal ayat yang sepatutnya saya ucap sebagai Ketua Biro kepada ajk dan belajar memotivasi. Saya mencatat segala ayat yang sepatutnya diucap dalam meeting. Dalam meeting dengan
pegawai Kolej dan HEP, secara direct perkataan saya dibetulkan jika tersalah.
Saya belajar untuk membuat panggilan telefon dan sms secara efektif dan proper.
Saya bertatih mengenali keperluan dewan
seperti sound system, microphone, projector.
Saya perlu mencari dan mengenali ustaz ustazah yang mampu menyuntik input segar untuk anak muda remaja. Bukan mencari penceramah yang sekdar kelakar dan menghiburkan, tapi penceramah yang mampu menjadi role model dan inspirasi untuk meningkatkan keperibadian islami.
Program pertama saya adalah
ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah (atas cadangan orang lain) bertajuk Mencari Cinta. Jangkaan
dua ratus orang sekadar memenuhi dewan, rupanya ramai lagi yang menunggu di
luar dewan. Mencari layar dan extra projektor untuk luar dewan, juga extra sound
system. Saya bersyukur team terbaik yang dimiliki waktu itu melancarkan perjalanan program, banyak yang saya belajar dari sikap positif dan kesungguhan anak buah saya ketika itu.
Program sebegini adalah kecil
untuk orang yang biasa mengendalikan program besar, namun menjadi batu loncatan
untuk saya menganjurkan program lain dengan lebih teratur, matang dan objektif.
Peluang menjadi Biro Kerohanian
di Kolej Akasia membuka lembaran baru yang membawa saya ke banyak tempat dan
meneroka banyak pengalaman. Program motivasi seterusnya di sekolah rendah dan menengah, pergi
membantu mangsa banjir di Johor dan meredah hutan ke perkampungan orang Asli di
Cameron Highlan. Program di dalam dewan hingga ke dalam hutan dan ke tepi
pantai, bersama kesempatan snorkelling di perairan Pangkor, semua ini amat berharga. Menaiki bot ke Pulau Ketam bertemu muallaf. Hingga terbang ke
bumi Kemboja bertemu minoriti muslim.
Terlibat dengan jemaah yang tidak mahu memewahkan peserta, juga jemaah yang biasa dengan kemewahan. Jemaah yang
berciri kekampungan. Berciri kebandaran. Bergerak dalam organisasi yang
bercampur lelaki perempuan, dan yang perempuan sahaja. Bekerja dengan pasukan
yang ‘sama fikrah’ dan berlainan fikrah.
Jua pengalaman manis tapi perit apabila terpaksa bertentangan dan mempertahankan prinsip dengan orang lain. Semua ini mengajar bagaimana untuk menjadi terbuka, namun tidak longgar sahaja. Dan saat ini masih lagi sentiasa belajar dan belajar agar langkah dan ucapan dalam keredhaan tuhan.
Saya bersyukur pada ALLAH atas
segala ilmu dan peluang di Kolej Akasia yang membantu mengukir keperibadian
yang baik, saya memohon ampun padaNYA atas banyaknya salah dan silap dalam melalui
proses kepimpinan itu. Amat banyak perkara untuk terus digilap dan dibaiki buat
meneruskan fasa kehidupan yang mendatang. Belajar erti kepimpinan yang
bersesuai dengan fitrah wanita.
Menjadi pemimpin sebenarnya tidak
perlu menunggu diberi jawatan, kerana kita sebagai insan yang dilahirkan di
muka bumi ini sememangnya sentiasa punya jawatan sebagai pemimpin. Untuk
memimpin, bukan dengan banyaknya perkataan dan ucapan, namun dengan kekuatan
akhlak dan tindakan. Yang paling penting, orang yang mampu memimpin manusia
adalah orang yang hatinya dan seluruh kehidupannya selalu berpimpinkan wahyu
ALLAh dan panduan Rasulullah.
Anda seorang remaja, isteri, seorang ibu, seorang guru, seorang tukang sapu, seorang penjual jambu, seorang penjual buku - mampu mempengaruhi dan memimpin orang lain dengan kekuatan iman dan keteguhan akhlak mulia.
Moga kita tidak memimpin, melainkan
untuk kita saling membantu menjadi hamba yang lebih baik di sisi ALLAh, juga membangun
kehidupan yang lebih mulia dan diredhai ALLAH.
No comments:
Post a Comment