Monday, October 4, 2010

Maka hati pun (berusaha sabar) memilihnya...


Menghampiri penghujung tahun, saya dalam fasa membuat 'laporan pernikahan', bukan untuk sesiapa, untuk rujukan dan muhasabah diri sendiri tentang baitul muslim yang berusaha disuburkan. Lalu saya terjumpa 'bahan-bahan proses pernikahan' yang lepas, iaitu tulisan-tulisan saya kepada teman dan orang-orang yang saya kongsikan hal sepanjang proses pernikahan itu.Ada yang saya rasa sesuai untuk dikongsikan di sini.

Hampir dua tahun yang lalu, saya dihadapkan dengan pilihan untuk keberterusan masa depan perjalanan di dunia ini. Saya perlu membuat keputusan tentang jodoh, saya perlu memilih pilihan yang ada di depan mata. Saya percaya ada ALLAH, dalam masa yang sama, saya perlu ada insan bernama teman-teman untuk memberi pandangan, kekuatan dan sokongan.

Lantas di sela-sela masa sebelum hari saya bernikah, sebelum saya benar - benar melangkah ke alam perkahwinan bernama poligami, saya mencoret ungkaian kata berkongsi rasa dengan beberapa orang teman rapat. Saya kongsikan tulisan itu bersama kalian, andai ada peringatan ke arah kebaikan, syukurlah pada tuhan. Andai ada kesilapan, mohon pembetulan dan kemaafan.


Assalammualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh

Menemui sahabatku akhawati yang dikasihi yang jauh dimata - semoga berada dalam suasana kemanisan iman dan keteguhan taqwa. Ana sekadar ingin berkongsi sedikit kisah dan perasaan yang dilalui sementara menanti detik pernikahan. Dan ana juga sangat menghargai jika kalian turut dapat berkongsi kisah kalian dengan diri ana yang menanti-nanti khabar dan perkembangan kalian.

Ana telah membuat keputusan untuk menjadi bukan yang pertama. Dan ternyata keputusan itu melibatkan perasaan yang sangat berat dan sangat sulit untuk mereka yang terlibat. Semakin lama ana berada dalam proses menjadi bukan yang pertama, semakin jauh hati dan pandangan ana dapat menjangkau kesukaran dan cabaran yang terpaksa ana tempuh.

Kesukaran yang terbesar ialah perasaan ana sendiri yang sering berbolak balik, beberapa kali ana terasa ana ingin memutuskan ikatan perjanjian yang dah terbina dengan bakal zauj.

Ana tak dapat lari dari perasaan perempuan ana. Seandainya ana ditemukan ALLAH dengan seorang lelaki sebagai zauj, sebagai qawwam, ana ingin menjadi yang utama dan pertama dalam hatinya, dalam hidupnya. Ana mahu diri ana sebagai perempuan yang satu-satunya hadir di sisinya. Tidak ada yang kedua atau seterusnya. Ana mahu perhatian dan kasih sayang zauj kelak hanya untuk ana.

Sangat berat bila membayangkan yang kelak sewaktu diri ana mengharapkan kehadiran zauj, zauj ana ada bersama perempuan lain [isterinya], tak boleh diganggu apatah lagi untuk berkongsi perkara-perkara yang remeh temeh.

Sedihnya membayangkan zauj nanti bersama perempuan lain bernama isteri yang juga punya hak ke atas dirinya, hatinya, perhatiannya dan kasih sayangnya. Sakit sangat perasaan itu...membayangkan saja sudah terasa lemah dan tak sanggup, apatah lagi jika ALLAH benar-benar izinkan ana menjadi bukan yang pertama.

Ana terfikir yang lebih baiklah hidup bujang sendiri, tak perlu berperang dengan perasaan nak membolot seluruh perhatian dan kasih sayang dari zauj. Dan seandainya dikatakan ana membina kebahagiaan dan kegembiraan di atas air mata orang lain, percayalah, kelak jauh disudut hati, kegembiraan dan kebahagian dengan kehadiran zauj seolah-olah tersekat kerana menyedari zauj 'bukan milik kita sepenuhnya'. Dalam hati juga ada rasa belas dan turut bersedih kerana membuat kakak saudara perempuan ana, sebagai yang pertama, bersedih kehilangan ‘hak milik penuhnya’ ke atas suami.

