Tuesday, January 31, 2012

Kerana Ujian Mendewasakan Imanku




Dulu sewaktu saya di alam kanak-kanak, saya selalu teringin mahu menjadi orang dewasa. Salah satu sebabnya, kerana tika itu saya merasakan orang dewasa tidak banyak masalah. Orang yang dewasa itu jauh lebih pandai dan kuat dari kanak-kanak kecil, mesti lebih bijak menyelesaikan masalah.

Saya tak suka bila bergaduh waktu kanak-kanak, , mesti jeling-jeling dengan kawan, kalau orang dewasa mesti tak gaduh kan..

"Kalau saya dewasa, mesti saya boleh bantu mak abah bila nampak mereka susah hati…"

"Kalau saya dewasa, mesti saya boleh tolong kawan saya yang menangis kerana…bla…bla…"

"Kalau saya dewasa, mesti saya ada banyak duit kertas (maksudnya banyak duit hee… )"

Tapi rupanya anggapan saya itu meleset sama sekali…

Orang dewasa masalahnya jauh lebih rumit dan memeningkan...

Orang dewasa kalau bergaduh lebih dasyat - menyimpan dendam dan amarah yang berpanjangan...

Orang dewasa lagi banyak masalah duit, boleh bergaduh selalu isu duit...

Orang dewasa lagi hebat rupanya stress yang dilalui...

Kebelakangan ini, beberapa teman pembaca lebih ramai yang sudi berkongsi musykilah dan cabaran hidup yang dilalui. Samaada yang bujang, yang telah bernikah, yang hampir bercerai, yang telah bercerai, yang akan dimadukan, yang teruji sebagai isteri pertama, yang tertekan sebagai isteri kedua…

Saya sangat-sangat hargai -walau saya senyap tak membalas emel :D kerana mendengar ujian kalian telah membantu menyelesaikan separuh ujian hidup yang saya lalui hihi... (ya, saya pun kadang-kadang rasa down dengan ujian ALLAH) Benarlah, apabila melihat atau mendengar masalah orang lain yang lebih berat, ia akan meringankan hati dan menjadikan kita melihat positif di sebalik ujian dan cabaran...

Saya terasa sangat ingin untuk memberi jawapan mudah kepada kalian yang dikasihi:

“Jangan ambil risiko berpoligami” (kerana apapun konflik yang timbul, kita akan mudah menyalahkan alam poligami yang kita berada di dalamnya - dan terus menambah persepsi negatif tentang poligami)

“Jangan ada anak” (kerana anak menjadi salah satu sebab bertambahnya stress rumahtangga dan boleh merenggangkan hubungan suami isteri)

“Jangan jadi isteri kedua, ketiga, keempat” (kerana kalian akan saling berdengki dan bercakaran - atau menggulingkan kepimpinan suami hihi)

“Jangan bernikah” (kerana pernikahan itu akan mengeluarkan kalian dari alam fantasi ‘live happily ever after - lebih baik duduk dalam harapan yang indah dari harapan yang tak terpenuhkan runtuh menimpa anda... what...???!! )

“Jangan bercerai” (kerana kalian akan rasa tak sabar nak kahwin lagi, malah rasa lebih sunyi dari masa bujang dulu – sedangkan tidak mudah pula bertemu semula pasangan)

“Bercerailah” (kerana ujian rumahtangga yang teramat berat dan tak pernah berkesudahan boleh membibitkan kepada masalah kejiwaan - baca tak laporan baru-baru ini tentang pesakit psikitri yang makin meningkat jumlahnya? )

“Jangan bertunang lama-lama” (kerana lebih berisiko untuk nampak keburukan dan kesilapan bakal pasangan - akhirnya membatalkan perrnikahan)

“Jangan kahwin cepat-cepat” (kerana kalian akan menyesal tak berfikir panjang - menyesal tergesa-gesa bernikah)

Kalau kahwin, jangan duduk serumah (supaya tak bergaduh setiap hari, setiap minggu, berganti bulan, berganti tahun)

Kalau kahwin, jangan duduk jauh (kerana kalian meletakkan diri dalam beban rindu dan kesunyian yang menjatuhkan perasaan - hingga kalian bertanya-tanya banyak kali apakah yang aku dapat dari sebuah pernikahan ????)

Apa nasihat terbaik dari saya...??

Suruh minta mati...??

Ohh Ya ALLAH mati itu membawa kepada kehidupan yang lebih mendebarkan dan menakutkan- sangat-sangat menakutkan kalau kita fail/gagal di mata tuhan...

................................................

Bila saya kembali duduk memuhasabah tentang ujian dan takdir ALLAH, maka tenanglah seketika hati ini berinteraksi dengan ujian hidup yang kalian kongsikan. Maka hati ini tidak mahu pesimis mencadangkan solusi yang ‘mudah’  sedangkan ia sebenarnya tetap mempunyai risiko tersendiri jika jalan itu yang diambil.

Hakikatnya, semakin usia bertambah, semakin kita menginjak tangga kedewasaan dan kematangan – maka kelihatannya semakin besar dan rumit ujian yang didatangkan ALLAH. Tidak usah mengharap ujian hidup menjadi lebih mudah, namun memintalah ALLAH menganugerahkan keindahan sebuah kesabaran.

Fasobrun jameel.. Kesabaran yang indah.

Semakin diri meniti jalan keimanan dan berusaha meraih keredhaan tuhan, semakin tajam duri-duri cabaran memenuhi perjalanan menuju syurga tuhan.

Satu demi satu ujian menjelma di takah kehidupan, maka tidak boleh berharap ujian makin kecil dan makin senang. Selesai satu masalah, menerpa pula masalah lain. Setelah berakhir ujian kesusahan, ujian kesenangan pula yang memberi salam.

Sesungguhnya ujian dan musibah kehidupan tidak pernah gagal mendidik kita secara luaran dan dalaman. Dugaan yang bertimpa-timpalah yang sering mengubah perilaku luaran kita yang buruk kepada lebih baik dan penuh kerendahan. Masalah dan cabaran silih berganti lah yang mengenalkan manusia kepada Tuhan yang Maha Menciptakan. 

Tanpa cabaran dan ujian, manusia amat sering meletakkan Tuhan di senarai paling belakang, segala urusan dalam hidup bertuhankan nafsu dan runtunan perasaan.

Ujian hiduplah yang mendewasakan iman dan pemikiranku. Ujian hidup sering mengajar kita dalam bentuk menyakitkan, namun seringkali itulah cara paling berkesan untuk mendidik dan mengubah jiwa bongkak seorang insan.

Ujian dan musibah hidup mencarik –carik ruang hati yang paling dalam, namun dari musibah itulah hati manusia kembali terisi dengan cinta dan jiwa yang mendamba rahmat tuhan.

Makna musibah sesungguhnya bergantung pada orang yang melaluinya.

Hati saya menangis, mata berkaca-kaca mendengar cerita seorang kakak yang telah bercerai dengan suaminya – kerana ujian poligami. Saya sedih, perceraian adalah antara ujian yang terberat dalam hidup seorang insan. Saya tidak mahu diri saya, atau kalian semua menempuhnya. Namun kakak itu yang dulunya isteri pertama, juga mengatakan bahawa terlalu banyak nikmat yang ALLAh berikan di sebalik perceraian. Di hadapan saya, wajahnya tenang dan kata-katanya positif.

Saya melihatnya sebagai musibah, namun dia merasa nikmat?

Ya benar, ada masa-masa tertentu kakak itu merasa down, namun banyak masanya terasa diberi kekuatan oleh ALLAH. Yang penting, ada rasa pada jiwa untuk terus melakukan perbaikan pada diri sendiri.

Seorang gadis yang telah lewat usia kelihatan bertenang melalui kehidupannya yang masih sendiri, namun  bila ditanya – dia bahagia dapat membantu adik beradik dan ibu ayahnya. Dia mengorbankan keinginan untuk bernikah awal kerana sebagai anak sulung, tanpa adik beradik lelaki – hanya dia yang menjadi harapan untuk menjaga ibu ayah dan membimbing serta membantu adik-adiknya yang tujuh orang itu.

Ya Tuhan, terasa jiwa ini tidak mampu melalui hidup sendiri sepertinya.

Kadang-kadang, bila mendengar masalah orang lain, mungkin kita merasa dia tak sepatutnya mengambil tindakan atau langkah seperti itu. Namun ketahuilah, memang tidak pernah sama jiwa yang hanya memandang dengan hati yang menongkah cabaran itu.

Pesan untuk diriku dan dirimu yang berada di sini, sebagai persediaan menghadapi ujian - pertama, persiapkanlah bekal ilmu dalam memikul setiap jawatan yang diamanahkan ALLAH. Menjadi anak, menjadi kakak, menjadi individu bujang, menjadi isteri, menjadi pemikul poligami, menjadi ibu, menjadi sahabat, menjadi jiran, menjadi menantu, menjadi ipar – semua posisi ini sangat-sangat perlu kepada ilmu yang selalu diperdalamkan.

 Jika tidak, bila Allah menguji - kita akan bertindak dan mengambil jalan yang hanya menurutkan perasaan. Lebih berbahaya bilamana perasaan itu telah diracuni syaitan. Ataupun tanpa ilmu, kita hanya ikut kebiasaan orang dalam menyelesaikan permasalahan, sedangkan cara yang biasa itu tidak mampu membawa ke mana. Maka ilmu adalah keperluan kritikal untuk kita terus melangkah menuju kebahagiaan. Akan berjaya mereka yang mengikut petunjuk ALLAH dan rasul dalam segenap ujian.

Kedua, bersabarlah bersabarlah menghadapi ujian ALLAH. Bukan sabar duduk diam berpeluk tubuh, namun terus bersabar untuk semakin mentaatiNya. Terus bersabar mencari jalan keluar. Bentuk dan  situasi setiap ujian itu terlalu pelbagai, maka jalan keluarnya bermacam cara juga. Jika usaha A tidak berjaya, laksanakan usaha B. Jika Usaha B tidak mendatangkan hasil, usah putus asa untuk teruskan dengan Usaha C. Dan seterusnya

Namun sedarkah kita, perkara yang sulit bukan sekadar untuk mencari jalan penyelesaian, namun bila jalan itu  telah ditemui  - sanggupkah kita menempuhnya…? Ujian menjadi bertambah serabut bila mana jiwa tidak ada kekuatan untuk melaksanakan langkah penyelesaian yang terbentang di hadapan.