Seandainya hanya menurutkan perasaan dan hati perempuan seorang ana, ana benar-benar tak mahu zauj memberi masa, perhatian dan kasih sayang kepada perempuan lain. Ana tak rela, ana tak mahu, ana tak sanggup. Ana tak mahu sama sekali menjadi bukan yang pertama.

Namun, melalui semua ini, banyak pelajaran rupanya yang ALLAH ingin ana pelajari. Siapalah ana ingin memiliki semua, ingin mempunyai dengan sepenuhnya..?

Hanya DIA pemilik yang sebenar-benarnya. Saat ini, ALLAH mengajar ana untuk bermuhajadah. ALLAH mendidik jiwa ana untuk ikhlas mencinta zauj kelak benar-benar keranaNYA. Jalan yang bakal ditempuh rupanya menjadi medan ujian seterusnya apakah benar keimananan dan kesabaran yang ana ucapkan selama ini. Sewaktu memikirkan semua ini, terasa kecilnya kesusahan perasaan yang ana hadapi.

Ana sedar bahawa selama-lamanya diri ana tidak akan menjadi yang pertama dalam hati seorang zauj yang beriman. Dalam hatinya, ana harapkan yang pertama adalah ALLAH dan RasulNYA. Dalam hatinya yang utama juga adalah kecintaan kepada agama yang suci ini. Dalam hatinya, kecintaannya pada ummah terlalu meluas, lebih luas dari cintanya kepada seorang zaujah.

Persepsi ana kini, kehadiran zauj dalam hidup adalah sebagai menambah lagi teman dalan hidup ana untuk meraih kecintaan dan keredhaan ALLAH. Seperti mana kalian telah menjadi teman buatku dalam melalui perjalanan kehidupan selama ini.

Ana kelak insyaALLAH akan sangat mencintai zauj, tapi ana perlu sedar segala yang ana cintai pada zauj itu datang dari Dia Yang Maha Pengasih.

Ana wajib dan perlu terus mencintai Dia Yang Maha Penyayang, agar ana mampu merasai cinta seorang zauj yang sebenar. Kelak seandainya ana merindukan perhatian dan kasih sayang zauj memenuhi hati ana, sedarlah ana bahawa keperluan emosi ana seluruhnya hanya akan mampu diisi dengan kasih sayang dan kecintaan yang amat besar pada tuhan.

Seandainya perasaan ini hanya ana sandarkan pada zauj, ana akan melalui kekosongan dan keperitan perasaan kerana kemampuan zauj yang terbatas untuk memuaskan hati perempuan-perempuan yang menjadi amanahnya.

Zauj adalah salah satu wasilah mendekatkan diri kepada ALLAH, ke syurga ALLAH. Jika ana mengaku kalah sebelum menempuh cabaran di medan perjanjian menjadi zaujah kepada zauj, ana mungkin tidak akan mampu meneruskan apa jua cabaran lainnya..

Ana mengingatkan diri supaya ana mampu redha dan berbaik sangka kelak bila zauj tiada di sisi. Sama ada zauj keluar bekerja mencari nafkah buat keluarga atau zauj menghabiskan masa bersama keluarga yang pertama, kedua-duanya adalah amanah yang zauj cuba jalankan sebaiknya.

Ana sebagai bukan yang pertama berat ujian perasaannya. Isteri yang pertama juga menempuh ujian perasaan yang lebih berat untuk redha dan rela suaminya dikongsi. Zauj yang memiliki lebih dari seorang pula, sangat berat pada amanah dan tanggungjawabnya.

Hidup adalah medan ujian,.. kesenangan adalah ujian, keburukan juga cubaan.. yang beriman akan memandang baik kedua-dua perkara.. Moga kitalah insan-insan yang mempunyai iman yang mempesona itu, seperti sabda Rasululah SAW... ‘Alangkah menakjubkan seorang mukmin itu, diberi kesusahan dia bersabar, diberi kesenangan dia bersyukur...’



Sekian, perkongsian kali ini, moga memberi erti pada hati-hati yang menuju cinta Ilahi.

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...