Yang terakhir ingin saya kongiksan dan sangat penting, hadapilah dengan keimanan, bahawa ALLAH lah yang menyusun dan menentukan segala takdir yang baik dan yang buruk.

…Beriman kepada takdir ALLAH yang baik dan yang buruk … (hadis Riwayat Muslim)

Dalam kita menghadapi masalah dan musibah, jujurlah menyandarkan hati pada ALLAH dalam tetap mencari jalan keluar. Inilah tawakkal.

Bersangka baiklah bahawa sesungguhnya kasih sayang ALLAH lah yang membawa kita melalui ujian kehidupan yang makin keras dan tidak berkesudahan. Jika kita bersabar dan tetap beriman kepada ALLAH, ganjaran dan kenikmatan besar menanti di dunia dan di syurga.

Sesuatu yang kita kehilangan, adalah pasti ALLAH akan menggantinya dengan sesuatu atau seseorang yang lebih baik. Dan keyakinan inilah yang akan memimpin hati untuk tenang dalam kepayahan.

Tak perlu menoleh kembali ke zaman kanak-kanak atau perkara yang telah jauh berlalu. Pandanglah jauh kehadapan melihat bagaimana kelak diri kita berdiri menghadap tuhan untuk menjawab segala ujian baik dan buruk yang ALLAH berikan…




Friday, January 13, 2012

Poligami: Tips Untuk Isteri Pertama



:: Moga ALLAH melimpahkan kesejukan dan ketenangan ke dalam hati kita para isteri yang  melalui satu demi satu ujian kehidupan.. Sesungguhnya ALLAH yang Maha Pengasih yang memberikan ujian untuk kita , kerana DIA kasih ::




Dipetik dari Buku: 
202 Pelajaran Berkenaan Poligami (Hafiz firdaus Abdullah)

Satu perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada isteri sedia ada apabila mendapati suami ingin atau sudah berpoligami, adalah ia amat sukar, berat lagi menyedihkan. Kesukaran, keberatan dan kesedihan ini tiada tandingannya.

Justeru jangan menghadapinya secara berseorangan, sebaliknya rujuklah kepada AllahSubhanahu waTa’ala. Adulah kepada-Nya, bergantunglah kepada-Nya dan mintalah kepada-Nya kekuatan, motivasi, kesabaran dan petunjuk.

Hadis dalam pelajaran sebelum ini sekali lagi menjadi rujukan: Jagalah Allah niscaya Dia menjagamu, Jagalah Allah niscaya kau menemui-Nya di hadapanmu, Apabila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah.

Selain itu rujuklah juga kepada orang-orang yang berilmu, matang lagi hidup di alam poligami. Insya-Allah mereka dapat membantu anda dan menyedarkan bahawa anda tidak berseorangan.


Sikap anda apabila suami ingin atau sudah berpoligami janganlah dihentikan sekadar merelakannya dan berkata “Boleh”. Akan tetapi sikap yang lebih terpuji dan bakal meraih keredhaan Allah, pahala serta syurga-Nya ialah anda membantu suami menjadikan hajatnya berpoligami menjadi kenyataan. Seterusnya anda tetap membantu suami membangun keluarganya yang baru itu, pada kadar yang sepatutnya.

Firman Allah Subhanahu waTa’ala: 

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa. [al-Maidah 5:02]


Antara bantuan yang dimaksudkan ialah:

· Anda hadir bersama suami dalam perbicaraan permohonan poligami di mahkamah syari’ah.

· Anda rela suami menyusun perbelanjaannya untuk menampung isteri baru. Sama-sama diketahui kos
perkahwinan dan memulakan rumahtangga baru adalah agak tinggi.

· Seandainya suami memiliki rumah dan kereta tambahan, anda rela ia digunakan oleh isteri barunya.

· Berkongsi dengan isteri baru apa yang disukai oleh suami dan apa yang dibenci oleh suami. Jika isteri
baru ialah seorang gadis (dara), maka anda berkongsi cara-cara menguruskan rumahtangga.

· Anda bersikap toleran untuk mengubah-ubah hari giliran apabila suami memiliki sesuatu urusan penting bersama isteri barunya.


Antara cabaran merelakan suami berpoligami ialah anda tidak mahu melapangkan suami untuk turut dikongsi
oleh wanita lain.

Ketahuilah apabila kita melapangkan sesuatu untuk dikongsi bersama – termasuklah suami – maka Allah
Subhanahu waTa’ala akan melapangkan kehidupan kita dengan pelbagai anugerah-Nya dan mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

Sebaliknya jika kita meyempitkannya, maka ia akan meyempitkan kehidupan kita dan merendahkan darjat kita.

Atas dasar inilah, jika kita perhatikan orang yang lazim melapangkan kepada orang lain, kehidupannya
sentiasa lapang, ceria dan gembira. Berbeza dengan orang yang lazim menyempitkan, kehidupannya sentiasa sempit,muram dan dukacita.

Perhatikan firman Allah berikut ini:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlahseboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu.

Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu
lakukan. [al-Mujadilah 58:11]


:: Moga bermanfaat, kelak saya kongsikan pula Tips untuk isteri kedua. insyaALLAH ::



Thursday, January 12, 2012

Tak kenal, maka tak bahagia




Saya membaca bait-bait tulisan sebuah buku di tangan, sambil jari-jemari menaip keyboard. Saya sedang ingin mengenal Allah. Semoga saya tidak mati sebelum mengenal ALLAH, beriman dan beramal yang diredhaiNYA.

Cinta kepada ALLAH itu mententeramkan. Tenteram. Sangat-sangat. Sesungguhnya orang-orang beriman itu amat besar cintaNYA kepada ALLAH.(2:165)

Namun bukan mudah mencintai ALLAH. Apa lagi dicintai ALLAH. Saya tidak tahu nilai saya di sisi ALLAH namun berharap dan berusaha meraihnya. (Sebenarnya saya tahu….saya masih terlalu jauh dari peribadi mukmin yang dicintai ALLAH).

Saya dan kita semua pasti ada episod kecewa dengan cinta kasih manusia, namun sebenarnya kecewa itulah yang membawa kita mengenal dan mencari cinta ALLAH kan…? Sayangnya ALLAH pada kita, menukar cinta manusia yang sedikit dengan cinta ALLAH yang Maha Hebat.

Perkahwinan ini benar-benar mengajar saya untuk lebih mengenal dan mendalami cinta ALLAH. Pernikahan adalah amanah yang berat. Medan ujian yang amat mencabar keimanan. Tanpa mengenal ALLAH, saya tidak akan mampu merasa gembira dan bersemangat dalam perjalanan menujuNYA. Sungguh hati manusia seperti saya, sering berbolak balik. Pada suami dan teman-teman, doakan hati ini ditetapkan dalam keimanan. Sama-sama kita terus mengenal ALLAH yang telah terlafazaz syahadah di satu waktu dulu.

“ALLAH tuhanku, bahkan kami menyaksikannya.”Al-A'raf.

Duhai hati, ayuh mengenal ALLAH. Tak kenal ALLAH, tak mungkin bahagia. Kalau ada, sedikit dan sebentar cuma.

Allah Maha Pencipta

Terima kasih ALLAH mencipta institusi bernama pernikahan.  ALLAH yang mencipta jawatan suami dan isteri. Rumahtangga adalah medan murni beramal soleh bertemankan pasangan yang sama tidak sempurna seperti kita. Lelaki perempuan terlalu berbeza. Namun perbezaan yang dilakar ALLAH itulah yang menjadikan kita saling mengenal dan berkasih sayang. Ya ALLAH, bantu diriku mengenali dan  memahami  perasaan suamiku, agar mampu kami berkasih sayang menuju keredhaanMU.

Hanya ALLAH yang memberi rezeki

Terima kasih Ya ALLAH atas rezeki yang KAU kurniakan ke atas keluarga kami… Sesungguhnya rezeki bukan hanya wang, makan minum dan pakai, namun rezeki juga adalah cahaya hidayah, ilmu, akhlak yang baik, kasih sayang…ayuh diriku dan kita semua, berusaha keras mencari rezeki untuk sekeping jiwa hamba, bukan saja untuk fizikal. Sama-sama terus menghidupkan jiwa di perjalanan yang sukar dan jauh ini. Mohonlah rezeki cinta dan kasih sayang berpasangan dari ALLAH.

Segalanya kepunyaan ALLAH

Saat bersendiri, Engkau maha tahu ya ALLAH, diri sangat mendamba kehadiran suami di sisi. Berkongsi kemesraan dan ketenangan. Namun bersangka baiklah wahai hati, bahawa ketiadaan suami atas apa jua alasan, adalah untuk kita makin menginsafi bahawa kita tidak milik apa-apa. Saat ALLAH menghantar suami ke sisi, hargailah, berbuatlah yang terbaik kerana ALLAH. Lapanglah duhai hati, bahawa suami yang disayangi akan bila-bila dibawa pergi.

ALLAH yang mengatur syariat

Jika diri mengharap bahagia, harus akur dan redha melaksanakan suruhannya dan menjauhi segala laranganNYA.  Syariat ALLAH adalah sistem yang sempurna untuk kebahagian dunia dan akhirat. Jika diri tegar melanggar garisan dan sempadan yang diletak Sang Pencipta, bertaubatlah. Kembalilah kepada ALLAH. Terus dan terus membina ketaqwaan, kerana hanya pada taqwa ada jaminan kebahagiaan yang berpanjangan. Jadilah isteri yang beriman, moga dapat membantu suami dalam keimanan dan ketaqwaan.

Takut dan berharap pada ALLAH

Azab seksaMu pasti pada manusia yang engkar dan derhaka. Namun, tertulis juga bahawa ENGKAU lah tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Peliharalah diriku, suamiku dan keluarga kami serta orang-orang beriman dari dicampakkan ke dalam kebinasaan yang berkekalan. Peliharalah jiwa-jiwa kami seperti mana ENGKAU memelihara jiwa hamba-hambaMU yang soleh. Duhai isteri, berharaplah kepada ALLAH kebaikan akhirat yang kekal abadi.

Seluruh dan sepenuh kecintaan hanya pada ALLAH

Kecenderungan hati yang mendalam ke dalam ALLAH, menjadikan hati isteri lembut dan tunduk kepada kebaikan. Fokus kepada ALLAH membantu melintasi duri-duri cabaran. Di akhir waktu, ALLAH tidak bertanya siapa suamimu, mertuamu, iparmu, madumu, temanmu – apa yang telah mereka lakukan kepadamu – namun ALLAH akan menilai apakah sikap, akhlak, ucapan dan tindakan diriku - adakah bersesuaian dengan keredhaan ALLAH. YA ALLAH ... bantulah diriku berkhidmat kerana ALLAH. Bantulah diriku bersyukur dengan segala nikmat  perkahwinan. Bantulah diriku menolak keburukan dengan kebaikan. Kuatkanlah kesabaranku dalam bergaul dengan manusia dan godaan dunia.

Allah yang memberi manfaat dan mudharat

Rumahtangga kita tidak mungkin boleh dirosakkan sewenangnya oleh orang luar, perempuan lain, ipar duai, keluarga mertua atau sesiapa kerana mereka sama sekali tidak berkuasa. Jagalah dan suburkanlah kebahagiaan rumahtangga dengan bergantung sepenuhnya pada ALLAH yang Maha Bijaksana. Perbaiki hubungan dengan manusia, dalamkan cinta pada Yang Esa. Jika kita tidak menyerahkan bahtera rumahtangga pada DIA, siapakah yang akan mengemudinya? Syaitan dan sekutunya yang akan berkuasa dan berleluasa meruntuhkan mahligai cinta yang dibina.

Jika terpisah, yakinlah janji ALLAH, ada kemudahan setelah kesulitan. Bersangka baiklah, selautan rahmat dan nikmat akan mengganti musibah yang dilalui..ameen.

ALLAH yang melindungiku, dariNYA segala kekuatan

Sesungguhnya bila seorang suami meninggalkan anak dan isteri, dia tidak meninggalkan kami melainkan dalam titipan ALLAH. Engkaulah sebaik-baik penjaga. Bantulah kami untuk menjaga segala aturan dan syariatMU, agar ENGKAU selalu berada di hadapan kami untuk memberi bantuan dan bimbingan. Jagalah ALLAH wahai isteri, nescaya ALLAH menjagaMU..

Hanya ALLAH yang mampu menolong dan mengabulkan permintaan

Segala-galanya dari MU. Cukupkanlah diriku dari meminta-minta kepada manusia. Bantu diriku agar tidak membebankan hati suami dengan sesuatu di luar kemampuan dan keupayaannya. Balaslah kebaikan suami dan  insan-insan yang menjadi wasilah bantuanMU kepadaku Ya ALLAH. Banyak yang telah ku minta dari MU, dan akan terus meminta, berikan aku redha akhirnya. RedhaMU. Bantu aku berusaha wahai teman.

Sesungguhnya ALLAH sentiasa mendengar dan memahami segenap bisikan hatiku

Pasang surut perasaan ini, hanya Tuhan yang tahu. Kesedihan dan senyuman ini, hanya ALLAH yang mengerti. ENGKAU yang menjadikan kami gembira dan berduka. Luruskan perasaan ini dan perasaan teman hidup yang kami kasihi,  agar sentiasa dalam petunjuk ALLAH dan Rasul. Lindungi hati hamba-hambaMu ini dari dikuasai syaitan dan nafsu.

Ya ALLAH sungguh tidak berhenti KAU menguji hambaMU ini dengan ujian kesenangan dan kesusahan… Bantu diriku ya ALLAH untuk lulus dan terus istiqamah beriman. Sesungguhnya dunia adalah medan ujian.

ALLAH adalah tujuan kehidupan, yakinlah hari akhirat yang menungguku

"Abang, kenapa orang yang bukan islam kelihatannya melalui alam pernikahan yang menggembirakan, sedangkan mereka tidak beriman kepada ALLAH…"

"Kerana cinta mereka hanya di dunia…sedangkan kita mengharapkan cinta dan perkahwinan ini berterusan hingga ke syurga…"

Berlinangan air mata....Sesungguhnya niat dan pengakuan ini akan terus diuji dan diuji...!





Friday, January 6, 2012

Coretan Hati Buat Teman


Assalammua’laikum wa rahmatullah

Buat teman-teman yang dikasihi, walau di tanah negeri dan negara mana sekalipun, alhamdulillah ALLAH membenarkan kita bersua di alam maya untuk saling mengingatkan dan saling mengasihi.

ALLAH telah mempertemukan kita, sedangkan dalam hidup ini, kita tidak pernah tahu siapa yang akan kita temui. Dan sesunguhnya aturan ALLAH itu sangat indah dan terbaik walau adakalanya kita tidak menyenangi insan yang ALLAH  takdirkan hadir dalam hidup kita... begitu dangkal dan sedikitnya ilmu dan pengetahuan kita akan sesuatu perkara...

Tetapi dengan siapa, bila dan di mana pertemuan itu terjadi bukan persoalannya, hal yang perlu dihayati ialah bagaimana kita bereaksi dan menghargai datangnya insan-insan yang memberi warna-warna suka dan duka  dalam hidup.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan, seinfiti pujian kita lafazkan kepada ALLAH MAHA AGUNG yang mempertemukan kita sebelum, semasa dan insyaALLAH selama-lamanya dalam jalan tarbiyyah ini. Bagi teman-teman rapat, skrip-skrip yang telah kita lakonkan sepanjang ukhuwwah dan persahabatan ini sentiasa menjadikan kita lebih matang dan dewasa.

Bagi teman-teman yang ‘kurang rapat’, kita sentiasa rapat sebenarnya, kerana melalui kalianlah diri ini  mempelajari erti hidup sebenar bersama manusia. Alhamdulillah jalan kebaikan yang berusaha kita pilih, dengan izin ALLAH pastinya, mendidik kita cara berkomunikasi dalam lingkungan yang diredhai ALLAH dan RasulNYA. 

Dengan rahmat ALLAH kita pandai berbicara ( ar rahman: 4) dan dengan rahmat ALLAH kita mampu berlemah lembut (ali-imran: 159), dengan rahmat ALLAH kita mampu bersabar dan memaafkan (as-syuara ). Mudah-mudahan begitulah kita. Tarbiyah melalui halaqah dan majlis ilmu sepanjang pengajian membuka minda kita untuk menerima dan mengasihi saudara-saudara lain tanpa syarat. Hingga ALLAH mengizinkan diri kita menerima & diterima insan-insan yang ditemui dalam lingkungan dan medan kita berada.

Buat teman-teman yang bergelar guru, nukilan peribadimu bersama para pelajar adalah satu refleksi betapa dirimu bukan sekadar mengajar mereka namun mendidik  dan menerima mereka dengan hati yang terbuka. 

Sama-samalah kita ikhlas dan jiddiyah (bersungguh-sungguh) mendidik, kerana kita telah belajar bahawa kekuatan yang kita ada pada hari ini, dan rahmat ALLAH yang telah perlahan-lahan kita rasa (insyaALLAH), lahirnya dari kesungguhan dan keikhlasan murabbiyah-murabbiyah kita mendidik dan membina fikrah, maknawiyah (moral) etc dalam diri kita sejak dulu… Marilah kita sebar luaskan lagi didikan walau di mana kita berada - sekolah, halaqah, universiti, ofis etc..

Teman maya ku sekalian, ujian-ujian yang dikongsi sepanjang keberadaan kita bersama, telah mengajar diri ini untuk lebih terbuka melihat sesuatu dalam ruang lingkup yang lebih luas, dalam masa yang sama berjuang mendidik jiwa untuk lebih dekat kepada ALLAH… Teruslah kita memohon ilham dan kekuatan dariNYA untuk menghadapi ujian dengan cara-cara yang diredhaiNYA..

Kita sangat jarang bertemu atau tidak pernah bertemu kerana tanggunjawab dan kekangan masing-masing, namun kalian mengajar saya erti ukhuwwah yang didasari iman insyaALLAH… kerana tiada apa lagi yang mampu mengikat hati setelah perpisahan melainkan pertemuan dijalan kebaikan, di jalan tarbiyyah dan dakwah, melainkan pilihan kita untuk menggilap iman itulah yang sering menyatukan hati-hati kerdil ini…

Moga kita istiqamah beriman, dan memotivasikan diri untuk tunaikan segala amanah dengan sebenar-benar ikhlas dan dengan cara yang terbaik hanya kerana ALLAH… Supaya kita tidak jadi seperti orang-orang kafir yang menyatakan keimanan kepada ALLAH sewaktu azab telah ada di depan mata di akhirat kelak, sedangkan waktu itu tiada peluang lagi beramal soleh dan memohon keampunan…tiada peluang kembali hidup dunia…

Nau’zubillah moga ini memotivasikan diri sendiri untuk meninggalkan larangan dan menunaikan segala suruhanNYA…

Hidup hanya sekali, moga diri saya dan kalian mengisi hidup dengan zikrullah, amal soleh, menangisi dosa, memohon redha dan ampun buat diri… Ana sayang antunna semua….  Saya mengasihi teman semuanya...




Nurul Adni Adnan





Monday, January 2, 2012

Belajar Menjadi Pemimpin




Seorang isteri adalah pemimpin dalam mengurus rumah tangga suaminya dan dia akan diminta bertanggungjawab dalam kepimpinannya." (Hadis riwayat Bukhari)

Kini saya telah bergelar isteri, maka saya harus bersungguh menjadi pemimpin rumahtangga seperti pesanan Rasul SAW yang akan memberi impak yang besar pada suami dan anak-anak. Semuanya perlukan ilmu dan kesungguhan. Moga bila isteri sebagai timbalan pemimpin berkeperibadian baik, suami akan tenang dan kuat dengan cabaran sebagai pemimpin ummah di luar sana. Ya, suami sangat tenang dan bahagia jika rumah dan anak-anak terjaga elok di bawah kelolaan suri muslimah.

Perkara-perkara besar yang berlaku di peringkat antarabangsa – samaada yang positif atau negatif – bermula di rumah. Bermula di bawah pimpinan seorang wanita… setuju tak :D

Pada yang tidak miliki suami, pengaruh pimpinan kalian lebih luas. Plan B saya, jika ALLAH mengambil nikmat suami, maka saya akan terus fokus memimpin anak-anak dan para remaja jua teman muslimah lainnya kepada kebaikan dunia dan akhirat. Bantu saya ok, kita sama berjuang menjadi pemimpin yang bermanfaat atas jawatan khalifah yang diamanahkan di muka bumi. Dan sesungguhnya, menjadi pemimpin bermula dengan memimpin diri sendiri…

Kalian di luar sana yang samaada yang bujang, yang bergelar isteri atau ibu, telah bercerai atau kematian suami, ada nilai dan ciri baik pada kalian yang menjadi renungan dan ikutan saya. Sama-sama kita upgrade ilmu, iman dan amal ya… dalam  memperjuangkan kebaikan dan memimpin manusia untuk bahagia yang hakiki…

Bagaimana  saya mula sedar untuk belajar menjadi pemimpin?

Sewaktu di sekolah menengah, saya tidak terlibat secara aktif dengan mana-mana persatuan. Pergi sekolah, balik sekolah hanya untuk belajar dan ambil periksa. Pergi bersukan, pergi lawatan, bersukan, ketawa gembira, bersembang cinta remaja. Melalui zaman remaja di sekolah menengah yang kadang ok, kadang rasa tak ok. Kadang gembira, kadang perasaan kacau bilau.

Alhamdulillah menjejak kaki ke UiTM Seksyen 17 Shah Alam membuka jalan baru untuk saya mengenali diri dan tujuan kehidupan. Mendiami Kolej Kediaman Perempuan – Kolej Akasia – perlahan-lahan kaki melangkah ke surau dan mencari erti diri. Hati pun bercambah segar disiram ayat-ayat Quran dan Hadis.

Dari menjadi pengunjung setia surau, seorang kakak senior mencadangkan saya menjadi Ketua Biro Kerohanian yang bertanggungjawab untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di Surau Kolej Akasia. Mungkin kerana melihat saya ‘dekat’ dengan surau, atau melihat keaktifan saya melontar pelbagai persoalan agama. Sedangkan keaktifan itu hadir bukan kerana karakter saya seorang yang aktif, tapi kerana memang banyak persoalan dalam hidup yang tak terjawab dari awal remaja.

Apapun, saat itu, bermulalah proses mendidik diri sebagai pemimpin.

Membelek fail-fail yang mengandungi kertas kerja dan perkara lainnya, hati jadi gementar. Ya ALLAH, saya tak pernah jadi Ketua atau memegang jawatan yang saya perlu mengambil tanggungjawab merancang program. Perlu pula berjumpa para pegawai yang berkaitan Hal Ehwal Pelajar. Menyiapkan kertas kerja dan membentuk jawatankuasa.

Saya bukan orang yang peramah. Saya bukan orang yang suka atau biasa berbincang apatah lagi berada dalam situasi bermesyuarat. Perlu kendalikan meeting? Perlu merangka kewangan? Perlu mengetahui perkara teknikal tentang keperluan program? Perlu membiasakan diri membuat surat rasmi?

Bagaimana?  Siapa? Di mana? Bila? Kenapa?

Bagaimana menjadi pemimpin yang berkesan?
Siapa yang akan bekerja bersamaku?
Di mana daya kepimpinan ini akan dimanfaatkan?
Bilakah akan bermula dan berakhirnya seorang pemimpin?
Kenapa menjadi pemimpin, ke arah mana pimpinan ini mahu ku bawa?

Saya perlu bekerja dengan pelajar lelaki dari Kolej Cemara. Macam mana dengan pergaulan?

(Kolej Cemara- Akasia adalah kolej kediaman yang terasing dari kolej-kolej kediaman UiTM yang lain, maka segala aktiviti kami hanya berpusat di Kolej dan sasarannya adalah Student INTEC - dan sebenarnya kami pelajar Fakulti Pendidikan yang menumpang di kolej INTEC.)

Apa aset atau modal yang saya ada untuk memulakan semua ini?

Matlamat, saya sudah jelas bahawa saya inginkan segala bentuk aktiviti atau program yang membawa pelajar ke arah kebaikan yang berlandaskan islam.

Persediaan menjadi Ketua Biro untuk setahun dua itulah yang perlu saya usahakan.

Alhamdulillah dari awal saya suka melibatkan diri dengan program Unit Kaunseling. Program mereka membantu saya menggali potensi diri. Digabungkan pula dengan input islam yang saya dapat di surau dan usrah yang baru disertai, fikiran saya makin padat untuk menggabungkan ilmu, potensi dan segala tanggungjawab belajar. Bagaimana untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk amal?

Saya pun mula mencari buku di Science Social section di library - mula belajar tentang communication, leadership, handling a meeting etc.

Saya mula menjejak kaki ke pejabat Tuan Haji hassan Awang Boon yang sangat disegani sebagai Timbalan Pengarah HEP INTEC – membincangkan kertas kerja serta hal-hal yang berkaitan program yang dirancang, juga aspek kewangan.

Saya mula memerhati sifat dan sikap kepimpinan yang ada samaada di kalangan teman-teman pelajar, para pensyarah atau pegawai Kolej dan HEP.

Saya belajar bergaul, belajar menjadi insan yang disenangi dan didekati. Saya belajar mudah terseyum. Belajar berdiplomasi. Belajar berkomunikasi dengan ‘orang atasan’ dan ‘orang bawahan’. Dengan pelajar yang lebih muda atau lebih berusia, lain caranya. Bergaul sama jenis dan lawan jantina ada cabaran dan pendekatan tersendiri. Bagaimana untuk berhubung secara professional dengan pihak penceramah atau wakilnya. Perlu juga belajar menghadkan diri agar tidak didekati oleh insan yang tak perlu :P

Saya membaca, mencatit dan rehearsal ayat yang sepatutnya saya ucap sebagai Ketua Biro kepada ajk dan belajar memotivasi. Saya mencatat segala ayat yang sepatutnya diucap dalam meeting. Dalam meeting dengan pegawai Kolej dan HEP, secara direct perkataan saya dibetulkan jika tersalah. Saya belajar untuk membuat panggilan telefon dan sms secara efektif dan proper. Saya bertatih mengenali keperluan dewan seperti sound system, microphone, projector.

Saya perlu mencari dan mengenali ustaz ustazah yang mampu menyuntik input segar untuk anak muda remaja. Bukan mencari penceramah yang sekdar kelakar dan menghiburkan, tapi penceramah yang mampu menjadi role model dan inspirasi untuk meningkatkan keperibadian islami.

Program pertama saya adalah ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah (atas cadangan orang lain) bertajuk Mencari Cinta. Jangkaan dua ratus orang sekadar memenuhi dewan, rupanya ramai lagi yang menunggu di luar dewan. Mencari layar dan extra projektor untuk luar dewan, juga extra sound system. Saya bersyukur team terbaik yang dimiliki waktu itu melancarkan perjalanan program, banyak yang saya belajar dari sikap positif dan kesungguhan anak buah saya ketika itu.

Program sebegini adalah kecil untuk orang yang biasa mengendalikan program besar, namun menjadi batu loncatan untuk saya menganjurkan program lain dengan lebih teratur, matang dan objektif.

Peluang menjadi Biro Kerohanian di Kolej Akasia membuka lembaran baru yang membawa saya ke banyak tempat dan meneroka banyak pengalaman. Program motivasi seterusnya di sekolah rendah dan menengah, pergi membantu mangsa banjir di Johor dan meredah hutan ke perkampungan orang Asli di Cameron Highlan. Program di dalam dewan hingga ke dalam hutan dan ke tepi pantai, bersama kesempatan snorkelling di perairan Pangkor, semua ini amat berharga. Menaiki bot ke Pulau Ketam bertemu muallaf. Hingga terbang ke bumi Kemboja bertemu minoriti muslim.

Terlibat dengan jemaah yang tidak mahu memewahkan peserta, juga jemaah yang biasa dengan kemewahan. Jemaah yang berciri kekampungan. Berciri kebandaran. Bergerak dalam organisasi yang bercampur lelaki perempuan, dan yang perempuan sahaja. Bekerja dengan pasukan yang ‘sama fikrah’ dan berlainan fikrah.

Jua pengalaman manis tapi perit apabila terpaksa bertentangan dan mempertahankan prinsip dengan orang lain. Semua ini mengajar bagaimana untuk menjadi terbuka, namun tidak longgar sahaja. Dan saat ini masih lagi sentiasa belajar dan belajar agar langkah dan ucapan dalam keredhaan tuhan.

Saya bersyukur pada ALLAH atas segala ilmu dan peluang di Kolej Akasia yang membantu mengukir keperibadian yang baik, saya memohon ampun padaNYA atas banyaknya salah dan silap dalam melalui proses kepimpinan itu. Amat banyak perkara untuk terus digilap dan dibaiki buat meneruskan fasa kehidupan yang mendatang. Belajar erti kepimpinan yang bersesuai dengan fitrah wanita.

Menjadi pemimpin sebenarnya tidak perlu menunggu diberi jawatan, kerana kita sebagai insan yang dilahirkan di muka bumi ini sememangnya sentiasa punya jawatan sebagai pemimpin. Untuk memimpin, bukan dengan banyaknya perkataan dan ucapan, namun dengan kekuatan akhlak dan tindakan. Yang paling penting, orang yang mampu memimpin manusia adalah orang yang hatinya dan seluruh kehidupannya selalu berpimpinkan wahyu ALLAh dan panduan Rasulullah.

Anda seorang remaja,  isteri, seorang ibu, seorang guru, seorang tukang sapu, seorang penjual jambu, seorang penjual buku - mampu mempengaruhi dan memimpin orang lain dengan kekuatan iman dan keteguhan akhlak mulia.

Moga kita tidak memimpin, melainkan untuk kita saling membantu menjadi hamba yang  lebih baik di sisi ALLAh, juga membangun kehidupan yang lebih mulia dan diredhai ALLAH.






Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...